Rabu, 19 Jun 2013

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Pelatih PLKN Sri Ledang lahir bayi dalam tandas

Posted: 19 Jun 2013 02:53 AM PDT



MUAR 19 Jun 2013 - Seorang remaja yang sedang menjalani latihan di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Ledang di Jementah, dekat sini melahirkan seorang bayi lelaki di tandas kem berkenaan sebelum bayi tersebut dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Bayi lelaki seberat 2.7 kilogram itu difahamkan dilahirkan di tandas berkenaan kira-kira pukul 3 pagi sebelum kejadian itu disedari pengurusan kem yang kemudian membawa ibu bayi terbabit bagi mendapatkan rawatan selain membuat laporan polis.

Remaja berusia 18 tahun bersama anaknya yang cukup sifat itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini. Bagaimanapun bayi tersebut disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba untuk rawatan.

Dia dipercayai berasal dari sebuah kawasan Felda di Kulaijaya dan dikatakan memasuki PLKN tersebut pada April lalu serta dijadualkan akan menamatkan latihan beberapa hari lagi.

Sukarnya mendapat kerja hanya kerana memakai tudung

Posted: 18 Jun 2013 07:07 PM PDT






SAYA merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya menetap di luar bandar dan perawakan saya ialah seorang gadis bertudung sesuai dengan identiti saya sebagai seorang Muslimah.

Sementara menunggu peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, saya mengambil kesempatan menggunakan masa yang terluang untuk bekerja.

Harapan saya agar pendapatan yang diperoleh nanti dapat menampung sedikit sebanyak keperluan saya, terutama untuk memulakan pengajian nanti.

Saya memulakan langkah mencari pekerjaan di sebuah hotel yang terletak di Bandaraya Bersejarah selepas terbaca iklan mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan. Saya memohon untuk bekerja di bahagian pembersihan (house keeping).

Penemuduga itu bersedia menerima saya sekiranya saya bersedia untuk tidak memakai tudung.

Penemuduga juga memberitahu ia adalah syarat 'normal' untuk bekerja di hotel. Mungkin salah saya kerana tidak mengetahui akan syarat itu kerana kehidupan saya yang tidak terdedah dengan suasana di hotel.

Mungkin juga tidak keterlaluan jika dikatakan itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di hotel. Namun jauh di sudut hati saya terselit rasa kesal kerana saya tidak berupaya menerima pekerjaan tersebut kerana syarat 'normal' itu.

Selepas itu saya turut memohon pekerjaan di sebuah pusat membeli-belah yang baru dibuka.

Banyak kedai yang menawarkan jawatan kosong sebagai pembantu kedai. Tetapi apabila ditanya majikan turut meletakkan syarat 'normal' itu untuk saya diterima bekerja. Malahan kedai yang menjual barang permainan untuk kanak-kanak turut meletakkan syarat tersebut.

Saya berasa begitu tersinggung dengan keadaan ini. Saya tidak faham. Islam ialah agama rasmi negara tetapi sensitiviti berhubung agama ini diabaikan.

Sememangnya bukan salah mereka meletakkan syarat 'normal' itu. Tetapi adakah menjadi kesalahan saya berpenampilan sewajarnya yang ditetapkan oleh agama saya?

Mungkin penampilan saya yang bertudung tidak menarik perhatian untuk pelanggan berkunjung ke kedai mereka atau menjejaskan imej mereka yang sering menjadi tumpuan pelancong asing.

Mungkin juga isu yang cuba saya ketengahkan ini kelihatan remeh kepada sesetengah pihak, namun jujur saya katakan, ia agak berat untuk gadis bertudung seperti saya.

Bagaimana nasib sesetengah gadis bertudung yang begitu terdesak memerlukan pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka? Adakah kami harus mengorbankan identiti diri demi mencari rezeki di zaman moden ini?

HYENA
Negeri Sembilan


Pengarah akaun hotel `dipaksa' berhenti kerana bertudung

Seorang pengarah akaun sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana memakai tudung.

Habsah Jaafar, 46, mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Kata beliau, tindakan pengurusan hotel terbabit yang memberikan pelbagai `tekanan' seperti menghalangnya daripada datang ke tempat kerja jika memakai tudung turut memaksa beliau membuat keputusan berhenti kerja pada 17 Februari lalu.

``Mereka (pengurusan hotel) bimbang jika saya datang kerja dengan bertudung, ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja lain untuk berbuat demikian,'' katanya.

Menurut Habsah, isu itu mula timbul apabila beliau memohon untuk bercuti setelah mendapat tawaran mengerjakan haji pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, permohonan untuk bercuti bagi menunaikan haji walaupun tanpa gaji ditolak dan hanya diluluskan lima hari sebelum beliau bertolak ke Tanah Suci.

``Dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi hotel, saya juga diberikan `gambaran' supaya berhenti kerja jika ingin mengerjakan haji,'' katanya.

Habsah berkata, sekembalinya daripada mengerjakan haji, beliau yang sebelum itu mendakwa `terpaksa' membuka tudung ketika bertugas memutuskan untuk memakai tudung ketika masuk kerja pada 9 Februari lalu.

Ekoran keputusan itu katanya, beliau telah dipanggil pengurusan hotel terbabit dan diberikan kata dua sama ada membuka tudung ketika bertugas atau berhenti kerja.

``Sebagai orang Islam, bila mereka suruh saya buka tudung, saya rasa seolah-olah mereka suruh saya berbogel,'' katanya yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang perhotelan.

Siswazah Melayu sukar dapat pekerjaan dengan kerajaan

Posted: 18 Jun 2013 07:06 PM PDT




SAYA terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia Rabu 5 Jun, 2013 yang mendedahkan bahawa siswazah Melayu didiskriminasi. Pihak kerajaan, khasnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) wajar mengambil iktibar terhadap nasib yang dialami oleh siswazah Melayu mutakhir ini. Sememangnya siswazah Melayu berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan. Malah siswazah pendidikan keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sendiri pun mengalami nasib yang sama.

Realitinya, siswazah Melayu pemegang Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah kebangsaan (SK) juga telah 'didiskriminasikan' kerana sehingga kini belum lagi mendapat tawaran penempatan di mana-mana sekolah.

Rakan-rakan mereka yang seangkatan dalam kalangan siswazah Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) telah bertugas di sekolah-sekolah berkenaan seawal Januari lalu.

Mengapakah perkara sebegini berlaku?

Lebih malang lagi, para siswazah cemerlang yang telah ditemu duga pun masih menganggur. Apakah maknanya Guru Interim yang diwar-warkan dahulu?

Lebih malang lagi, kumpulan siswazah tersebut seperti telah digantung tidak bertali. Pihak SPA telah mengeluarkan surat pelantikan jawatan kepada mereka sebaik selesai ditemu duga pada April 2013 tetapi anehnya dalam surat tersebut tidak dinyatakan sekolah tempat bertugas dan tarikh melapor diri.

Ini bermakna siswazah tersebut masih menjadi penganggur terhormat dan dalam keadaan serba salah mengenai nasib masa depan masing-masing.

Sehubungan itu, saya merayu kerajaan memberi perhatian dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu siswazah tersebut.

Warga Pendidik
Tanjung Malim, Perak.

Tiada ulasan:

Pengikut