Selasa, 22 Januari 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Biaqpila

Posted: 22 Jan 2013 03:10 PM PST


Meskipun bekalan air di beberapa kawasan Lembah Klang sudah kembali pulih, namun kemarahan orang awam terutama penduduk pangsapuri terhadap Syabas masih belum reda.

Hari ini, sekumpulan penduduk di kawasan Bandar Tun Razak berhimpun secara aman di hadapan Masjid An-Najihin bagi mendesak Kerajaan Selangor diberikan kuasa sepenuhnya mengawal operasi bekalan air.

Penyertaan hampir 30 penduduk setempat mendapat perhatian pengguna jalan raya yang membunyikan hon kenderaan sebagai tanda bantahan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang gagal membekalkan air dengan cekap.

Mereka melaungkan slogan 'Syabas Tipu', selain membawa beberapa sepanduk dan kain rentang yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan krisis bekalan air yang berlarutan lebih dua minggu.

Selain itu beberapa sukarelawan mengedarkan risalah maklumat bekalan air Selangor kepada pengguna jalan raya ketika mereka berhenti semasa lampu isyarat merah.

Penyelaras program yang juga Setiausaha PKR Cabang Bandar Tun Razak, Osman Karim nyata berpuas hati dengan reaksi yang diberikan penduduk setempat termasuk pengguna jalan raya yang turut merasai kesan ketiadaan bekalan air.

Tegasnya, pihak bertanggungjawab diingatkan jangan terus bermain politik sehingga menyebabkan penduduk berhadapan kesukaran mendapatkan bekalan air.

"Saya berpuas hati ramai yang turun kerana kita hanya memberikan petunjuk bahawa penduduk Bandar Tun Razak prihatin dengan apa yang berlaku.

"Kita tidak boleh dipermainkan kerana agenda politik sehingga menyebabkan rakyat yang susah," beliau berkata ketika ditemui.

Seramai setengah juta penduduk di Ampang, Gombak dan Cheras terputus bekalan air selama lebih dua minggu bermula Disember lalu, selepas rumah pam Wangsa Maju gagal berfungsi.

Siasatan Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor mendapati Syabas yang mengendalikan operasi rumah pam tersebut gagal menyelenggara kelima-lima pam di fasiliti itu dengan baik.

Bekalan air dapat disambungkan semula pada minggu lalu setelah jawatankuasa itu campur tangan dan membantu Syabas memulihkan pam yang gagal.

"Dalam hal ini kami sudah bertungkus-lumus selama tiga minggu membekalkan air mentah dan minuman kepada penduduk yang terlibat.

"Adalah yang tidak adil tindakan Syabas. Kalau benar kerosakan berlaku, ternyata Syabas gagal menguruskan perkhidmatan air kepada penduduk Wilayah Persekutuan dan Selangor," ujar beliau lagi.

GB

Kerabu Bersuara ®

Posted: 22 Jan 2013 03:03 PM PST

Anggota akar umbi Pas Pulau Pinang bantah kenyataan Karpal

GEORGETOWN - Sekumpulan anggota akar umbi PAS di Pulau Pinang berhimpun di hadapan pejabat Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh di sini, bagi membantah kenyataannya mempertikai keputusan Majlis Syura PAS berhubung isu kalimah Allah.

Perhimpunan lebih sejam di Jalan Green Hall yang disertai anggota PAS dari kawasan Tanjong dan Bagan Ajam itu diketuai Pengerusi Tetap PAS kawasan Tanjong Zaidi Abu Bakar.

Mereka turut membawa sepanduk dan kain rentang yang memaparkan antaranya "Kalau Hang (Karpal) Nak Lawan Ulama Kami Langkah Mayat Kami Dulu", "Orang Melayu Jangan Undi Karpal", "PAS Wajib Keluar PR", "Kami Pertahankan Majlis Syura Ulama" dan "Karpal + Azmin Tidak Hormat Dasar PAS".

Mereka turut memijak bendera DAP.

Sementara itu, Zaidi dalam ucapannya berkata Karpal tidak berhak mencampuri urusan agama Islam dan mesti menghormati keputusan Majlis Syura yang dikaji ulama PAS selaras tuntutan syariat.

"Pada mulanya ada pemimpin PAS buat kenyataan tersasar tetapi setelah ada keputusan dari Majlis Syura Ulama, semuanya telah capai kata sepakat jadi Karpal jangan masuk campur dan keruhkan keadaan," katanya.

Beliau juga mendakwa kebanyakan anggota PAS di Pulau Pinang kecewa dengan kepimpinan PAS negeri yang hanya berdiam diri dengan kenyataan Karpal itu.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS negeri Mohamed Hafiz Mohamed Nordin menyifatkan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim bersekongkol dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

"Mereka ini terlalu berhati-hati keluar pendapat demi menjaga hati pakatan rakyat berbanding jaga kalimah Allah. Dah tiba masanya PAS tinggalkan pakatan jangan jadi pengecut," katanya.

Beliau berkata kedua-dua orang pemimpin itu langsung tidak boleh diharap untuk membela kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.

Karpal pada sidang medianya baru-baru ini berkata beliau akan memujuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar mengkaji semula pendirian Majlis Syura Ulama PAS yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh diguna orang bukan Islam termasuk Bible bahasa Melayu.

Katanya pendirian Majlis Syura itu bercanggah dengan keputusan yang dicapai pemimpin pakatan pembangkang termasuk Abdul Hadi dan Mursidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 8 Jan lalu lalu yang bersetuju dan menyokong cadangan Lim yang mendesak kerajaan pusat membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. - Bernama

Tiada ulasan:

Pengikut