Khamis, 10 Januari 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


SIASAH

Posted: 10 Jan 2013 03:30 PM PST

Oleh ABDUL HADI AWANG

Saya tidak menduga petikan ucapan saya pada awal 1980-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk Umno selepasnya, telah dijadikan satu polemik.

Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh Umno, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka Felda dan penyelewengan yang berlaku kepada Felda, riuh-rendah pembongkaran Deepak Jaikishan, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan Umno-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini.

Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah ke hadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah ke belakang.

Isu "takfir" (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular dalam Umno, di seluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam pada zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 1960-an.

Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran Barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik, ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Pada waktu itulah kita mendengar istilah "hantu kum-kum" dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. 

Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat pada zaman kitab itu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku di seluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka di atas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan para ulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya. Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai dalam kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal 1960-an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti: "Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri," dan sebagainya.

Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga ke peringkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab, mursyid aAm Ikhwan al-Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku Kita Pendakwah Bukan Hakim.

PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut Umno tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS di bawah pimpinan Datuk Asri Muda, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya Batas-Batas Iman dan Kufur dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan Umno yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu ucapan saya diselidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah.

Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab: "Ya! Sebenarnya itu ucapan saya." Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam Umno secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan pertubuhan bukan kerajaan Islam, dengan ruang terbuka dengan Umno boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. Umno tidak menjawab.

Tiba-tiba presiden Umno pada masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam Umno supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak Umno yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak Umno melantik pengerusi dan penentuan masa.

PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan Umno, padahal Umnolah yang membuka pintunya. Akhirnya Umno terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata-mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh pada masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara daripada kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 1980-an dahulu.

Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan Umno yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang tidak diingini." (Surah al-Furqaan: 63)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ialah presiden PAS.

Biaqpila

Posted: 10 Jan 2013 03:24 PM PST


Oleh Abd Shukur Harun

Tidak mustahil Himpunan Kebangkitan Rakyat, Sabtu 12 Januari ini di Kuala Lumpur akan mencapai sasarannya - sejuta orang.Pendukung PAS sendiri sudah diarahkan oleh pimpinan tertinggi parti supaya datang beramai-ramai ke Ibu Kota untuk menyertai Himpunan itu yang akan berlangsung secara aman dan tertib.

PAS Selangor sendiri, menurut arahan Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Othman, akan menghantar 300,000 orang, suatu jumlah yang sangat memberangsangkan. Negeri lain juga akan menghantar peserta seramai mungkin.

Sebenarnya majoriti rakyat sudah tidak lagi takut menyertai himpunan seperti ini, terutamanya sejak Himpunan Bersih dulu serta Himpunan Lynas, Himpunan Pengerang dan beberapa himpunan lagi. Ternyata semua himpunan rakyat ini berjalan dengan aman dan tertib, tidak ada harta benda awam yang musnah, jualan makanan dan minuman lebih laris dari biasa dan tiada sebarang gangguan terhadap kehidupan harian.

Oleh itu Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini dijangka berlangsung secara aman dan tertib. Tidak akan ada kekacuan, kecuali jika ada provokasi dari pihak tertentu yang berniat jahat untuk menimbulkan ketegangan. Namun pihak keselamatan yang disediakan oleh penganjur Himpunan yang akan bekerjasama dengan pihak polis akan mempastikan Himpunan itu akan berjalan secara aman dan penuh harmoni.

Sementelah lagi jaminan yang diberi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bahawa pihak polis akan berperanan sebagai pemudahcara pada perhimpunan 12 Januari ini. Jaminan itu diberikan oleh Ketua Polis Negara itu dalam pertemuan dengan penganjur yang diketuai oleh Haji Muhamad Sabu dengan disertai oleh 10 orang wakil termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP, Teng Chang Kim dan Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Malah, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution memberitahu bahawa pihak polis turut menyatakan kesediaan untuk menjadikan perhimpunan pada hari tersebut sebagai 'detik bersejarah' selepas 'belajar daripada kekurangan' yang berlaku semasa perhimpunan sebelum ini.

Himpunan Kebangkitan Rakyat ini adalah puncak dari segara himpunan yang terdahulu di seluruh negara menjelang PRU akan datang.

Ini adalah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang telah disusun oleh badan-badan NGO dengan kerjasama rapat dengan parti-parti politik dari Pakatan Rakyat.

Pelancaran rasmi HKR ini telah diadakan pada 3 November tahun lalu di Seremban, disambut oleh 30,000 warga yang tidak berganjak walaupun hujan turun mencurah-curah. Kehadiran dalam hujan lebat itu adalah petunjuk mengenai 'mood' rakyat telah bersedia untuk berhimpun membuat tuntutan.

NGO yang mendukung Himpunan Mega ini ialah, Anak, SAMM, Himpunan Hijau, Royalti, GMI, SMM, ABU, Muafakat atau NGO anti-PPSMI.

Pada pendapat saya, kehadiran yang dijangka satu juta rakyat dalam Himpunan itu akan menenggelamkan segala tohmahan seperti - Amanat Haji Hadi, isu murtad, isu nama Allah, kes liwat, masalah air di Selangor dan semua tohmahan lagi. Ia menunjukkan rakyat tidak peduli segala fitnah itu.

Kepada saya, jumlah sejuta rakyat yang dijangka hadir itu bukan satu ancaman dan tidak ada apa yang dikhuatirkan. Kehidupan harian di Kuala Lumpur akan berjalan seperti biasa. Restoran, pusat membeli belah, bas, teksi, monorel, LRT dan segalannya berjalan seperti biasa.

Seperti juga Himpunan Bersih yang lalu, saya percaya Himpunan Kebangkitan Rakyat ini akan menyaksikan demikian ramai golongan generasi muda yang mahukan perubahan. Mereka benci menyaksikan kegiatan rasuah, penyelewengan dan pembaziran yang terus berleluasa, harga barang yang meningkat terus - yang menjadi beban berat kepdaa rakyat - hutang negara yang terus meningkat, demokrasi dan keadilan semakin jauh.

Generasi ini akan menjadi pengundi dalam PRU akan datang. Oleh itu kekecewaan mereka terhadap situasi yang ada ini dijangka akan diterjemahkan dalam peti undi pada PRU akan datang itu.

Jika kita mengamati beberapa Himpunan Bersih yang lalu, anak muda ini yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang telah bersatu menentang segala kemungkaran yang berlaku dalam negara. Bagaimanapun, malangnya mereka melihat hingga kita tidak ada sebarang perubahan, bahkan perlakuan rasuah, penyelewengan dan sebagainya semakin bertambah. Ini yang sangat menekan perasaan anak muda dan rakyat prihatin.

Saya percaya, kebangkitan rakyat ini menunjukkan bahawa rakyat telah berjaya 'meruntuhkan' tembok rasa takut terhadap pihak berkuasa dalam usaha menuntut hak mereka. Oleh itu runtuhnya tembok takut ini adalah kemenangan rakyat sebenarnya.

Dengan demikian, Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini adalah manifestasi keberanian rakyat yang bangun di atas reruntuhan batu bata tembok ketakutan mereka selama ini.

Sehubungan itu media yang dimiliki parti yang memerintah tidak mungkin lagi berupaya menjadi 'penghadang' kepada kebangkitan rakyat ini. Mereka kehilangan daya dan kekuatan untuk menyekat sebarang aliran maklumat kepada rakyat. Dalam masa yang sama media alternatif dengan dunia siber yang sangat terbuka menyebarluaskan apa saja maklumat kepada rakyat.

Oleh itu Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini mempunyai seribu satu makna. Sama ada disukai atau tidak disukai oleh golongan tertentu, kebangkitan rakyat ini akan mengambil tempatnya yang penting di ibu negara yang bersejarah ini.

Rakyat sedang melangkah ke depan dan tidak akan berundur lagi, seperti kata Almarhum penyair Usman Awang: Kawan-kawanku yang dikasihi, di depan duri di belakan api, kita tidak boleh undur lagi

DD

DATANG BERAMAI-RAMAI!!! HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT SABTU 12.1.13 STADIUM MERDEKA KL 2:00PTG

Tiada ulasan:

Pengikut