Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Kelantan hadiah RM60,000 kepada persatuan ragbi
- Kelantan tangguh kuatkuasa syarat kedai gunting rambut
- Tawaran 6+3: Rakyat Pahang alu-alukan lot rumah
- Royalti: Saman kedua menanti Petronas - Husam
Kelantan hadiah RM60,000 kepada persatuan ragbi Posted: 12 Dec 2012 08:41 PM PST KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menghadiahkan RM60,000 kepada Persatuan Ragbi Kelantan di atas kejayaan mencul juara Piala Agong tiga tahun berturut-turut bermula 2010. Cek berkenaan disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kepada Timbalan Yang Dipertua persatuan itu, Hanafi Abdul Rahman, di bilik mesyuarat Menteri Besar semalam. Turut hadir pada majlis itu, naib-naib pengerusi persatuan itu, Mohd Nor Alias dan Mohd Roslan Mohd Nor termasuk setiausaha, Ahmad Nasri Salleh. Tuan Guru berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada aktiviti sukan di negeri itu selagi tidak bercanggah dengan dasar dan syariat Islam. Katanya, apa yang penting usaha mempopularkan sukan ragbi perlu dipergiatkan agar standing dengan acara sukan lain. "Di Eropah sukan ragbi begitu masyhur dan kita harap ianya turut berlaku perkara yang sama di negara ini khususnya Kelantan. "Semoga kita bukan sahaja popular dengan sukan bola sepak, tetapi juga sukan ragbi," ujarnya. Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood. |
Kelantan tangguh kuatkuasa syarat kedai gunting rambut Posted: 12 Dec 2012 08:40 PM PST (Dr Fadzli, Takiyudin dan Anuar Tan dalam sidang media hari ini) KOTA BHARU: Semua penguatkuasaan syarat-syarat Lesen Kedai Gunting Rambut MPKB yang berkaitan dengan Orang Bukan Islam ditangguhkan sementara sehingga satu kajian dan penilaian dibuat semula. Penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Ke Atas Orang Bukan Islam yang telah diguna pakai sejak tahun 1991 itu ditangguhkan serta merta hari ini selepas mesyuarat exco bersetuju untuk berbuat demikian. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata penangguhan itu mengambil kira pandangan hasil perjumpaan wakil kerajaan negeri dengan pemimpin organisasi yang dianggotai masyarakat bukan Islam baru-baru ini. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tengahari tadi. Katanya, kerajaan negeri sebelum inipun membuat dasar berhubung perkara itu pada tahun 1991 selepas diadakan perbindangan, perbincangan dan pandangan umum. Peraturan dibuat ketika itu ekoran dari penyalahgunaan kedai gunting rambut unisex sebagai pusat aktiviti tidak sihat termasuk pelacuran di Kelantan. "Hasil perbincangan akhirnya penguatkuasaan syarat-syarat kedai gunting rambut misalnya dibuat setelah ianya dipersetujui. "Bagaimanapun, pada tahun ini selepas 21 tahun ianya berjalan, isu yang melibatkan perkara yang sama timbul semula, maka cara yang kita buat sama juga, iaitu perundingan,"ujarnya. Sambungnya, sebelum keputusan kerajaan negeri diambil hari ini, perbincangan dengan pimpinan organisasi masyarakat bukan Islam diadakan untuk mendapatkan gambaran atau hasrat mereka. Pertubuhan Gabungan Tionghwa Kelantan dan Dewan Perniagaan Cina Kelantan turut hadir baru-baru ini yang diwakili oleh pemimpin mereka. "Selain itu juga kita turut mendapat pandangan dari pelbagai pihak, iaitu pihak kedua dan ketiga juga,"ujarnya. Sambungnya, perkara itu dilaporkan dalam mesyuarat exco hari ini dan akhirnya keputusan telah diambil untuk diistiharkan keputusan kepada mereka berkenaan melalui dua orang lagi wakil anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan. |
Tawaran 6+3: Rakyat Pahang alu-alukan lot rumah Posted: 12 Dec 2012 08:40 PM PST TEMERLOH: Tawaran Pakatan Rakyat (PR) Pahang untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat negeri ini kepada yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman, disambut gembira oleh rakyat yang ditemui. Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk PR melaksanakan keperluan asas rakyat itu jika memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang setelah isu pemberian lot tanah dan rumah dijadikan modal kempen Umno dan BN setiap kali PRU. Mereka berpendapat, sedangkan Pahang memiliki tanah yang luas tetapi rakyatnya pula masih ramai yang tidak mempunyai rumah dan tanah. Pemberian lot tanah serta menstruktur semula Kampung-kampung Baru dan Kampung Tersusun, termasuk dalam 'Tawaran 6+3' yang diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau, 9 Disember lalu. Bagi Saifuddin Kamarudin, 35, dari Mentakab, menganggap tawaran PR itu tepat pada masanya dan amat bersetuju kerana beliau sendiri belum mempunyai tanah dan masih tinggal di rumah sewa. Bapa kepada tiga anak itu berkata, di kampungnya masih ramai yang menyewa hingga ke usia tua gara-gara tanah pusaka berkongsi adik beradik. Sedangkan rumah merupakan keperluan asas, tanpa rumah merempatlah jadinya. "Memang lot-lot rumah ini penting, kalau orang susah nak buat rumah rakyat miskin (PPRT) atau rumah mesra rakyat pun perlukan tanah sendiri. "Inilah masalah kerajaan tak mahu tolong. Yang peliknya tiap-tiap kali dekat PRU, orang Umno datang minta kad pengenalan. Kononnya nak bagi lot tanah. Lama sangat dah kami penduduk kampung kena tipu. "Jadi tepatlah pada masanya kerajaan PR nanti sediakan lot tanah, kerajaan pusat seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar boleh bantu bina rumah. Dengan itu nampak cantik dah gabungan Pusat dan negeri untuk segera penuhi kebajikan rakyat," katanya. Saifuddin percaya, jika keperluan rumah dan tanah dibantu oleh kerajaan, langkah itu cepat mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan. Kerana ketiadaan rumah berkait rapat dengan kemiskinan bangsa Melayu selama ini. Hasanal Bolkiah Hasan Basri, 28, berkata tawaran PR Pahang itu akan menyebabkan generasi muda sepertinya akan memilih PR dalam PRU akan datang demi kebajikan dan survival mereka pada masa depan. "Orang baru kawin seperti saya bukan senang untuk membeli rumah sekarang, bagi yang bergaji di bawah RM3,000 tak mampu nak memiliki rumah yang agak selesa. "Sebab itu apabila saya berbual-bual dengan kawan-kawan yang tidak berparti, ramai yang mengatakan tawaran PR di luar jangkaan mereka dan mereka begitu teruja dengan tawaran itu. "Di kampung-kampung pula bukannya mudah untuk memiliki tanah kosong. Banyak tanah yang diusahakan atas nama belia tetapi akhirnya diluluskan kepada kelompok tertentu menyebabkan golongan muda kecewa," katanya. Hasanal menganggap, tawaran pertama daripada enam tawaran yang diumumkan Tuan Ibrahim itu banyak membuka mata golongan muda sepetinya kerana selama ini tawaran Umno selama ini hanyalah setakat yang remeh-temeh sedangkan PR menjanjikan lot rumah sebagai jaminan masa depan. Sementara itu, Fauzi Omar, 63, dari Felda Lakum, Lanchang tawaran kerajaan PR untuk menstruktur semula kampung-kampung baru dan kampung tersusun, amat bersesuaian demi membina semula penghidupan yang sempurna kepada masyarakat. "Kalau kita lihat keadaan kampung baru sekarang tidak dilengkapi prasarana memuaskan dan bersesak-sesak tetapi mereka tatap membayar cukai kepada kerajaan. Sebab itu kedudukan mereka mesti distruktur semula. "Lagipun, kalau kerajaan sediakan kawasan penempatan tersusun, kawasan itu akan maju dengan dan akhirnya menjadi bandar. Sekali gus akan meningkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya. Dalam pada itu, seorang penganalisis ekonomi Pahang Syed Ali Badarudin Othman, mengalu-alukan tawan kedua PR Pahang iaitu 'menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat'. Katanya, janji tersebut boleh dilaksanakan jika diamalkan kaedah pengurusan tanah yang cekap dan cepat, berbanding dengan karenah birokrasi di pejabat-pejabat tanah sekarang. "Bayangkan untuk rakyat yang memohon tanah bagi mendapatkan satu kelulusan, mereka terpaksa menempuh antara 20 ke 30 meja di pejabat tanah, PTG dan SUK. Untuk pelupusan tanah kerajaan memakan masa antara 10 hingga 20 tahun. "Kenapa lambat sedangkan permohonan tanah tidak perlu masa yang lama kerana kriteria dan prosedur melalui format permohonan sudah menggambarkan kelayakan seseorang pemohon serta sudah ada sistem maklumat mengenai status tanah," katanya. Syed Ali juga mengalu-alukan tawaran keempat PR bagi memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada kepada lot perumahan atau bangunan. Katanya, sistem yang dipakai kerajaan BN sekarang, bukan sahaja menimbulkan masalah besar kepada rakyat yang berurusan, malah firma-firma guaman juga mengeluh kerana tidak dapat meneruskan urusannya terlalu bersifat birokrasi. "Saya cadangkan kepada kerajaan PR nanti menggunakan kuasa di bawah Seksyen 12 Kanun Tanah Negara supaya urusan tukar syarat tanah juga memadai di luluskan peringkat pentadbir tanah daerah. "Jika kerajaan cekap hasil pendapatan daripada tanah juga meningkat seiring dengan pembangunan semasa. Kita perlu ingat, sebarang urusniaga melibatkan hartanah adalah berbayar. Itu merupakan pendapatan kerajaan. Sekiranya budaya birokrasi ini dikekalkan, kutipan hasil negeri terus tidak berkembang," katanya. |
Royalti: Saman kedua menanti Petronas - Husam Posted: 12 Dec 2012 08:39 PM PST PENGKALAN CHEPA: Kerajaan Kelantan memberi tempoh selama 15 hari kepada Petronas bagi menjelaskan mengapa royalti 5 peratus gagal diberi terus kepada kerajaan negeri. Anggota Exco, Datuk Husam Musa berkata, berdasar kenyataan Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas sebelum ini jelas menggambarkan Petronas membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan. "Sebaliknya kerajaan pusat tidak menyerah pembayaran itu kepada Kelantan. Selain itu tidak juga memasuk dalam Akaun Wang Yang Disatukan kerajaan persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957. "Selain itu kerajaan pusat juga membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak akta terbabit," katanya pada program solat hajat dan ceramah perdana di Putik malam tadi. Shamsul Azhar dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata, bayaran royalti minyak kepada negeri pengeluar sumber itu terletak kepada kerajaan persekutuan. Sedangkan kata Husam, Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada 1975 dengan Petronas serta tiada sebarang perjanjian antara negeri ini dan kerajaan Malaysia. Menurutnya pada perjanjian itu, Petronas berjanji membayar secara langsung kepada Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun pengeluaran bermula. "Kenapa Petronas tidak membayar langsung kepada Kelantan tetapi sebaliknya menyerah kepada pihak ketiga, kerajaan persekutuan. "Pembayaran Petronas 5 peratus adalah hak Kelantan dan ini bermakna satu tindakan jenayah pecah amanah dilakukan Petronas," katanya. Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, notis kepada Petronas dihantar Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam. Kata beliau sekiranya Petronas tidak menjawab surat tersebut dalam tempoh ditetapkan, satu lagi saman akan dikemukakan terhadap agensi berkenaan. Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan akaun bersama melibatkan jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan kini berjumlah lebih RM10 bilion. Kata beliau sekiranya Petronas menang dalam perbicaraan dalam kes saman sekarang, wang tersebut boleh menjadi milik mereka. "Namun sekiranya Kelantan menang wang tersebut akan menjadi milik kerajaan dan rakyat Kelantan," ujarnya. Beliau juga mendesak Ketua Audit Negara menyiasat akaun Petronas bagi mendapat gambaran lanjut mengenai jumlah royalti yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan. Husam turut mengulangi Petronas dikerah menyiapkan pembinaan menara berkembar Kuala Lumpur City Centre melibatkan perbelanjaan RM5 bilion. "Namun anehnya selepas siap Petronas diarah pula membayar sewa ruang pejabatnya di KLCC kepada seorang jutawan yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. "Bekas perdana menteri terbabit betul-betul perah susu daripada Petronas," katanya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan