Khamis, 3 Januari 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Padanlah Ketua Pemuda Umno macam itu

Posted: 02 Jan 2013 03:45 PM PST


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan melahirkan rasa simpatinya dengan Pemuda Umno yang mempunyai ketua tetapi tidak dihormati langsung oleh Umno.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) yang mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mengenai 'isu Amanat Haji Hadi' hari ini.

Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa siaran langsung penjelasan Presiden PAS adalah merbahaya.

"Saya hanya ingin menyuarakan simpati kepada Pemuda Umno kerana mempunyai ketua seperti ini.

"Barangkali inilah faktornya beliau tidak terpilih menjawat apa-apa jawatan dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekalipun memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno," kata Abdul Latif dalam kenyataannya hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Abdul Latif berkata, beliau terpanggil untuk memberikan respon terhadap kenyataan beberapa orang mufti berkaitan isu permintaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk muncul di kaca televisyen secara langsung bagi memberikan penjelasan berkenaan apa yang didakwa sebagai 'Amanat haji Hadi'.

Kenyataan para mufti yang dimaksudkan ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar-akhbar pada hari ini 2 Januari 2013.

"Saya ingin melahirkan rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan pandangan para mufti yang beranggapan bahawa siaran langsung penjelasan tersebut tidak perlu kerana akan menambah kekeliruan," katanya.

Bahkan ada yang mempertikaikan niat sebenar Presiden PAS tersebut adakah mahu memberikan penjelasan ataupun mahu mencari populariti?

"Pada saya, tidak timbul isu mencari populariti kerana pihak yang mencetuskan kembali isu yang telah berlalu tiga dekad ini ialah media massa milik UMNO/Barisan Nasional sendiri," katanya.

Katanya, Presiden PAS telah dikutuk dan dilanyak selama berminggu-minggu dengan pelbagai jenis kecaman dan tohmahan, justeru beliau berhak untuk memberikan penjelasan yang boleh diakses oleh semua pihak.

Sekiranya penjelasan Presiden PAS dibimbangi menimbulkan kekeliruan, adakah para mufti sendiri sanggup menegur sikap kerajaan yang membenarkan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen yang tentunya mempunyai kesan sosial terhadap anak muda? soal beliau.

"Adakah adil namanya apabila ucapan Presiden Umno ketika Perhimpunan Agung Umno disiarkan terus menerus secara langsung namun hak Presiden PAS untuk memberikan penjelasan ke atas fitnah yang dilemparkan hanya untuk sejam telah dinafikan?

"Tidakkah ruang sejam yang diberikan kepada Presiden PAS itu boleh dijawab semula dengan penjelasan selama berminggu-minggu oleh para mufti ini?

"Atau mufti-mufti ini merasa tidak yakin dengan kemampuan ilmu yang ada pada mereka untuk menjawab kembali penjelasan Presiden PAS?" soal beliau lagi.

Perlu diperjelaskan, katanya, beliau menghormati para mufti atas ilmu dan kedudukan yang dimiliki, "namun dalam hal ini saya memohon izin untuk berbeza pandangan."

"Pada saya, jika para mufti hanya ingin bersuara di atas kepentingan Umno/Barisan Nasional, lebih tepat jika sekiranya berundur secara terhormat dan menyertai politik sepenuh masa.

"Justeru, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Presiden PAS berhak diberikan peluang untuk muncul secara langsung melalui televisyen bagi memberikan penjelasan.

"Adapun cadangan agar beliau menggunakan web tv melalui internet adalah tidak relevan sama sekali kerana ia tidak mampu dicapai oleh semua pihak berbanding fitnah dan tohmahan terhadap beliau yang telah diulang-ulang selama beberapa minggu melalui media massa utama," tambahnya.

Sungai sama tetapi Golok selamat, Tumpat banjir

Posted: 02 Jan 2013 03:44 PM PST

(Datuk Kamarudin [baju kuning] menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada mangsa banjir)

TUMPAT: Rakyat di seluruh negara khususnya Kelantan diminta menolak kerajaan Umno dan BN memandangkan pemimpin parti itu telah lama mendera rakyat Kelantan khususnya dalam pembinaan tebatan banjir.

Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata akibat penderaan yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN, masyarakat Kelantan khususnya Tumpat dan Rantau Panjang terdedah dengan banjir.

Menurutnya, ianya berlaku berikutan keengganan kerajaan Pusat membina tebatan banjir sebagaimana kerajaan Thailand membinanya di Sungai Golok.

"Aliran air sungai yang sama, iaitu Sungai Golok, tetapi rakyat Thailand terselamat dari masaalah air banjir, sebaliknya rakyat Malaysia di Kelantan ini menderita akibat keenganan kerajaan untuk membina tebatan itu,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas melakukan lawatan dan penyampaikan sumbangan banjir kepada hampir 1,000 keluarga di Dun Pengkalan Kubur Isnin lalu.

Jelasnya, permohonan itu telah dinyatakan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dauglas Unggah Embas.

Malah, katanya menteri itu telah menghantar pegawainya untuk menyiasat berhubung dakwaan itu di Tumpat khususnya di kawasan banjir.

Menurut beliau, bidang kuasa projek sebegitu adalah di bawah pusat bukannya kerajaan negeri.

"Pada masa yang sama kita juga turut memohon perkara itu diselesaikan melalui Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, Datuk Seri Nazri Aziz, bagaimanapun sehingga hari ini ianya tetap sama,"ujarnya.

Untuk itu, katanya tiada gunanya rakyat memberi ruang pada kerajaan BN memerintah negara sekiranya nasib mereka diabaikan.

Kamaruddin melakukan lawatan dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa di tiga tempat, Kampung Telaga Bata, Kajang Sebidang dan Telok Jering.

Sumbangan itu berupa beras, gula, biskut, sardine serta keperluan harian yang lain.

Dakwaan Deepak: Muhyiddin dirayu selamatkan Umno?

Posted: 02 Jan 2013 03:44 PM PST


KUALA LUMPUR: Sumber Harakahdaily di Umno muncul kembali di 2013, kali ini dengan menyatakan bahawa parti terbesar Melayu itu kini amat tertekan dengan dakwaan peniaga permaidani Deepak Jaikishan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

"Kami tidak boleh bersuara dalam isu (dakwaan Deepak). Kami diarahkan tidak boleh berkata apa-apa. Malah semua media pro-kita tidak boleh melaporkan mengenai dakwaan Deepak. Kami tertekan kerana tahu isu ini adalah bom C4 buat Umno di PRU13," kata sumber itu kepada Harakahdaily hari ini.

Sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi Umno berkata, ramai dalam Umno kini memohon Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertindak menyelamatkan Umno daripada ditenggelamkan oleh Najib dan isterinya.

"Masalah ada pada wanita tersebut… yang lelaki itu ok, tapi apa nak buat, mereka suami-isteri. Jadi, kalau nak buang wanita, kena buang yang laki bersama. Kami dok doa Muhyiddin akan bersuara untuk memanggil Najib turun takhta demi survival Umno," kata beliau.

Ditanya samada beliau mempercayai dakwaan Deepak, sumber itu berkata "ada perkara yang boleh dipercayai" terutamanya mengenai bahagian-bahagian mengenai Rosmah.

"Tapi kebenaran dalam isu itu bukan lagi pokok yang dibimbangi oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Umno. Mereka bimbang isu ini menjadi bom C4 yang meletup di muka Umno-BN menjelang PRU13 lagi. Sekarang pun dah hangat, walaupun tak lapor, semua sedang mencari-cari buku yang Deepak keluarkan," katanya lagi.

Isnin lepas, buku 'Black Rose 1.0' mula diedarkan kepada umum. Buku setebal 26 muka surat sahaja itu penuh dengan pendedahan.

Namun ketika dihubungi Harakahdaily, Deepak enggan mengesahkan beliau yang menulis dan menerbitkan buku itu.

Sumber Umno itu seterusnya memberitahu, Umno cuba menutup isu Deepak dengan isu Amanat Haji Hadi yang sedang diperbesarkan dan disensasikan, supaya orang Melayu lebih tertumpu pada isu yang sudah 31 tahun berlalu itu mengenai Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang daripada dakwaan Deepak.

"Isu Amanat Hadi ini sengaja dibesarkan – tapi apabila Haji Hadi minta jawab secara live semua kalut, tak tahu nak respon – jawapan berterabur. Tapi mereka akan terus main sehingga Deepak dapat disenyapkan," kata beliau.

Ditanya apakah Umno percaya isu Amanat Hadi ini akan membawa undi pada mereka, sumber itu ketawa – "Ini untuk tutup isu Deepak sahaja, yang lain mereka tak pernah fikir pun."

"Sekarang kami berharap Tan Sri Muhyiddin akan mengorak langkah, diharap beliau mendapat sokongan daripada bekas PM Tun Dr Mahathir. Kalau tak, Umno dalam bahaya. Tak berbaloi jika Umno jatuh kerana satu wanita yang…. " kata sumber itu.

Ditanya apakah sambungan pada ayat tersebut, sumber itu berselorah, "Lu fikirlah sendiri."

"Ahli-ahli Umno sekarang berharap Muhyiddin yang menerajui Umno ke PRU13. Masa ada 6 bulan sahaja lagi. Sempat jika Muhyiddin bergerak sekarang, beliau akan dapat sokongan padu jika beliau berani bersuara. Rasanya Tun Dr Mahathir pun dah terima siapa  liabiliti sebenar buat Umno-BN masa kini," tambah sumber itu lagi.

Ditanya apakah strategi Umno menjelang PRU13, sumber itu berkata, "Apa lagi? Serang PAS habis-habisan sehingga PAS keluar Pakatan Rakyat. Kemenangan mutlak Pakatan bergantung sepenuhnya pada PAS. Jika PAS gagal tawan undi Melayu, Umno kekal menjadi kerajaan. DAP dan PKR bukan lawan Umno sebenar. Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi Perdana Menteri kalau PAS tewas. PKR, DAP boleh menang lawan MCA dan MIC tapi Umno mesti tidak boleh kalah pada PAS. Jika tewas, BN akan jadi pembangkang."

Harakahdaily turut cuba mengusik sumber apakah nasihat yang beliau ada untuk PAS.

"Bertahan dan jangan masuk perangkap seperti isu kalimah Allah. Penjelasan (Ketua Penerangan PAS) Tuan Ibrahim matikan satu senjata Umno terhadap PAS. Kini isu Amanat Hadi, Haji Hadi bertahan bagus untuk PAS, kerana dah nampak semua peringkat ahli dan pemimpin PAS kini rally (bersatu) di belakang presiden mereka untuk melawan Umno. Umno selama ini harapkan PAS berpecah dengan menggunakan si Jati dan kawan si Jati yang masih dalam PAS, tapi disebabkan nak tutup isu Deepak, kini mereka terpaksa guna isu amanat Haji Hadi, yang sebaliknya, telah menyatukan PAS semula," katanya.

Ditanya samada beliau mengharapkan Umno akan tewas di PRU13, "Untuk negara, naluri saya kata ya. Demi diri sendiri, tidak. Sini tempat cari makan saya," katanya sebelum beredar.

Tiada ulasan:

Pengikut