Selasa, 18 Disember 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Putrajaya: Adil boleh, kalau kecoh tak boleh

Posted: 17 Dec 2012 08:07 PM PST


KANGAR: "Boleh ke kita ambil Putrajaya," tanya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perlis di sini, malam tadi.

"Boleh!" jawab para hadirin.

Lantas, Mohamad berkata: "Kalau pilihan raya adil, boleh, kalau kecoh, tak boleh".

Dengan sebab, katanya diadakan himpunan aman Bersih 1, 2 dan 3 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata Bersih 4 tidak diadakan kerana telah 'dicuri' oleh Umno yang mengadakan 'tarian punggung' di hadapan rumah Datuk S Ambiga.

Beliau menegaskan walaupun pilihan raya lalu berlangsung dalam keadaan yang tidak bersih, namun parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri.

Dengan sebab itu, katanya, terdapat pemimpin Umno BN yang mempersoalkan Pakatan Rakyat yang mendakwa perjalanan pilihan raya tidak bersih sedangkan mencapai kejayaan di negeri-negeri berkenaan.

"Mereka kata, pasal apa kamu (Pakatan Rakyat) menang lima negeri, kata (pilihan raya) tak adil.

"Kalau pilihan raya bersih, lama dah kita perintah. Kalau adil, dah lama kamu jadi pembangkang," ujarnya pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Perlis, Kampung Pondok. Turut berucap ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Sehubungan itu, beliau yakin akan berlaku perubahan dalam pilihan raya umum nanti ekoran sambutan puluhan ribu yang menyertai siri jelajah Himpunan Kebangkitan Rakyat di seluruh negara.

Beliau selanjutnya mengulangi jemputan kepada semua rakyat Malaysia ke Himpunan 1 Juta Rakyat yang akan diadakan di ibu negara pada 12 Januari hadapan.

17 bayi ditahnikkan sempena aqiqah perdana

Posted: 17 Dec 2012 08:06 PM PST


KOTA BHARU: Seramai 17 orang bayi telah 'ditahnikkan' oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena majlis aqiqah perdana hari ini.
(Tengku Amalin [kanan] menyampaikan hadiah kepada peserta)

Majlis yang dirasmikan oleh Tengku Amalin A'Shah Putri itu diadakan di Balai Islam Lundang, di sini tengahari tadi.

Turut hadir pada majlis itu isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu berkata memandangkan kerajaan Kelantan mementingkan golongan remaja, peruntukkan telah ditambah untuk mereka dalam Belanjawan tahun ini sebanyak RM5 juta berbanding RM3.5 juta sebelumnya.

Katanya, anak adalah pelapis keluarga, masyarakat dan negara sebagai pemimpin masa hadapan.

"Kerana itu kerajaan negeri mengutamakan mereka dengan memberikan peruntukkan khas untuk aktiviti bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syarak,"ujarnya.

Hasil pentadbiran kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu golongan remaja sekarang tidak tahu tempat-tempat maksiat.


(Tuan Guru Nik Aziz mentahnik salah seorang bayi yang sertai aqiqah perdana)

"Jika tanya mereka mana tempat berjudi, mana tempat hiburan yang melalaikan, mereka tidak akan tahu berbanding sebelum 22 tahun lalu yang sememangnya diketahui oleh remaja ketika itu,"ujarnya.

Rahim ketika berucap pada majlis yang sama berharap semoga anak-anak yang ditahnikkan termasuk bersama Tuan Guru akan menjadi anak yang soleh serta menjadi pewaris para anbia.

Sempena majlis itu juga, Tengku Amalin menyampaikan cenderahati kepada bayi yang bertuah.

‘R’ minta siasat dakwaan kehilangan RM12.3 juta

Posted: 17 Dec 2012 08:05 PM PST

KOTA BHARU: Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) menuntut kerajaan negeri supaya mendesak Jabatan Audit negeri dan Ketua Audit Negara segera melakukan siasatan ke atas kehilangan wang yang didakwa berjumlah RM12.3 juta.

Surat kepada pihak Kerajaan Negeri berkatian kes itu telah pun dihantar pada 12 Disember 2012 yang lalu.

Presiden Royalti ('R'), Nazri Deraman dalam satu kenyataan media mendakwa dalam perkembangan terbaru membabitkan 'Wang Ehsan' oleh pihak Kerajaan Malaysia terdapat perbezaan angka perbelanjaan yang serius berbanding angka dikeluarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perbezaan ketara juga adalah pada jumlah dikeluarkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Nazri mendakwa, Menteri Kewangan Malaysia mengeluarkan kenyataan perbelanjaan sebanyak RM49.1 juta sedangkan Mustapa serta Jabatan Perdana Menteri ialah sebanyak RM61.4 juta.

Menteri Kewangan Malaysia Datuk Seri Najib ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen pada 23 November 2012 yang lalu mendakwa Kelantan sehingga 30 September 2012 sudah menerima (wang ehsan) sebanyak RM49,186,529.

"Justeru penyelewengan telah berlaku, lesap sebanyak RM12.3 juta," dakwa Nazri.

Nazri mendakwa, menurut iklan dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Teknologi Maklumat Malaysia pada 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mendakwa Kelantan layak mendapat  Wang Ehsan sebanyak RM20 juta setahun, manakala Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Datuk Dr Awang Adek (pada kenyataan medianya 29 Julai 2012) mendakwa Kelantan menerima wang ehsan sebanyak RM24 juta setahun, dan tiga tahun menjadi RM72 juta.

Sementara Mustapa pada kenyataan media 5 Ogos 2012 mendakwa Kerajaan Pusat sudah menyalurkan 'Wang Ehsan' sebanyak RM61.4 juta (RM20.467 setahun) sejak 3 tahun lalu.

"Dalam perkembangan terbaru ini, 'R' mendesak supaya Laporan Kewangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  Negeri Kelantan khususnya membabitkan pengurusan perbelanjaan 'Wang Ehsan' mestilah diaudit segera.

"Ini penting bagi mempastikan ketelusan perbelanjaan wang rakyat khususnya apabila berlaku ketirisan didakwa berjumlah RM12.3 juta wang rakyat," ujarnya.

Nazri mendakwa, 'R' menyedari bahawa penyelewengan, ketirisan dan ketidaktelusan didakwa berlaku dalam 'skandal wang ehsan' itu lantaran pengurusannya membelakangi saluran perundangan.

Lim Kit Siang 'minta maaf' kepada Najib

Posted: 17 Dec 2012 08:05 PM PST


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang (gambar) 'memohon maaf' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno yang lain kerana beliau menang dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

"Saya memohon maaf kepada Najib dan pemimpin Umno/BN kerana terpilih semula ke dalam CEC sebagaimana Kongres DAP sebelum ini, kali ini dengan undi paling tinggi," kata Kit Siang dalam kenyataan.

Menurut Kit Siang, Najib dan pemimpin Umno yang lain pergi ke seluruh negara memberitahu bahawa DAP sebuah parti yang tidak demokratik, "mendakwa saya pemimpin DAP walaupun saya tidak terpilih sebagai pemimpin DAP."

"Walaupun hanya memegang jawatan sebagai ahli parlimen dan bukannya pemimpin yang dipilih, Lim Kit Siang terbukti seorang individu yang berkuasa dalam parti pembangkang," kata Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 (PAU 12) baru-baru ini.

"Sekarang apakah kebenarannya, adakah Najib tersalah nasihat atau sengaja menipu terhadap saya," kata Lim Kit Siang.

Ketua ulama Syria kunjungan Presiden PAS

Posted: 17 Dec 2012 08:04 PM PST

(Sheikh Sabuni kunjungi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi di Pejabat Agung hari ini)

KUALA LUMPUR: Ketua Kesatuan Ulama Syria Sheikh Dr Ali As Sobuni mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Sheikh As Sobuni, 88, sudah 35 tahun hidup dalam buangan di luar negara akibat hukuman rejim Hafiz Asaad ke atas beliau.

Pengarang kepada puluhan kitab tafsir dan hadis ini menjadi rujukan kepada ilmuan-ilmuan Islam seluruh dunia sejak puluhan tahun yang lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Sheikh As Sobuni turut berkongsi pandangan terhadap konflik di Syria yang telah pun membunuh ribuan rakyat negara itu.

Mereka bersama-sama bersetuju Presiden Basyar Asaad mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap apa yang melanda Syria hari ini.

Dalam masa yang sama mereka sependapat bahawa perlu kebijaksanaan dalam isu Syria khususnya dalam mendepani campur tangan kuasa-kuasa luar yang berkepentingan.

Sheikh As Sobuni juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih rakyat Syria kepada PAS yang mengambil berat dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa kekejaman.

Sehingga hari ini PAS sudah menghantar lebih dari lima kali bantuan dan rombongan kemanusiaan ke Syria, bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas ekoran konflik ini.

Sheikh As Sobuni sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia dan Indonesia.

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, dan penolongnya Dr Syed Azman Syed Nawawi serta Setiausaha Akhbar Presiden PAS Mohd Nasaie Ismail.

Tiada ulasan:

Pengikut