Tiada peserta himpunan bantah GST cedera ditikam seperti didakwa, kata polisPeserta himpunan bantah GST hari ini berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad untuk menyuarakan ketidakpuasan terhadap kenaikan kos hidup. Polis menafikan terdapat kes tikaman semasa perhimpunan itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 1 Mei, 2014.
Tiada peserta perhimpunan bantah cukai barang dan pendapatan (GST) cedera atau ditikam seperti didakwa di internet, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad.
Beliau berkata gambar yang didakwa dihantar oleh Twitter Papa Gomo menunjukkan seorang peserta terlantar atas pengusung akibat ditikam merupakan gambar lama.
Zainuddin berkata dakwaan tersebut "tidak benar sama sekali".
Tentang laporan bahawa tiga jurukamera media cedera semasa membuat liputan perhimpunan itu, beliau berkata pihak polis belum menerima sebarang laporan mengenainya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata keadaan di ibu kota terkawal pada pukul 5 petang ini, walaupun terdapat beberapa lokasi dipenuhi peserta himpunan bantah GST, dan pada pukul 5.30 petang, kesemua peserta beredar dari lokasi perhimpunan dan keadaan kembali normal.
"Ada berlaku insiden kecil seperti tolak-menolak antara peserta, namun keadaan masih terkawal," katanya.
Beliau berkata polis akan tetap melaksanakan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tertentu bagi memastikan keadaan selamat.
"Saya menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak menimbulkan kekecohan sehingga menganggu ketenteraman awam," katanya.
Mohmad turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama demi mengekalkan keamanan serta kesejahteraan bandaraya Kuala Lumpur. – Bernama, 1 Mei, 2014.
TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan