Isnin, 4 Mac 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Jangan fikir jawatan PM, TPM - TG Abdul Hadi

Posted: 03 Mar 2013 03:41 PM PST


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa buat masa ini tidak perlu timbul sebarang isu mengenai jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU akan datang.

"Yang penting sekarang ini ialah memberitahu rakyat mengenai pemerintahan yang adil jika Pakatan berkuasa," kata beliau ketika berucap di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya PAS Negeri Selangor 2013 di sini semalam.

Berucap di depan lebih 800 petugas pilihan raya PAS Selangor dalam suasana yang sangat ceria, Presiden PAS itu dengan suara paling tegas berkata, "yang penting sekarang kita hendak menang pilihan raya dulu untuk memerintah secara adil.

"Jika menang, barulah kita fikirkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri."

Menurutnya, masa ini tidak berbangkit lagi isu jawatan tersebut kerana kita hendak tumpukan perhatian kepada gerak kerja pilihan raya, memberitahu rakyat akan manifesto Pakatan Rakyat iaitu hendak memerintah dengan adil kepada semua rakyat berbilang kaum.

Selanjutnya beliau berkata, setiap petugas PAS dan Pakatan Rakyat perlu menumpukan perhatian untuk memberitahu kandungan manifesto Pakatan kerana manifesto tersebut adalah dokumen Pakatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan memerintah secara adil.

Presiden PAS itu berkata lagi bahawa perjuangan PAS/Pakatan rakyat bukan hendak merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang individu, tetapi untuk menegakkan keadilan dan mereka yang mengundi Pakatan bukan mengundi individu tetapi mengundi dasar perjuangan yang dibawa oleh Pakatan.

"Kita menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama dan Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tegas disambut dengan takbir oleh para hadirin.

Menurutnya, sepanang sejarah PAS menyertai tahaluf siyasi sejak dengan Semangat 46 dulu hingga kini, PAS tidak pernah rugi, malah banyak menguntungkan Islam.

"Jika PAS banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di peringkat Parlimen dan Dun, maka insya Allah, PAS akan dapat menggantikan Umno," ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan pendukung PAS, bahawa dalam perjuangan ini "kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah, bertawakkal dan berserah kepada Allah menentukannya".

PRU13: 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan' dilancar

Posted: 03 Mar 2013 03:40 PM PST


Tuan Guru Abdul Hadi menerima Deklarasi Shah Alam daripada Setiausaha Perantau.

SHAH ALAM: Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) hari ini berikrar akan menjatuhkan kerajaan Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) selepas sekian lama negeri itu berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

Ikrar tersebut terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang dibaca di Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2013 (HAT13) di Unisel, dekat sini hari ini.

Kira-kira 800 Perantau yang hadir dari seluruh Lembah Klang itu berikrar akan melaksanakan lima perkara iaitu:

1. Untuk terus berusaha membawa rakyat Terengganu keluar dari kemelut kemunduran, kemiiskinan dan kos sara hidup yang tinggi dalam segala bentuk yang kami mampu.

2. Membawa pulang ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba demi kemajuan dan kemakmuran Terengganu.

3. Terus menuntut agar hak royalti rakyat negeri Terengganu dikembalikan kepada kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu sebagai hak rakyat Terengganu, dan bukannya sebagai belas ihsan.

4. Untuk terus mengembeling usaha bersama rakyat Terengganu mengembalikan kegemilangan dan maruah rakyat Terengganu melalui kedaulatan Islam dalam sebuah negeri yang penuh dengan kebajikan serta kemakmuran.

5. Untuk menyeru dan mengajak rakyat Terengganu seluruhnya agar menumbangkan pemerintahan Umno dan BN yang telah terbukti gagal dalam membawa kemakmuran, kemajuan dan kedaulatan Islam di Negeri Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya berkata, PAS sangat mengharapkan undi Perantau  pada PRU13 kerana Terengganu berperanan penting memperkasa politik Melayu Islam.

"Dalam memperkasa politik Melayu Islam Terengganu memainkan peranan besar.

"Kita perlu sedar Terengganu merupakan negeri yang diperkasa dengan Islam melalui dengan kewujudan  batu bersurat.

"Terengganu juga merupakan negeri yang paling akhir dijajah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ustaz Hadi turut melancarkan kempen 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan'.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Terdahulu, program diisi dengan diskusi 'Terengganu Maju: Impian dan Harapan Rakyat yang dibarisi lima ahli panel.

Mereka ialah  Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah, Pengerusi Amanah Terengganu, YM Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Anggota GLC Selangor, YM Raja Idris Raja Kamaruddin, Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP) PAS, Prof Dr Mohd Khazani Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad.

Sebelum itu, YM Raja Kamarul Baharin juga membentangkan kertas kerja 'Harapan Orang Terengganu' (Hot).

Manakala Prof Dr Mohd Khazani membentangkan kertas kerja 'Terengganu Maju: Harapan dan Cabaran.

Lahad Datu: Kenapa polis bukan tentera kendali

Posted: 03 Mar 2013 03:40 PM PST


KOTA KINABALU: PAS mendesak agar pihak kerajaan tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, ketelusan pihak kerajaan memberikan penjelasan adalah penting bagi menjaga integriti dan maruah Malaysia.

"Kita harap kerajaan kena telus, kena bertanggungjawab... kerana ini melibatkan masalah integriti dan maruah negara.

"Apa lagi sudah sampai ke tahap ada yang sudah terbunuh dalam kejadian ini. Jadi, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang tidak serius," jelas beliau.

Tambah beliau, isu tersebut seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan apabila melibatkan polis dibarisan hadapan pertahanan negara.

"Pada pandangan kita, isu ini sepatutnya ditangani oleh tentera bukan polis. Kenapa sebaliknya, adakah ada sesuatu yang cuba disembunyi oleh kerajaan. Ini penjelasan yang kita minta," kata beliau.

Mustafa berkata demikian kepada Harakahdaily selepas menyertai program dengan bakal-bakal calon PAS di sebuah hotel dekat sini semalam.


5 lagi polis mati


Insiden di Lahad Datu naik ke fasal yang sangat membimbangkan sekarang apabila lima lagi anggota polis diberitakan terkorban di Semporna.

Bernama melaporkan, seorang pegawai dan empat anggota polis meninggal dalam serangan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam.

Menurut Bernama, ia disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar pada sidang media di Lahad Datu pagi ini.

Nasrudin 'berjakuk' Iban di Kota Samarahan

Posted: 03 Mar 2013 03:40 PM PST


(Tetamu lain juga tergelak mendengar Nasrudin 'berjakuk' Iban)

KOTA SAMARAHAN: Satu lagi sejarah telah tercipta semasa lawatan kerja Ketua Dewa Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasruddin Hassan ke Sarawak malam tadi apabila menyampaikan ucapan dalam bahasa Iban.

Perkara ini ternyata mengejutkan hadirin yang hadir termasuk barisan pimpinan PAS yang menyertai majlis itu.

Di dalam ucapan itu beliau menegaskan bahawa arus perubahan telah berlaku di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.
Rakyat sudah mula muak dengan berita berat sebelah yang disiarkan di media arus perdana.

Beliau mengajak rakyat Sarawak agar bersatu hati memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU yang ke 13 nanti.

"PAS udah dikerembai bak menua Sarawak ari taun  1996. PAS tuk sitik parti politik enggau dakwah untuk semua rakyat. Maya ke bepilih kunsil negeri Sarawak 2001 mula pertama kali PAS bertanding di menua Sarawak. Mayanyak walaupun baru pertama bertanding enda nyau ilang duit deposit."

(Yang bermaksud PAS melebarkan sayapnya di Sarawak pada tahun 1996. PAS adalah sebuah parti politik dan dakwah untuk semua rakyat. Pilihanraya negeri sarawak pada tahun 2001 merupakan titik tolak dan langkah pertama Pas terlibat di dalam pilihanraya di Sarawak. Walaupun pertama kali bertanding di Sarawak, PAS tidak hilang duit deposit)

Ratusan masyarakat setempat hadir memeriahkan Program Pentas Anak Muda malam tadi.

Turut menyampaikan ucapan Abang Ahmad Kardee dan Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo.

Ucapan kedua-dua anak Sarawak yang menggunakan bahasa Melayu Sarawak ini menarik perhatian masyarakat yang hadir malam tadi.

Respon daripada hadirin jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Pemuda PAS Sarawak yang terdiri daripada anak tempatan.

Selain ucapan, Program Pentas Anak Muda Sayang Sarawak ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Mel Wings yang dijemput khas PAS Kota Samarahan.

Program yang berlangsung di hadapan perkarangan Pejabat PAS Kota Samarahan ini menyaksikan perasmian kata laungan semangat PAS Sarawak, "Mansang Ngelaban" yang bermaksud mara berjuang.

"Mansang Ngelaban"!!!

Tiada ulasan:

Pengikut