Pakatan Rakyat |
Posted: 20 Mar 2014 03:34 PM PDT [TMI] Penerbangan Malaysia gagal menaik taraf komputer yang mudah dan berharga hanya RM33 bagi setiap penerbangan, yang akan menyediakan maklumat penting untuk membantu mencari penerbangan MH370 yang hilang, kerana ia membuat pilihan yang lebih murah apabila membeli pesawat, The Sydney Morning Herald melaporkan. Seorang pegawai industri satelit dipetik sebagai berkata bahawa menaik taraf sistem yang dipanggil Swift, akan menyediakan arah, kelajuan dan ketinggian pesawat MH370 walaupun selepas komunikasi lain daripada pesawat hilang daripada radar. Jika sistem Swift dinaik taraf, termasuk pakej penuh aplikasi, ia boleh menghantar maklumat mengenai prestasi enjin, penggunaan bahan api, kelajuan, ketinggian dan arah, tidak kira sama ada transponder dan Sistem Menangani Komunikasi dan Pelaporan (ACARS) berfungsi, katanya. Pakar yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan memberitahu harian Australia yang sistem Swift adalah sama seperti cara bagaimana telefon pintar menghantar data satelit, manakala ACARS adalah serupa dengan aplikasi untuk telefon bimbit. "Apabila ACARS ditutup, Swift masih lagi berfungsi," katanya kepada Sydney Morning Herald. "Jika sistem Swift diselenggarakan untuk mengesan data enjin, data tersebut akan dapat dihantar (streaming) dari pesawat itu. Ia akan berfungsi selagi pesawat tersebut berjalan." Laporan tersebut menunjukkan bahawa jika Malaysia Airlines mendapatkan pakej naik taraf tersebut, ia akan terus menghantar data penerbangan dari satelit walaupun selepas transponder pesawat dan komunikasi ACARS dimatikan. Ditanya mengapa penerbangan tersebut memilih untuk tidak membeli aplikasi tersebut yang dikira berpatutan harganya, seorang pagawai industri memberitahu Sydney Morning Herald, "Setiap yang ada dalam kapal terbang akan melibatkan penggunaan petrol. Oleh itu semua perlu dikira, untuk mengurangkan kos." Daripada menghantar data, katanya, sesetengah penerbangan memilih untuk memuat turun semua data pada pemacu USB sebaik pesawat mendarat. Disebabkan Malaysia Airlines memilih pilihan yang murah, katanya, "tidak banyak yang dapat dirakam." Zainul Zawawi, naib presiden untuk Amerika Utara di Penerbangan Malaysia memberitahu Sydney Morning Herald bahawa beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap tentang pesawat yang hilang dan mengarahkan soalan tersebut ditanya kepada pegawai penerbangan di Malaysia. Usaha menghubungi pegawai tersebut oleh Sydney Morning Herald tidak berjaya. Menurut laporan tersebut, data daripada sistem naik taraf yang hampir serupa membolehkan penyiasat mengecilkan kawasan pencarian kepada 64 kilometer di Lautan Atlantik dalam kes hempasan 2009 pesawat AirFrance. Dalam masa lima hari mereka dapat menjumpai serpihan daripada hempasan itu. Ini bukannya kali pertama Malaysia Airlines terpampang di muka depan akhbar kerana tidak melanggan program yang dapat membantu pencarian MH370. Bloomberg melaporkan minggu lepas bahawa syarikat penerbangan itu tidak memasang satu perkhidmatan Boeing yang mengumpul data prestasi secara langsung untuk penerbangan seperti MH370 yang penting dalam penyelenggaraan pesawat. Pencarian Boeing 777-200ER (9M-MRO) kini fokus kepada dua sudut kawasan pencarian yang luas, satu menuju daratan di utara dari Laos ke Lautan Caspian, dan kedua ke arah selatan, melalui Lautan Hindi dari kepulauan Sumatra Indonesia ke barat Australia. Reuters mengatakan bahawa jangkaan pencarian yang disertai 26-negara ini akan dapat membawa hasil yang cepat kini semakin berkurangan, tetapi para penyiasat mengesahkan bahawa mereka sedang menumpukan perhatian kepada kawasan terpencil Lautan Hindi selepas tidak dapat mencari kesan pesawat tersebut di kawasan utara. "Kepentingan kita sedang diberi pada kawasan itu," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Australia sedang mengetuai operasi mencari dan menyelamat di bahagian sudut selatan, dengan bantuan tentera laut Amerika Syarikat. Kawasan mencari sudah diperkecilkan mengikut data yang dikesan satelit dan analisis cuaca dan arus, tetapi kawasan itu masih lebih kurang 600,000 batu persegi, lebih kurang saiz Sepanyol dan Belanda. – 20 Mac, 2014. |
Posted: 20 Mar 2014 03:31 PM PDT Kesan taufan Haiyan yang melanda Filipina tahun lalu, tentera China telah dilihat tidak bersedia dari sudut bantuan kemanusiaan dan bencana, apabila sumbangan kepada misi bantuan amat sedikit. Antara bantuan China yang dapat diperhatikan ialah sebuah kapal hospital, tetapi tentera Amerika Syarikat menyediakan pelbagai kemudahan logistik dan bantuan lain, dalam tempoh yang segera dan memberi kesan yang besar. Kali ini, kehilangan pesawat Boeing 777 Penerbangan Malaysia yang melibatkan ramai rakyat China menimbulkan lagi isu bantuan oleh tentera, apabila sekali lagi AS lebih mendahului dalam misi mencari dan menyelamat, dan China kelihatan semakin menyedari implikasi politik serantaunya. Kelebihan logistik dan aset AS kelihatan jauh lebih mengatasi China, dan pencarian di Laut China Selatan dan kemudian Lautan Hindi menunjukkan penguasaan AS di kedua-dua medan persaingan AS-China itu. Pada masa sama, China juga tidak mempunyai hubungan politik dan ketenteraan dengan beberapa negara Asia Tenggara seperti halnya AS, yang menjalankan aktiviti daripada ketenteraan, diplomasi dan juga diplomasi awam. Di Malaysia misalnya, lawatan kapal-kapal AS melibatkan pelbagai aktiviti diplomasi, termasuk majlis resepsi dengan pemimpin tentera dan politik di atas kapal dan lawatan ke misi kebajikan ke rumah anak yatim. Tahun lepas, lawatan kapal USS Blue Ridge ke Pelabuhan Klang melibatkan majlis mesra dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan penyampaian anugerah kepada rekrut muda tentera Malaysia. Sebelum itu, persinggahan kapal pengangkut pesawat USS George Washington juga melibatkan majlis yang meriah, dengan liputan meluas media cetak dan elektronik tempatan, memperlihatkan kejayaan diplomasi awam lawatan itu. China, kali ini, mula menunjukkan kesediaan yang lebih berbanding bencana taufan Haiyan, apabila menghantar aset-aset dan menunjukkan kesediaannya menjalankan misi menyelamat, dan paling utama, menunjukkan peranannya di rantau ini. Menurut laporan Reuters, China telah menghantar empat kapal perang, empat kapal pengawal pantai, lapan pesawat dan menumpukan 10 satelit ke kawasan carian. Kawasan Laut China Selatan yang pada awalnya menjadi fokus pencarian ialah kawasan yang dipertikaian, melibatkan China dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Vietnam dan Malaysia. Dalam misi mencari dan menyelamat ini, persaingan AS dengan China, walaupun bukan menjadi fokus utama, tetap menjadi satu isu yang menarik untuk diperhatikan.Hakikatnya, China bersaing dengan AS dalam usaha mencari dan mahu menunjukkan kemampuannya dalam hal ini untuk menegaskan kredibilitinya dan tuntutan peranan dominan di rantau ini. China juga, akibat insiden ini, telah menunjukkan sikap yang berbeza daripada biasa dengan Malaysia, apabila menegur pihak berkuasa Malaysia yang didakwa lambat dan tidak berkongsi maklumat yang cukup.Ini menambahkan senarai tindakan China yang cuba menampakkan peranan dominannya di rantau ini, selepas pencerobohan di James Shoal dekat perairan Sarawak tahun lepas. Selain persaingan ini, misi mencari dan menyelamat ini juga boleh menimbulkan ketegangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan negara serantau terlibat, dari sudut kerjasama seperti perkongsian data. Apapun yang terlibat, termasuk nyawa orang awam, perkongsian yang boleh mendedahkan rahsia tidak akan dibenarkan oleh mana-mana pihak, dan perkongsian data juga dibuat kemungkinan dengan tapisan tertentu. Pelbagai isu sensitif boleh timbul daripad insiden ini. Malaysia kini berada dalam keadaan defensif, apabila terdedah kepada negara-negara jiran yang tidak ada tindakan ketika pesawat MH370 berpusing balik dan melintasi semenanjung menuju ke barat, yang mendedahkan kekurangan dalam keupayaan pemantauan ruang angkasa negara. Negara-negara terlibat tidak akan mendedahkan perkara yang memalukan, dan ini menimbulkan kemungkinan sensitiviti keselamatan menjejaskan pencarian kerana ada pihak tidak mendedahkan maklumat yang kritikal. India, sebuah lagi negara yang mempunyai kekuatan tentera laut dan terlibat dalam persaingan di Lautan Hindi dengan China, telah menyatakan yang ia tidak mengesan pesawat tersebut memasuki ruang pemantauannya. Kepulauan Andaman dan Nicobar di barat laut Selat Melaka yang pernah dikatakan satu lokasi kemungkinan MH370, ialah satu lokasi strategik yang amat penting kepada India. India juga mempunyai sensitiviti yang perlu dijaga, disebabkan penglibatan besar China dalam insiden MH370 ini dan penegasan kedudukannya di rantau berdekatannya dan di Asia-Pasifik. Insiden kehilangan pesawat Boeing 777 Malaysia ini, dan misi mencari dan menyelamat mencetuskan pelbagai implikasi melibatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara serantau dan kuasa besar AS dan China, yang selama ini diimbangi dengan baik oleh Kuala Lumpur. Persaingan antara kuasa-kuasa terbabit di kawasan perairan yang menjadi medan perlumbaan dominasi menjadikan tragedi ini lebih daripada satu bencana melibatkan Malaysia dan anak kapal terlibat, tetapi berkait langsung dengan politik serantau. - Mac 18, 2014 |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan