Khamis, 21 Mac 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PRU13: 9 negeri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat

Posted: 20 Mar 2013 11:17 PM PDT

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli menjangkakan sembilan negeri akan jatuh kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Katanya, keadaan inilah antara faktor yang menghalang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan parlimen, yang kini sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Malah Hatta percaya, rakyat negara ini memang tidak sabar hendak mengundi kerana mereka akan membuat perubahan yang besar dalam PRU itu nanti.

"Saya yakin penantian rakyat untuk menunggu tarikh pembubaran parlimen satu penyiksaan buat mereka, penyiksaan yang  tidak tertanggung.

"Sebab itulah, apabila mereka mendapat berita pembubaran semalam, terus menarik nafas lega kerana ia memang ditunggu-tunggu mereka. Masing-masing menyatakan kekecewaan bila dapat tahu ianya tidak jadi," katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, dalam hal ini kerajaan tidak boleh hendak salahkan rakyat Malaysia kerana pengumuman yang ditunggu begitu lama.

Bagaimanapun Hatta menyeru rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat agar meneruskan persediaan jentera pilihan raya sementara menanti tarikh rasmi dengan persiapan yang sepatutnya.

"Jangan terlalu kecewa dengan waktu dan tarikh pembubaran sehingga menjejaskan gerak kerja kita," katanya.

Apabila diminta tarikh yang akan dipilih Najib Tun Razak, Hatta menjangkakan pembubaran parlimen akan berlaku pada hujung bulan sama ada 28 hingga 30 Mac ini.

Terkini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalankan sisatan berhubung penyebaran maklumat atau berita palsu menerusi internet dan SMS ekoran maklumat palsu mengenai pembubaran Parlimen yang tersebar di beberapa laman sosial semalam.

Berita palsu yang memetik kononnya kenyataan itu dikeluarkan oleh perdana menteri, tersebar di laman-laman sosial kira-kira 12.30 tengah hari, selepas perdana menteri dilihat keluar daripada Istana Negara pagi semalam.

Ekoran berita palsu itu, Pejabat Perdana Menteri menafikan khabar angin kononnya Dewan Rakyat dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Ceramah 23hb Mac 2013, Di Dun Kemuning

Posted: 20 Mar 2013 11:17 PM PDT


Penjawat awam bukan bergaji buta

Posted: 20 Mar 2013 04:34 PM PDT


KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman menyifatkan tindakan segelintir pesara kerajaan yang mengkritik pelbagai dasar kerajaan atas pentas politik bersama parti pembangkang sebagai tidak mengenang budi adalah pandangan yang sangat dangkal.

"Penjawat awam bukannya bergaji buta, gaji yang diterima adalah untuk kerja yang dilakukan. Setelah sekian lama membanting tulang untuk kerajaan dan rakyat, tindakan menganggap pesara yang kini menyokong pembangkang sebagai tidak mengenang jasa adalah pandangan yang sangat dangkal," kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim menyarankan Datuk Omar Osman untuk mengkaji kenapa para pesara kini beralih menyokong pembangkang.

"Sebagai Presiden CUEPACS, beliau harus sedar bahawa beliau bukan mewakili parti pemerintah. Beliau mewakili pelbagai kakitangan yang terdiri dari pelbagai segmen parti politik," tegur Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan beliau bahawa CEUPACS tidak sepatutnya menjadi agen parti pemerintah dengan bertindak mengecam pesara kerajaan semata-mata kerana mereka kini menyokong pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru Omar untuk menghormati hak 600,000 pesara yang kini mula menyatakan sokongan kepada pembangkang.

"Beliau sepatutnya memperjuangkan kebebasan kepada kakitangan awam dalam menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka sukai.

"Akibat tekanan melampau semasa mereka bertugas menyebabkan mereka hanya menunggu hari pencen untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan yang memerintah," hujah Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengingatkan kejadian pemberian penyapu oleh Menteri Besar Selangor yang menjatuhkan maruah kakitangan awam dan menimbulkan pelbagai tekanan kerja.

"Penyalahgunaan kuasa politik Umno sehingga memaksa kakitangan awam meninggalkan tugasan di pejabat semata mata memenuhi program Umno juga menimbulkan ketidaksenangan kakitangan awam.

"Bahkan ada yang menerima surat tunjuk sebab kerana tidak menghadiri program anjuran parti pemerintah yang tiada kena-mengena dengan tugasan," tambah Tuan Ibrahim.

Ceramah Di Kg Pak Roman, Dun Temangan

Posted: 20 Mar 2013 04:33 PM PDT




PRU13: PAS letak 22 calon wanita

Posted: 20 Mar 2013 04:32 PM PDT


KUALA LUMPUR: PAS meletakkan 22 calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dari 22 kerusi tersebut, lapan darinya adalah kerusi parlimen, manakala 14 kerusi dewan undangan negeri (Dun).

Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud, berkata 22 kerusi untuk calon wanita itu telah dimuktamadkan parti.

"Setakat ini, 22 kerusi telah dimuktamadkan untuk calon di kalangan muslimat. Mungkin ada pertambahan lagi," tegas beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, kerusi-kerusi tersebut meliputi beberapa negeri seperti di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak.

Beliau juga berkata, asalnya mereka (muslimat PAS) meminta setiap negeri satu kerusi parlimen, dan satu kerusi Dun.

"Bagaimanapun, kami mendapat kerjasama yang baik apabila ada negeri yang menawarkan lebih dari satu kerusi untuk calon wanita," tegas beliau.

Ketika ditanya tentang kuota 30 peratus yang dituntut, Dr. Mariah berkata ia belum mencapai peratus tersebut kerana ia turut merangkumi calon wanita daripada DAP dan PKR.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan mana-mana calon wanita yang menang pada pilihan raya umum ke-12 lalu, turut dicalonkan semula.

"Insya Allah, semua calon wanita yang menang pada PRU lepas, dicalonkan semula memandangkan laporan prestasi yang baik daripada kami," tegas ahli Parlimen Kota Raja itu.

Selain itu, kata beliau terdapat muka baru yang akan menjadi calon wanita, termasuk aktivis NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.

Keluarga Diraja pimpin rakyat serah memorandum

Posted: 20 Mar 2013 04:32 PM PDT


(Ribuan rakyat Terengganu yang turun menyerahkan memo kepada Ahmad Said)

KUALA TERENGGANU: Hari ini dalam sejarah, apabila keluarga sendiri turun padang memimpin ribuan rakyat untuk menyerahkan 'Memorandum Rakyat' kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said.

Himpunan aman dan serahan memorandum tersebut dipimpin oleh Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


(Tengku Paduka menyerahkan memo kepada wakil MB)

Kata Tengku Seri Paduka, kerajaan Terengganu yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said gagal mempertahankan hak rakyat dan wajar disingkirkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, rakyat perlu tahu kenapa saman kerajaan terhadap pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan ditarik-balik secara 'senyap' tanpa perbincangan dan persetujuan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

"Royalti ini hak kita, hak rakyat dan hak negeri Terengganu yang 'dirampas' semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu, dan kerajaan PAS saman pihak Petronas dan kerajaan pusat.

"Hari ini, tiba-tiba kerajaan 'Mat' (Ahmad) Said tarik balik secara senyap-senyap, dia buat keputusan sendiri dan ini satu kesilapan besar yang dia (MB) buat…kita (rakyat) kena tukar (kerajaan) pada pilihan raya (PRU13) tidak lama lagi," tegasnya kepada Harakahdaily.

Tengku Seri Paduka diiringi oleh Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah, Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi dan Timbalan DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran dan Encik Jefri Chua.

Memorandum berkenaan mewakili 45 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang diselaraskan oleh Sekretariat Royalti Terengganu atau 'R' turut membuat desakan terhadap empat perkara kepada kerajaan negeri Terengganu.

(Doa dibaca untuk mengadu kepada Allah tentang kezaliman yang dibuat)

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah menegaskan Sekretariat 'R' mendesak empat perkara bagi memastikan kerajaan negeri Terengganu kekal mendapat hak royalti serta memelihara maruah dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman.

"Pertama, kerajaan negeri Terengganu perlu memfailkan kembali saman untuk menuntut royalti Petroleum dan 'R' komitmen akan bersama dengan Menteri Besar (Ahmad Said) dalam memperjuangkan hak royalti tanpa berbelah bagi.

"Kedua, tidak menerima sebarang istilah lain yang menggantikan 'royalti' kerana lain-lain istilah akan membawa maksud yang tidak tepat serta merendahkan hak, maruah dan kedaulatan rakyat negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian Petroleum 1974, dan kegagalan menyerahkan royalti kepada rakyat dan negeri Terengganu adalah satu 'pencabulan' semangat federalisma.

"Ketiga, menuntut Royalti Petroleum dinaikkan kepada 20 peratus sebagaimana kerajaan Aceh menerima royalty dari Indonesia sebanyak antara 30 hingga 70 peratus.

"Dan keempat, mendesak Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menarik balik secara keseluruhan (en-bloc retraction) pada 'Usul Menghentikan Royalti Petroleum' kepada kerajaan Terengganu dalam ucapan perbahasan Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, yang menjurus kepada penamatan bayaran Royalti Petroleum kepada kerajaan Terengganu pada tahun yang sama dan digantikan dengan Program Pembiayaan Wang Ehsan pada 27 Oktober 2000," jelasnya pada satu sidang media di tempat parkir Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, dekat sini.

Menurut beliau, pihak Sekretariat Royalti Terenggnau turut melahirkan rasa dukacitanya di atas penarikan balik saman kerajaan negeri Terengganu terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 21 Mac 2012, sedangkan tuntutan hak royalti belum selesai.

(Muslimat turut turun untuk menyokong penyerahan memorandum)

Katanya, MB Terengganu dibawah kepimpinan Dato' Seri Ahmad Said juga mungkir janji serta mengkhianati harapan rakyat bagi memastikan royalti Petroleum itu dipulangkan sebagaimana dijanjikan pada 11 Mac 2011, lalu.

Malah, kata beliau yang lebih mengejutkan banyak pihak bagaimana saman royalti yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ditarik balik tanpa persetujuan Dun Terengganu.

Penyerahan Memorandum Rakyat itu hanya diterima oleh Setiausaha Politik MB Terengganu iaitu Dato' Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di pintu masuk Wisma Darul Iman pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, orang ramai mula berkumpul seawal jam 9.00 pagi di tempat parkir kenderaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan berarak sejauh 500 meter ke Wisma Darul Iman.

Kesempatan itu, diambil oleh beberapa orang pimpinan NGO turut berucap dihadapan hampir 5,000 hadirin bagi menyatakan bantahan masing-masing terhadap kerajaan Umno-BN Terengganu berhubung isu royalti tersebut.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut pimpinan PAS Terengganu, Parti KeADILan Rakyat (PKR) Terengganu dan DAP Terengganu.

Ustaz Azizan pimpin PAS Kedah hadapi PRU13

Posted: 20 Mar 2013 04:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak akan terus memimpin PAS di Kedah sebagai Pesuruhjaya  dan tidak ada sebarang pertukaran dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  menjelaskan bahawa Azizan akan terus memimpin sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah dan tidak ada sebarang pertukaran dalam menghadapi PRU13.

"Semua pimpinan PAS negeri dan dewan-dewan diminta menumpukan kerja dalam menghadapi PRU yang bakal di hadapi dalam waktu terdekat ini," kata Presiden PAS dalam  satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politiknya hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan Sinar Harian hari ini mengenai cadangan Dewan Ulamak PAS Kedah supaya PAS melantik Pesuruhjaya Kedah yang baru untuk menghadapi PRU13 ini.

Tiada ulasan:

Pengikut