DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU |
Penipuan pilihanraya atau kepincangan demokrasi? Posted: 02 Jun 2013 09:06 PM PDT Oleh Zulkifli Yahaya Penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi agenda penting dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13. Sejak mula dicadangkan sehinggalah perkara itu termaktub dalam manifesto, frasa 'hapus PTPTN' menjadi fokus utama oleh Pakatan. Frasa itu juga yang dikutip oleh BN sebagai modal untuk terus mengelirukan rakyat. Dalam media massa, ceramah, perang saraf dan gerak kempen BN mereka menempelak cadangan Pakatan itu dalam bentuk persoalan yang sangat pandir, "Jika PTPTN dihapuskan, macam mana anak Melayu yang miskin nak meneruskan pengajian di IPT?". Mungkin kita akan ketawa dengan kedunguan mereka memahami maksud 'hapus PTPTN' namun jangan menolak hakikat bahawa kedunguan yang disengajakan oleh para pemimpin Umno untuk memanipulasi isu tersebut telah berjaya menipu jutaan pengundi Melayu. Sejuzuk orang Melayu yang buta isu semasa (yang hanya mendapat maklumat dari TV3 dan RTM semata-mata) khuatir sepenuhnya terhadap cadangan Pakatan tersebut. Mereka yang segolongan itu, sekalipun mungkin kurang cerdik, tetapi tetap memiliki hak mengundi. Mereka adalah antara yang menyumbang kepada kemenangan BN. Bukankah fokus yang sepatutnya dibuat Pakatan ialah memberi, pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi - ganti PTPTN dengan biasiswa dan tidak perlu bayar balik! 'Hapus PTPTN' sengaja dijadikan muqaddimah ulasan kali ini untuk berhujah bahawa, ada kalanya kita tersalah memberi fokus. Pasca PRU13, rakyat Malaysia serta dunia dikejutkan dengan kegagalan Pakatan menawan Putrajaya sekalipun semua petunjuk sebelum PRU menjelaskan bahawa Pakatan sudah menguasai majoriti. Mood rakyat secara tampak, dikuasai oleh Pakatan sepanjang tempoh PRU hinggalah di saat-saat terakhir sebelum hari mengundi. Ditakdirkan Pakatan hanya menang undi popular (tepat seperti kajian yang dibuat oleh beberapa badan professional) tetapi kalah jumlah kerusi dimenangi yang dibuat berasaskan sempadan pilihanraya. Maka muncul gerakan baru selepas PRU, yang menyandarkan kekalahan Pakatan di tangan BN disebabkan penipuan yang berlaku sepanjang proses mengundi dan mengira undi. Antara yang dilibatkan ialah dakwat kekal yang tidak kekal, penipuan daftar pemilih dan penipuan dalam pengiraan yang dibantu oleh kejadian padam lampu sehingga gerakan membantah itupun dinamakan sempena kejadian tersebut iaitu Blackout 505. Soalannya, adakah fokus terhadap 'penipuan pilihanraya' itu betul sebagai punca utama kekalahan Pakatan di Pusat? Pengerusi SPR dan Timbalannya menegaskan bahawa tidak ada satu pun kejadian lampu padam semasa mengira undi pada 5 Mei lalu. Namun beberapa pemimpin Pakatan berjaya membuktikan memang berlaku tiga kejadian lampu padam di tempat pengiraan undi di seluruh negara. Persoalannya, jika lampu tidak padam di tiga tempat tersebut adakah Pakatan berjaya tawan Putrajaya? Isunya, bukan lampu padam atau tidak tetapi bagaimana penipuan itu dibuat. Setakat ini tiada siapa dapat beri penjelasan. Pengarah Strategik KeADILan Rafizi Ramli mendedahkan bagaimana terdapat kertas undi yang terdapat dalam tong undi di satu pusat mengundi, lebih besar jumlahnya dari bilangan orang keluar mengundi. Kononnya angka tersebut tercatat dalam Borang 14. Persoalannya, semasa proses kira undi di mana agen mengira undi parti yang mewakili Pakatan? Agen tersebut wajib membantah apabila berlaku lebihan kertas undi dan mendesak pihak SPR membuang kertas undi tidak sah dengan merujuk kembali kepada nombor siri kertas undi yang dikeluarkan. Kesalahan seperti itu hanya boleh berlaku jika agen mengira undi parti tidak menjalankan tugas, 'dibeli' atau tidak hadir sewaktu proses kira undi berjalan. Jika hal ini berlaku, tidak guna menyalahkan musuh kerana musuh sentiasa mencari peluang bermain kotor. Saya tidak berhasrat memperincikan isu penipuan ini kerana sebahagian besar isu yang dibangkitkan dapat dijawab dengan mudah oleh SPR. Jawapan politik yang menyakitkan hati oleh SPR dan BN ialah jika berlaku penipuan mengapa Pakatan boleh menang di tiga negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen? Akhirnya fokus terhadap penipuan pilihanraya akan diadili di mahkamah melalui petisyen yang dibuat. Isu penipuan boleh jadi bola tanggung yang kembali menempelak jika tidak banyak petisyen mampu dibuat atau dimenangi. Ulasan ini bukanlah bertujuan mencetuskan anti klimaks terhadap gerakan membantah 'penipuan pilihanraya', teruskan! Tetapi bukankah fokus yang paling tepat terhadap kekalahan Pakatan ialah kerana kepincangan demokrasi. Kembali kepada intipati tuntutan Bersih. Itu fokus yang paling tepat dan boleh dibuktikan. Kepincangan demokrasi ialah apabila pembangkang dinafikan hak bersuara melalui kesemua media elektronik lebih-lebih lagi RTM yang menjadi milik rakyat, BN menggunakan jentera dan premis kerajaan untuk berkempen dan menyalahgunakan dana kerajaan atau duit rakyat untuk gerakerja parti politik BN. Pembangkang dilayan seperti musuh negara. Kakitangan kerajaan dipaksa mendengar kempen BN yang dibuat atas nama program jabatan. Rakyat yang menjadi penerima bantuan kerajaan melalui skim tertentu dipaksakan menerima dakyah BN, sebelum bantuan dihulurkan. Di saat Malaysia sudah aman sejahtera, anggota tentera, polis serta isteri mereka yang bergaul dalam masyarakat awam dipaksa menjadi pengundi pos. Undi pos tidak terus dikira pada hari yang sama undi terkumpul, sebaliknya disimpan di balai polis beberapa hari tanpa pengawasan agen calon yang sudah tentu terdedah kepada tindakan memadam dan memangkah semula kertas undi tersebut. Undi pos sudah tidak relevan di Malaysia. Semua perkara tersebut terkandung dalam agenda tuntutan Bersih. Penipuan pilihanraya cuma satu aspek hiliran dari kepincangan demokrasi, jadi wajarlah kepincangan demokrasi di Malaysia itu yang sangat perlu difokuskan. http://notautara.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan