Ahad, 20 Januari 2013

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Yuran apa sampai lebih RM200 untuk pelajar sekolah rendah?

Posted: 19 Jan 2013 03:46 PM PST


Kita harap pihak Kementerian Pelajaran dapat menyiasat kesahihan aduan di bawah ini, samada benar atau tidak, serta memberi penjelasan yang sewajarnya.

Sekolah Kerajaan tidak menyahut hasrat kerajaan
Aduanrakyat.com 18 Jan 2013

Hasrat kerajaan dalam frasa "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" dilihat tidak dijalankan sepenuhnya oleh sebuah sekolah kerajaan di daerah Kota Kinabalu yang berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa AirAsia. Sekolah ini mempunyai hampir 1000 orang murid sekolah tahun 1 hingga tahun 6 dan terletak 7 kilometer daripada bandaraya Kota Kinabalu.

Pendaftaran bagi tahun 2013 di sekolah tersebut ternyata mengejutkan ramai pihak terutamanya ibu bapa kerana bayaran yuran sekolah yang terlalu tinggi bagi murid-murid yang ingin menyambung persekolahan pada tahun 2013. Sebelum ini, kerajaan telah memansuhkan yuran sekolah di seluruh sekolah kerajaan namun begitu, keadaan ini tidak terjadi di sekolah yang dinyatakan. Bayangkan, murid-murid tahun 6 perlu membayar yuran melebihi RM200 manakala murid-murid tahun 1 pula perlu membayar sebanyak RM130.

Hal ini tidak seharusnya terjadi kerana sekolah memaksa murid-murid sekolah untuk membeli kelengkapan sekolah yang disediakan oleh koperasi sedangkan ibu bapa telah menyediakan bahan-bahan tersebut sebelum anak-anak masuk ke sekolah. Harga kelengkapan yang disediakan oleh koperasi sekolah pula adalah lebih mahal berbanding harga pasaran. Begitu juga dengan pakaian sukan, tali leher bagi lelaki dan sebagainya perlu dibayar oleh ibu bapa sedangkan anak sudah memiliki kelengkapan tersebut sebelum ini pada musim persekolahan yang lepas. Perkara ini sangat tidak relevan dan perlu diketahui oleh khalayak. Kita tidak mahu wujudnya diskriminasi antara sekolah-sekolah kerajaan yang yuran sekolah tidak mencecah RM30 hingga RM50 walaupun terletak di daerah yang sama.

Walaupun bagi sesetengah ibu bapa, yuran tersebut tidaklah terlalu tinggi tapi jika kita lihat dari sudut lain di mana terdapat ibu bapa yang hanya bekerja secara kontrak terpaksa menghantar dua atau tiga orang anak ke sekolah tersebut. Perkara ini sangat membebankan bagi mereka dan kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab haruslah peka terhadap keadaan mereka yang kurang bernasib baik tetapi mahukan anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan.

Namun begitu, pada kali ini saya merasakan yuran sekolah tersebut terlalu mahal iaitu dalam kadar melebihi RM100 hingga RM200. Sebelum ini, yuran sekolah tersebut tidak pernah mencecah RM100 walaupun pada hakikatnya yuran sekolah kerajaan lain sebelum ini hanya RM20 atau RM30 sahaja. Saya dapat membandingkan sendiri yuran sekolah yang berdekatan dengan sekolah ini yang sangat jauh berbeza iaitu sebanyak 80 peratus. Perkara ini sangat mengejutkan saya kerana beberapa orang anak saya yang kini bekerja di sektor kerajaan dan menyambung pengajaran di peringkat university pernah bersekolah di tempat yang sama beberapa tahun yang lalu tidak pernah dikenakan bayaran yuran yang terlalu tinggi walaupun pada ketika itu yuran persekolahan belum lagi dikurangkan atau dimansuhkan.

Seperkara lagi yang ingin saya nyatakan ialah bantuan persekolahan RM100. Adakah pihak kerajaan menyatakan syarat-syarat bagi menerima bantuan tersebut? Di sekolah ini berlaku satu perkara yang diambil kira sebagai ugutan kepada para ibu bapa, murid-murid sekolah diberitahu bahawa ibu bapa yang tidak hadir pada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tidak akan diberikan bantuan kerajaan sebanyak RM100 tetapi sebaliknya perlu membayar pihak sekolah RM25. Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku semasa penyerahan bantuan tersebut bagi tahun ini, saya merasakan tindakan pihak pentadbir sekolah ini adalah keterlaluan kerana ibu bapa juga mempunyai komitmen lain seperti kerja selain menghadiri mesyuarat PIBG sekolah. Saya tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut untuk melihat sejauhmana kebenaran pihak pentadbir sekolah terhadap perkara ini. Saya juga tidak akan mendiamkan diri sekiranya perkara ini benar-benar terjadi kerana penyerahan bantuan persekolahan RM100 dijangka akan diberi pada 15 Januari 2013.

Kenyataan saya di sini hanyalah luahan hati seorang ibu yang prihatin dan merasakan sendiri keadaan sebenar menyekolahkan anak di sebuah sekolah kerajaan yang kurang peka dengan hasrat negara dan masyarakat sekeliling. Saya berharap pihak pentadbir sekolah dapat diberikan kesedaran agar setiap pentadbir boleh menyahut hasrat yang dilaksanakan oleh kerajaan secara sama rata.

By: ibu prihatin

Tiada ulasan:

Pengikut