Sabtu, 7 Disember 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Tarif Elektrik: Rakyat Sabah Tanggung Beban Berganda

Posted: 07 Dec 2013 02:41 AM PST

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sabah membantah kenaikan tarif elektrik kerana penstrukturan kenaikan 15 peratus iaitu dari 25.50 sen/kwj kepada 29.25sen/kWj tarif elektrik di Sabah dan Labuan baru saja dilakukan pada 15 Julai 2011.

Malah, kata ketuanya,  Lahirul Latigu kenaikan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.

"Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik," ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah. 

Dewan Pemuda PAS Sabah memandang serius terhadap pengumuman kenaikan tarif elektrik akibat daripada semakan terhadap subsidi elektrik dan gas oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. Kenaikan tersebut adalah sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilo watt kepada 38.53 sen/kwj di semenanjung manakala kenaikan 16.9 peratus atau 5 sen KW kepada 34.52 sen/kwj yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan 2014.

Pemuda PAS Sabah membantah kenaikan tersebut kerana penstrukturan kenaikan 15 peratus iaitu dari 25.50 sen/kwj kepada 29.25sen/kWj tarif elektrik di Sabah dan Labuan baru saja dilakukan pada 15 Julai 2011. Malah kenaikan terbaru yang diumumkan oleh menteri terbabit adalah mendadak iaitu 16.9 peratus berbanding 14.89 peratus di Semenanjung.

Kenaikan ini sudah pasti akan membebankan. Pengguna akan terpaksa membayar bil yang lebih tinggi bagi setiap penggunaan elektrik. Walaupun dimaklumkan 62 peratus tidak berada dalam kategori penyelarasan tersebut, tetapi ada baki 38 peratus atau 158,000 pengguna adalah mereka yang akan terkesan secara langsung. Ditambah kos hidup yang tinggi, terutamanya di bandar-bandar utama kenaikan tarif letrik ini sudah pasti akan tambah menyukarkan kehidupan.

Namun apa yang dibimbangi ialah, kenaikan ini pasti akan menyebabkan tekanan kos pengeluaran terhadap pemain industri. Sebarang kenaikan kos sudah pasti akan mendorong kepada kenaikan harga. Dan, pada tahap ini seluruh rakyat di Sabah akan menerima kesan daripada kenaikan tersebut. Malah yang amat dibimbangi ialah rakyat Sabah akan menanggung beban berganda akibat dari kenaikan tersebut..!

Sepatutnya, kementerian perlu memberi fokus terhadap pembaikan servis terlebih dahulu. Di Sabah, penyedia bekalan elektrik SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) lebih sinonim dengan panggilan "Sabah Electricity Sure Blackout" kerana masalah gangguan bekalan elektrik masih menjadi masalah utama. Indeks Sistem Purata Gangguan (SAIDI) masih tinggi pada 557 minit/pengguna pada 2012 walaupun terdapat penurunan berbanding 2867 minit pada tahun 2009. Ini cukup jauh dibandingkan di Semenanjung yang telah mencapai kecekapan tahap bawah 100 minit iaitu 66 minit pada 2009 lagi. Keadaan ini lebih kritikal apabila 23% kawasan pedalaman di Sabah masih tidak mempunyai liputan bekalan elektrik menurut Laporan Rancangan Malaysia Ke-10.

Kenaikan ini sudah pasti memberi lebih keuntungan kepada Syarikat IPP atau Penyedia Tenaga Bebas. Pergantungan masih tinggi terhadap IPP ini dengan daripada 785MW keseluruhan keupayaan penjanaan SESB, 314MW adalah dijana oleh IPP bermakna kerajaan terpaksa membayar sumber subsidi yang tinggi untuk menampung syarikat-syarikat ini.

Alasan kenaikan gas asli tidak boleh diterima kerana Sabah adalah antara pengeluar petroleum yang utama. Data yang diperolehi pada tahun 2011 mencatatkan hasil petroleum yang dikeluarkan dari perut bumi Sabah adalah sebanyak RM16.24 billion. Kenapa tidak dikembalikan manfaat hasil dari bumi Sabah ini kepada rakyat Sabah walau sedikitpun..?

Rakyat di Sabah sudah lama terbeban dengan kos hidup yang tinggi akibat dasar dan polisi berat sebelah UMNO dan Barisan Nasional. Polisi Kabotaj umpamanya telah lama menekan harga barang lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Menerusi polisi inilah rakyat Sabah akan merasai kesan berganda kerana barang-barang terpaksa menghadapi tekanan kos akibat kenaikan tarif elektrik di semenanjung, seterusnya tekanan kos akibat kenaikan tarif di Sabah juga berlaku setelah sampai di sini. Ditambah pula dengan kenaikan harga minyak dan terbaru cukai GST yang bakal menyusul, nampaknya kehidupan di Sabah akan menjadi bertambah sukar..! Inilah mungkin 'hadiah' kepada rakyat Sabah setelah memberi undi yang besar mempertahankan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya ke-13 lepas.

Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili selaku Ahli Parlimen Sabah dari Kota Marudu sepatutnya berasa malu kerana tidak berupaya menjalankan tugasnya menjaga kepentingan rakyat Sabah. Pemuda PAS Sabah menasihatkan agar beliau berundur jika tidak mampu lagi mempertahankan hak rakyat yang diwakilinya.

Tiada ulasan:

Pengikut