Selasa, 18 Jun 2013

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU


Memahami kebangkitan anak muda

Posted: 18 Jun 2013 01:41 AM PDT

Oleh Abd Shukur Harun

Tidak terlalu sukar untuk memahami kebangkitan anak muda, termasuk pelajat sekarang, terutama menjelang dan selepas PRU yang lalu. Oleh itu, sebarang kegagalan memahaminya, sama ada pihak individu atau pemimpin parti politik dan pendukungnya, akan mengundang masalah yang sangat besar.

Ini kerana, sama ada kita bersetuju atau tidak bersetuju dengan pemikiran dan sikap generasi baru ini, mereka tetap hadir dalam masyarakat, bahkan mewarnai kehidupan masyasrakat, khususnya jalur politik tanah air.

Sebab itu Pakatan Rakyat sangat perlu terus berada di tengah-tengah golongan anak muda, dalam masa yang sama juga berada di tengah masyarakat biasa.

Memang ada sesetengah anggota masyarakat merasa jengkel atau mencebik melihatkan demikian ramai anak-anak muda di samping golongan veteran yang menyertai Himpunan Bersih 0.2 dan 0.3 serta pelbagai himpunan lain sebelum PRU, baik di Kuala Lumpur mahupun di seluruh negara.

Malah selepas PRU, juga himpunan berterusan - yang dinamakan Himpunan Black 505 – di mana anak-anak muda dan golongan pelajar ini menuntut tiga perkara:

Pertama: Tidak akan menerima keputusan PRU13. Kedua: Menuntut ditubuh SPR baru. Ketiga: Mengadakan pilihan raya semula di kawasan apa yang didakwa berlaku penipuan.

Puluhan ribu anak muda telah menyertai himpunan tersebut. Mereka terdiri dari pelbagai kaum dan agama dan pelbagai latar belakang keluarga serta pendidikan. Menunjukkan kebangkitan anak muda ini tidak dilatari sebarang elemen perkauman dan sebagainya. Mereka datang secara sukarela dengan kenderaan dan belanja sendiri.

Sebelum itu, para hari mengundi, 5 Mei yang bersejarah itu, anak-anak muda semua bangsa – terutamanya di bandar-bandar besar dan semi bandar – telah berbaris panjang di saluran enam dan tujuh, di tempat mengundi. Ini menunjukkan anak-anak muda telah full-force pergi mengundi dan ini adalah manifestasi kesungguhan mereka untuk menentukan haluan politik negara di mana menurut kajian, anak muda ini kebanyakkannya menyokong Pakatan Rakyat.


Mengapa mereka menyokong Pakatan, justru kerana mereka melihat Pakatan mampu membawa perubahan jika menang.

Sementara itu ratusan ribu, terutama anak muda (perantau) yang bekerja di bandar besar, seperti di Kuala Lumpur, telah pulang mengundi di negeri masing-masing, malahan ada pendapat yang mengatakan bahawa calon Pakatan Rakyat yang menang sebahagian besarnya adalah disebablan undi anak muda perantau, seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Dari Singapura, ratusan ribu anak muda Malaysia, pelbagai bangsa, yang bekerja di negara itu, telah pulang ke Malaysia untuk mengundi menyebabkan selama dua hari kesesesakan di Tambak Johor dan Link-Kedua di Gelang Patah.

Apa yang menyebabkan berlaku phenomena kebangkitan anak muda ini yang dilihat jarang sangat berlaku dalam sepanjang sejarah PRU di negara ini.

Wartawan Veteran, Datuk A. Kadir Jasin dalam tulisan di blognya The Scribe berkata, antara isu besar yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi Cina, undi bandar dan undi pemilih muda ialah kerana isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa di mana imej BN semakin dipertikaikan, sama ada kerana persepsi atau realiti.

Menurutnya, dengan bertambahnya bilangan wakil pembangkang dalam Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri, cabaran terhadap Kerajaan BN berkaitan isu ini akan meningkat. Tetapi ‘peperangan’ terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukanlah untuk menyelamatkan Kerajaan BN, tetapi adalah untuk menyelamatkan negara.

Kepada saya, ini pandangan yang sangat objektif dan sewajarnya diterima oleh semua pihak, iaitu suatu pandangan berdasarkan pengamatannya yang tajam.

Sebuah lagi pandangan yang menarik, ialah dari bekas Ketua Polis Negara (KPN) dari Tan Sri Musa Hassan, yang menyifatkan golongan muda masyarakat Cina tidak menghormati orang Melayu kerana mereka menerima rasuah, sambil menggesa Putrajaya supaya serius memerangi isu rasuah sekiranya mahu menghentikan sentimen tersebut dari berlarutan.

Menurut Musa, apabila orang Melayu terlibat dalam rasuah, masyarakat Cina akan melihatnya sebagai satu bentuk pengkhianatan kerana menjual hak kepada orang lain.

Pada pendapat saya, bukan saja masyarakat Cina yang menentang rasuah dan penyelewengan, bahakan bangsa Melayu yang prihatin juga menentang rasuah dan penyelewengan. Lebih-lebih lagi Islam sangat tegas menentang rasuah, atau mengumpul harta secara haram.


Di sinilah anak muda prihatin, yang tidak tenggelam dengan segala macam program hiburan di TV dan yang ada di tengah masyarakat, telah menzahirkan penentangan yang nyata terhadap pelbagai kemungkaran yang berlaku.

Ramai di kalangan anak muda beragama Islam yang turut serta solat berjamaah di tengah padang sebelem perhimpunan, sesuatu yang sangat mengharukan.

Mereka ini adalah anak semua bangsa yang cinta damai, tetapi dalam masa yang sama menentang rasuah, penyelewengan, penipuan, perkauman dan segala bentuk kemungkaran.

Oleh itu, adalah sangat wajar pemimpin politik, khususunya dari Pakatan Rakyat serta pelbagai golongan masyarakat memahami phenomena anak muda ini dengan menyedari bahawa mereka ini adalah generasi masa depan negara.

Sekiranya Pakatan rakyat, secara sedar atau tidak sedar, menjauhkan diri atau berjauhan dengan generasi muda ini, maka mereka akan kehilangan sokongan dari suatu angkatan yang penting dan ini sangat merugikan.

Dari itu dekatilah golongan anak muda ini, belajar mengenal aspirasi mereka, cita-rasa mereka. Pakatan Rakyat sangat memerukan sokongan berterusan golongan anak muda ini kerana mereka adalah pengundi masa depan, di mana suara mereka adalah penting dalam menentukan kuasa dan masa depan negara.

Tiada ulasan:

Pengikut