Pakatan Rakyat |
Posted: 11 Mar 2014 03:20 PM PDT | Karpal didenda RM4,000, hilang kerusi Bukit Gelugor Posted: 11 Mar 2014 07:47 AM PDT OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA Pengerusi DAP Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda RM4,000 dan bakal kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas. Karpal yang berkerusi roda adalah pemimpin tertinggi kedua Pakatan Rakyat (PR) yang dijatuhkan hukuman minggu ini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah Jumaat lalu kerana meliwat. Karpal akan merayu kepada Mahkamah Rayuan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat boleh kehilangan kerusinya jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun. Ketika proses rayuan pagi tadi, peguam beliau, Gobind Singh memohon agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau kerana kesihatan serta kedudukannya sebagai ahli Parlimen. Peguam Gobind Singh berkata, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara dan denda melebih RM2,000, Karpal akan kehilangan haknya sebagai ahli Parlimen. Sehubungan itu beliau mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda di bawah RM2,000. Katanya, tindakan Karpal telah membuka jalan kepada pihak lain untuk tidak menghormati institusi raja dan Raja-Raja Melayu. Pada 21 Februari, Karpal yang berkerusi roda didapati bersalah kerana menghamburkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak ketika krisis perlembagaan 2009. Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. Peguam Gobind Singh memohon agar hukuman dijatuhkan pada 11 Mac agar pihaknya boleh mempersiapkan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan. Karpal yang juga pengerusi DAP berhadapan dengan hukuman sehingga maksimun RM5,000 denda atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi beliau, walaupun Karpal berpengalaman lebih 45 tahun sebagai peguam, ia bukan isu. Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu menunjukkan contoh yang baik. Pemimpin PR memenuhi ruang mahkamah hari ini sambil menunggu keputusan hukuman dijatuhkan mahkamah. Antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang hadir memberikan sokongan moral kepada Karpal. | Wakil rakyat BN serang pembangkang ketika mereka boikot sidang Posted: 11 Mar 2014 07:41 AM PDT Ketidakhadiran 89 ahli Parlimen pembangkang, kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dengan membawa 227 penumpang pada Sabtu pagi lalu antara isu yang dibangkitkan semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong ketika upacara pembukaan semalam. Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Reezal Meerican Naina Merican (gambar) menyelar mengenai kenyataan status Twitter bekas menteri besar Perak Tan Sri Nizar Jamaluddin yang menyatakan bahawa adanya segi tiga bermuda baru di perairan Vietnam. "Tapi dalam tragedi pesawat timbul sesetengah pemimpin pembangkang iaitu wakil Shah Alam menggunakan soal nasional untuk menjadi komedi politik," katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini. Katanya cara pemimpin pembangkang tersebut seolah-olah mempersoalkan ketentuan dan takdir Ilahi. Kenyataan itu disokong oleh ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dengan berkata kebanyakan pemimpin pembangkang sentiasa membangkitkan perkara sensitif. Beliau merujuk kepada dakwaan fitnah ahli Parlimen Batu Tian Chua mengenai pencerobohan Lahad Datu dan video sambutan Tahun Baru Cina ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. "Kenapa dengan segala laporan yang dilakukan namun masih tiada tindakan yang diambil?" soalnya. Manakala ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad (gambar) berkata, perbuatan memboikot Parlimen kerana membantah keputusan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat tidak boleh diterima. "Kita berdepan dengan keadaan jelas di mana kalau kalah dalam bentuk apa pun maksudnya adalah kalah. Ini bila nak jadi menteri besar sanggup kosongkan Dewan Undangan Negeri (DUN). "Kalau ikut nafsu yang betul ialah semangat kita untuk mempunyai wakil rakyat terbaik untuk mempunyai institusi yang bagus. Ini tidak, selalu menyimpang dari Kajang move langsung terus ke Kajang Shuffle," katanya. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek mengulas mengenai kenyataan sensitif insiden penerbangan pesawat MH370 termasuk ahli keluarga penumpang. "Beliau berkata semua pihak perlu memahami bahawa tragedi pesawat MH370 adalah diluar kebiasaan dan kerana itu rakyat diseru untuk bersatu menghadapi situasi begini," katanya. Menteri itu juga berkata untuk menunding jari sesama sendiri mengalahkan dan menyebabkan cerita yang tidak sahih tidak sepatutnya berlaku pada ketika ini. "Ini bukan masa untuk kita bertindak menunding jari mana-mana pihak ini masa untuk kita bersatu dan memahami kesukaran ahli keluarga penumpang," katanya pada media. Semalam Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 menzahirkan simpati terhadap insiden yang berlaku pada pesawat MH370 yang hiang sejak dari tiga hari lalu. | Posted: 11 Mar 2014 07:38 AM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad (gambar) difahamkan telah menghantar surat perletakan jawatan sebagai Penasihat Proton Holdings Bhd di saat projek automobil negara itu memerlukan lebih banyak dokongan kewangan daripada kerajaan. "Surat perletakan jawatan telah dihantar," kata sumber yang rapat dengan Dr Mahathir kepada The Edge. Bagaimanapun pihak pengurusan Proton diyakini menyimpan surat tersebut dan tidak membuat sebarang pengumuman dengan harapan pemegang saham terbesar Proton, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dapat memujuk mantan Perdana Menteri itu supaya menimbang semula perletakan jawatannya itu. Syed Mokhtar menjadi pemilik Proton setelah menguasai 55.92 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom Bhd. DRB Hicom menjadi pemilik saham terbesar Proton setelah membeli kepentingan Khazanah Nasional dalam syarikat automobil negara itu pada 2012. Proton disifatkan sebagai projek 'anak emas' Dr Mahathir sepanjang 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Beliau dilantik menjadi Penasihat Proton Holdings Bhd pada 2003 setelah berundur sebagai Perdana Menteri. Usaha The Edge untuk mendapatkan penjelasan Dr Mahathir gagal kerana beliau dilapor berada di luar negara. Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Sufi Yusoff bagaimanapun mengakui tidak tahu menahu tentang surat perletakan jawatan itu. Akhir tahun lalu, Dr Mahathir, 88 meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas. Beliau memberikan alasan kesihatan atas tindakannya itu namun sumber menyebut "Petronas gagal memenuhi beberapa permintaan Dr Mahathir". Sumber Proton menyebut antara kekecewaan Dr Mahathir adalah perletakan jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim bulan lepas. Lukman yang dibawa masuk ke Proton oleh Dr Mahathir pernah mengumumkan perletakan jawatan Julai tahun lalu tapi tidak meneruskan hasrat beliau. Namun perletakan jawatan Lukman daripada Proton pada Februari adalah muktamad. | MoU Air: Tolak tawaran S'gor, pusat jangan langgar janji Posted: 11 Mar 2014 07:32 AM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Sementara Kerajaan Negeri Selangor menunjukkan komitmen tinggi untuk menyelesaikan kemelut air di negeri itu dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), namun Kerajaan Pusat dilihat mula 'bermain wayang'. Semalam, 10 Mac merupakan tarikh akhir bagi empat syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABBAS Sdn. Bhd. untuk memberi jawapan balas terhadap tawaran pengambilalihan RM9.65 bilion dari kerajaan negeri. Bagaimanapun dalam laporan Bursa Malaysia semalam menyebut, tiga daripada syarikat konsesi itu iaitu Splash, PNSB dan Syabas menolak tawaran itu dan hanya ABBAS menerimanya. Splash didakwa menolak terus tawaran itu manakala PNSB dan Syabas menolaknya dengan bersyarat. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk memastikan kesemua syarikat konsesi ini menerima tawaran kerajaan negeri seperti yang diputuskan dan dipersetujui dalam MoU yang ditandatangan kedua-dua pihak 26 Februari lalu. Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata dengan kegagalan kerajaan pusat 'memujuk' syarikat konsesi itu, maka kerajaan negeri Selangor tidak perlu lagi mempercepat kelulusan untuk penerusan pembinaan projek Langat 2. Ianya termasuk kelulusan seperti hak tanah, kebenaran akses dan permit lain biarpun ianya perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari menandatangani MoU itu . "Seperti yang dinyatakan diatas, kerajaan persekutuan telah gagal untuk memujuk syarikat konsesi ini untuk menerima tawaran di atas . "(Oleh itu) Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi perlu untuk memberikan semua kelulusan tambahan yang diperlukan Langat 2 untuk hak tanah, kebenaran akses dan permit lain," kata beliau dalam satu kenyataan. MoU air Selangor dan Pusat ditandatangan oleh Abdul Khalid dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bulan lepas dengan disaksikan oleh Datuk Seri Najib Razak. Di bawah MoU itu, Selangor akan mengambil alih operasi empat syarikat konsesi air - SYARIKAT Bekalan Air Selangor Bhd ( Syabas) , Puncak Niaga Sdn Bhd ( PNSB ), Konsortium Abbas Sdn Bhd dan SYARIKAT Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd ( Splash ) - dan letakkan bawah milik Kumpulan Darul Ehsan Sdn Bhd Sebagai pertukaran, Selangor bersetuju untuk meluluskan perintah pembangunan bagi loji rawatan air Langat 2 dan memastikan semua kelulusan yang diperlukan akan diberikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU dimeterai. "Kini terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk mengumumkan komitmennya dengan mengumumkan bahawa ia akan segera menjalankan semua kuasanya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA ), terutamanya menggunakan Fasal 114 untuk mengambil alih secara wajib syarikat-syarikat air ini berdasarkan model pampasan yang dinyatakan di dalam perjanjian konsesi, "kata Pua. Sementara itu, AJK PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad pula berkata, penolakan tawaran oleh syarikat konsesi itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri berisiko "dipermainkan" oleh pusat. "Saya menyokong penuh pandangan Tony Pua. Ternyata pusat telah membelakangi komitmen awal yang dimeterai dalam MoU sebelum ini. Ini yang kita khuatirkan sebelum ini. "Kini pusat perlu tunjuk komitmen dengan menggunakan Fasal 114 dan 191 WSIA dan kerajaan Selangor perlu menggunakan haknya melalui klausa 6 dalam MoU tersebut," tegasnya. | Rayuan Tajudin ketepikan saman Celcom ditolak Posted: 11 Mar 2014 07:23 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Mahkamah juga menolak rayuan lima bekas pengarah Celcom iaitu Joerg Andreas Boy, Dieter Sieber, Oliver Tim Axmann, Dr Frank-Reinhard dan Axel Hass untuk mengenepikan penyata tuntutan dan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka oleh Celcom. Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Abu Samah Nordin memutuskan bahawa saman sivil itu perlu dibawa semula ke Mahkamah Tinggi untuk diadakan perbicaraan penuh kerana terdapat isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah berkenaan. Bagaimanapun, panel itu, yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali, memberi mereka kebenaran menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Abu Samah memerintahkan perayu memfailkan permohonan mereka bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa 30 hari, bermula hari ini. Celcom dan anak syarikat milik penuhnya, Technology Resources Industries (TRI) Berhad, memfailkan dua saman sivil di Mahkamah Tinggi terhadap Tajudin dan adiknya, Bistamam serta lima bekas pengarah Celcom iaitu Joerg Andreas Boy, Dieter Sieber, Oliver Tim Axmann, Dr Frank-Reinhard dan Axel Hass. Mahkamah juga memerintahkan dua beradik itu membayar kos guaman RM20,000 kepada Celcom dan TRI dan lima bekas pengarah Celcom terbabit membayar kos guaman RM50,000 kepada Celcom dan TRI. Celcom memfailkan saman itu terhadap mereka bagi mendapatkan kembali US$177,243,609, yang perlu dibayarnya (Celcom) kepada DeteAsia Holdings GmbH, satu unit di bawah Deutsche Telekom, berikutan keputusan timbang tara yang diperoleh DeTeAsia terhadap Celcom di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa Dewan Perniagaan Antarabangsa pada 2 Ogos 2005 berhubung kes pelanggaran kontrak. Celcom menuntut dua perayu itu membayar ganti rugi kepadanya berhubung semua bayaran yang dibuatnya kepada DeTeAsia berikutan keputusan timbang tara itu. Pada 2003, Telekom Malaysia Bhd menawarkan saham Celcom RM2.75 seunit apabila ia menawarkan membeli keseluruhan pengendali perkhidmatan telefon mudah alih itu. Kemudian, Deutsche Telekom menjual sahamnya pada harga itu, tetapi memfailkan untuk mendapatkan keputusan timbang tara bagi mendapatkan ganti rugi sebanyak RM4.25 seunit. Firma Jerman itu mendakwa ia dijanjikan saham RM7 seunit di bawah satu perjanjian yang ditandatangani dengan lembaga pengarah Celcom ketika itu, yang diketuai Tajudin. Tajudin dan Bistamam mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk mengetepikan saman sivil berkenaan. Sementara itu, kelima-lima bekas pengarah Celcom berkenaan, yang merupakan rakyat Jerman, juga gagal dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka. Mereka memohon untuk mengetepikan penyata tuntutan berkenaan dan notis writ yang dikeluarkan kepada mereka dengan mendakwa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan tuntutan itu kerana perkara itu telah dibicarakan melalui timbang tara. Peguam, Lim Kian Leong dan Low Chi Cheng mewakili Tajudin dan Bistamam, manakala lima bekas pengarah Celcom itu diwakili peguam Lim Tuck Sun dan Tan Hui Xian. Celcom dan TRI pula diwakili peguam Nad Segaram dan Tay Por Hai. - Bernama, | Hukuman terhadap Anwar bantu Pakatan tawan hati Melayu Kajang, kata Dr Wan Azizah Posted: 11 Mar 2014 07:21 AM PDT OLEH MOHD FARHAN DARWIS Hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memudahkan Pakatan Rakyat (PR) menawan hati pengundi Melayu, kata calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Dr Wan Azizah dalam temubual eksklusif bersama The Malaysian Insider di Bilik Gerakan PR, di Kajang hari ini berkata, disebabkan keputusan mahkamah itu, pengundi Melayu yang sebelum ini sukar menerima PR mula menunjukkan respon positif. "Bila mahkamah menjatuhkan hukuman, reaksinya jelas, mereka (pengundi Melayu) merasakan itu ketidakadilan terhadap Anwar," katanya. Pengundi di DUN Kajang terdiri daripada kawasan campuran dengan pengundi Melayu membentuk 48% daripada keseluruhan 38,965 pengundi berdaftar. Pengundi bukan Melayu membentuk sejumlah 51%, dengan pecahan pengundi Cina sebanyak 41%, dan pengundi India 10%. "Mereka dikejutkan dengan keputusan mahkamah terhadap Anwar. Situasi itu mengejutkan pengundi Melayu," katanya. Dr Wan Azizah yang juga isteri kepada Anwar berkata, reaksi yang diterimanya daripada pengundi Melayu selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari Azlan sangat berbeza. "Selepas hukuman dijatuhkan, penerimaannya berbeza. Mereka melihat Anwar dari kacamata beliau sebagai mangsa. "Mula-mula memang ada suatu gambaran mereka tidak terima saya. Tetapi apabila Anwar pergi tazkirah di surau dan masjid, penerimaan begitu baik," katanya. Dr Wan Azizah menggantikan Anwar sebagai calon PRK DUN Kajang berikutan kelayakan Anwar untuk bertanding di kerusi berkenaan terlucut setelah mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut. Pemimpin PR ketika Konvensyen Pakatan Rakyat ke-5 di Shah Alam mendakwa, tindakan Mahkamah Rayuan dan penetapan tarikh pilihan raya kecil di Kajang adalah konspirasi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggagalkan Anwar bertanding di Kajang. Dr Wan Azizah berkata, beliau rela dilihat menjadi "bayangan Anwar" kerana melalui perkara itu, cabaran ketidakadilan terhadap pemimpin pembangkang itu akan dapat dirasai rakyat. "Bila mereka lihat saya mereka akan nampak Anwar. Saya memang mahu mereka lihat itu, ketidakadilan yang berlaku," katanya. Dr Wan Azizah juga mengakui, pada awalnya beliau keberatan apabila mesyuarat biro politik memilihnya menggantikan Anwar untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh itu. "Saya enggan menyertai politik dengan aktif kerana saya rasa apabila Anwar dibebaskan pada 2005 saya sudah buat apa yang saya perlu buat. "Tetapi apabila ini berlaku, PR berbincang dan keluar nama saya, malah biro politik saya sendiri. Saya berfikir ini sebahagian untuk negara," katanya. Dr Wan Azizah berkata, keputusannya menerima cadangan PR itu adalah untuk kelangsungan generasi akan datang. "Apa yang tinggal daripada hidup saya, saya rasa ini sumbangan untuk generasi akan datang," katanya. Semasa tempoh Anwar dipenjarakan atas kesalahan salah guna kuasa, Dr Wan Azizah mengetuai gerakan pembangkang dengan menubuhkan Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga pernah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh selama tiga penggal bermula pada 1999, 2004 dan 2008 sebelum melepaskan kerusi berkenaan untuk membolehkan Anwar menyertai semula arena politik sebaik sahaja dibebaskan. Dr Wan Azizah juga pernah menjadi ketua pembangkang wanita pertama dalam sejarah negara pada 2008. Ditanya keupayaan beliau untuk meredakan ketegangan dalaman PKR antara timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dr Wan Azizah berkata, beliau mempunyai "watak keibuan" untuk menyelesaikan perkara itu. "Saya selalu menjadi individu yang mengamalkan pendekatan lembut . Saya mempunyai watak keibuan untuk menjayakan rekonsiliasi dalam PKR. Dr Wan Azizah akan bertanding satu lawan satu dengan calon BN dari MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun. SPR menetapkan 23 Mac sebagai tarikh membuang undi untuk PRK DUN Kajang. | Putrajaya guna kuasa desak 3 syarikat konsesi terima tawaran Selangor Posted: 11 Mar 2014 07:16 AM PDT OLEH HASBULLAH AWANG CHIK Berikutan keengganan tiga syarikat konsesi air di Selangor menerima tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti mereka, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hari ini mengumumkan akan menggunakan kuasanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) bagi merealisasikan cita-cita kerajaan negeri. KeTTHA dalam satu kenyataan bersama Pejabat Menteri Besar Selangor berkata, selain WSIA, akta, undang-undang atau peraturan yang terpakai untuk membantu kerajaan Selangor akan digunakan bagi melaksanakan cadangan pengambilalihan industri perkhidmatan air di negeri itu. "Kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor akan meneruskan langkah perlu bagi melaksanakan penyusunan semula industri air Selangor mengikut terma yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Februari lalu. "Ini termasuk menguatkuasa Seksyen 114 Akta WSIA dalam usaha menangani isu yang melibatkan kepentingan negara untuk memastikan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya lebih mampan dan berdaya maju," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi. Pada 26 Februari lalu, syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas). Namun, tawaran yang berakhir pada jam 5 petang semalam menyaksikan tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran berkenaan manakala hanya Abbas konsesi tunggal yang menerima tawaran itu. Dalam pertemuan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tengah hari tadi membuat ketetapan tersebut dalam satu mesyuarat khas. Dalam mesyuarat itu, Ongkili mengulangi komitmen beliau untuk membantu memudahkan kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat konsesi seperti yang dipersetujui MoU, menurut kenyataan itu | Tentera Malaysia dakwa berjaya kesan MH370 di Selat Melaka Posted: 11 Mar 2014 07:12 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Dalam perkembangan yang memeranjatkan, tentera Malaysia mendedahkan mereka mengesan pesawat MH370 milik Malaysian Airlines yang hilang menerusi radar ketika pesawat yang masih hilang itu merentasi Selat Melaka, jauh dari di mana ia melakukan komunikasi terakhir dengan menara kawalan trafik awam di teluk Thailand. Sumber tentera mengesahkan kepada Reuters Boeing 777-200ER dengan 239 penumpang bertukar laluan dan menuju ke sebelah lain semenanjung Malaysia. "Ia mengubah laluan selepas Kota Baru dan mengambil altitud lebih rendah. Ia terbang ke Selat Melaka," kata pegawai tentera, yang diberi taklimat mengenai siasatan itu, kepada Reuters. Selat Melaka, salah satu laluan perkapalan yang paling sibuk di dunia, berada di pantai barat Malaysia. Syarikat penerbangan itu berkata, pada Sabtu lalu, pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal terputus hubungan selepas Kota Baru, bandar di pantai timur Malaysia. Akhbar Berita Harian yang pertama melaporkan perkembangan itu, memetik Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, sebagai berkata mereka menjejak isyarat itu ke Pulau Perak, pantai barat negara. "Kali terakhir pesawat itu boleh dikesan oleh menara kawalan ialah berhampiran Pulau Perak, iaitu di Selat Melaka pada 2.40 pagi. "Selepas itu, isyarat daripada pesawat itu hilang," katanya. Secara kebetulan, kenyataan pertama Malaysian Airlines mengenai kehilangan pesawat itu pada Sabtu menyatakan menara kawalan terputus hubungan dengan pesawat berkenaan pada 2.40 pagi tetapi ia kemudian dibetulkan kepada 1.30 pagi. Ia juga dilaporkan bahawa unit kawalan dan pengawasan udara Singapura turut mendapati ada isyarat MH370 "berpatah balik sebelum ia dilaporkan berada pada ketinggian 1,000 daripada altitud asal di 10,000 meter". Ramai yang melaporkan pesawat itu, Boeing 777-200ER hilang kira-kira jam 1.30 pagi ketika terbang di atas Laut China Selatan di antara pantai timur Malaysia dan selatan pantai Vietnam. Pesawat itu dilaporkan hilang daripada radar dan lokasi terakhir yang diketahui ialah 065515 Utara (longitude) dan 1033443 Timur (latitude). Keadaan itu disokong dengan laporan polis yang dibuat beberapa penduduk di pantai timur yang mendakwa mereka terlihat cahaya besar dan kapal terbang terbang terbang rendah 1,000 meter dari aras laut di Kota Baru, Kelantan. Bagaimanapun, pihak berkuasa mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemui petanda pesawat itu berada di dalam air di Laut China Selatan. Indikasi yang menunjukkan MH370 mungkin berpatah balik mendorong operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Operasi mencari pesawat hilang itu membabitkan pasukan tentera dan pihak berkuasa dari Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat selain Malaysia. | "Kini bukan masa berlembut dengan Umno-BN" Posted: 10 Mar 2014 10:20 PM PDT Nazar Hashim SEBERANG JAYA: Melihat perancangan Umno-BN bagi menyerang Pakatan Rakyat, tidak ada lagi ruang untuk bertolak ansur dengan mereka, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Mereka (BN) menggunakan pelbagai penipuan dan fitnah untuk mengekalkan kuasa. "Kini bukan lagi masa untuk berlembut dengan kerajaan Umno-BN yang semakin zalim dan pembohong. "Rakyat mesti sokong Pakatan Rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dengan membalas serangan mereka," kata Anwar ketika berucap di hadapan lebih lima ribu hadirin yang membanjiri tapak ceramah Jalan Tenggiri, Seberang Jaya, semalam Kata Anwar, rakyat tidak boleh lagi membiarkan kezaliman, gelagat jahat dan zalim pimpinan Umno-BN. Tambahnya, Umno-BN kini 'bermain kasar' apabila menggunakan mahkamah untuk menghalangnya bertanding di pilihan raya DUN Kajang. Anwar turut mengulas perbicaraan tuduhan hasutan keatas Pengerusi DAP, Karpal Singh yang akan diputuskan esok. "Mereka menyalahgunakan kuasa dengan menjadikan mahkamah sebagai alat untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat. "Selepas penamaan calon PRK Kajang, Pakatan akan berarak ke Mahkamah Tinggi bagi menunjukkan sokongan moral kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana penyalahgunaan kuasa Umno-BN."Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berlembut dengan mereka. Umno-BN mesti ditentang habis-habisan, " ujar beliau lagi. Tambahnya, Pakatan Rakyat mengambil keputusan tegas apabila membuat keputusan hanya akan hadir pada hari pertama persidangan parlimen sebagai taat setia kepada Yang Dipertuan Agung. "Jika kita telah lancarkan 'perang' terhadap Umno-BN, kita mesti berperang habis-habisan demi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa seperti yang mereka lakukan terhadap pimpinan Pakatan," kata Anwar disambut laungan reformasi dan takbir hadirin. | PRK Kajang: Satu lawan satu, tiada calon bebas Posted: 10 Mar 2014 10:17 PM PDT BANGI : Pilihan raya kecil Dewan Uundangan Negeri Kajang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili Pakatan Rakyat dengan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun yang mewakili BN. Pegawai pengurus pilihan raya, Hasan Nawawi Abdul Rahman kira-kirra jam 10 20 pagi ini mengumumkan proses penamaan calon selesai dan hanya dua calon yang menghantar borang penamaan. Dr Wan Azizah, calon KEADILAN dicadang oleh Muhamad Fadli bin Ahmad disokong Sia Wei Shien. Lebih 2,000 penyokong Pakatan berhimpun di tapak letak kereta Pusat latian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN ) Bandar Baru Bangi menuju ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang diketuai Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali. Calon KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah ditemani suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang keduanya sedondon berbaju biru muda bersama pemimpin Pakatan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Menteri Besar Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim. Turut hadir Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, AJK Pas Pusat Dr Dzulkefley Ahmad ahli parlimen Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong. Penyokong yang hadir turut membawa sepanduk tertera potret Wan Azizah dan sepanduk bertulis 'Dari Kajang Ke Putrajaya' . Dr Wan Azizah menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlucut kelayakan untuk bertanding apabila Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah dalam kes Fitnah II oleh Mahkamah Rayuan 7 Mac lalu. Seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK Kajang melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita. Tarikh PRK DUN Kajang adalah pada Ahad 23 Mac 2014, manakala pengundian awal akan dijalankan pada hari Rabu, 19 Mac 2014 membabitkan 1,977 pengundi. | Najib 'Bunuh' Konsensus Nasional? Posted: 10 Mar 2014 10:09 PM PDT shahbudindotcom Harapan rakyat untuk melihat wujudnya konsensus atau rekonsilasi antara kerajaan dengan pembangkang dalam beberapa isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara, akhirnya lebur menjadi debu. Anwar Ibrahim secara rasmi semalam mengumumkan bahawa PR menarik balik usaha ke arah itu dan akan terus bersikap "lawan tetap lawan" terhadap kerajaan. Penarikan diri PR daripada konsensus ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menghukum Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan dan kemudian dihukum penjara lima tahun. Bagi Anwar, hukuman itu bermotifkan politik, biadap, dijalankan secara tergesa-gesa, tidak berdasarkan fakta serta semata-mata bertujuan menghalangnya daripada bertanding di DUN Kajang. Berikutan hukuman tersebut dan Anwar tidak layak mengemukakan kertas pencalonannya di Kajang, tempat beliau kini digantikan oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan berhadapan satu lawan satu dengan calon BN, Chew Mei Fun. Konsensus yang bermaksud mewujudkan sebuah kesepakatan yang dipereetujui bersama setelah adanya dialog dan penelitian manakala rekonsilasi pula yang bermaksud tindakan memulihkan persahabatan atau menyelesaikan perbezaan, dibangkitkan oleh PR dan BN sebaik PRU 13 berakhir berikutan mendesaknya isu-isu yang melibatkan kaum, agama, perpaduan dan sebagainya. Najib sendiri telah menulis dalam blognya pada 25 Februari lalu yang mengatakan kerajaan akan membentangkan pelan rekonsilasi itu dalam beberapa bulan akan datang dengan butirannya sedang dikemaskini serta diperhalusi ketika ini manakala PR sudah lebih awal iaitu sebaik PRU 13 berakhir sudah menyarankan usaha ke arah itu. Pada umumnya, harapan rakyat juga tinggi untuk melihat adanya konsensus atau rekonsilasi itu berikutan selepas berakhirnya PRU 13, rata-rata rakyat sudah mulai letih dengan pelbagai kecelaruan dalam politik dan ingin melihat sesuatu yang lebih bermakna antara kerajaan dengan pembangkang buat sementara sebelum kembali bertarung dalam PRU 14 yang akan berlangsung kira-kira empat tahun lagi. Namun haruslah diakui bahawa hukuman keatas Anwar ini menggagalkan segala-galanya. Walaupun ia merupakan keputusan mahkamah yang sepatutnya bebas tetapi sesiapa pun tidak mampu menolak adanya campurtangan penguasa dalam hal ini kerana ianya begitu jelas terbentang di depan mata. Bermula dengan tindakan melewatkan tarikh penamaan calon oleh SPR, ia kemudian dijadikan ruang untuk menetapkan tarikh perbicaraan secara tergesa-gesa dengan hakim Mahkamah Rayuan terpaksa bersidang sehingga jam 7 malam semata-mata agar hukuman dapat dijatuhkan sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kajang. Lebih dari itu, peguam yang yang dikenali sebagai peguam UMNO dan didapati berada di rumah Najib ketika Saiful mengadu mengenai kejadian liwat yang melibatkan dirinya, Shafee Abdullah turut diletakkan sebagai ketua pasukan pendakwa di Mahkamah Rayuan melalui kebenaran khas. Dalam hal ini, tidak dapat dielakkan persepsi bahawa Najib begitu takut untuk membenarkan Anwar bertanding di Kajang dan seterusnya menjadi Menteri Besar Selangor. Meski pun pada awalnya BN mengumumkan bahawa mereka akan menghadapi Anwar di Kajang secara "gentleman" tetapi terbukti akhirnya Najib langsung tidak "gentleman". Jika Najib benar-benar seorang yang "gentleman" dan memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat melalui konsensus atau rekonsilasi melebihi kepentingan mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri, mahkamah sepatutnya dibiarkan bebas dan benar-benar dilihat bebas daripada campurtangan pemerintah. Tidak perlu menggunakan mahkamah melalui canpurtangan yang begitu ketara untuk menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang. Biarkan beliau bertanding dan menang di Kajang. Jika selepas itu, beliau menjadi Menteri Besar Selangor, ia juga harus dibiarkan kerana ia adalah urusan dalaman PKR dan PR. Dan sekiranya selepas itu, berlangsung perbicaraan di Mahkamah Rayuan, jangan dibimbangi apa pun keputusannya. Jika Anwar didapati tidak bersalah, terimalah seadanya tetapi sekiranya hukuman bersalah itu dijatuhkan ketika Anwar memegang jawatan Menteri Besar, biarkanlah undang-undang berfungsi sepenuhnya. Najib dan BN tidak perlu takut untuk menerima cabaran hukuman bersalah dijatuhkan ketika Anwar menjadi Menteri Besar kerana UMNO sebenarnya sudah sarat dengan pengalaman beberapa bekas Menteri Besar Selangor yang pernah dijatuhkan hukuman dan terpaksa berundur sebelum ini. Harun Idris dijatuhkan hukuman kerana suatu kes rasuah ketika menjadi Menteri Besar, Mat Taib dipaksa berundur kerana kesalahan undang-undang di Australia juga ketika menjadi Menteri Besar dan Abu Hassan juga diminta berundur kerana ada masalah peribadi ketika menjawat jawatan Menteri Besar. Lagi pula, lebih mudah memberi kefahaman kepada rakyat berhubung hukumah mahkamah ketika segala ruang dan kebebasan sudah diberi sepenuhnya, berbanding hukuman yang dijatuhkan semata-mata untuk menyekat di permulaan langkahnya lagi. Anwar dan PR kini bukan saja mengumumkan menarik balik persetujuan untuk konsensus dan rekonsilasi itu, bahkan sudah pun memulakannya ketika memulau jamuan teh selepas pembukaan sidang Parlimen oleh Yang Dipertuan Agong semalam, bahkan juga memboikot sidang Parlimen hari pertama hari ini. Selepas ini,yang nyatanya tiada lagi perdamaian antara PR dengan BN atas apa isu jua pun. Ia sudah bertukar menjadi "lawan tetap lawan" yang berpanjangan. Sehingga pilihanraya akan datang suhu politik nampaknya sentiasa panas dan membara. Najib juga sudah boleh menyimpan semua idea yang mahu dibentangkannya mengenai rekonsilasi atau konsensus ini. Di mata rakyat, kerana berjiwa kecil dan takut menerima cabaran, Najiblah yang dianggap membunuh usaha perdamaian itu. | [VIDEO] TERBAIK: MH370 Hilang: Kembalikan Sains Kepada Penciptanya! Posted: 10 Mar 2014 10:06 PM PDT KELAB GREENBOCMMH370 'hilang' kerana kuasa tuhan Namun, sehingga jam 11 malam, masih tiada sebarang petanda yang menunjukkan perkembangan positif terhadap misi tersebut. Segala teknologi dan peralatan canggih dari seluruh dunia telah dikerahkan dalam misi itu tetapi masih tiada hasil setakat ini. Melihat kepada kegagalan sains moden dalam mengesan lokasi MH370, bekas ketua juruterbang 777 MAS, Kapten Noruddin Abd Majid tidak menolak kehilangan pesawat berkenaan adalah kerana kuasa tuhan. "Dunia berada pada tahap teknologi yang tertinggi di mana seseorang berjalan di lorong pun dapat dilihat daripada angkasa dan dapat diketahui identitinya. "Apa pun yang berlaku, sebagai orang beriman, ini adalah ketentuanNYA. Ini bukan pertama kali berlaku di mana pesawat hilang daripada udara," katanya yang dipetik pada laporan sebuah TV, hari ini. Mengulas lanjut, beliau menyentuh tentang kehilangan pesawat itu dari radar pada ketinggian 35,000 kaki secara tiba-tiba. "Satu dunia sudah melihat di mana sebuah kapal terbang yang berada pada ketinggian 35,000 kaki dengan kelajuan 855 kilometer (km) sejam dan kalau tak silap 14.5 km seminit melepasi pantai timur semenanjung dan baru saja hendak memasuki ruang udara Vietnam, hilang secara tiba-tiba. "Berdasarkan kenyataan (pihak berkuasa), sebelum masuk ruang udara Vietnam, dalam kawalan positif dengan Air Traffic Control (ATC), pesawat tiba-tiba hilang terus dari skrin radar. Tidak ada kesan langsung. "Ini mengelirukan dan satu perkara ajaib yang kita kena terima. Dunia kena terima," katanya. Ketika ditanya soal tindakan yang boleh dilakukan, beliau berkata doa adalah senjatanya. "Doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya," katanya. Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan pesawat itu meletup di udara, ekoran tiada petanda ataupun serpihan yang ditemui selepas tiga hari operasi mencari dilancarkan. "Kalau meletup sekalipun di udara, mesti ada serpihan. Pasti. Kerana pesawat ini terlalu besar. Enjinya adalah paling besar di dunia, sama saiz dengan badan Boeing 737. "Tapi tak ada petanda. Tak ada serpihan. Tak ada tanda pada bacaan radar, jadi, tidak mungkin," katanya. Beliau terlibat dalam operasi membawa pesawat Boeing 777-200 itu ke Malaysia pada tahun 2002. -SH ULASAN GB Kemajuan di dalam bidang sains dan teknologi kadang-kala menyebabkan manusia lupa kepada Penciptanya. Maka tepatlah saranan Kapten Noruddin Abd Majid di atas supaya manusia kembali kepada fitrah semualjadinya bahawa ia diciptakan "lemah" kerana Yang Berkuasa itu ialah Allah swt. Manusia perlu bertaubat dari segala macam dosa yang dilakukan terhadap Allah swt. Tiada ada jawapan terhadap "kehilangan" misteri MH370, dan sepertimana kata Kapten Nourddin "doa daripada orang-orang soleh yang dekat dgn ALLAH dan juga keluarga kerana mereka sedang beremosi. ALLAH melihatnya." YB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin pada awalnya dicemuh apabila beliau secara berseloroh memberikan pendapatnya bahawa "Segitiga Bermuda yang baru telah dikesan di kawasan perairan Vietnam. Peralatan sofistikated yang lengkap tidak ada guna." Tetapi kini "teori" Bermuda di Vietnam itu mula diperkatakan termasuk media barat dan ternyata segala macam peralatan sofistikated yang lengkap semacam tidak mampu mengesan pesawat yang hilang itu. | [DEDAH] Tiket Penumpang Guna Paspot Palsu Ditempah Oleh Syarikat Pelancongan Thailand Posted: 10 Mar 2014 10:00 PM PDT KELAB GREENBOCKaitan Pattaya, orang Iran, penumpang MH370 beridentiti palsu didedah Urusan perjalanan dua penumpang dengan identiti palsu dalam pesawat MH370 Malaysian Airlines yang hilang ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur dibuat di Pattaya, Thailand dan dibayar secara tunai, menurut akhbar British Financial Times. Akhbar berkenaan memetik kenyataan agen pelancongan Thailand yang membuat tempahan tiket itu sebagai berkata, beliau diminta membuat urusan perjalanan itu oleh seorang kenalan warganegara Iran. Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon di Pattaya dipetik berkata, warganegara Iran berkenaan iaitu kenalan perniagaannya yang dikenali sebagai Ali meminta beliau menempah tiket tambang murah ke Eropah untuk dua lelaki berkenaan pada 1 Mac. Akhbar itu berkata, pada awalnya, Benjaporn menempah tiket penerbangan Qatar Airways dan Etihad, masing-masing untuk dua lelaki berkenaan, tetapi, tiket itu tamat tempoh apabila tiada khabar daripada Ali. Ali kemudian menghubunginya sekali lagi pada Khamis menyebabkan Benjaporn sekali lagi menempah tiket dan kali ini menempah Malaysian Airlines menerusi Beijing kerana ia adalah tiket paling murah yang ada pada ketika itu. Financial Times turut melaporkan, seorang rakan Ali membayar Benjaporn secara tunai untuk dua tiket berkenaan dan tiada bukti mengaitkan Ali tahu kedua-dua lelaki itu mengembara menggunakan pasport curi. Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau tidak percaya Ali mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kerana dia tidak meminta secara terperinci untuk menempah tiket bagi perjalanan Kuala Lumpur – Beijing, tetapi meminta laluan paling murah ke Eropah, kata Financial Times. Dalam laporan akhbar itu, Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau bercakap mengenai kes itu kerana bimbang dengan spekulasi mengenai serangan pengganas dikaitkan dengan kehilangan MH370 dan mahu fakta sebenar diketahui. -TMI
LIHAT VIDEO DI SINI ULASAN GB Pendedahan dari Financial Times di atas, walaubagaimanapun belum tentu sahih kerana ia ditulis oleh wartawan barat yang mungkin mempunyai motifnya yang tersendiri apabila ia mengaitkan warganegara Iran | Suspek guna pasport curi dikenal pasti - KPN Posted: 10 Mar 2014 09:54 PM PDT ANTARAPOS.COM KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada dua suspek yang menaiki pesawat MH370 dengan pasport curi telah dikenal pasti. "Saya boleh sahkan bahawa dia bukan rakyat Malaysia tetapi saya masih tidak boleh lagi mendedahkan negara asalnya," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Khalid berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod memasuki negara ini secara sah. Ketika ditanya sama ada kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod Jabatan Imigresen memasuki negara ini, Khalid berkata mereka sedang menyiasat perkara itu. "Lelaki itu bukan dari Xinjiang China. "Kami tidak mendapat pengesahan berhubung sebuah kumpulan militan dari China yang mendakwa bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat itu," katanya. Khalid berkata, mereka masih belum mengklasifikasikan pesawat yang hilang itu dikaitkan dengan keganasan. "Biar kami siasat perkara ini dengan teliti," katanya yang turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang sepekulasi mengenai perkara itu. | Kajang: Bakal saksi pertembungan dua wanita 'besi' Posted: 10 Mar 2014 07:07 PM PDT MALAYSIAKINI
Di samping tumpuan rakyat Malaysia kepada hasil usaha mencari pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan krunya, PRK DUN Kajang dijangka turut mendapat perhatian apabila kempen bermula selepas penamaan calon hari ini. Ia akan berlangsung di Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi pagi ini. PRK DUN Kajang dijangka bakal menyaksikan pertembungan antara Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mewakili Pakatan Rakyat dan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun mewakili BN. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, yang sebelum ini berhasrat bertanding di situ, menarik diri selepas Wan Azizah diumumkan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ. Ia ekoran keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas menerima rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar dalam kes Liwat II, dan menjatuhka hukuman lima tahun penjara ke atasnya. Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya dari PKR, Lee Chin Cheh meletakan jawatan pada 27 Januari lalu, untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ. Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara. LAPORAN LANGSUNG 9.45am: Penyokong Pakatan mengibarkan kain rentang gergasi mendoakan keselamatan penumpang MH370 bertulis "Pray for MH370". Mereka turut menggantung seikat kangkung bersama kain rentang itu. 9.45am: Mei Fun dan Wan Azizah berada dalam pusat penamaan calon tetapi tidak ada tanda-tanda mungkin ada calon Bebas. Masih ada 15 minit sebelum waktu penamaan ditutup. 9.40am: Kira-kira 1,000 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di Kompleks Sukan Kajang. Mereka melaungkan "Hidup Rakyat, Tumbang BN". Beberapa penyokong Pakatan menjerit dan menyatakan "Kapal selam tak boleh selam", "Ayam seringgit, ayam seringgit", Najib, Najib, Kangkung, Kangkung sambill diperhatikan anggota polis yang berkawal di luar kawasan penamaan calon. 9.30am: Penyokong BN memenuhi Balapan dan mengibarkan bendera sambil menyanyi Hidup BN secara berkumpulan. 9.25am: Luar kompleks sukan - Ketika Wan Azizah mengemukakan borang pencalonan, Anwar dan Khalid Ibrahim mengambil kesempatan bersalaman dengan penyokong Pakatan yang dipisahkan dengan penghadang dan kawat berduri. Mereka juga turut menandatangani autograf sementara penyokong melaungkan reformasi beberapa kali. Kedengaran juga penyokoong berteriak: "Tan Sri Khalid, buat kerja elok, elok. Jalan banyak lubang" "Datuk Seri, Kangkung sekarang berapa kilo", yang kemudiannya diiirngi gelak ketawa hadirin. Penyokong kemudiannya melaung beramai-ramai dengan laungan "Lawan tetap Lawan", Hidup Rakyat dan hancur BN". 9.20am: Beberapa kumpulan kecil kira-kira 10 orang penyokong Pakatan bagi setiap kumpulan sedang berjalan menuju ke pusat penamaan calon. Ada yang kecewa apabila diberitahu bahan-bahan parti seperti topi dan topeng adalah dijual dan bukan percuma. Mereka, bagaimanapun, gembira apabila petugas parti mengedarkan karipap percuma. Kira-kira 1,000 Pakatan dan BN penyokong berkumpul di sebelah menyebelah kompleks sukan dan melaungkan slogan masing-masing sambil dipantau oleh kira-kira 50 anggota polis rusuhan. 9.15am: Penyokong BN diminta masuk ke dalam kawasan pusat penamaan calon. 9.15am: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba ke pusat penamaan dan disambut dengan laungan takbir beberapa kali. 9.05am: Wan Azizah dan Anwar serta pemimpin Pakatan memasuki pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi. 9.00am: Hadapan Kompleks Sukan MPKJ - Kecoh seketika apabila seorang lelaki membawa bendera PKR dan memakai baju 'PAS for All' lalu di tengah-tengah penyokong BN. Hanya sorakan tanpa sebarang insiden dan dia diiring polis keluar dari kawasan itu. 9.00am: Satu konvoi sekurang-kurangnya 30 motosikal membawa pemuda berbaju biru gelap BN Kajang dilihat dalam perjalanan menuju ke pusat penamaan calon. 8.51am: Kompleks Sukan MPKJ - Wan Azizah dan Anwar Ibrahim tiba bersama penyokong pakatan rakyat. Beberapa minit kemudian, mereka bergerak-gerak perlahan memandangkan jurufoto bertolak-tolak untuk mengambil gamber mereka, sehingga ke kompleks sukan MPKJ. Dalam kompleks, sekumpulan polis membuat sekatan bagi mengelakkan penyokong masuk ke pusat pengundian. Sekali lagi berlaku tolak menolak, untuk memberi laluan kepada Wan Azizah dan Anwar memasuki ke pusat penamaan, memandangkan ramai penyokong yang berhimpun di depan sekatan itu. Akhirnya kedua-dua tokoh PKR dan pemimpin Pakatan berjaya memasuki dan melintasi sekatan polis yang dijaga oleh FRU. 8.50am: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tiba dan bersalaman dengan penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama, penyokong merentangkan banner bertulis: Kata-kata itu, diungkap sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat Baru-baru ini. 8.50am: Kompleks Sukan MPKJ - Calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun tiba di pusat penamaan calon. 8.45am: Kira-kira 1,000 penyokong BN kini berarak ke pusat penamaan calon. 8.40am: NIOSH Bangi- Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar memberi ucapan di luar NIOSH Bangi mngajak penyokong jangan gentar dan 'Hidup Barisan'. 8.35am: Kompleks Sukan - Dalam ulasan ringkasnya, Timbalan "Keputusan zalim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencetus gelombang rakyat dan ia bermula di Kajang. "Oleh itu, Pakatan Rakyat telah sepakat dan bersetuju untuk memilih Dr Wan Azizah sebagai calon. "Beliau adalah lambang dan simbol reformasi 1998, telah berjaya menguatkan kesepakatan barisan alternatif dan Pakatan selepas itu. "Kehadiran beliau meniup semangat baru kepada aktivis, reformasi kepada rakyat terus untuk bersama lonjakan ke Putrajaya," katanya. 8.30am: Para pemimpin Pakatan yang turut serta menunggu untuk berarak masuk ke Kompleks Sukan ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Dr Xavier Jayakumar, Dr Mohd Nor Manuty, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong. Penyokong yang hadir mengibarkan banting bertulis 'Keadilan Untuk Anwar Ibrahim', 'Dari Kajang Ke Putrajaya' dengan gambar beliau bersongkok. Gambar Wan Azizah turut dikibarkan bersama-sama. Mereka juga mengibarkan poster "Rakyat Hakim Negara". Difahamkan Wan Azizah akan sampai bersama penyokong Pakatan pada bila-bila masa. 8:21am: Niosh Bangi - BN calon Datin Paduka Chew Mei Fun tiba. Beliau disambut oleh sorakan kuat dan laungan "Long Live BN" oleh lebih 500 penyokong yang kini telah berkumpul di sini. 8:20am: NIOSH Bangi - Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di NIOSH bersama pimpinan MIC dan Umno 8.10am: LHDN Bangi - Semakin ramai pemimpin Pakatan tiba untuk memberi sokongan. Antaranya ialah Datuk Kamaruddin Jaafar, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong. Bilangan penyokong kini dianggarkan sekitar 1,000 orang. Sambil berarak, mereka meluangkan "Takbir", "Reformasi" dan "Jatuh, jatuh jatuh BN" . 8.05am: Niosh Bangi - atusan penyokong BN berkumpul di hadapan bBangunan NIOSH, menunggu ketibaan calon, Naib Presiden, Datin Paduka Chew Mei Fun. Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba. 8.00am: LHDN Bangi - Lebih 500 penyokong Pakatan mula berarak dari bangunan LHDN Bandar Baru Bangi menuju ke pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang diketuai oleh Azmin Ali selepas bacaan doa oleh Abdul Rani. Mereka membawa sepanduk menyokong calon Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, disertai dengan melaungkan "reformasi". 7.50am: LHDN Bangi - Pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong mula memenuhi kawasan letak kereta di bangunan LHDN Bandar Baru Bangi. Antara pemimpin telah tiba ialah Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan ADUN Meru Dr Abdul Rani Othman. | Sokong dan pastikan kemenangan Pakatan di Kajang – Mat Sabu Posted: 10 Mar 2014 06:58 PM PDT Nazar Hashim SEBERANG JAYA : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyeru jentera Pakatan Rakyat menyokong dan memastikan kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, bakal calon KEADILAN bagi pilihan raya kecil N25 Kajang "Sokong dan beri kemenangan kepada beliau untuk menjunamkan sokongan Umno-BN di Kajang nanti," kata Mohamad Sabu di hadapan lebih lima ribu hadirin yang membanjiri tapak ceramah di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya semalam. Kata Mohamad, Umno-BN silap membuat percaturan apabila melupakan sejarah pada 1998 dan 2008. "Jika Umno-BN dibiarkan, rakyat pasti dizalimi. Yang batil menjadi benar, yang benar menjadi salah seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin. Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut hairan dengan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mensabitkan Anwar. "Hakim terlalu efisien, canggih dan ekspres sehingga boleh membuat keputusan bersalah dalam masa yang singkat. "Jika Umno-BN tidak takut pada Anwar kerana hendak percepatkan kes yang sepatutnya dibicara dalam April, tiba-tiba dialih sebelum hari penamaan calon PRK Kajang. "Inilah bentuk keadilan yang diamalkan oleh pemerintahan Umno-BN bagi menolak pemimpin pembangkang yang mereka takuti," kata Mohamad. | PSM janji bantu kemenangan KEADILAN di PRK Kajang Posted: 10 Mar 2014 06:55 PM PDT Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Mahkamah Rayuan yang telah menjatuhkan hukuman keatas DS Anwar Ibrahim(DSAI), ianya merupakan suatu tindakan 'desperate' pihak UMNO Barisan Nasional untuk memastikan DSAI tidak dapat bertanding dalam PRK Kajang yang akan datang ini. Berikutan dengan kenyataan media PSM pada 12hb.Februari yang lalu menyatakan bahawa PSM tidak akan bertanding dalam PRK Kajang ini , PSM ingin menegaskan semula bahawa kami teruskan berkerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk menumpaskan UMNO-Barisan Nasional. Justeru itu, Jawatankuasa Pusat PSM telah membuat keputusan untuk membantu Pakatan Rakyat dan PKR untuk memastikan kemenangan Datin Sri Wan Azizah (calon PKR) dalam PRK Kajang. Keputusan ini diambil sebagai tanda solidariti dan protes PSM terhadap rejim UMNO-BN atas cara bacul mereka menggunakan Institusi Kehakiman untuk memenjarakan DSAI. PSM bertekad untuk sama-sama berjuang untuk menukar rejim korup UMNO-BN dan akan mengerakkan anggota parti untuk bekerja untuk kemenangan bukan sahaja dalam PRK tetapi juga kemenangan yang lebih besar untuk menukar rejim UMNO-BN. Hidup Rakyat ! Bangkit rakyat ! Dr. Nasir Hashim | Anwar Ibrahim dan masa depan Pakatan Rakyat Posted: 10 Mar 2014 06:52 PM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan pada petang Jumaat, 7 Mac lalu menjadi gerak terbaru yang menghambat "langkah Kajang" yang dicaturkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Selepas isu memorandum persefahaman air Selangor, keputusan yang kelihatan tergesa-gesa Jumaat lalu di Mahkamah Rayuan memaksa Anwar, KeADILan dan seluruh Pakatan Rakyat memikirkan pelan B menghadapi pilihan raya kecil Kajang tidak lama lagi. Pakatan terpaksa memikirkan perancangan baharu menghadapi PRK yang agak kurang disepakati dalam kalangan komponen Pakatan itu, terutama melibatkan calon dan mesej yang ingin disampaikan kepada pengundi. Bagi Barisan Nasional, peluang merampas kembali Kajang mungkin bertambah baik, kerana sebab utamanya bagi Pakatan telah terkeluar daripada perkiraan, dan pelan B tidak akan memberi kesan yang sama. Masa Mahkamah Rayuan membuat keputusan dan juga kes Nurul Izzah Anwar, menunjukkan tanda-tanda perancangan yang rapi dalam melaksanakan manuver yang mengejutkan ini, walaupun sebenarnya boleh dijangka ke rana sukar untuk menerima yang semua ini berlaku secara kebetulan. Bagi Pakatan, yang berkonvensyen pada hari selepas keputusan Mahkamah Rayuan, perkemba ngan ini menjadi ujian terbaru gabungan yang telah mencapai keputusan agak cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu. Seperti yang berlaku pada 1998, Anwar telah menjadi satu punca kebangkitan yang membuka mata ramai rakyat, yang kesannya dirasai dan dinikmati oleh Pakatan pada masa ini. Apa yang berlaku pada kali ini boleh menjadi pencetus kepada satu lonjakan baharu, melibatkan membangkitkan kesedaran, merapatkan barisan dan kerjasama, perancangan masa depan dan sebagainya. Pakatan kini perlu memikirkan masa depannya dengan peranan Anwar yang semakin mengecil, atau mungkin juga terus tiada langsung, sekiranya rayuan sete rusnya tidak berjaya. Hal ini penting kerana walaupun dengan adanya Anwar, keperluan untuk membina dan menyediakan dengan serius barisan kepimpinan masa depan sentiasa penting. Pakatan yang menunjukkan wajah lebih inklusif perlu memikirkan dengan serius transisi kepada barisan kepimpinan yang mampu membawa Pakatan ke hadapan, mengatasi cabarancabaran dalaman dan sesama parti komponen. Anwar dalam Pakatan berperanan sebagai penyatu, tetapi sebahagian besarnya melibatkan kompromi dan banyak isu-isu terpendam yang dibiarkan terus terpendam tanpa ditangani dengan berani. Kepimpinan baharu yang lebih muda wajar lebih berani menangani isu-isu sukar termasuk asas-asas kenegaraan yang bakal menjadi faktor tunggal yang menjamin sebuah Malaysia baharu. Asas kerjasama sesama partiparti Pakatan perlu dibina di atas asas-asas pembinaan negara dan bukan sekadar kepentingan-kepentingan kuasa masing-masing. | Posted: 10 Mar 2014 06:49 PM PDT Saya mendapat khabar sedih -- tapi sudah dijangka -- yang membatalkan kelayakan Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang, lebih kurang setengah jam selepas Ahli Parlimen Kluang yang juga strategis DAP, Liew Chin Tong meninggalkan pejabat Harakah, petang Jumaat, 7 Mac lalu. Selain berkongsi pengalaman mengendalikan lidah rasmi parti, termasuk bersama Ketua Pengarang Roketkini, Wan Hamidi Hamid dan kolumnis Harakah, Lim Hong Siang yang mengiringi Chin Tong, Pengerusi DAP Johor yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa pusat itu turut menyentuh cabaran generasi baru kepemimpinan Pakatan Rakyat dan pendekatan terbaik mendekati pengundi muda Melayu. Beliau ternyata berpandangan jauh, rasional dan cukup kalkulatif, khususnya apabila membicarakan peluang Pakatan berdepan PRU14. Lebih penting, saya kira Chin Tong -- yang menghasilkan tesis sarjana muda tentang PAS -- begitu prihatin dan sensitif dengan budaya politik Melayu. Ada kalanya pemimpin DAP dilihat agak keliru dengan "pantang-larang" masyarakat Islam, tetapi Chin Tong bagai arif mengenainya. Meskipun sesi sembang santai itu menyinggung persoalan Kajang, dengan membayangkan kegerunan elit Umno terhadap potensi Anwar, bukan saja sebagai menteri besar negeri terkaya di Malaysia, juga bergelar Yang Amat Berhormat, dan bukan lagi dikenali sebagai Ketua Pembangkang -- oposisi di Malaysia mempunyai konotasi cukup negatif -- kami tidak pula melebarkan skop diskusi mengenai kemungkinan bekas TPM itu kembali disumbat dalam penjara. Semua maklum bahawa seteru politik Anwar yang paling ketat dan terus berdendam dengannya (malah masih menggeruninya) adalah Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Meskipun, kedua-duanya -- yang pernah rapat dan intim dengan Anwar -- tidak lagi memegang posisi strategik dalam kerajaan, tetapi dikatakan tidak akan mengizinkan beliau mendaki takah yang lebih tinggi daripada jawatan Ketua Pembangkang sekarang. Tidak dapat dibayangkan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 -- genap enam tahun selepas dipecat daripada Kabinet -- akan membebaskan Anwar bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat, sekiranya Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri ketika itu. Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, mungkin nampak lemah dan tidak mempunyai "strong personality", tetapi Perdana Menteri kelima itu cuba membawa reformasi dalaman dan menjarakkan sejauhnya dengan era Mahathirisme. Persaingan kuasa tidak menghakis nilai manusiawi Abdullah. Baru-baru ini, apabila idea rekonsiliasi nasional dilontarkan Najib Razak, dan disambut baik Anwar Ibrahim, sebagai usaha perdamaian di antara Pakatan dan BN, di samping menyelesaikan begitu banyak masalah negara, khususnya perkauman dan sentimen keagamaan sempit, kos sara hidup dan juga keselamatan, ramai mengharapkan ketegangan politik yang tajam segera berakhir. Kepentingan rakyat harus menjadi prioriti. Apa pun tafsiran terhadap keputusan PRU13, termasuk menggelar kerajaan minoriti 47% BN, dengan tambahan kerusi Parlimen Pakatan berbanding 2008, namun Najib masih kekal bertakhta. Penafian majoriti dua pertiga bukan lagi isu besar dan urusan kerajaan masih berjalan lancar dalam situasi itu. Sememangnya mana-mana pemerintah tidak perlu diberi kemenangan mutlak, yang mungkin menyebabkan suara kedua yang rasional dipinggirkan begitu saja. Saya tidak dapat memahami pergolakan dalaman Umno, termasuk mengaitkannya dengan faktor Dr Mahathir dan kemungkinan Najib berdepan tentangan sengit pemimpin kanan partinya sendiri. Jadi, apabila ada gosip yang mendakwa Anwar bersama Pakatan mungkin dibawa masuk ke dalam kerajaan, demi survival Najib, saya menjadi semakin buntu. Apakah benar kedudukan Najib sebegitu kritikal? Imiginasi saya tidak sampai ke tahap itu. Fenomena "politik baru" yang rancak dibincangkan selepas PRU12, yang membentangkan harapan ke arah mewujudkan sistem "dua parti", sudah cukup untuk mencetuskan perubahan positif. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat secara positif peranan oposisi yang konstruktif dan bertanggungjawab. Institusi penting, seperti Parlimen, menjadi lebih dihormati. Dalam suasana persekitaran politik yang diharap lebih beradab, melewati zaman tilam diusung ke mahkamah dan segala lendir dijadikan bahan bukti, diimpikan kuasa tidak lagi ditentukan elemen "kelucahan melampau", yang menyukarkan kita menjawab soalan nakal anak-anak kecil. Untuk terus menguasai Putrajaya, kelebihan masih berpihak kepada Najib. Sumber ekonomi dikawal ketat. Rasuah BR1M diterima tanpa bantahan. Walaupun monopoli media agak tergugat, majoriti rakyat untuk empat tahun akan datang masih boleh dijinakkan, melalui TV3 mahupun Urusan Malaysia, terutama dengan membakar sentimen. Paling penting, proses persempadanan pilihan raya yang jelas dimanipulasi semahunya tetap memungkinkan untuk suara minoriti undi popular kekal berkuasa. Bagaimanapun, apabila Peguam Negara -- tentunya dengan kehendak Putrajaya -- melantik peguam Umno, Shafie Abdullah menjadi pendakwa utama mengetepikan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, saya merasakan Najib juga mahu melenyapkan terus Ketua Umum KeADILan ini daripada persada politik tanahair. Anwar sentiasa menjadi penghalang kepada elit penguasa yang rakus, boros dan korup. Sejak badan kehakiman tercemar dengan teruk pada 1988, ekoran kes rayuan pengharaman Umno, yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung, campur tangan eksekutif tidak pernah reda. Abdullah Badawi dan bekas menteri Zaid Ibrahim cuba membersihkannya tetapi gagal -- walaupun kerajaan telah membayar ganti rugi atau saguhati sebanyak RM10.5 juta kepada Tun Salleh dan lima Hakim Mahkamah Agung yang digantung -- dan ditolak elit Umno sendiri. Diserang dan dimaki dari setiap penjuru, namun Anwar masih merupakan tokoh pembangkang paling berpengaruh yang cukup liat untuk dilentur. Di kala sukarnya mencari pengganti Anwar di kalangan pemimpin politik Melayu, beliau tetap gagah berdiri meneroka wilayah yang masih kebal dengan dominasi Umno-BN. Sehinggalah episod Kajang bermula, Anwar yang dijangka menggantikan Abd Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor kembali menjadi sasaran "penembak tepat". Mahathir dan Daim pun khabarnya tidak senang duduk. Selangor memungkinkan Anwar mencorakkan negeri termaju ini selaras dengan manifesto Pakatan. Bukan hanya merealisasikan impian negeri berkebajikan -- selain menyelesaikan masalah dalaman KeADILan -- juga berupaya melonjakkan sokongan untuk menerajui Kerajaan Persekutuan dalam PRU14. Seorang pengulas politik memberitahu saya: "Ekoran Serampang Kajang, tiba-tiba Anwar menjadi seteru yang mesti dihapuskan, tanpa belas kasihan lagi. Umno tidak sangup membayangkan bagaimana dinamisme Selangor di bawah Anwar, sekurang-kurangnya boleh meredah sempadan Perak dan Negeri Sembilan, tidak mustahil melantun hingga ke Johor." "Anwar sebagai MB Selangor cukup menggelisahkan Mahathir," tambahnya. "Ia tidak lebih daripada satu gerakan politik, yang menggunakan mahkamah, dan kerajaan yang sedia tidak popular ini dengan bebanan melampau kenaikan kos sara hidup akan menerima padahnya," seorang rakan FB saya, pensyarah politik, menghantar mesej. "Saga berterusan antara kerajaan dengan Anwar selalu membabitkan mahkamah. Ini tidak akan berkesudahan selagi Malaysia tidak belajar bahawa masalah politik perlu diselesaikan menerusi sistem politik," kata seorang peguam perlembagaan kanan kepada The Edge Review. Laman freemalaysiatoday melaporkan kenyataan Prof James Chin dari Universiti Monash: "Kerjaya politik Anwar tidak akan tamat. Ini bukan kali pertama dia didapati bersalah." Seorang ahli akademik tempatan, Prof Madya Andrew Aeria berkata: "Keputusan ini dipengaruhi oleh politik ... semua orang nampak. Saya rasa ramai orang tidak akan menerima hukuman ini kerasa nampak sangat elemen politik." Editor Rencana Harakah, Haris Zalkapli mengulas: "Pakatan kini perlu memikirkan masa depannya dengan peranan Anwar yang semakin mengecil, atau mungkin juga terus tiada langsung, sekiranya rayuan seterusnya tidak berjaya. ... Pakatan yang menunjukkan wajah lebih inklusif perlu memikirkan dengan serius transisi kepada barisan kepimpinan yang mampu membawa Pakatan ke hadapan, mengatasi cabaran-cabaran dalaman dan sesama parti komponen." Sebenarnya singgungan Haris yang menyarankan proses transisi kepemimpinan Pakatan itu perlu difikirkan secara serius, bukan hanya kerana penghakiman Anwar, tetapi keperluan menyeluruh bagi mengatasi cabaran masa depan lebih sengit. Bagaimanapun, saya masih belum mahu memikirkan realiti politik Malaysia tanpa Anwar, dengan menyedari peluangnya untuk menerajui Pakatan dalam PRU14 -- apatah lagi untuk mengetuai kerajaan baru selepasnya -- semakin tipis (saya pernah menghasilkan buku politik berjudul Malaysia Tanpa Anwar, terbitan tahun 1999). Langkah Anwar belum terhenti ... | Juruterbang MH370 Bina Simulasi Peribadi Di Rumah Posted: 10 Mar 2014 06:42 PM PDT Mahirah Zakaria KUALA LUMPUR - Spekulasi sesetengah pihak yang menuduh kehilangan pesawat Malaysia Airline (MAS) penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing awal pagi Sabtu lalu berpunca daripada kesilapan Juruterbang pesawat Boeing 777, Kapten Zaharie Ahmad Shah tidak seharusnya timbul. Memetik dari blog, www.sharelor.net, minat Zaharie yang begitu mendalam terhadap bidang penerbangan hingga sanggup membina set simulasi penerbangan Boeing 777 untuk terus mempertajamkan kemahirannya. Set simulasi itu telah menempatkan tiga skrin LCD 32 inci dan tiga skrin sesentuh 21 inci yang mewakili alat navigasi dan fungsi yang berbeza seperti di dalam pesawat Boeing 777 yang sebenar. Bekas penuntut di Penang Free School ini telah mencatatkan 18, 365 jam penerbangan sejak menyertai Malaysia Airlines pada 1981. Awal pagi Sabtu lalu, negara dikejutnya dengan kehilangan pesawat penerbangan MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan didakwa hilang dari radar selepas 2 jam perjalanan. | Anwar Akui Sengaja Tidak Pakai Pakaian Rasmi Kerana Boikot Posted: 10 Mar 2014 06:40 PM PDT Safiq Yaacob KAJANG - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak mahu memakai pakaian rasmi istiadat Di Raja sebagai langkah memboikot hukuman ke atasnya semasa Istiadat Perasmian Penggal Kedua Sidang Parlimen oleh Yang Di Pertuan Agong, Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah. Anwar berkata, beliau dan semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) turut sengaja tiba lewat pada majlis itu kerana tidak mahu menyertai perbarisan yang dijadualkan pada majlis istiadat perasmian itu. "Pada mesyuarat semalam bersama pimpinan PR yang lain telah putuskan bahawa kita akan hadir pada majlis perasmian tersebut sebagai menjunjung kasih dan taat setia kepada Yang Di Pertuan Agong. "Tapi kita tidak ikut perbarisan dan kita tidak pakai pakaian istiadat yang dipenuhi bintang-bintang tersebut dan sengaja tiba lewat dan terus masuk ke dalam dewan," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana di Tapak Karnival Usahawan di sini semalam. Beliau turut memberitahu, semua Ahli Parlimen PR akan memulaukan hari pertama sidang parlimen penggal kedua sebagai langkah menentang dasar kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN). "Ini tindakan yang penting dan pertama kali dalam sejarah kita melakukannya sebagai menolak dasar zalim kerajaan UMNO dan BN. "Sekarang penguasaan UMNO dalam sistem kehakiman negara semakin teruk dan ia telah berlaku sejak dari dahulu lagi," ujarnya. Kesemua anggota pembangkang semalam tidak memakai pakaian rasmi Parlimen berwarna putih yang kebiasaannya dipakai ketika istiadat pembukaan persidangan Parlimen. Mereka sebaliknya mengenakan sut hitam dan sesetengahnya bersongkok, manakala anggota pembangkang wanita berpakaian kebangsaan seperti baju kurung. | Kes Marina Mahathir Saman Isma Disebut Mei Depan Posted: 10 Mar 2014 06:37 PM PDT RAKYAT NEWS KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari, 15-16 Mei dan 22-23 Mei untuk perbicaraan kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir terhadap Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan 15 anggota jawatankuasa (AJK) pertubuhan itu. Kes saman itu berhubung pernyataan yang didakwa berunsur fitnah mengaitkan Marina dengan aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango). Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani yang mewakili Marina dan peguam Azad Bashir, yang mewakili kesemua defendan. Azad memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes. Sementara itu kesemua defendan dalam pernyatan pembelaan mereka menafikan menerbitkan pernyataan fitnah terhadap Marina. Kesemua defendan itu berkata laman web di http://www.ismaweb.net dan laman web facebook di http://www.facebook.com/isma.malaysia bukan kepunyaan Isma. Pada 16 Januari lepas, Marina yang juga anggota Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) menamakan Presiden pertubuhan itu Abdullah Zaik Abd Rahman, Timbalan Presidennya Aminuddin Yahaya dan Naib Presiden Abdul Rahman Mat Dali serta 13 AJK pertubuhan itu sebagai defendan. Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa Isma mengedarkan 70,000 risalah bertajuk 'Antara 54 NGO dalam Comango' di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu pada 8 November tahun lepas. Bekas pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF) itu mendakwa Isma juga menerbitkan artikel lain bertajuk "ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang Comango" dalam laman web Isma di http://www.ismaweb.net dan Facebook di https://wwww.facebook.com/isma.malaysia pada tarikh yang sama (8 November). Beliau mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau dikaitkan dalam aktiviti Comango, terlibat secara peribadi dalam laporan yang diterbitkan Comango dan menjadi dalang di sebalik Comango serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu Marina menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, injunksi untuk menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu dan permohonan maaf daripada kesemua defendan berserta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. | PRK Kajang dijangka Pertembungan Satu Lawan Satu Posted: 10 Mar 2014 06:35 PM PDT Radhi Razak KAJANG - Hari penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Kajang pagi ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dan wakil PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Penyokong kedua-dua parti telah mula berkumpul seawal pagi sebelum mengadakan perarakan ke lokasi penamaan calon di Kompleks Sukan MPKajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi di sini. Antara pemimpin BN yang hadir termasuk Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno, Datus Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengiring calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun ke pusat penamaan calon. Manakala pemimpin PKR yang hadir termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalannya, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Samad dan beberapa barisan pimpinan yang lain. | Wan Azizah dijangka menang besar Posted: 10 Mar 2014 06:27 PM PDT SHAH ALAM - Pemilihan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon mengganti suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR di kerusi Dun Kajang dijangka akan meningkatkan bilangan undi bagi PR. Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) itu akan memberikan undi simpati terhadap Wan Azizah ekoran kes yang melibatkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR. Menurutnya, Wan Azizah juga mampu menyaingi kredibiliti Anwar untuk menang besar di kawasan tersebut seperti persepsi masyarakat umum yang dikeluarkan terhadap Ketua Pembangkang itu. "Saya percaya kredibiti Wan Azizah adalah sama dengan Anwar dan berkemungkinan jumlah undi akan lebih meningkat daripada jangkaan pengundi untuk Anwar. "Ini kerana ada undi simpati terhadap Wan Azizah," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Semalam, media melaporkan Wan Azizah diumumkan sebagai pengganti suaminya Anwar untuk bertanding pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini. Pengumuman tersebut dilakukan sendiri oleh Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu dalam satu sidang media khas di Batu 12, Kajang, pada Ahad. Wan Azizah dipilih sebagai calon ganti ekoran Anwar hilang kelayakan untuk bertanding selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Sebelum ini, pada Januari lalu, bekas Adun Kajang, Lee Chin Cheh telah meletak jawatan sekaligus PR telah memilih Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang. Dalam pada itu, Shamsul juga berkata, pemilihan Wan Azizah sebagai calon dapat menyambung legasi Ketua Pembangkang itu di Selangor. "Kita boleh katakan ini sebahagian daripada politik Anwar di mana dia sudah tidak boleh bertanding di Kajang. "Dengan menggantikan Wan Azizah iaitu calon yang berkaitan dengan dirinya (Anwar), isu di Kajang akan tetap membawa kehangatan tentang Anwar. "Jadi ia mampu membawa Anwar kembali ke dalam Kabinet Selangor walaupun dikenakan penjara," katanya. | MyWatch cabar PDRM buktikan jenayah menurun Posted: 10 Mar 2014 06:24 PM PDT SERI KEMBANGAN – NGO Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) mencabar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengemukakan bukti yang menunjukkan kadar jenayah di seluruh negara sejak tiga tahun lalu menurun sehingga 27 peratus. Pengerusinya, R. Sri Sanjeevan mendakwa, statistik jenayah yang dikeluarkan Jabatan Pencegahan dan Pembanteras Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini diragui kesahihannya berikutan kadar jenayah hari ini semakin membimbangkan. "Kalau dia kata bahawa kadar indeks jenayah telah menurun sebanyak 27 peratus, saya mencabar untuk mengeluarkan statistik jenayah yang ada menunjukkan penurunan itu. "Kalau ada (bukti), sila tunjukkan kami dan seterusnya MyWatch sendiri akan mengeluarkan statistik jenayah yang kami ada. "Sebelum ini saya telah mengeluarkan statistik jenayah iaitu indeks jenayah dalam masa 60 hari dari 1 Januari hingga 28 Februari lalu menunjukkan sebanyak 20,096 kes jenayah telah direkodkan," dakwanya kepada Sinar Harian Online. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob sebelum ini yang mengatakan kadar jenayah di seluruh negara berjaya dikurangkan sebanyak 27 peratus. Jelas Ayub lagi, kadar itu melebihi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditetapkan kerajaan iaitu lima peratus setiap tahun, sejak dilancarkan pada 2009. Dalam pada itu, tambah Sanjeevan lagi, peningkatan jenayah pada hari ini turut kurang diberi perhatian. "Bila kita sebut soal jenayah, ini bukan soal persepsi, ia adalah soal nyawa dan keselamatan rakyat dan isu yang cukup membimbangkan rakyat pada hari ini. "PDRM perlu lebih telus dalam menunjukkan statistik jenayah. Kita tidak perlu bertolak ansur dalam statistik ini, kita perlu tegas," katanya lagi. |
Posted: 11 Mar 2014 03:11 PM PDT Kumpulan China dakwa rampas MH370 Sepang: Kenyataan kumpulan menggelar diri mereka daripada Chinese Martyrs' Brigade yang mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat MH370 sedang disiasat walaupun ia diragui. Pihak China dan media negara itu yang menerima kenyataan berkenaan juga menolaknya kerana menganggap ia sebagai palsu untuk membangkitkan ketegangan etnik di negara berkenaan. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata China menghantar pasukan khas ke Malaysia bagi membantu negara merungkai misteri kehilangan pesawat, khususnya dalam tiga aspek. Ia merangkumi usaha mencari dan menyelamat, pasport palsu dan memastikan kebajikan keluarga warga China yang dibawa ke Malaysia. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, pasukan khas terbabit akan berada di Malaysia untuk tempoh tertentu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat MH370. "Pasukan ini adalah wakil kementerian yang berkepentingan dan mewakili Parti Komunis China. Ini adalah hasil perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Republik China dua hari lalu. Elak buat andaian "Menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat bukan mudah dan ia perlu digerakkan secepat mungkin. Tiada gunanya kita bincang perkara lain jika belum menemui pesawat. Saya menggesa media tidak membuat andaian kerana ia boleh menjejaskan operasi, selain kita tidak mahu tersebarnya berita palsu yang boleh mengguris perasaan ahli keluarga penumpang pesawat," katanya pada sidang media di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Hishammuddin juga menafikan dakwaan bahawa Kerajaan China kurang berpuasa hati kerana Malaysia lambat bertindak menangani isu kehilangan pesawat. Mengenai dua penumpang misteri MH370, Hishammuddin berkata, kerajaan hanya akan mendedahkan gambar mereka menggunakan pasport curi selepas siasatan selesai. "Kita mendapat bantuan Polis Antarabangsa (INTERPOL), di mana mereka sudah diberikan akses untuk mendapatkan maklumat seperti biometrik, latar belakang, jantina, tarikh lahir dan cap jari. Justeru, kita minta mereka diberi masa untuk melakukan siasatan terperinci," katanya. Sementara itu, Azharuddin berkata siasatan lebih terperinci berhubung dua penumpang misteri terbabit dijalankan oleh pasukan penyiasat khas merangkumi pakar bidang berkenaan. "Ini termasuk meneliti rakaman video penumpang yang dikenal pasti dan sebarang maklumat hanya boleh didedahkan selepas itu. "Mengenai lima bagasi yang dibawa keluar daripada MH370 selepas pemiliknya tidak menaiki penerbangan, saya tegaskan DCA mengesahkan tiada bahan terlarang yang ditemui padanya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan