Pakatan Rakyat |
Posted: 28 Sep 2013 03:09 PM PDT tolong tengok dari awal hingga akhir video ni. Ustaz Azizan yang ku kenali... TANGGAL 24 Ogos 2013 pasti terpahat dalam memori saya kerana itulah kali pertama bertentang mata dengan Ustaz Azizan sejak beliau dimasukkan ke hospital akibat komplikasi diabetik. Sebaik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang selepas menziarahi Ustaz Azizan di wad ICU (HSB), saya dibenarkan melawat, ditemani bekas Setiausaha Politik beliau, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa ahli Pas yang turut berada di situ. Sebaik melangkah ke bilik yang menempatkan Ustaz Azizan, hati tidak sekuat yang saya sangka. Saya berdiri disisi Ustaz Azizan tanpa berkata-kata, hanya renungan yang mampu saya berikan. Sedangkan dalam benak ini, banyak yang ingin saya katakan. Ustaz Azizan ketika itu membuka mata apabila Muhammad Sanusi memanggil, "Ustaz, Linda Sinar mai tengok ustaz". Ustaz Azizan merenung lama wajah saya. Saat itu, tidak tertahan air mata ini mengalir laju ke pipi. Saya cuba berbual dan meluahkan beberapa patah perkataan, namun tak dapat diteruskan… Muhammad Sanusi sekali lagi bertanya kepada Ustaz Azizan, "Ustaz ingat dak?". Ustaz Azizan membalas "Ingat". Arwah tetap merenung saya dengan kelopak matanya yang kuyu, seakan menggagahi diri untuk berbual. Tiba-tiba Ustaz Azizan berkata, "Terima kasih" (kerana datang). Sebaik sahaja kata-kata itu diucapkan, saya tidak mampu lagi bertentang mata dengan pemimpin berjiwa besar ini, yang cukup kuat melawan derita ketika itu. Saya segera meminta diri dan berdiri seketika di luar pintu, cuba menenangkan diri. Jururawat seolah-olah memahami perasaan saya dan memaklumkan kondisi Ustaz Azizan ketika itu. Kali kedua saya menziarahi Ustaz Azizan ialah ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melawatnya semasa kunjungannya ke Kedah sempena Multaqa Ulama pada 15 September lalu. Waktu itu, saya agak panik melihat pelawat dikehendaki memakai pakaian khas dan sarung tangan jika masuk ke bilik. Disebabkan itu, saya hanya melihat dari luar pintu perbualan dua sahabat itu. Sekali lagi, air mata tidak dapat ditahan, lalu saya beredar dan menanti di ruang legar ICU. Kali ketiga hajat saya tidak kesampaian. Saya menelefon isteri Ustaz Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah (yang lebih mesra dengan panggilan Tok Puan), memaklumkan untuk hadir melawat. Sebaik tiba di pintu masuk ICU, saya sekali lagi menelefon Tok Puan memaklumkan sudah tiba, namun jawapan dari Tok Puan amat mengejutkan: "Nak tengok apa Linda; dah tak ada", sayu tutur katanya. Sehari sebelum sakit Saya masih ingat kali terakhir berjumpa Ustaz Azizan sebelum beliau jatuh sakit. Ketika itu hari mengundi PRU13 (5 Mei 2013). Tepat jam 9 pagi saya sudah berada di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di mana Ustaz Azizan mengundi. Puas kami (media) menunggu hingga tengah hari, namun kelibat Ustaz Azizan tidak kelihatan. Saya menekan nombor telefon berkali-kali, tetapi semuanya masuk pesanan suara. Terdetik di hati seolah-olah ada yang tidak kena, namun pegawai Ustaz Azizan hanya memaklumkan beliau lewat kerana singgah di beberapa lokasi untuk jumpa pengundi. Saya akur walaupun tahu benar itu bukan stail Ustaz Azizan. Ketika itu, saya antara percaya dengan tidak dengan alasan yang diberi. Tetapi, demi tugas, saya tetap menunggu hingga jam hampir 1 petang. Pada masa sama, saya terus menekan nombor telefon hingga akhirnya Ustaz Azizan menjawab panggilan. Saya bertanya: "Kenapa tak datang mengundi?". Ustaz Azizan lantas berkata: "Kurang sihat, demam; kaki pula sakit." Mendengar itu, saya menyarankan Ustaz Azizan berehat sahaja dan tidak perlu datang. Namun Ustaz Azizan pula berkeras suruh kami (media) menunggu dan akan tiba dalam 20 minit. Tidak sampai hati pula untuk hampakan harapan Ustaz Azizan. Ketika beliau sampai, saya lihat Ustaz Azizan jalan berdingkit-dingkit, sambil dipimpin setia oleh pembantunya, Shahril Elham. Wajahnya tetap ceria, walaupun ketika itu jelas sedang menahan kesakitan. Itulah Ustaz Azizan. Beliau bagaikan lilin, sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain. Banyak situasi menunjukkan Ustaz Azizan banyak berkorban, sama ada dalam parti mahupun kerja. Pada luarannya, nampak Ustaz Azizan seperti tegas dan perongos, tetapi hati beliau lembut dan banyak bertolak-ansur. Walaupun mengenalinya hanya lima tahun (2008-2013), saya dapat memahami karakter beliau. Ia amat berbeza dengan pemimpin Pas lain, umpama satu dalam sejuta. Kali pertama Saya masih ingat waktu awal memulakan tugas di Kedah (2008) iaitu selepas peralihan kuasa. Saya sering kali disuruh ketua untuk dapatkan reaksi Ustaz Azizan bagi isu-isu semasa. Ketaq perut setiap kali mahu menekan nombor telefon beliau sebab orangnya garang. Demi tugas saya beranikan diri, dapat dua tiga patah pun sudah cukup untuk 'goreng' berita. Disebabkan terlalu kerap menelefon, suatu hari, pada sidang media di Wisma Darul Aman, Ustaz Azizan bertanya, "Mana satu Linda?". Saya ketika itu berada di barisan belakang, terus berkata: "Ya, saya". Rakan media di hadapan membuka ruang untuk saya ke depan. Saya tersengih tak tahu nak kata apa. Azizan dengan wajah serius, bersuara: "Kamu ni, duk telefon saya. Saya marah, kamu telefon lagi. Saya marah lagi, kamu telefon juga. Saya dah tak tau nak marah macam mana lagi". Kata-kata itu tak pernah saya lupa kerana sejak itu jugalah hubungan saya dengan arwah semakin baik, dan arwah mula beri kerjasama. Ada kala, ketika bertanya isu panas, sebelum Ustaz Azizan memberi ulasan, sudah tentu saya kena marah dulu. Yang bestnya, selepas marah, Allahyarham akan memujuk dengan kata-kata jenaka, bagaikan seorang bapa bercakap dengan anaknya. Ada juga rakan media yang dihamburi atau ditengking jika cuba dapatkan reaksi Allahyarham melalui telefon. Dari hari ke hari, saya cuba membina hubungan lebih mesra antara media dan Ustaz Azizan. Banyak pandangan saya berikan kepada Allahyarham supaya hubungan beliau dengan media menjadi lebih diplomasi dan relaks. Sejak itu Ustaz Azizan dilihat semakin bersikap terbuka dengan media. Beliau sebenarnya bukan tidak mesra media pada awalnya, tetapi sebenarnya beliau kecewa kerana banyak kenyataannya di putar belit. Setiap kali berita Ustaz Azizan terpampang di dada akhbar yang tidak menyenangkan, setiap kali itu juga Allahyarham menghubungi saya untuk memberi kenyataan balas atau sekadar meluahkan perasaan. Namun sebagai bekas Pengarah Urusan Harakah, Ustaz Azizan akur dan faham dengan pendirian setiap akhbar di negara ini. Sebab itu, Allahyarham tidak melatah tetapi ambil sikap malas nak layan. Jika Ustaz Azizan berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja, pagi-pagi lagi beliau menghubungi saya untuk bertanya khabar Kedah, apa yang berlaku sepanjang ketiadaan Allahyarham. Disebabkan itu juga, saya perlu sentiasa alert dengan apa yang berlaku kerana saya tahu Alllahyarham akan hubungi saya bila-bila masa sahaja. Mungkin Ustaz Azizan mahukan perspektif berbeza satu-satu isu, di mana sebagai orang media, saya telus menceritakan dari semua sudut. Kaya dengan perumpamaan unik Paling saya suka sikap Ustaz Azizan yang gemar berjenaka, berseloroh tak kira masa. Sidang media Allahyarham dinanti-nanti saya dan rakan-rakan media lain. Bukan apa, nak tahu apa pula perumpamaan dicipta pada hari itu. Sampai ke hari ini, masih terngiang-ngiang riaknya yang bersahaja. Pernah bila ditanya isu tanah, Allahyarham menjawab: "Nak potong tanah bukan macam potong tepung talam. Ukur-ukur potong. Nak kena sukat, ambil masa". Jika bertanya pula isu calon PRU13, jawabnya: "Macam nak tangkap ikan la. Ada masa kita guna jala, pukat, bubu, pancing. Banyak cara." Paling tidak dapat saya lupa, perumpamaan 'Ibarat beruk atas pokok cermai', yang mengundang ketawa semua yang hadir. Ustaz Azizan, secara berseloroh, menggambarkan situasi itu kepada Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, yang sering mendesaknya menjelaskan isu-isu semasa. Balas Ustaz Azizan spontan: "Kamu tahu pepatah Melayu ada kata 'jangan usik beruk atas pokok cermai'. Beruk atas pokok cermai, dia tengok kita dia usik kita, kita pun tengok. Jika kita sama layan dia, dia lagi syok goncang pokok sampai habis jatuh buah dan daun cermai. Jadi tak payah layan. Jika kita layan sampai bila pun tak habis." Itulah antara kenangan yang begitu sentimental buat saya. Pemergiannya ditangisi, kehilangannya dirindui. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Amin… Nukilan, |
Posted: 28 Sep 2013 03:06 PM PDT Banyak pihak meluahkan kekecewaan dan keraguan apabila kerajaan menggunakan khidmat pakar perunding luar untuk mendraf Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Mengapa perlu orang luar sedangkan kepakaran mereka diragui, sedangkan Malaysia sendiri mempunyai kepakaran? Penggunaan pakar runding luar ini mengulangi kontroversi kerajaan menggunakan khidmat syarikat perunding publisiti yang ada kaitan dengan Israel, Apco. Bagi yang lupa, Perlembagaan Malaysia juga didraf oleh orang puteh, malangnya selepas 56 tahun draf pendidikan negara pula didraf oleh orang asing. Berita Berkaitan: 'Bukan Pakar' Dibayar RM20j untuk Pelan Pendidikan [MK] Anggota Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan penglibatan perunding antarabangsa McKinsey and Co dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Menurut jawapan Parlimen oleh Kementerian Pendidikan, firma itu dibayar RM20.56 juta untuk menyediakan dokumen itu. Bagi anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming, langkah itu hanya membazirkan wang pembayar cukai. Katanya, McKinsey adalah firma perunding pentadbiran umum yang didakwa tiada kepakaran khusus dalam bidang pendidikan, terutamanya apabila dibandingkan dengan pasukan petugas untuk projek itu. "Setakat yang saya tahu, ini kali pertama perunding luar digunakan untuk mendraf rangka dasar pendidikan Malaysia dan dengan kos ini," kata Ong dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini. -24/9/13 Dr M: RM20j Tugas Perunding? Saya Pun Boleh [MK] Selepas kerajaan membelanjakan RM20 juta sebagai yuran perundingan bagi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan sinis berkata beliau juga boleh melakukannya. Bercakap dalam satu sidang akhbar di Subang Jaya petang ini, Dr Mahathir berkata, beliau pun boleh menjadi pakar tempatan, tapi tiada siapa yang mahu memberinya tugas tersebut. Beliau mengulas pertanyaan berhubung langkah kerajaan membayar sejumlah wang yang besar itu kepada McKinsey & Co untuk perkhidmatan perundingan. Ia menjadi sasaran kritikan hebat pembangkang kerana mereka mendakwa firma tersebut bukan pakar dalam bidang pendidikan. Tambahan pula, langkah menggunakan khidmat agensi asing juga dilihat sebagai mengetepikan teknokrat tempatan yang ramai dibawa pulang oleh PEMANDU di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib TUn Razak. Mahathir juga menyentuh tentang kedudukan yang kurang baik universiti-unversiti di negara ini, dengan berkata ia mungkin disebabkan oleh pengembangan terburu-buru dalam bidang pendidikan tinggi. Katanya, pengembangan institusi pendidikan menjadi begitu pantas sehingganya sukar untuk mendapatkan tenaga pendidik, profesor dan pensyarah. Bekas perdana menteri itu berada di Sunway University hari ini untuk menyampaikan biasiswa Yayasan Jeffrey Cheah kepada pelajar yang berkelayakan. - 27/9/13 Pelan Pendidikan: Apakah Sumbangan Sebenar McKinsey? September 26, 2013 FMT LETTER, Dari Ong Kian Ming dan Zairil Khir Johari, via e-mail Kami berasa amat hairan membaca maklumbalas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pendedahan bahawa syarikat perunding McKinsey & Co telah dibayar RM20 juta untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidkan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menurut laporan media, beliau dipetik sebagai berkata, "Saya percaya itu satu kadar yang berpatutan sebenar pasal dalam mana-mana usaha yang kita buat pun, kita memerlukan beberapa pihak yang agak lebih pakar membantu." Sememangnya kami tidak menafikan bahawa pandangan, pendapat dan analisa daripada pakar, khususnya pakar pendidikan, adalah diperlukan. Namun begitu, kami mempertikaikan mengapa perunding bukan pakar pendidikan telah dilantik sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar yang mampu melaksanakan tugas tersebut. Sebagai contoh, laporan akhir PPPM sendiri telah menyenaraikan sumbangan daripada pakar-pakar tempatan, termasuk kajian oleh enam buah universiti awam tempatan, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Penguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT). Malah, Kementerian Pendidikan juga telah memperolehi khidmat nasihat antarabangsa daripada pakar-pakar seperti UNESCO, yang telah menyediakan laporan terperinci mengenai pembangunan kurikulum, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, pendidikan guru, latihan dan pendidikan teknik dan vokasional; serta peperiksaan dan pentaksiran murid. Selain itu, Bank Dunia (World Bank) juga telah menjalankan kajian menyeluruh ke atas perbelanjaan awam (Public Expenditure Review) termasuk sektor pendidikan pada tahun 2011. Pada masa yang sama, Panel Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin juga telah menyediakan laporan hasil daripada mesyuarat-mesyuarat Townhall yang telah diadakan di 14 negeri. PEMANDU pula melaksanakan Makmal Pendidikan dengan sokongan pasukan NKRA Pendidikan. Makmal tersebut diketuai oleh pakar-pakar tempatan daripada Kementerian Pendidikan termasuk daripada Institut Aminuddin Baki. Di samping itu, Panel Penilai Bebas Malaysia juga telah ditubuhkan di bawah pimpinan Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak. Panel Penilai Bebas Antarabangsa pula telah ditubuhkan dengan keanggotaan pakar-pakar seperti Dr Andreas Schleicher (Ketua, Analisis dan Indikator, OECD), Dr Byong-Man Ahn (Mantan Menteri Pendidikan Korea Selatan), Prof Michael Fullan (Penasihat Khas kepada Premier dan Menteri Pendidikan Ontaria, Kanada) dan Prof Sing Kong Lee (Pengarah, Institut Pendidikan Kebangsaan, Singapura). Ketersediaan khidmat nasihat pakar-pakar di atas adalah bukti bahawa Kementerian sudah mempunyai pakar pendidikan yang bukan sahaja mampu tetapi bertaraf antarabangsa. Justeru, mengapa perlunya Kementerian melantik perunding McKinsey dengan jumlah RM20 juta? Adakah ini "berpatutan"? Tambahan pula, sumbangan sebenar McKinsey – yang bukan pakar dalam bidang pendidikan – adalah tidak jelas kerana tidak disenaraikan langsung dalam laporan PPPM. Jika McKinsey tidak menyumbang dari segi input, adakah peranan mereka itu hanya sekadar menulis laporan sahaja? Tampaknya, jelas bahawa khidmat perunding McKinsey adalah tidak perlu, bukan sahaja dari segi input malah dari segi penyediaan laporan. Ini kerana kerajaan mempunyai pelbagai jabatan dan agensi yang tidak kurang kemampuannya, seperti pasukan NKRA dan NKEA Pendidikan (PEMANDU), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan atau EPRD (Education Planning and Research Division), serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) yang ditubuhkan pada bulan April 2012. Apakah menteri tidak mempunyai keyakinan pada pakar-pakar dan pegawai-pegawai sendiri untuk menjalankan tugas mereka? Ong Kian Ming adalah ahli parlimen Serdang manakala Zairil Khir Johari adalah ahli parlimen Bukit Bendera. PPPM: Malaysia Ada Pakar Runding, Tidak Perlu Bazir RM20 juta [TMI] DAP hari ini membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada media semalam yang mempertahankan pembayaran RM20 juta kepada syarikat perunding bagi penyediaan Pelan Pembangunan dan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013 - 2025). Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, berkata kenyataan Menteri Pendidikan itu sangat tidak jelas dan meragukan kerana McKinsey & Co dikatakan hanya firma perunding am biasa bukan pakar dalam bidang pendidikan seperti didakwa. "Apa yang menghairankan ialah apabila syarikat itu langsung tidak disenaraikan dalam PPPM. Jika McKinsey tidak memberi sumbangan daripada segi input, adakah peranan mereka itu hanya sekadar menulis laporan sahaja," kata kedua-dua ahli parlimen DAP itu dalam satu kenyataan bersama hari ini. Mereka turut mempersoalkan kewajaran kerajaan melantik khidmat perunding asing walhal negara juga mempunyai pelbagai tenaga pakar bertaraf antarabangsa yang mampu memberikan input terbaik. "Kita ada pelbagai agensi kerajaan seperti pasukan NKRA dan NKEA Pendidikan (Pemandu), jadi tindakan Muhyiddin ini adakah bermaksud beliau tidak yakin dengan khidmat pegawai kerajaan," kata kenyataan itu. Semalam, Muhyiddin berkata, RM20 juta adalah berpatutan berbanding apa yang ditawarkan syarikat tersebut termasuk kerana mengambil kira tempoh dua tahun untuk melaksanakannya. "Perlu ingat penyediaan kita meliputi skop yang luas kita membawa beberapa pakar membantu, mengadakan konsultansi serta melantik beberapa panel antarabangsa dan turun ke setiap negeri. "Ia usaha yang bukan mudah dan murah jadi kita fikir RM20 juta itu masih berpatutan dan perincian bayaran pelan itu kita akan berikan kemudian" katanya. Pelan PPPM menyenaraikan 20 individu berkebolehan tinggi yang menjadi sebahagian daripada projek tindakan dan projek pengurusan pejabat termasuk Pengarah Bahagian Perancangan Dasar Pendidikan dan Kajian, Dr Faridah Abu Hassan serta Pengarah NKRA dan NKEA, Tengku Azian Tengku Shahriman. – 26 September, 2013. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan