Ahad, 24 April 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Parti bukan sendirian berhad, urus secara jamaah

Posted: 24 Apr 2011 04:06 AM PDT

SHAH ALAM, 24 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man(gambar) berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.
Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.
Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.
Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.
Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.
"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.
"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.
Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.
Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.
"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.
Sementara itu, ketika berucap dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, jika musuh dapat merampas semula Selangor, mereka pasti akan melakukan sekatan lebih teruk daripada sebelum ini.
Menurutnya, kemenangan PAS di banyak kawasan termasuk Shah Alam dalam PRU 12 pada Mac 2008 adalah hasil pendirian dan sokongan banyak pihak termasuk bukan Islam dan Melayu.
Kerana itu, jelasnya, gerak kerja selepas ini mestilah menjurus ke arah mendekatkan mereka termasuk semua anggota masyarakat lain bagi  memahamkan mereka perjuangan dan matlanat PAS dalam memberi dan memelihara hak dan tuntutan semua pihak termasuk bukan Islam.

Anwar, Husam dalam seminar Muqasid

Posted: 24 Apr 2011 04:05 AM PDT

KOTA BHARU, 24 April: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK) akan mengadakan seminar pemikiran Islam semasa berkaitan Maqasid Syar'iyyah yang akan diadakan di Balai Islam Lundang.

Seminar tersebut akan diadakan pada 30 April 2011 bersamaan 26 Jamadilawal 1432H bermula jam 2.00 petang.

Ahli-ahli panel terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, Datuk Husam bin Musa, Exco Kelantan dan Dr. Muhammad Nur Manuty, Pensyarah KUIS yang juga Ketua Penerangan PKR.

Manakala Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula akan menyempurnakan majlis perasmian penutup yang dijangka berakhir pada jam 5.00 petang.

Moderator seminar ini Dr. Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri kelantan.

Pengarah TATOK, Mohd Khir Abdul Ghani berkata, seminar ini diadakan bagi memberi kefahaman kepada rakyat tentang matlamat Syariah.

"Peserta dianggarkan lebih 1500 orang terdiri daripada pimpinan masyarakat, badan-badan NGO, pelajar-pelajar IPT dan DHPP Kelantan serta para aktivis daripada pelbagai bangsa tanpa mengira fahaman politik turut turut dialu-alukan,

"Tujuan diadakan seminar untuk memberi gambaran jelas tentang konsep Maqasid Syar'iyyah dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia yang meliputi asas-asas kehidupan manusia untuk seluruh masyarakat yang berbilang kaum," katanya.

Pada jam 9.00 malam pula akan diadakan ceramah penjelasan isu-isu semasa yang dianjurkan pihak Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di Padang Majlis Daerah Machang. 

Penceramah ialah Nik Abdul Aziz, Anwar, Husam dan Anthony Loke, Ketua Pemuda DAP.

MCA minta pulau Utusan, apa kata Pemuda Umno

Posted: 24 Apr 2011 04:05 AM PDT

KOTA BHARU, 24 April: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mencabar Pergerakan Pemuda Umno untuk menyatakan pendirian terhadap gesaan Timbalan ketua publisiti MCA, Loh Seng Kok agar akhbar lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia dipulaukan oleh rakyat Malaysia. 

Gesaan ini dilaporkan oleh laman web berita dalam talian Malaysiakini pada 23 April 2011. 
Ini ekoran rencana yang ditulis oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan minggu lepas yang mencadangkan agar digerakkan kempen '1Melayu, 1Bumi'.

Pemuda PAS Kelantan, kata Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa cadangan tersebut merupakan cadangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan kerajaan. 

Hakikatnya, kata beliau, Utusan Malaysia merupakan lidah rasmi Umno dan sebarang tulisan yang tersiar di dalamnya khususnya yang berkaitan dengan sidang pengarangnya sendiri harus dipikul tanggungjawabnya oleh Umno.

Justeru, Fadhli (gambar) berkata, Pemuda PAS Kelantan melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh MCA merupakan satu cabaran kepada Umno yang mengaku memperjuangkan bangsa Melayu. 

"Jika selama ini mereka sering menuduh bahawa PAS telah menjadi kuda tunggangan DAP, maka hari ini apabila MCA secara terang menyelar lidah rasmi Umno, adakah Umno berani untuk bersuara?" katanya dalam satu kenyataan.

Pemuda PAS Kelantan beranggapan, sekiranya Umno khususnya Pergerakan Pemudanya hanya diam membisu, bererti mereka sendiri sudah merelakan diri menjadi kuda tunggangan MCA.

"Sepatutnya, pada masa inilah Pemuda UMNO perlu menunjukkan kejantanan mereka tampil ke hadapan membela suara rasmi mereka yang dianggap pembela bangsa Melayu selama ini," katanya.

Hakikatnya, kata Fadhli, seruan Utusan Malaysia itu hanyalah mengulangi pendirian politik perkauman yang diamalkan oleh Umno selama ini. 

Pemuda PAS Kelantan katanya yakin, masyarakat Malaysia semakin menyedari permainan politik yang merbahaya ini dan akan menolak politik perkauman yang diamalkan oleh Umno dana rakan-rakan parti politik di dalam komponen Barisan Nasional. 

2 Tok Guru aset umat Islam, bukan sekadar PAS

Posted: 23 Apr 2011 08:00 PM PDT

PASIR PUTEH, 24 April: Dua tokoh utama PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang disifatkan aset penting umat Islam, malah untuk seluruh rakyat bukan sekadar kalangan orang PAS semata-mata.
"Nilai mereka berdua dalam memandu seluruh rakyat keluar dari kerenah dan fitnah musuh terlalu besar dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa," kata AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.
Kegigihan dan keputusan tepat mereka, kata beliau menyebabkan perancangan-perancangan Umno merosakkan Islam dan rakyat negara ini dapat ditepis dengan baik.
"Sejak Umno menggunakan khidmat nasihat APCO (yang dikaitkan dengan Yahudi) dan merencana pelbagai taktik untuk merosakkan PAS dan Islam, kita amat bertuah kerana kedua-dua pemimpin ini terus komited mempertahankan kesucian Islam dan harapan rakyat," kata beliau di majlis pemimpin bersama rakyat yang diadakan di dewan utama Majlis Daerah ini, petang kelmarin.
Menurutnya, meskipun kedua-dua tokoh ini amat tinggi pengetahuan mereka tentang Islam dan pelbagai ilmu lain, mereka sentiasa berbincang dan mengambil pandangan semua pihak dalam memutuskan setiap perkara.
"Dalam jawatankuasa pusat (PAS) kami kerapkali terpaksa melanjutkan perbincangan hingga pukul tiga, empat pagi kerana mereka mahu semua pandangan di dengar sebelum satu keputusan dibuat demi kebaikan umat dan rakyat," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.
Beliau meminta ahli-ahli PAS dan rakan-rakan yang mahu bersama memperjuangkan keadilan dan keselamatan menggunakan segala ruang untuk memberikan sokongan besar kepada tokoh seumpama ini yang tujuan hidup mereka semata-mata mencari redha Allah dan mengharap kesejahteraan rakyat.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Muhammad Husain dalam ucapannya memberi amaran kepada Umno supaya menghentikan kegiatan tidak bermoral dengan memfitnah dan menyebarkan berita-berita palsu yang mengelirukan orang ramai.
"Di peringkat nasional, rakyat sudah muak dengan fitnah hodoh seperti diperlakukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga anak-anak kecil kebingunan dengan apa yang dilaporkan di media.
"Di Pasir Puteh ini, media digunakan untuk menyebar berita palsu kononnya berduyun-duyun ahli PAS masuk Umno," katanya.
Di sebelah pagi telah diadakan mesyauarat agung muslimat PAS kawasan Pasir Puteh di tempat yang sama.
"Pagi ini kita adakan masyuarat (agung) muslimat di sini, perwakilan yang hadir hampir 600, ini membuktikan segala dakwaan bahawa  orang kawasan ini begitu ramai masuk Umno satu pembohongan," ujar beliau.

Fokus jatuhkan BN, bukan pemimpin PAS- Husam

Posted: 23 Apr 2011 07:16 PM PDT

KUALA LUMPUR, 23 April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa menegaskan bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada.

Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

"Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah Barisan Nasional bukan PAS," katanya.

Beliau yang juga Bekas Naib Presiden PAS berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Batu di sini hari ini.

Tambahnya, apa yang penting kepada PAS sekarang adalah proses "penyegaran" semula dengan dibawa elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Abdul Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi juga disifatkannya sebagai "terbukti" layak untuk terus menyandang jawatan Presiden kerana sudah menghadapi banyak cabaran.

"Cuma apa yang diperlukan PAS adalah ia harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti... mungkin boleh dapatkan penasihat dari golongan profesional untuk bantu memperkuatkan PAS," kata beliau.

Sebelum ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden PAS pada Muktamar parti itu yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menyatakan kepada Abdul Hadi untuk terus menerajui kepimpinan PAS.

Tiada ulasan:

Pengikut