Pakatan Rakyat |
Posted: 11 Jul 2013 03:13 PM PDT Mesir terus diganggu Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 11 Jul 2013 Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah. Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir'aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir'aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir'aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah. Nabi Ya'akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya', maka Mesir dinamakan bumi para anbiya'. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir'aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir'aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira'un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir'aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan. Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin. Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi. Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat. Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa. Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat. Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam. Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat dan seluruh dunia. Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan sumbangan duit negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal. Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya. Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka'abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan. Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W.: سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44) (Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :" Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar). Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan seluruh alam)". Sabdanya: وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87) (….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi). Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang? Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir'aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir'aun dunia dan akhirat. Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim. Firman Allah yang bermaksud: 137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul). 138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku. Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja : (1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata dan (3) Munafiq yang berpura-pura. Presiden PAS, 11 Julai 2013 |
Posted: 11 Jul 2013 03:11 PM PDT [SH] PUCHONG – Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam. Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam. Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit. Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker. Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam. Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ. Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas. Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung. "Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen. "Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ," katanya. Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan