Rabu, 30 Oktober 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 30 Oct 2013 03:32 PM PDT

[VIDEO] Beri Susu Luput Tarikh: Pemimpin UMNO Hina Orang Kampung

Posted: 30 Oct 2013 03:42 AM PDT

Yan - Susu krimer manis yang disumbangkan oleh seorang pemimpin Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim didapati sudah tamat tempoh.

Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu disedari oleh seorang petugas akhbar Harakah, Khairul Hafizi, 35, selepas sekumpulan rombongan Umno itu menyampaikan sumbangan tersebut di rumah ibunya dekat Sungai Dedap, pada jam 3.30 petang, semalam.

Beliau berkata, pemberian sumbangan berserta gula, tepung dan beras itu tidak mempunyai masalah, tetapi yang menjadi persoalan adalah susu yang diberikan sudah tamat tempoh.

"Sumbangan berserta dengan susu ini diberikan pada (28 Oktober) lalu, tetapi di bawah tin susu itu tertulis guna sebelum 26 Oktober 2013. Saya sudah berpesan kepadanya jangan benarkan ibunya minum susu itu khuatir berlaku keracunan makanan.


"Sumbangan tersebut dipercayai diberikan oleh jentera parti BN dari Baling kerana tertera nama Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan apa yang dikesalkan disini, mengapa susu yang luput tarikhnya pun diberikan juga kepada orang kampung," katanya lagi.

Mahfuz berkata ini merupakan satu penghinaan kepada orang kampung kerana mereka tidak mengambil kira soal keselamatan dan kesihatan penduduk disitu.

"Tak kan lah punya sengket (kedekut) BN sampai nak beli susu pun kena cari yang sudah luput. Sekurang-kurangnya carilah yang tamat tempoh pada tahun hadapan ataupun lewat bulan Disember," katanya.

Mahfuz berkata demikian pada sidang media di Markas Pas Induk Kawasan Jerai, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan kepada seluruh masyarakat di Dun Sungai Limau, terutama di kawasan Sungai Dedap supaya lebih berhati-hati dan melihat terlebih dahulu tarikh luput susu tersebut sebelum digunakan.

"Saya minta pemimpin berkenaan meminta maaf kepada pengundi-pengundi di Sungai Dedap dan jangan kerana susu ini akan menyebabkan keracunan makanan," katanya.

Menurutnya, penglibatan pemimpin berkenaan dalam perkara ini adalah berikutan terdapat gambar beliau pada beg plastik yang digunakan sewaktu menyampaikan sumbangan tersebut.

"Sebab itu pemberian daripada pemimpin berkenaan berlegar dalam kawasan Sungai Dedap. Saya percaya, bukan sahaja dia yang beri susu tamat tempoh, tapi tempat-tempat lain juga diberikan oleh Umno Bahagian merupakan kemungkinan besar susu yang telah tamat tempoh.

"Kalau ada orang yang bagi sumbangan, kita kena terima. Tapi perlu berhati-hati dan periksa dahulu tarikh luput dan sebagainya," katanya.

Tambahan pula, susu tersebut juga diberikan dalam keadaan yang sudah rosak berikutan terdapat kesan kemek pada tin itu.

Sementara itu, dalam cubaan untuk menepis kesalahan tersebut, penyumbang susu berkenaan, Datuk Azee berkata:

"Susu pekat tersebut adalah untuk kegunaan jentera pilihan raya kecil yang berkampung di Rumah Baling. Saya tidak tahu bagaimana ia boleh terlepas."

Jika benar kata-kata Azeez, begitu sekali para petugas UMNO/BN dilayan oleh pemimpin mereka ... di beri makanan yang sudah luput tarikh ... apakah para petugas UMNO/BN tidak rasa terhina?

Azeez: PAS hanya mampu bawa isu susu tamat tempoh

Posted: 30 Oct 2013 03:25 AM PDT

MALAYSIA KINI

Ketua Umno Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu pemberian susu tamat tempoh oleh jentera BN untuk meraih sokongan dan simpati pengundi di Sungai Limau.

MP Baling itu dalam laporan Utusan Malaysia mendakwa, tindakan PAS yang menggunakan isu susu tamat tempoh itu juga perbuatan memalukan.

""Saya dimaklumkan hanya seorang sahaja tampil, kononnya menerima pemberian bungkusan makanan yang tamat tempoh.

"Aduan tersebut datangnya daripada mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan salah seorang kakitangan media pembangkang, Harakahdaily.

"Adalah amat memalukan apabila (Datuk) Mahfuz (Omar) selaku naib presiden PAS hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh bagi menarik sokongan pengundi sedangkan banyak lagi isu besar seperti pembangunan yang perlu diperjuangkan oleh PAS di Sungai Limau," katanya.

Dalam laporan akhbar milik Umno itu, Abdul Azeez tidak menyebut sama ada beliau akan menyiasat dakwaan bahawa bahan yang dibekalkan tersebut benar-benar tamat tempoh.

Mahfuz dalam kenyataannya yang disiarkan Harakahdaily semalam berkata, tindakan menghadiahak susu tamat tempoh kepada pengundi itu tidak seharusnya berlaku kerana ianya boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Tak kan la punya sengkek, kedekut piang BN ni. Cari la yang elok sikit nak bagi kat orang," kata Mahfuz seperti dipetik lidah parti PAS itu.

Menurut laporan tersebut, seorang pengundi menerima susu tamat tempoh daripada jentera BN yang hadir berkempen ke rumahnya di Sungai Dedap, pada hari Isnin.

Tarikh luput di tin susu tersebut tertera 26 Oktober 2013, menurut Harakahdaily.

Ia turut menyatakan bahawa beg plastik bersama tin susu tersebut tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

HKL cari waris Bukhari

Posted: 30 Oct 2013 03:21 AM PDT


 

Waris Bukhari Faisol sedang dicari.

KUALA LUMPUR - Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta kerjasama orang ramai mengesan waris kepada seorang warga emas yang ditemui tanpa identiti sejak September lalu.

Jurucakap HKL berkata, warga emas dikenali dengan nama Bukhari Faisol berusia sekitar 80-an telah dibawa menerima rawatan di Jabatan Kecemasan & Trauma, HKL oleh orang ramai dan dimasukkan ke wad kerana hampir pengsan di tepi jalan dan mengalami cellulitis (radang kulit).

Menurutnya, warga emas itu kemudiannya dimasukkan ke wad perubatan di sini sejak 21 September lalu, dan kini dibenarkan keluar namun kegagalan pihak HKL mendapatkan maklumat berhubung ahli keluarga terdekat membuatkan dia terus berada di wad berkenaan.

"Pesakit menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi memandangkan beliau mengalami masalah pendengaran yang kronik.

"Pihak hospital juga gagal menemui sebarang dokumen seperti pasport bagi mengesan alamat terakhir beliau dan tiada sebarang nombor telefon waris untuk dihubungi," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ketika ditemui Sinar Harian, warga emas itu mendakwa tinggal di sebuah surau sekitar Taman Ibu Kota bersama isteri dan tiga anaknya.

Warga emas itu juga mengakui berasal dari Jawa Barat, Indonesia, namun telah menetap lama di negara ini.

"Kad (pengenalan) tak ingat letak mana. Dulu warna merah. Sekarang warna biru," katanya.

Beberapa soalan lain cuba diajukan namun warga emas yang kelihatan seakan nyanyuk itu tidak dapat memberikan jawapan yang difahami, namun ada menyebut nama isterinya, sebagai Sofi Muhardi.

Difahamkan pihak hospital telah menghubungi Kedutaan Indonesia bagi membantu mengesan waris pesakit memandangkan keadaan pesakit telah stabil dan dibenarkan pulang.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan dan mungkin mengenali pesakit diminta untuk menghubungi Unit Perhubungan Awam, HKL di talian 03-2615 5013.

Maya tak serik pilih 'mat saleh'!

Posted: 30 Oct 2013 03:18 AM PDT



Selepas kegagalan rumah tangganya bersama Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2010, nampaknya pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 33, tidak serik untuk menjalinkan hubungan serius dengan jejaka kulit putih.

Maya yang kini sudah tidak berselindung mengenai hubungan cintanya,  bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai 'mat saleh' yang sedang bertakhta di hatinya itu.

"Biarlah saya merahsiakannya dulu. Sebenarnya, saya tidak memilih mana-mana lelaki. Namun, mungkin sudah ditakdirkan untuk bertemu semula dengan lelaki berkulit putih," katanya yang tidak meletakan sebarang syarat, melainkan jejaka itu harus  menyayangi dan memahaminya.

Pelakon yang popular dengan watak Izzah menerusi filem ombak rindu ini juga, tidak mahu lagi memberikan publisiti meluas tentang hubungan cintanya.

Katanya, cukuplah sekadar dia memberitahu media bahawa dia kini masih menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki kulit putih yang juga merupakan orang dalam industri hiburan.

Biarpun mengakui  sedang mengenali hati budi lelaki tersebut, Maya menjelaskan hubungan itu masih lagi di peringkat awal.

"Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya saya.

"Saya sudah kenal lama dengan dia, tetapi hubungan ini masih pada peringkat awal. Biarlah hubungan ini berkembang dengan baik dan doakanlah yang terbaik buat saya," kata Maya yang mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Namun, apabila ditanya mengenai bilakah dia akan menamatkan status solonya, Maya menegaskan ia akan tiba masanya.

"Kita tunggu saja. Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan menghebahkannya kepada media," katanya.

Bakal ke Sepanyol

Walaupun kini sedang sibuk dengan pengacaraan dan bisnes korporat, namun Maya, mengakui masih boleh membahagikan masa bersama kekasih serta keluarganya.

Malah aktres yang pernah popular menerusi filem 'Pontianak Harum Sundal Malam' ini berkata, dia cuba memenuhi hobi lapangnya dengan bercuti bersama keluarga di luar negara. Dan yang terbaru, dia mungkin akan melancong di Sepanyol.

Katanya, walaupun sudah berpunya, namun ia tidak membataskan kemesraan dengan keluarga memandangkan dia sangat menjaga hubungan tersebut dan mementingkan ruang bersama keluarga.

"Sibuk macam mana sekalipun, saya tetap membahagikan masa bersama keluarga. Begitu juga dengan kekasih. Tapi belum pernah lagi saya keluar melancong bersama kekasih," katanya yang berharap hubungannya dengan jejaka Inggeris itu akan ke arah lebih baik memandangkan dia sudah beberapa kali dikecewakan sebelum ini.

Lepas gian selepas 12 tahun

Mengulas mengenai kerjaya seninya, pelakon ini berkata, dia kini sedang sibuk menjalani latihan teater muzikal 'Supermokh' arahan Hans Isacc yang diterimanya. Menerusi teater itu, Maya melakonkan watak Tengku Zarina, isteri kepada legenda bola sepak terkenal negara, iaitu, Allahyarham, Datuk Mokhtar Dahari

Maya berkata, ia adalah satu lagi karakter mencabar selepas membintangi teater terakhir sejak 12 tahun lalu.

"Saya harus menjiwai watak Tengku Zarina. Selepas bertemu sendiri dengannya saya mengkaji karakter Tengku Zarina. Dia adalah wanita yang cukup kuat dan juga romantik.

"Memandangkan ini bukan filem atau dokumentari, maka saya kena bekerja lebih keras untuk memastikan saya benar-benar berjaya membawa watak itu.

"Namun berlakon dan menyanyi dalam satu masa, bukanlah asing untuk saya. Dengan membintangi muzikal ini, sekurang-kurangnya saya dapat melepaskan 'gian' untuk berlakon di pentas teater," katanya yang ditemui selepas melancarkan kempen
Ekstravaganza Petronas bersama selebriti.

Masih bergelar penyanyi

Bercerita mengenai perkembangan single terbarunya, Maya berkata, walaupun 'single' itu masih belum popular, namun ia dapat menjangka selepas selesai pembikinan muzik video dan promosi yang dirancang oleh Warner Music 'single' berjudul Bintang Syurga ciptaan Audi Mok dan Omar K itu bakal diterima peminat.

Menurutnya, lagu itu juga akan dimuatkan dalam albumnya bersama syarikat rakaman itu yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Maya berkata, dia kini sibuk belajar mendalami dan menambah ideanya dalam bidang perniagaan.

"Saya ada perancangan untuk terlibat dalam bidang perniagaan, namun saya masih tercari-cari apakah peluang perniagaan yang menjamin saya sebagai pelaburan di masa hadapan.

"Saya masih masih belajar untuk ceburi dunia perniagaan," kata pelakon yang  pernah memenangi anugerah aktres terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 pada tahun 2008.

Bongkar busuk 'bangkai'

Posted: 30 Oct 2013 03:16 AM PDT

 

Penduduk menunjukkan bangkai kepala ikan berulat yang menjadi punca bau busuk melanda kampung mereka sambil diiringi Abdul Yunus (kiri).

KUALA KURAU - Busuk dan meloyakan! Itulah yang ditanggung lebih 50 penduduk di Kampung Kedai Dua, di sini sejak seminggu yang lalu.

Bau kurang enak tersebut dipercayai datang dari  sebuah kilang memproses makanan ikan berbentuk palet yang beroperasi berhampiran kediaman penduduk.

Penduduk, Zulkifli Anwar, 35, berkata, sebelum kilang tersebut beroperasi setahun yang lalu, pemiliknya memberitahu premis berkenaan menghasilkan makanan ikan menggunakan kiambang liar semata-mata.

Menurutnya, atas alasan itu penduduk bersetuju membenarkan kilang beroperasi di kampung  tersebut sejak setahun lalu.

"Bagaimanapun, masalah bau busuk sering berlaku sejak kilang itu beroperasi menyebabkan kami curiga mengenai bahan sebenar digunakan mereka," katanya ketika ditemui di pekarangan kilang tersebut, di sini, kelmarin.

Penduduk siasat punca bau

Akibat tidak tahan menanggung azab, penduduk, Jamhari Hassan, 50, bersama beberapa penduduk lain memasuki premis berkenaan dan tidak menyangka menemui tiga longgokan bangkai kepala ikan patin sudah berulat diletakkan di dalam tiga tangki besar yang diletakkan di bahagian belakang kilang berkenaan.

Menurutnya, selain tiga tangki tersebut mereka turut menjumpai longgokan usus ayam diletakkan di atas lantai dan ditutup menggunakan kanvas.

"Senario menjijikkan itu mencetuskan tanda tanya di dalam fikiran kami mengenai kelulusan premis berkenaan.

"Kami tertanya-tanya sama ada kilang tersebut mendapat kebenaran pihak berkenaan untuk beroperasi di kawasan penempatan penduduk atau tidak?" katanya.

Bau busuk terhasil daripada kilang tersebut membuatkan lebih 50 penduduk yang tinggal kira-kira satu kilometer dari premis tersebut hidup sengsara.

Penduduk, Talha Lokman berkata, akibat pencemaran bau itu, aktiviti harian penduduk terutamanya ketika makan terganggu malah turut mengundang kehadiran ribuan lalat ke kediaman mereka.

Tambahnya, selain masalah bau, tindakan pengurusan kilang membuang sisa kumbahan ke dalam parit berhampiran turut membimbangkan penduduk kerana ditakuti merosakkan tanaman padi yang diusahakan mereka.

"Parit itu digunakan sebagai sistem pengairan sawah padi dan penduduk takut air tercemar berkenaan mengundang kehadiran makhluk perosak dan sebagainya.

"Perkara itu sudah diadukan kepada pemilik premis, namun tiada tindakan susulan diambil sehingga hari ini," katanya.

Masalah dapat perhatian

Kesengsaraan ditanggung penduduk Kampung Kedai Dua mendapat perhatian Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Beliau turut memberi jaminan akan membuat aduan rasmi kepada Majlis Daerah Kerian (MDK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan Kerajaan Negeri.

Selain Abdul Yunus, masalah berkenaan turut mendapat perhatian ahli majlis dan pegawai penguatkuasa MDK apabila mereka membuat pemantauan terhadap operasi kilang tersebut, kelmarin.

Ahli Majlis Daerah Kerian, K Rajindra berkata, pihaknya terkejut dengan keadaan premis yang tidak mencapai piawai kebersihan ditetapkan MDK.

Tambahnya, berdasarkan perbincangan dengan pemilik kilang, beliau difahamkan operasi premis itu bakal dipindahkan ke Kampar dalam tempoh tiga bulan.

"Pemilik kilang mengakui menghadap masalah tangani bau busuk akibat penggunaan bangkai kepala ikan untuk dijadikan baja kerana tiada peruntukan membeli tangki ais baru.

"Masalah itu ditambah dengan cuaca lembap akibat hujan sejak kebelakangan ini, bagaimanapun pemilik berjanji akan membersihkan premis dalam masa seminggu," katanya.

Sementara itu, pemilik kilang, Darwin Lee ketika ditemui mengakui pihaknya berdepan masalah menangani bau busuk berkenaan.

"Bagaimanapun, kami memberi jaminan akan menyelesaikannya  dalam masa seminggu.

"Kami juga akan berpindah ke premis lebih sesuai di Kampar setelah terlibat dengan satu projek kerajaan di sana, manakala premis di sini  dijadikan stor simpanan sahaja," katanya.

'Maklumat diri saya benar'

Posted: 30 Oct 2013 03:13 AM PDT


 

Mohd Azam (kiri) mengetuai bacaan doa pada satu majlis kenduri di Kampung Pulau Nyiur, Bukit Besar, Yan.

YAN - Calon Pas, Mohd Azam Abdul Samat berkata, maklumat berkaitan diri beliau yang terdapat dalam risalah adalah benar.

"Perkara itu (risalah kempen) telah pun dijelaskan oleh kepimpinan. Apa yang penting sebenarnya maklumat berkaitan diri saya, pengalaman, kerjaya dan sebagainya adalah benar.

"Insya-ALLAH apa yang penting untuk disampaikan kepada masyarakat di Sungai Limau ini adalah saya anak tempatan dilahirkan dan dibesarkan di Dun ini," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai penggunaan gambar superimpose yang melibatkan dirinya dalam risalah kempen Pas bagi PRK Sungai Limau.

Mengulas mengenai perkembangan hari keenam kempen di Sungai Limau, beliau berkata penerimaan masyarakat amat baik.

"Saya akan cuba sedaya mungkin untuk turun padang berjumpa dengan pengundi-pengundi di Dun Sungai Limau. Insya-ALLAH setakat ini, pengundi memberi banyak respond yang baik dan kita harap respond positif ini akan berterusan," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Pas mengakui terlepas pandang sekeping gambar yang dimuatkan dalam risalah calon Pas.

Menurut laporan itu, Pengarah Operasi PRK Dun Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, semua urusan reka bentuk, pengumpulan maklumat dan pemilihan gambar diserahkan kepada kumpulan pereka yang sudah biasa melakukan kerja percetakan parti pada sebelum ini.

Beliau berkata, Pas memberi kepercayaan kepada mereka dan hanya menyerahkan hasil kerja akhir untuk semakan.

Azmin: K'jaan BN hidapi 'lelah kewangan'

Posted: 30 Oct 2013 03:06 AM PDT

 


Ahli parlimen Gombak Azmin Ali mendakwa Bajet 2014 menunjukkan kerajaan kini menghidapi penyakit "lelah kewangan" ekoran displin fiskal yang lemah sehingga menyebabkan beban hutang negara semakin "membengkak".

Beliau membuat perumpamaan tersebut berdasarkan jangkaan penganalisis ekonomi bahawa kadar hutang negara mencecah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.

Katanya, unjuran yang dikemukakan Maybank baru-baru ini mengunjurkan bahawa jumlah hutang negara mencecah RM541 bilion pada tahun ini dan meningkat menjadi RM578.4b pada tahun depan.

Timbalan presiden PKR itu berkata, perkara ini menyebabkan rakyat berasa bimbang dengan kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan hutang tersebut.

"Malaysia di bawah pengurusan Umno, sedang mengalami satu penyakit, yang dinamakan lelah kewangan, tercungap-cungap.

"Biasanya orang yang lelah ni, dalam beberapa ketika, akan masuk ICU. Lepas ICU tu, dia laksana GST (cukai barangan dan perkhidmatan), Insya-Allah, kita akan menyaksikan pengebumian Umno.

"Bila kita hadapi negara sedang mengalami penyakit lelah fiskal, (ini) kerana tidak ada ruang fiskal untuk berbelanja. Maka terpaksa hutang meningkat.

"Dan yang pasti membebankan rakyat terbanyak dan (mereka) tidak ada keazaman politik untuk menyelesaikan masalah yang dibangktilan ketua audit negara," katanya membahaskan ucapan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas IGP mohon maaf pada Ramli Yusuff

Posted: 30 Oct 2013 03:04 AM PDT

 


Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan hari ini memohon maaf kepada bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff atas kenyataan dalam satu sidang akhbar pada Disember lalu yang mencemar reputasinya.

NONEMusa memohon maaf kepada Ramli di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Prasadh Sandosham Abraham di dalam kamar hari ini.

Mahkamah memerintahkan Musa membayar kos RM10,000 kepada Ramli.

Musa dalam kenyataan semasa sidang akhbar itu menyifatkan Ramli sebagai "white knight" dan dirinya sebagai "black knight".

Ramli mendakwa kenyataan itu telah memberi gambaran buruk ke atasnya

Anwar: GST efisien tetapi...

Posted: 30 Oct 2013 03:02 AM PDT

 Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sistem yang efisien namun memerlukan syarat.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan tahap pendapatan rakyat meningkat dan memastikan infrastruktur percukaian baik.

"Sekarang saya setuju sistem itu efisien tetapi perlu ada prasyarat.

"...di mana syarat pertama mesti tahap pendapatan rakyat ditingkatkan terlebih dahulu, keduanya pastikan infrastruktur percukaian cukup baik.

"Dua perkara itu belum ada, ada dasar monopoli," katanya pada ucaptamanya sempena Taklimat GST dan Belanjawan 2014, di sini, hari ini.

Tambahnya Anwar, "secara prinsipnya GST itu efisien.

"Menteri Kewangan sebelum saya kata akan melaksanakan GST, bila saya ambil alih, saya setuju GST akan dilaksanakan dan perbendaharaan akan kaji.

"Tapi pada tahun 1998 kita tak laksanakannya. Ada sebabnya juga kerana pada tahun 1993 kita catat lebihan kecil (pendapatan negara)," ujarnya.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, PR akan menentang GST habis-habisan selagi pendapatan dan cukai pendapatan tidak dibaiki sekaligus menganggapnya sebagai jenayah.

Muhyiddin Syukur Keluarga Azizan Terima Permohonan Maaf

Posted: 30 Oct 2013 02:59 AM PDT

YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menerima permohonan maafnya berhubung kenyataan yang didakwa PAS menghina bekas Menteri Besar Kedah itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menerusi pesanan anak kelima Azizan, Muhammad Rafi'iy yang dihantar melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada pagi Rabu, dinyatakan bahawa keluarga Azizan menyambut baik permohonan maaf yang dibuatnya.

"Saya bersyukur kerana saya dapat teks anak Allahyarham yang menyatakan bahawa keluarganya menerima permohonan maaf daripada saya," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

Menurut Muhyiddin lagi, melalui pesanan yang diterimanya, keluarga Azizan turut berharap agar isu tersebut tidak terus diperbesarkan.

"Beliau pun mengharapkan isu ini ini selesai sertatidak dibangkitkan dan dipolitikkan.

"Saya ucap terima kasih di atas penerimaan kenyataan maaf saya," katanya.

Pada Selasa Muhyiddin secara terbuka memohon maaf kepada keluarga Azizan berhubung kontroversi dakwaan kononnya beliau mempersenda kematian bekas Menteri Besar Kedah itu dengan penyakit kencing manis.

Menurut Muhyiddin, sebagai umat Islam beliau memohon maaf sekiranya kenyataannya menyinggung perasaan keluarga Azizan.

Kekelirun itu dijadikan modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mendakwa kononnya Muhyiddin sengaja mempersenda Azizan apabila mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula.

PRK Sungai Limau Medan Ukur Sokongan Cina - Muhyiddin

Posted: 30 Oct 2013 02:57 AM PDT

 

 

YAN: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan platform terbaik untuk mengukur tahap perubahan sikap masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan pilihan raya kecil ini boleh menjadi penunjuk mengenai kesediaan masyarakat itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

"Masyarakat Cina adalah prakmatik, mereka sebagaimana kaum lain memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

"Komitmen kerajaan BN untuk berlaku adil kepada semua pihak memang kita tunjukkan. Jadi diharapkan ini adalah masa terbaik untuk kita mengukur tahap perubahan sikap," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

DUN Sungai Limau mempunyai seramai 1,842 pengundi Cina atau 6.7 peratus daripada 27,222 orang pengundi keseluruhan.

Mengulas lanjut Timbalan Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan laporan dua parti komponennya iaitu MCA dan Gerakan, masyarakat Cina mula menunjukkan keterbukaan mereka untuk kembali menyokong BN khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

"Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan maklum balas yang diperolehi daripada MCA dan Gerakan, mereka maklumkan ada kesediaan (menyokong BN) daripada pengundi Cina.

"Tapi ini adalah andaian sebelum PRK. Saya tak tahu dan kurang pasti (situasi sebenar) sehingga kita tahu keputusan nanti. Kebetulan diadakan PRK ini selepas PRU.

"Selepas PRU lalu kita tahu ada istilah 'tsunami pengundi Cina', tapi sudah beberapa bulan, mungkin keadaan itu berubah," katanya.

Rasuah: Bekas KP imigresen dipenjara 6 tahun

Posted: 30 Oct 2013 02:54 AM PDT

MALAYSIA KINI

Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don hari ini dihukum penjara enam tahun dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 berhubung kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh.
  
Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wahid, 59, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
Rosbiahanin memerintahkan Wahid yang kelihatan tenang itu menjalani hukuman penjara mulai hari ini dan turut memerintahkan dia dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
  
Wahid yang ditemani isterinya di mahkamah, kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang selepas hakim itu menolak permohonannya yang diwakili peguam Datuk V Sithambaran untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
  
Mahkamah juga menolak permohonan Sithambaran supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin sementara menunggu rayuan.
  
Peguam itu kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu yang menolak permohonan ikat jaminnya.
  
Sebelum ini, Wahid dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 sementara perbicaraan kesnya selesai.
  
Dalam penghakimannya, Rosbiahanin berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa keterangan pembelaan Wahid adalah difikirkan kemudian dan bersifat rekaan dan penafian semata-mata.
  
"Selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan itu," katanya.

Terdahulu dalam rayuan, Sithambaran berkata mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya selain wang pencennya akan terjejas serta keadaan dua anaknya sedang belajar.
  
Ketua bahagian pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, berhujah bahawa tertuduh sepatutnya berfikir mengenai anak-anaknya dan keluarga sebelum melakukan kesalahan itu.
  
Wahid didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah mempercepat kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.
  
Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta pada 10 Julai 2008.
  
Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan pada 31 Mei 2012, Hakim Mahkamah Tinggi turut mengekalkan pembebasan itu.
  
Bagaimanapun, pada 2 April lalu, Wahid diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan terhadap pertuduhan berkenaan selepas membenarkan rayuan SPRM sebelum dia mula memberi keterangan di Mahkamah Sesyen pada 15 Julai lepas.- Bernama

Muhyiddin: Projek RM3j untuk nelayan di Yan

Posted: 30 Oct 2013 02:48 AM PDT


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kelulusan pembinaan pasar nelayan serta peruntukan RM2.5 juta bagi projek tukun tiruan di Yan.

Beliau berkata RM500,000 lagi diperuntukkan untuk penambahbaikan Jeti Kuala Dulang Kecil, Sungai Limau di Yan.

Peruntukan dan kelulusan itu adalah tanggungjawab kerajaan bagi menaik taraf hidup nelayan yang sememangnya menjadi antara keutamaan kerajaan, katanya.

"Oleh itu kalau jeti di Sungai Limau tak elok, belanja RM500,000 kita luluskan, kalau nelayan kata tak ada tempat untuk buat berniaga jadi mereka nak pasar, Menteri (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) tadi kata, boleh,.

"Kemudian katanya tak cukup tukun tiruan...dimaklumkan pimpinan negeri tadi dah ada RM2.5juta peruntukan untuk menambah tukun-tukun tiruan," katanya pada Majlis Sarapan 1Malaysia di Kuala Dulang Kecil, di Yan hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Yan, Saidin Kassim dan calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Muhyiddin berkata nelayan, selain petani dan peladang, adalah kumpulan istimewa dari pandangan mata kerajaan kerana tanpa usaha dilakukan mereka, negara akan menghadapi ancaman besar dalam agenda Jaminan Keselamatan Makanan negara.

"Oleh sebab itu perkara (jaminan makanan) ini paling penting, bukan sahaja untuk negara kita malah seluruh dunia dan saya sebutkan sejak saya menjadi menteri pertanian sehingga sekarang, kita tak akan abai aspek pertanian negara, walaupun menjadi negara maju, industri bertambah bagai cendawan, kilang-kilang bawa masuk pelabur, sediakan pekerjaan.

"Soal makanan tak boleh kita abaikan, ia tetap akan menjadi asas dan keutamaan kerajaan BN, maka sebab itu apa yang telah kita usahakan, akan kita lipat gandakan, mana kurang  kita tambah," katanya.

Sementara itu, mengenai pencerobohan kawasan perairan oleh nelayan-nelayan yang tidak mempunyai kelayakan lesen bagi kategori tertentu, Muhyiddin berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) akan menguatkuasakan peraturan berkaitan bagi mencegah isu berkenaan berlarutan.

"Saya diberitahu, di Kuala Kedah sahaja 23 kes penguatkuasaan dilakukan, mereka yang terlibat telah ditahan APMM dan di Kuala perlis ada 29 kes, maknanya penguatkuasaan ini akan terus dijalankan supaya jangan ada pihak yang tak berhak menceroboh masuk ke kawasan yang tak dibenarkan," katanya.
- Bernama

Malaysiakini menang, rayuan k'jaan gagal

Posted: 30 Oct 2013 02:42 AM PDT

 

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya.

Hakim Alizatul Khair Othman berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Oleh itu, kami menolak rayuan itu," katanya.

Hakim juga membenarkan kos RM5,000 dibayar kepada Malaysiakini.

Keputusan itu dibuat setelah rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan arahan KDN untuk tidak mengeluarkan lesen penerbitan kepada penerbit Malaysiakini Mkini Dotcom Sdn Bhd, didengar hari ini.

Peguam kanan persekutuan Norhisham Ismail berkata, beliau akan menunggu arahan sama ada mahu merayu atau tidak terhadap keputusan hari ini.

Manakala peguam Malaysiakini K Shanmuga pula berkata, dengan keputusan itu, portal bebas atas talian itu harus menghantar semula permohonan untuk mendapatkan permit penerbitan akhbar bercetak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) pada 1 Oktober 2012 membatalkan keputusan KDN kerana ia "tidak wajar dan tidak rasional".

Syarikat itu memohon menerbitkan akhbar harian dinamakan "Malaysiakini" dengan edaran 40,000 naskhah di Lembah Klang untuk dijual dengan harga RM1.

Kerajaan Jangan Hukum Sekolah Cina

Posted: 30 Oct 2013 02:35 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta bersikap adil dalam memberikan peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) sama seperti yang diagihkan kepada sekolah lain.

Ahli Parlimen BN-Ayer Hitam Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya kesal SMJKC seolah-olah dipinggirkan apabila hanya dapat RM50 juta setahun dalam peruntukan Bajet 2014, berbanding RM100 juta sebelum ini.

Malah sebelum Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU-13) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji untuk meneruskan peruntukan tahunan RM100 juta bagi penyenggaraan dan penambahbaikan sekolah Cina.

Wee berkata, tidak wajar mendiskriminasi memandangkan sistem pendidikan SJK mempunyai silibus kokurikulum sama seperti sekolah kebangsaan.

"Kalau sebelum ni untuk dua tahun berturut-turut dapat bantu SMJK kenapa kali ini tidak ada?

"Takkan kita dipinggirkan macam tu sahaja...kalau kita bantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dalam keadaan daif dan ramai ahli parlimen yang perjuangkannya, bagaimana pula dengan SMJK," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu

Beliau menambah, sekolah Cina tidak patut dihukum berdasarkan keputusan PRU-13 apabila majoriti sokongan pengundi Cina menunjukkan mereka tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, apa yang berlaku semasa PRU-13 tidak patut dikaitkan dengan dasar kerajaan terutamanya melibatkan sektor sistem pendidikan.

"Apa yang perlu dilakukan bukan cara menghukum tapi membantu dan konsep tertentu ada keperluan kita bagi bantuan apatah lagi dalam sektor pnddidikan tak patut ada sebarang kaitan dengan sokongan sesuatu pihak terhadap kearjaan.

"Sepatutnya diasingkan seperti mana termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia," katanya.
Katanya, kerajaan perlu ada satu percaturan jangka panjang dan MCA akan terus mengadakan perbincangan dengan Najib bagi usaha mendesak supaya peruntukan yang diterima sama seperti sekolah lain.

"Sokogan (undi) itu perkara biasa, dengan mengimbangi dasar kita dan memberi bantuan kepada rakyat satu hari nanti rakyat akan merasai keikhlasan kerajaan.

"PRU-14 belum tentu sokongan masyarakat Cina tak bagi kepada BN," katanya.

DUNIACACAMARBA

Posted: 30 Oct 2013 03:15 PM PDT

Gula Mahal Sebab Kerajaan 'Terlalu Bijak' Import Gula Mentah -Tony Pua

[Roketkini] KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER: DAP mengecam tindakan kerajaan yang menggunakan perlbagai helah sebagai alasan untuk menghapuskan baki subsidi gula sebanyak 34 sen sekilogram bersamaan RM521 juta setahun.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pengurangan gula dapat meningkatkan 'libido' serta mengaitkan kematian mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akibat diabetes sama sekali tidak boleh diterima.

Menurut beliau, hakikat sebenar rakyat terpaksa 'menikmati' gula lebih mahal kerana tindakan kerajaan menandatangani perjanjian mengimport gula mentah dengan harga lebih mahal daripada harga pasaran.

"Jika kita mengambil kira harga gula mentah di pasaran antarabangsa sekarang iaitu US$18.91 setiap 100lbs, bukan sahaja kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi malah harga gula akan menjadi lebih daripada RM2.84 sekilogram.

"Pada Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kerajaan telah menanda tangan perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US$26 setiap 100lbs.

"Persoalannya sekarang, mengapa kerajaan membeli gula mentah dengan harga yang jauh lebih mahal daripada harga pasaran ketika itu iaitu US$23.42? Perbezaan harga kontrak melebihi 10 peratus daripada harga pasaran dan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan menegaskan, beliau ketika itu telah memberi amaran kepada kerajaan bahawa semua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan harga gula akan menurun akibat 'excessive supply' atau pengeluaran gula mentah yang terlampau tinggi.

"Tetapi amaran saya langsung tidak dihiraukan kerajaan, malah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir menjawab di Parlimen kononnya 'harga gula mentah dunia dijangka akan terus meningkat pada masa depan'," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan bertanggungjawab kerana membuat keputusan yang tidak wajar, akhirnya menyusahkan semua rakyat.

"Ismail Sabri pada Januari tahun lalu dengan angkuhnya menyatakan 'let me remind you that the government is smart' kerana menanda tangan perjanjian tiga tahun itu.

"Sejak Januari 2012, harga gula antarabangsa menjunam serendah US$16.70 setiap 100lbs pada September 2013. Ini bermakna kerajaan membeli gula dengan 55.7 peratus lebih mahal daripada harga pasaran bulan lalu.

"Mengikut harga pasaran sekarang, kerajaan sudah terlebih bayar sebanyak RM194 juta atau mengimport 2.73 bilion paun gula mentah setiap tahun. Hari ini, ia dibuktikan bahawa keputusan itu adalah ketetapan yang salah dan amat merugikan negara.

Beliau turut menggesa kerajaan memperjelaskan mengapa mereka mengimport gula mentah bagi pihak pengilang gula 'duopoli' di Malaysia iaitu Malaysian Sugar Manufacturing Bhd dan Tradewinds Bhd.

"Bukankah ia lebih baik untuk rakyat jika syarikat ini diberi tekanan untuk bersaing dan tidak dilindungi pihak kerajaan daripada risiko pasaran?

"Kerajaan tidak boleh terus menggunakan alasan tidak munasabah untuk menjelaskan kenaikan harga gula. Jelas, sebab utama mengapa ia meningkat bukannya penyakit kencing manis atau pengurangan subsidi tetapi disebabkan tindakan mengimport gula mentah bagi pihak pengilang dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

"Akibatnya, kerugian beratus-ratus juta ini terpaksa ditanggung rakyat," tegasnya.

Tambahnya, kerajaan perlu mengakui kesalahan yang dilakukan, menyiasat sebab gula mentah diimpot dengan harga jauh lebih mahal dan mengumumkan dasar pembetulan (corrective action) supaya penambahan beban rakyat tidak diulangi. - 29/10/13

P/s: Ingat gula mahal, ingat Pak Menteri di atas, 5 tahun lagi, pakat-pakat undi lagi dia dan geng.

Tiada ulasan:

Pengikut