Isnin, 3 Jun 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 03 Jun 2013 03:11 PM PDT

Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes kematian dalam tahanan N Dhamendran akan digantung tugas hariannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

NONEMenjawab berhubung desakan menggantung empat anggota polis yang kini diberi tugasan pejabat berikutan kematian Dhamendran, secara ringkas Zahid berkata tindakan itu kini "dalam proses".

Ahmad Zahid mengulas perkara itu selepas bertemu Ketua Delegasi Serantau bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah Jeremy England di kementeriannya hari ini.

Malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan majlis tersebut tetapi hanya mendapat satu rakaman temubual dengan menteri terbabit.

Mengulas mengenai tiga kes kematian dalam tahanan dalam tempoh 11 hari lalu, Zahid seterusnya mempertahankan pasukan polis.

Katanya, tidak adil jika menyalahkan pasukan polis secara keseluruhan atas tindakan sesetengah anggota yang melampaui garis panduan operasi siasatan.

Tambahnya, garis panduan operasi polis itu juga mungkin perlu disemak semula. [Baca berita penuh]
Sementara itu Bernama melaporkan Ahmad Zahid menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat India, supaya tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga individu dalam tahanan polis baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap.

NONE"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian.

"Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya keinginan Pengarah Strategik MIC S Vell Paari bersama NGO berasaskan India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian berterusan individu India dalam tahanan polis.

Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya pegawai kanan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini.

"Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya.

Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan keadilan.

"Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini.

"Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.

"SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang berkenaan," katanya.

Tiga insiden kematian tahanan terbaru ialah; R Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.

N Dhamendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P Karuna Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin Sabtu lalu.

DUNIACACAMARBA

Posted: 03 Jun 2013 03:02 PM PDT

[Bernama] Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.

Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.

Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.

Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan.

Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.

Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan.

Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai 2008, membuat satu lagi akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang pertama.

Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan bersumpah itu.

Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu".

Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya.

Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Rayuan pada 10 Jun.

Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Tiada ulasan:

Pengikut