Selasa, 11 Disember 2012

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Pemuda UMNO didesak letak jawatan dalam SPR

Posted: 10 Dec 2012 10:16 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS  Malaysia (DPPM) mendesak Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah meletakkan jawatan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu berkata, sebagai orang penting dalam Umno, Aksyah tidak sepatutnya memegang jawatan  Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sabah.

"Pemuda minta Aksyah memilih salah satu daripadanya. Sama ada terus pegang jawatan dalam Pemuda Umno dan tinggalkan SPR atau sebaliknya.

"Tapi kalau boleh kita desak dia letak jawatan dalam SPR," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengeluarkan kenyataan bahawa tidak salah pegawai-pegawai SPR menyertai parti politik tetapi  tidak boleh memihak kepada mana-mana parti semasa menjalankan tugas.

Mengulas perkara tersebut, Ahli jawatankuasa DPPM, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 114(2) menyatakan harapan agar SPR dapat menjayakan keyakinan orang awam.

Tambah beliau, hal ini  bermaksud SPR sepatutnya menjalankan pilihan raya dengan telus dan tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam memastikan hak-hak pengundi sejagat, persaingan yang adil bagi kesemua parti politik dan calon-calonnya.

"Ini bukan isu dia pernah melakukan kesalahan sewaktu bertugas dalam SPR tapi isunya dia seorang ahli parti dan memegang jawatan penting.

"Bagaimana SPR boleh bagi jaminan dia boleh melakukan tugas secara profesional?

"Sebagai contoh, dalam perlawanan bola sepak, pengadil itu menyokong salah satu pasukan. Bagaimana penonton nak percayakan pengadil tersebut?" katanya yang merupakan seorang peguam.

Beliau juga berkata, tindakan lanjut akan diambil sekiranya Aksyah masih memegang kedua-dua jawatan dalam Umno dan SPR.

"Kalau SPR berdiam diri dan Aksyah meneruskan tugasnya seperti biasa, kita akan buat pendedahan seterusnya.

"Sekarang kita tunggu apa tindakan SPR dan Aksyah dulu," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut