Selasa, 15 Oktober 2013

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong


Perutusan khas Ketua Dewan Pemuda Pas Puchong Sempena Hari Raya Eidul Adha

Posted: 14 Oct 2013 08:14 PM PDT

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd..


Segala puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan Alam ini sebagai nikmat untuk kita syukuri. Selawat dan Salam buat junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, serta ahli keluarga Baginda dan para sahabat radiyallahu anhum ajma'in.


Syukur Alhamdulillah kita dipertemukan oleh Allah SWT dengan hari yang mulia ini tatkala sebahagian umat Islam sedang menjadi tetamu Allah di Baitullah Al-Haram untuk menunaikan rukun Islam yang kelima,iaitu Ibadah Haji. Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam yang telah berpuasa pada hari semalam,tanggal 9 zulhijjah sebagai menyahut Sunnah yang dianjurkan Oleh Nabi SAW. Hari wukuf di arafah telah mengumpulkan sekalian umat Islam yang mengerjakan Fardhu Haji telah menyaksikan kesamarataan manusia dari segi darjat dan kedudukan di dunia bila mana kita dikumpulkan dengan wajah dan pakaian yang serupa persis keadaan manusia dikumpulkan pada hari akhirat di Padang Mahsyar kelak. Mereka dan kita yang sedang atau bakal menjadi tetamu Allah perlu mengambil ibrah ini sebagai satu persiapan kita menuju ke alam akhirat. 


Pada hari ini, Kita berkumpul di hari yang sangat indah. Mungkin di sebahagian tempat cuacanya agak mendung, ada yang cuacanya cerah dan boleh jadi cuaca menunjukkan titis-titis hujan tanda rahmat Allah yang tidak terhingga di pagi Eidul Adha ini. Pagi tadi kita telah menunaikan Solat Hari Raya secara berjemaah di surau-surau mahupun di Masjid-masjid dan seterusnya kita mendengar 2 khutbah yang disampaikan oleh khatib. Pada saat ini pula, pasti sebahagian besar drpd kita sedang berkumpul di qariah masing-masing untuk menunaikan ibadah korban yang telah disyariatkan kepada kita semua. 


Ibadah korban yang bertitik tolak daripada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s atas Perintah daripada Allah SWT,haruslah kita amati sedalam-dalamnya sebagai orang yang beriman. Apatah lagi jika kita merupakan pejuang agama Allah yang sudah pastinya menerapkan elemen tadhiyyah dalam perjuangan kita. Jihad yang kita lakukan tidak lain adalah atas perjuangan mempertahankan Aqidah yang suci ini. Sudah menjadi asam garam dalam perjuangan ini yang sentiasa dihujani dengan peluru ujian dan tidak kurang juga hujan nikmat yang sentiasa memayungi setiap daripada kita. Justeru, tanpa asas kefahaman yang jitu dan kuat serta tahap pengorbanan yang tinggi, sudah pastilah kita tidak mampu mengharungi badai yang mendepani kita.


Terlalu banyak pengajaran dan hikmah yang Allah SWT tunjukkan kepada kita hanya melalui ibadah Haji ini sahaja. Bahkan, tidak berdaya saya ceritakan semuanya di sini. Namun, Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sebalik ibadah Haji ini seharusnya menjadi teladan kita bersama.


 Di kesempatan ini, saya bagi pihak keluarga saya dan seterusnya keluarga besar Dewan Pemuda PAS Puchong ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eiduladha dan Hari-hari tasyriq-11,12 dan 13 zulhijjah kepada seluruh umat Islam di Puchong ini khususnya dan Seluruh Negara Amnya. Hayatilah makna pengorbanan ini sewajarnya dan ingatlah firman Allah SWT surah Al-Hajj ayat ke 37:

لن ينال الله لحومها ولا دماؤها ولكن يناله التقوى منكم ۚ كذلك سخرها لكم لتكبروا الله على ما هداكم ۗ وبشر المحسنين

Maksudnya:

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.


Mudah-mudahan kita berjaya menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd..


Mohd Rosharizan Bin Mohd Rozlan

Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong

Belasungkawa dari Dewan Pemuda PAS Puchong Atas Pemergian YB Tan Sri Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak

Posted: 25 Sep 2013 11:26 PM PDT



Belasungkawa dari Dewan Pemuda Pas Puchong atas pemergian YB Tan Sri Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Kami merasa sangat dukacita di atas pemergian beliau buat selama-lamanya meninggalkan dunia ini di saat para aktivis dan amilin PAS khususnya sangat memerlukan buah fikiran dan ketajaman akal beliau dalam mencorak perjuangan ini. Saff pemuda di sini turut merasakan bahawa ketiadaan beliau merupakan satu kehilangan yang besar yang mungkin tiada galang gantinya. Walaupun kita dipisahkan oleh alam yang berbeza,namun kami yakin bahawa,perpisahan ini adalah perpisahan yang sementara,kerana kita semua sedang mempersiapkan diri untuk bertemu pada suatu hari nanti. Ruh perjuangan yang ditiupkan oleh beliau akan terus disematkan dalam lubuk sanubari kami. Mudah-mudahan pertemuan itu nanti adalah pertemuan yang kekal abadi di jannah. Kami berdoa, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para pejuang agama Allah SWT dan lebih manis lagi sebagai pejuang yg gugur syahid atas jalan jihad ini.

Mohd Rosharizan Mohd Rozlan
Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong



Tiada ulasan:

Pengikut