Jumaat, 13 Mei 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Tukar pemimpin langgar syariat, bukan kalah p'raya

Posted: 22 Apr 2011 01:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.
Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan.

"Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian semalam sebagai mengulas komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga dakwanya adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pandangan Aziz Bari itu juga turut disanggah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang mendakwa pensyarah undang-undang itu asyik mengulangi isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan kesediaan ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

"Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

"Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis," kata beliau dipetik media.

Tambahnya, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

"Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Pemilihan: Jangan terikut paluan gendang lawan

Posted: 19 Apr 2011 01:40 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 April: Para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gendang yang dipukul oleh pihak lawan, berhubung soal pemilihan sebarang jawatan dalam parti, yang memainkan sentimen kepuakan antara golongan ulama dan profesional.
Gendang tersebut dibunyikan untuk tujuan memecahbelahkan perpaduan antara para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang seharusnya disambut dengan bijak, dengan tidak terpengaruh dengan rentak yang dipalu oleh mereka.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengingatkan perkara itu menegaskan, sebaliknya realiti sebenar di dalam PAS tidak timbul antara golongan ulama dan profesional kerana kesemua pemimpinnya berjuang atas landasan parti yang kukuh untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air.
Menurut beliau, walaupun di dalam PAS sememangnya terdapat kalangan profesional, mereka juga tetap berkemampuan dan berkelayakan menjadi pemimpin dalam parti seperti juga pemimpin-pemimpin lain yang berjuang atas dasar Islam, sekali gus pasti tidak akan lari dari matlamat perjuangan PAS itu sendiri.
Katanya, itulah realiti yang perlu disedari oleh setiap pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS yang turut mendasari perpaduan dalam parti, sehingga menyebabkan pihak lawan berusaha keras memalu gendang tersebut dengan begitu kencang terutama menjelang muktamar agung PAS Jun ini.
"Gendang seperti itu juga turut dipalu oleh mereka menjelang muktamar-muktamar agung PAS yang lalu. Jadi, kita mesti bijak menangani perkara itu.
"Jangan pula perpaduan yang sudah sebegitu kukuh yang terdapat dalam parti dipecahkan sendiri oleh kita hanya kerana terpengaruh dengan rentak yang dimainkan oleh mereka terutama menerusi media utama mereka," katanya ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.       
Sehubungan itu, tegas beliau, PAS sememangnya mengalu-alukan pertandingan bagi sebarang jawatan dalam parti kerana ia bukan sekadar membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin dan terhadap ahli-ahlinya, tetapi akan lebih memantapkan lagi parti berhubung kepimpinannya.
Alu-aluan itu bukan hanya tertakluk bagi jawatan parti di peringkat kepimpinan paling kecil di cawangan dan bahagian, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi yang melibatkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib.
"Bagi jawatan Presiden sendiri, jika ada pencalonan yang diterima oleh pemimpin lain untuk menentang saya, saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya pun bukan untuk menjadi pemimpin selamanya. Sebaliknya, saya sendiri pun dah semakin berumur dan memang memerlukan barisan pelapis," tegas beliau.
Jadi jika ada pencalonan terhadap seseorang pemimpin PAS untuk memegang sebarang jawatan dalam parti yang melibatkan pelbagai latar belakang dan pendidikan, katanya, ia sepatutnya disambut oleh para pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dengan semangat perpaduan yang tinggi kerana di dalamnya pasti terkandung hikmah amat besar bagi PAS.  
Sebelum itu, ketika diminta mengulas mengenai pencapaian PAS dalam PRN Sarawak Ke-10 yang berlangsung 16 April lalu, beliau menegaskan, pencapaian tersebut tidak boleh diukur dari segi demokrasi kerana PRN Sarawak Ke-10 itu bukan berlangsung dalam suasana demokrasi sebenar yang diamalkan di negara ini.
"Kalau PRN Sarawak Ke-10 itu berlangsung dalam suasana demokrasi seperti di negara-negara luar, PAS pasti akan menang kerana ia tidak akan menyekat rakyat untuk membuat pemilihan seperti yang dikehendaki oleh mereka dengan berbagai sekatan oleh para pemimpin BN," tegasnya.
Namun, realiti yang berlaku di Sarawak jelas menyekat PAS dari menyampaikan maklumat kepada rakyat oleh pihak BN dengan berbagai cara terutama menerusi media, sehingga rakyat hanya disogokkan dengan pelbagai propaganda dari BN menerusi media cetak dan elektorik seperti tv dan radio yang masuk ke rumah-rumah setiap penduduk di serata tempat.
Manakala di pihak PAS dan Pakatan Rakyat, peluang itu disekat dengan ketat, tidak seperti di negara-negara luar yang turut memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang muncul di media cetak utama, radio dan tv.
"Ini menjadikan PAS gagal menyampaikan maklumat sebenar termasuk menjelaskan dasar-dasar parti kepada orang ramai, sehingga menyebabkan rakyat Sarawak berjaya dipengaruhi oleh BN untuk terus mengundi mereka, walaupun BN ternyata sudah ditolak begitu jauh oleh mereka yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat yang benar seperti di bandar-bandar," katanya.
Keadaan itu, katanya, disusuli pula dengan pelbagai tindakan tidak demokratik lain oleh pihak BN terhadap rakyat Sarawak termasuk menerusi penggunaan jentera kerajaan dengan begitu berleluasa, politik wang, politik ugut dan sebagainya yang jelas melambangkan demokrasi di negara ini masih belum maju.
Sungguhpun begitu, peningkatan sokongan dari rakyat Sarawak terhadap PAS secara keseluruhannya menerusi PRN Sarawak Ke-10 itu, tegas beliau, jelas membuktikan rakyat Sarawak juga tidak selama-lamanya boleh terus diperbodohkan oleh pihak BN yang sekali gus turut membawa petanda PAS mempunyai harapan yang cerah di negeri itu pada masa akan datang.
"Perkembangan yang baik ini perlulah dimanfaatkan dengan baik oleh setiap jentera PAS di semua peringkat dengan terus berusaha gigih menyampaikan risalah perjuangan parti kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah dari semasa ke semasa, seperti juga yang perlu terus dilakukan di Semenanjung," ujar beliau.

Video Boleh Jadi Bukti Setelah ada Empat Saksi (Adil)

Posted: 18 Apr 2011 09:12 PM PDT

tn_nikmohdzawawi_01Kuala Lumpur, 18 April 2011 - Rakaman video seks seseorang yang didakwa berzina hanya boleh dijadikan bukti sokongan di Mahkamah Syariah dengan syarat utamanya mestilah disertai dengan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan tersebut.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh menegaskan, bagaimanapun video yang menjadi bukti sokongan itu mestilah dikenal pasti ketulenannya dan individu dalam video tersebut benar- benar orang yang dituduh.
Tambahnya, jika orang yang membuat tuduhan itu hanya menyertakan video semata-mata bagi membuktikan kebenaran perlakuan seks tersebut, ia tidak boleh diterima pakai dalam perundangan Islam kerana syarat utama ialah disertai empat orang saksi yang adil.
"Video hanyalah sebagai bahan sokongan kerana bahan utamanya ialah empat orang saksi. Memang tidak boleh diterima pakai jika hanya bergantung pada satu bukti sahaj a iaitu video atau bahan-bahan lain," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainol Rijal Abu Bakar video seks seseorang yang didakwa berzina boleh dijadikan bukti di Mahkamah Syariah, jelas Ustaz Nik Muhammad Zawawi, sebagai peguam syarie, Zainol Rijal seharusnya lebih tahu mengenai undang-undang Islam.
Beliau turut berpendapat kenyataan Zainol Rijal itu menggambarkan seolah-olah beliau tidak faham dengan undang-undang Islam serta sistem kehakiman Islam yang mempunyai peraturannya, sebagaimana undang-undang sivil yang juga mempunyai peraturannya sendiri.
"Barangkali beliau sudah terlalu biasa dengan undang-undang sivil. Apabila bercakap soal agama beliau terikut-ikut dengan kaedah dan pendekatan undang-undang sivil.
"Saya ingin menasihatinya supaya membezakan sistem perundangan Islam dengan sistem perundangan sivil. Perundangan Islam ini datangnya daripada Allah yang mempunyai sistemnya sendiri yang tidak boleh direka cipta oleh manusia.
"Allah telah menentukan kes yang membabitkan zina dan liwat mesti disertai empat orang saksi yang adil dan barulah kita boleh menuduh si polan bin si polan dan seterusnya barulah boleh membawa bukti sokongan," tegasnya.
Kenyataan Zainol Rijal itu turut disangkal Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dalam satu kenyataannya yang berpendapat kenyataan tersebut menyeleweng' daripada prinsip Islam.
"Jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan dua perkara sahaja iaitu pengakuan orang yang berzina dan pengakuan empat orang saksi yang adil yang melihat perlakuan zina itu.
"Bukti video atau gambar atau rakaman tidak diterima bagi jenayah zina. Pandangan beliau ini cukup menyeleweng," katanya.

PR menang bermaruah, BN menang dengan rasuah

Posted: 18 Apr 2011 08:28 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 April: Senator Dr Syed Husin Ali berkata, tiada salahnya mengucapkan tahniah di atas kemenangan BN di Sarawak tetapi jangan memperkecilkan prestasi Pakatan Rakyat (PR).

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan titah ucapan baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, semalam.

Beliau yang gembira kerana dapat menyertai perbahasan itu membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku lebih awal sebelum memulakan perbahasan.

"Sepanjang pagi tadi beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak.

"Tiada salahnya ini, akan tetapi kurang enak didengar apabila pada masa sama diperkecilkan pula prestasi Pakatan," ujarnya selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili PKR.

Menurutnya, seorang teman daripada Umno bertanya kepadanya: Syed, tidak mahu ucap tahniah ke dan beliau tiada masalah mengucap syabas.

Akan tetapi, beliau ingin mengingatkan bahawa PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda.

"Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus.

"Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, akan tetapi ia gagal memperolehi dua pertiga undi," ujarnya.

Ini, tambahnya berlaku walaupun kerajaan Umno BN menggunakan jentera kerajaan, memperalat media elektronik serta cetak, mengugut melalui SB, menabur wang dan seterusnya tidak habis-habis menggunakan isu fitnah sodomi dan video seks.

"Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi fixed deposit BN," ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut