Khamis, 31 Januari 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Dun S'gor dibubar awal selepas Chap Goh Meh

Posted: 30 Jan 2013 03:48 PM PST


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, pihaknya akan menimbang untuk membubarkan Dun Selangor lebih awal dari parlimen sekiranya pusat masih berteka-teki dengan tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Katanya, kerajaan negeri akan membawa cadangan itu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

"Sekiranya Perdana Menteri belum buat pengumuman berkenaan tarikh pilihanraya selepas Chap Goh Meh, kami akan mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor lebih awal dari Parlimen.

"Rakyat tidak harus dibiarkan tunggu terlalu lama," katanya melalui Facebook hari ini.

Kenyataan terbaru itu sekaligus memperlihatkan tahap kesediaan kerajaan negeri berdepan pilihan raya kali ini.

Selangor sehingga kini antara negeri yang diserang hebat oleh Umno BN dalam usaha mereka merampas kembali negeri itu selepas tewas pada pilihan raya 2008 lalu.

Pelbagai usaha dilakukan bagi membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

Bagaimanapun dalam banyak hal, Selangor sering mendapat pujian termasuk dalam Laporan Ketua Audit Negara sejak ditadbir Pakatan Rakyat.

Selangor juga dikatakan 'pusat perang' pada pilihan raya kali. Ianya juga digelar 'lubuk emas' memandangkan kekayaan hasil bumi dan kepesatan industri di sini.

Sebelum ini Abdul Khalid menyatakan, sebab utama Selangor membuat keputusan sama ada bubar DUN serentak atau tidak kerana mahu memastikan pengundi dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih.

Oleh sebab itu, kerajaan negeri mewujudkan Program Pengukuhan Demokrasi.

Program Pengukuhan Demokrasi dilaksana Kerajaan Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai hak demokrasi rakyatnya termasuk membantah pengundi tidak sah atau diragui dalam daftar pemilih SPR.

Notis pindah dari Pasar Siti Khadijah palsu

Posted: 30 Jan 2013 03:48 PM PST

(Gambar: Husam menyantuni Che Omar, 94 tahun seorang pengayuh beca di kawasan Pasar Siti Khadijah pagi ini)

KOTA BHARU: Notis berupa arahan perpindahan kepada para peniaga Pasar Siti Khadijah di sini yang ditemui sekitar pasar itu sejak semalam merupakan notis palsu dari pihak yang tidak bertanggungjawab.

Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, beliau yakin notis palsu itu sengaja dibuat pihak tertentu dengan niat mahu menimbulkan suasana tidak elok antara Para Peniaga Pasar Siti Khadijah dengan Pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

"Ianya ditampal di beberapa lokasi di Pasar Siti Khadijah dipercayai untuk menimbulkan masalah antara peniaga dengan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz," coretnya dalam Facebook.

Difahamkan sejak semalam, notis itu dikesan bertaburan di pasar tersebut.

Antara lain notis itu berbunyi "peniaga dan penjaja Pasar Siti Khadijah dan kawasan sekitarnya hendaklah mengosongkan kawasan ini di dalam tempoh 60 hari. Arahan ini bagi membolehkan bangunan ini dirobohkan supaya aktiviti mencarigali minyak dapat berjalan lancar. Arahan Yang Dipertua Kota Bharu Bandar Raya Islam ".

Notis itu dipercayai dibuat sebagai mengambil kesempatan di atas pengumuman Husam beberapa hari lalu berhubung penemuan minyak di atas daratan di beberapa buah lokasi di bandar Kota Bharu dan Tumpat.

Ekoran penyebaran notis palsu itu , Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan hari ini turun bertemu peniaga di pasar itu pagi tadi.

"Hari ni sempat luang masa ke Pasar Siti Khadijah sambil "mengintai" Notis Perpindahan yang disedarkan oleh Pihak tak bertanggungjawab.

"Alhamdulillah para peniaga tidak terpengaruh dengan tektik jahat pihak tak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu - Banda Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengadakan sidang media pagi ini memberi penjelasan dan menafikan pihaknya mengeluarkan notis tersebut.

Satu laporan polis juga akan dibuat dalam masa terdekat bagi menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap dalang yang terlibat.

200 ahli baru berhimpun dalam Ummah Bersama PAS

Posted: 30 Jan 2013 03:47 PM PST


KUALA LUMPUR: Lebih 200 ahli baru PAS dari pelbagai latar belakang akan menyertai Himpunan Perdana Ummah Bersama PAS 3 Februari ini di Hotel De Palma, Ampang.

Mereka akan berhimpun sebagai tanda sokongan kepada perjuangan PAS bersama pimpinan parti menjelang pilihan raya umum akan datang ini.

Selain mereka yang telah lama menyertai PAS, himpunan yang akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang ini akan memperkenalkan beberapa tokoh yang baru menyertai PAS.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Himpunan ini, Salahudin Ayub, setiap negeri telah diminta menghantar lima ahli baru mereka yang berupa tokoh-tokoh masyarakat untuk menyertai himpunan ini.

Di peringkat pusat pula, kira-kira 100 tokoh dari pelbagai segmen masyarakat akan menyertai himpunan ini.

Ia termasuklah tokoh politik, agamawan, budayawan, artis, korporat, pegawai kerajaan, polis, tentera, penulis, blogger, sastrawan dan lain-lain lagi.

"Kita mahu memberitahu semua rakyat khasnya orang Melayu, PAS kini menjadi pilihan semua pihak dan tidak ada sebab mereka tidak bersama dengan kita dalam memperjuangkan hak kita bersama.

"Kita yakin, dengan masalah intergriti yang ada pada Barisan Nasional khasnya di kalangan pemimpin Umno ini, rakyat bijak membuat penilaian, BN tidak ada tempat lagi di hati rakyat," katanya.

Para pemimpin PAS serta rakan-rakan Pakatan yang lain, katanya, akan menunjukkan "kita bersatu dalam perbezaan yang ada untuk kepentingan rakyat."

Majlis yang bermula jam 9 pagi hingga tengahari di hotel De Palma, Ampang ini akan disertai oleh semua pimpinan kanan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Umno cuba gagalkan MB agih geran kepada peneroka

Posted: 30 Jan 2013 03:46 PM PST


GUA MUSANG: Sekumpulan penduduk di Paloh 2 difahamkan dipengaruhi Umno cuba menggagalkan program Kerajaan Negeri Kelantan mengagihkan geran kepada peneroka di RKT Lebir hari ini.

Kira-kira 40 penduduk mengadakan demonstrasi di Simpang Paloh 2 dengan mengangkat sepanduk kertas ketika Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kawasan itu untuk ke RKT Lebir.

Mereka melaungkan kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

Seorang ahli Umno yang mahu dikenali sebagai Pak Leh mendakwa kumpulan penyokong Umno Paloh 2 cuba menggagalkan program penyampaian geran di Lebir.

" Saya juga merima panggilan mlm tadi supaya hadir pada demontrasi tersebut.

"Saya diberitahu mereka mahu gagalkan program penyampaian geran. Tetapi tadi ada peneroka di sini yang pergi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Lot Kediaman kepada 84 peneroka.

Penyampaian geran tersebut disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli Muhamad, Dun Paloh, Shah Aminudin, Penyelia Dun Nenggiri, Zuki Ibrahim, Penyelia Dun Galas, Abdullah Husin dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Husin.

Program penyampaian geran diteruskan biarpun Umno cuba menggagalkannya.

Malah di majlis itu, 54 orang ahli Umno turut menerima geran.

Turut kelihatan di tempat demontrasi ialah isteri Adun Paloh, Datin Mariah Din.

Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah juga ditemui tidak jauh dari lokasi demonstrasi.

Menteri Besar turut mengakui ada pihak tidak senang dengan program berkenaan.

Katanya, rakyat tanpa mengira politik turut diberi geran hak milik bagi membolehkan mereka memiliki tanah secara sah.

Orang ramai menyifatkan tindakan kumpulan penyokong Umno itu tidak wajar kerana cuba menghalang Menteri Besar mengagihkan geran kepada rakyat.

Tiada ulasan:

Pengikut