Selasa, 5 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Pemuda PAS Sabah Sedia Jadi Sukarelawan

Posted: 05 Mar 2013 06:53 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Sabah bersedia menjadi sukarelawan bagi menghulurkan bantuan kepada pasukan keselamatan negara jika diperlukan.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata perkara tersebut diputuskan melalui mesyuarat tergempar parti itu, yang diadakan malam tadi.

Biarpun tidak meletakkan jumlah sukarelawan tersebut, Aminuddin berkata Pemuda PAS Sabah bersedia sekiranya negara memerlukan lebih ramai sukarelawan.

Selain itu, mesyuarat itu turut mencadangkan agar satu sidang khas Dun Sabah diadakan bagi tujuan memperincikan krisis di Lahad Datu itu agar lebih difahami rakyat, khususnya di Sabah.

"Sidang khas itu perlu bagi mendapatkan perincian mengeni krisis ini. Pandangan dan pendapat yang pelbagai mungkin membantu ke arah menyelesaikan krisis ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin juga berkata satu mesyuarat tergempar melibatkan Pakatan Rakyat Sabah turut akan diadakan pada tempoh yang terdekat.

Malah, pihaknya juga memutuskan untuk menemui Majlis Keselamatan Negeri Sabah dan Ketua Polis Sabah bagi mendapatkan maklumat sebenar kerana maklumat sebelum ini masih tidak memberikan keyakinan kepada rakyat.

Aminuddin juga sekali lagi mengulangi saranan Dewan Ulama PAS Pusat dan jabatan-jabatan agama, khususnya Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS) untuk mengarahkan masjid-masjid dan surau-surau untuk melakukan solat hajat.

PAS Sabah sendiri, tambah beliau akan mengadakan solat hajat perdana di setiap kawasan pada 7 Mac ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan turut mengumumkan kesediaan Pemuda PAS Malaysia untuk bersama-sama membantu pasukan keselamatan negara di Sabah sekiranya diperlukan.

Lahad Datu: Nasib Baik Ada Media Baru

Posted: 05 Mar 2013 06:08 PM PST

oleh: Ust. Idris Ahmad

Jika peristiwa keganasan di Lahad Datu berlaku 10 tahun yang lalu sudah pasti pemimpin Pakatan Rakyat dicincang lumat oleh media ortodok Umno di negara ini. Nasib menyebelahi PR kerana sekarang ada media baru, maka penjelasan boleh dibuat secepat kilat. Dengan ini perancangan mereka untuk mengaitkan peristiwa ini gagal.

Cuba bayangkan sewaktu langit terbuka ini pun media Umno masih menyebarkan fitnah kononnya ia ada kaitan dengan pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelik bin ajaib, di Semenanjung mereka menuduh Pakatan Rakyat hendak buang Raja, manakala di Sabah Pakatan Rakyat hendak melantik Raja.

Kenapa pemimpin Umno BN masih berfikiran primitif walau pun berada di zaman maklumat di hujung jari. Di dalam suasana gawat sehingga terkorban anggota keselamatan,  media yang menjadi tali barut Umno tidak pernah bertaubat dan insaf untuk menghentikan kerja jahat mereka demi memuaskan nafsu serakah ketuanya.

Penjelasan pantas melalui media alternatif seperti  kenyataan yang disiarkan portal berita interaksyon.com, anak kepada Sultan Jamalul Kiram III, Puteri Jacel Kiram menafikan ada hubungan dengan pembangkang Malaysia.

Media Umno cuba menggelap berita bagaimana Saudara Lokman Adam Exco Pemuda Umno mengaku menjadi penasihat Sultan Sulu.

Jika Lokman ini pemimpin PR, maka gegak gempita dunia dengan mengatakan bahawa PR menjadi penasihat kumpulan pengganas Sultan Sulu sehingga mengorbankan anggota keselamatan negara.

_____________________________________________________________________
Penulis ialah Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan, Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Tiada ulasan:

Pengikut