Rabu, 4 Jun 2014

BLOG - BLOG PARTI UMNO

BLOG - BLOG PARTI UMNO


Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Posted: 03 Jun 2014 01:56 PM PDT

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


Sultan bijaksana berjiwa rakyat.

Posted: 03 Jun 2014 09:10 AM PDT

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani dokumen perisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

PERISYTIHARAN Raja Dr. Nazrin Shah, 58, sebagai Sultan Perak yang ke-35 disambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata.

Membawa gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, pelantikan baginda dilihat sebagai penyambung naungan diraja bagi bumi bertuah, Perak Darul Ridzuan.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan dari Universiti Harvard, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ini bakal meneruskan legasi ayahandanya sebagai raja yang bijaksana, berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.

Berbeza dengan negeri-negeri beraja lain di negara ini yang menabalkan anak sebagai pewaris selepas kemangkatan Sultan, pemilihan Raja Pemerintah di Perak agak unik kerana perlu mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak.

Justeru sejurus kemangkatan Sultan Perak ke-34 petang kelmarin, mesyuarat khas Dewan Negara Perak diadakan bagi menentukan pengganti yang akan menerajui takhta pemerintahan negeri.

Keputusan melantik Raja Dr. Nazrin Shah sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas itu yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin.

Istiadat pelantikan dan perisytiharan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 kemudiannya disempurnakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara pada 2007, dikurniakan seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, 2.

Baginda dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.

Mengikut hierarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah pada galur ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Kedudukan di bawah Raja Kecil Besar ialah Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu.

Pada 1987, apabila Raja Muda, Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Oxford.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard.

Sultan Nazrin Shah yang juga Pro-Canselor Universiti Malaya turut menjadi Felo Kehormat Kolej Worcester, Universiti Oxford.

Tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Universiti Oxford serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam universiti tersebut.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah ialah Felo Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS).

Baginda juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.

Semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah pada 19 April lalu, baginda bertitah bahawa fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir. Raja titah baginda, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

"Institusi raja bukanlah 'cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua' dalam sistem pentadbiran negara. Institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan negara.

"Ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja. Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah," titah baginda.

Dan seluruh rakyat jelata khususnya di Perak meyakini Sultan Nazrin Shah akan membawa tenaga kepada institusi raja agar terus bersifat dinamik dalam menghadapi tuntutan dan cabaran semasa.

Daulat Tuanku!

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Pengikut