Selasa, 6 November 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Himpunan Kebangkitan Rakyat

Posted: 05 Nov 2012 03:58 PM PST

Muktamar PAS 14 hingga 18 Nov ini di Kelantan

Posted: 05 Nov 2012 03:57 PM PST

KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 pada 16 November hingga 18 November ini manakala muktamar dewan-dewan akan bermula 14 November.

Muktamar ini yang bertemakan 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata muktamar kali ini merupakan muktamar terpenting memandangkan ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Memandangkan muktamar ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, maka ia merupakan muktamar terpenting yang akan menggerakkan seluruh parti bagi menghadapi pilihan raya umum," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Menyentuh agenda-agenda penting yang akan dibincangkan pada muktamar kali ini, Mustafa berkata ia akan memfokuskan kepada perbahasan ucapan dasar yang disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Katanya, dalam ucapan dasar tersebut, Ustaz Abdul Hadi akan mengupas pelbagai isu di dalamnya, khusus berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, muktamar kali ini turut menjemput pimpinan Pakatan Rakyat, wakil kedutaan, wakil antarabangsa, dan wakil NGO.
Bagi Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat pula, perasmian muktamar bagi kedua-dua dewan itu akan diadalan pada malam 14 November dan muktamar penuh pada keesokannya.

Manakala perasmian dan muntamar penuh bagi Dewan Ulama PAS Pusat pula diadakan pada 15 November.

Perasmian Muktamar PAS Pusat pula akan diadakan pada 16 Nov, sebelum muktamar penuh keesokannya hingga 18 November.
Pada malam 16 November itu juga, akan berlangsung dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat  peringkat Kelantan iaitu kesinambungan Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Senawang, 3 November lalu.

Apa tindakan tuduh bukan Islam sebagai kafir harbi

Posted: 05 Nov 2012 03:56 PM PST


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan apakah tindakan yang telah diambil terhadap mana-mana pihak terutama media yang telah menghukum sebahagian rakyat bukan Islam di negara ini sebagai Kafir Harbi, kerana hukuman seumpama itu boleh menggugat ketenteraman kaum di Malaysia.
Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahl Parlimen PAS hari ini seperti di bawah.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Menteri Kesihatan menyatakan mengenai perancangan terhadap tanah KKM untuk tapak Hospital Pendang yang sudah menjadi kawasan penempatan hidupan liar yang dijanjikan untuk hospital sejak 2006.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Kewangan menyatakan berapa peratuskah cukai eksais kereta tempatan yang dikenakan.

Che Uda Che Nik [Sik] minta Menteri Pelajaran menyatakan tentang SAPS, E-Pangkat, E-Operasi, APDM dan E-Kehadiran (Kedah) telah dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia, sekolah di Luar Bandar menghadapi masalah kemudahan Jalur Lebar, WIFI dan Internet amat perlahan dan kadangkala tidak ada langsung perkhidmatan, kadang-kadang berminggu-minggu terputus. Ini amat membebankan guru. Apakah langkah Kementerian untuk atasi perkara ini.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan langkah-langkah terkini yang dibuat bagi menjamin harga getah asli dan kelapa sawit tidak jatuh dengan lebih teruk lagi.

Soi Lek sombong untuk terima hakikat hudud

Posted: 05 Nov 2012 03:56 PM PST


KUALA LUMPUR: Kenyataan terbaru Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA bagi mempertahankan kenyataannya berkenaan dengan Hudud baru-baru ini menggambarkan kesombongan beliau untuk menerima hakikat kebenaran Hudud yang diperjuangkan oleh PAS.
Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Kenyataan terbaru Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA bagi mempertahankan kenyataannya berkenaan dengan Hudud baru-baru ini menggambarkan kesombongan beliau untuk menerima hakikat kebenaran Hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Beliau berkata bahawa penentangannya terhadap Hudud bukan menentang dan menghina agama Islam tetapi apa yang ditentang adalah Hudud PAS.
Jelasnya, beliau tidak boleh menerima penerangan yang diberikan bahawa Hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah undang-undang Syariah yang diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah serta ijtihad para Ulamak muktabar. Menghina Hudud adalah menghina Islam kerana Hudud adalah sebahagian daripada Islam. Menghina Hudud juga adalah bermakna menghina Rasululullah yang membawa risalah Hudud.

Datuk Seri Dr. Chua telah silap apabila memahami Islam hanyalah pembinaan masjid, institusi Tabung Haji, penubuhan dan implementasi pusat zakat dan kutipannya, pembinaan sekolah-sekolah agama, perbankan Islam, penerapan dasar-dasar Islam dalam kerajaan dan lain-lain sebagaimana dakwaannya.

Islam tidak sempit sebagaimana dakwaannya tetapi Islam adalah cara hidup yang mengatur kehidupan manusia sama ada dalam bidang sosial, ekonomi mahu pun politik. Termasuk ajaran Islam ialah hukuman Hudud.

Datuk Seri Dr. Chua sebenarnya telah terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menyempitkan Islam dan melabelkan enakmen Hudud di Kelantan dan Terengganu adalah Hudud PAS. Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya bertanggungjawab di atas kekeliruan yang ditimbulkan ini sehingga menyebabkan Datuk Seri Dr. Chua berani untuk menghina hukuman Hudud. Mereka lebih sanggup untuk menjual agama demi untuk kepentingan politik mereka.

Apa yang lebih dikesali lagi, Ulamak UMNO tidak berjaya menerangkan kepada Datuk Seri Dr. Chua tentang kebaikan hukuman Hudud. Walaupun beliau mengakui bahawa telah berjumpa dan menerima penerangan daripada Ulamak UMNO, nampaknya beliau lebih berani untuk menghina Rasulullah dan Islam melalui Hudud selepas pertemuan tersebut.

Datuk Seri Dr. Chua juga dilihat cuba untuk mengheret sama DAP agar menghina Hudud. Umum mengetahui bahawa DAP tidak dapat menerima perlaksanaan Hudud di Malaysia tetapi tidak bermakna mereka harus menghina Hudud. Mereka menghormati perjuangan prinsip PAS. Hasil kerja dan usaha PAS menerangkan tentang hukuman ini, DAP akhirnya dapat menerima bahawa Hudud adalah sebahagian daripada Islam dan tidak boleh dihina walaupun mereka tidak bersetuju untuk dilaksanakan. PAS akan sentiasa memberikan penerangan agar bukan Islam menerima kewajipan umat Islam untuk beramal dan melaksanakan Hudud dalam kehidupan mereka.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar Datuk Seri Dr. Chua tidak sombong untuk meminta maaf terhadap umat Islam terhadap keceluparan beliau menghina Rasulullah dan Islam melalui Hudud.

Beliau perlu menerima bahawa Hudud adalah sebahagian daripada Islam dan Hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah berdasarkan kepada al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para Ulamak muktabar, bukannya Hudud yang direka oleh PAS.

Gelombang perubahan sangat kuat di Kota Belud

Posted: 05 Nov 2012 03:56 PM PST

 
(Gambar: Mustaqim (tengah) bersama SU PAS kawasan Martubis Jumdot (kiri) serta SU Dewan Pemuda PAS kawasan Abu Ubaidah)

KOTA BELUD: Gelombang perubahan yang melanda seluruh Sabah sejak akhir-akhir ini sangat kuat dirasai di kawasan Parlimen P.169 Kota Belud di sini.

Biarpun ia dikatakan 'kubu kuat' BN sejak sekian lama, sehingga tidak pernah dalam sejarah politik Sabah, ada parti yang bukan kerajaan pernah menang di sini, namun kali ini ianya dilihat berbeza.

Kesedaran masyarakatnya yang timbul akibat dihimpit pelbagai masalah khususnya infrastruktur dan ekonomi menyebabkan rata-rata mereka kini berani bercakap tentang perubahan politik.

Yang DiPertua PAS Kota Belud, Mustaqim Aling berkata, pihaknya kini dapat melihat satu perubahan luar biasa masyarakat di situ yang cukup berbeza dari tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, slogan 'ini kalilah' bagai meniti dibibir masyarakat dan dapat didengar dalam perbualan harian mereka di sini.

"Ini kalilah itu mulanya di Kota Belud, malah sekarang sudah jadi gelombang yang sangat luar baiasa di sini. Kalau kita di mana-mana sahaja boleh dengar.

"Dulu gelombang Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah melanda sini, tapi sekarang saya rasa gelombang ini kali lah lebih besar dari PBS dahulu," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pusat Khidmat Masyarakat PAS di sini.


(Gambar: Mustaqim menunjukkan kawasan jelapang padi yang didakwa terbengkalai dan tidak mengeluarkan hasil seperti setatutnya)

Daerah Kota Belud terletak di pantai barat utara negeri Sabah, 70 kilometer dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta.

Kota Belud juga adalah kawasan campuran antara Kadazan Dusun Murut (KDM), Bajau dan sedikit kaum Cina dan boleh dikatakan ianya kawasan bermajoriti Islam.

Pada PRU12 2008 yang lalu, calon BN Datuk Abdul Rahman Dahlan mengekalkan kerusi Kota Belud dengan kelebihan 3,020 undi mengalahkan calon PKR Saidi Simoi.

Ianya juga menyaksikan sebanyak 1,046 kertas undi ditolak pada waktu itu.

Desas-desus mengatakan pergaduhan pemimpin tempatan kerana tidak dipilih menjadi calon sangat kuat waktu itu sehinga wujud undi protes yang menyebabkan kemerosotan undi kepada BN.

Pergaduhan antara pemimpin mereka juga dikatakan masih berlaku sehingga memaksa pemimpin pusat termasuk Naib Presiden Umno Datuk Safie Apdal terpaksa turun beberapa kali.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) pula, terdapat tiga Dun di bawahnya iaitu Usukan, Kadamian dan Tempasuk.

PAS pula dijangka meletakkan calonnya di Tempasuk pada pilihan raya akan datang.

Pada PRU 2008, BN menang di Tempasuk dengan majoriti 2,432 mengalahkan calon PKR dan bebas ketika itu.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, penerimaan orang ramai terhadap PAS dan Pakatan Rakyat juga sangat berbeza berbanding sebelumnya.

PAS tidak lagi dilihat sebuah parti yang perlu ditakuti oleh mereka khususnya yang bukan beragama Islam.

"Pusat khidmat masyarakat PAS ini sendiri menjadi tempat rujukan masyarakat di sini termasuk bukan Islam untuk membuat aduan mereka.

"Malah sejak akhir-akhir ini pejabat ini menjadi makin sibuk dengan kehadiran ramai mereka yang turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang kita jalankan di sini," katanya.


(Gambar: Batang paip sepatutnya digunakan bagi membina saluran air ke kawasan sawah, tetapi terbengkalai di sini sejak 2005)

Antara isu besar di Kota Belud yang menjadi rungutan masyarakat setempat termasuklah keadaan jalan yang uzur yang sekaligus menghadkan pergerakan mereka.

Jalan raya disini difahamkan dibina sejak zaman PBS lagi dan tidak dibaiki secara menyeluruh oleh kerajaan BN.

Bairpun dijanjikan 'dalam perancangan' untuk dinaiktaraf oleh kerajaan BN, namun rakyat dilihat sudah tidak tahan lagi dengan alasan politik pilihan raya itu.

Masalah lain yang tidak kurang juga besarnya adalah masalah bekalan air bersih kepada penduduk.

Difahamkan walaupun batang paip air sudah ditanam sejak lama, namun ianya tidak mengeluarkan air.

Ini menyebabkan sebahagian masyarakat di sini mencari alternatif dengan mengeluarkan modal sendiri membeli enjin mengepam air dari bawah tanah.

Namun ianya juga tidak me mana kerana kualiti air yang dipam itu didakwa sangat teruk dan berbau busuk.

Selain itu, penduduk juga didakwa mengeluh dengan masalah yang melanda Program Jelapang Padi dan Agropolitan yang terbengkalai sehingga menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.

Salahudin sedia tanding di Pagoh lawan Muhyiddin

Posted: 05 Nov 2012 03:55 PM PST

KUALA LUMPUR: Selepas Presiden PAS membuat kejutan menyatakan kesediaan bertanding di Pekan iaitu parlimen Datuk Seri Najib Razak, kini Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula menyatakan kesediaan bertemu Muhyiddin di Pagoh.

Menurut Salahudin, jika parti memutuskan beliau bertanding di Parlimen Pagoh, iaitu kawasan Timbalan Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, maka beliau bersedia.

Salahuddin berkata, beliau senada dengan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan bertanding Parlimen Pekan, kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Dalam nada yang sama, saya pun bersama dengan Presiden meletakkan keputusan parti di hadapan, dan kita sentiasa patuh dengan arahan parti walaupun mungkin tempat-tempat yang mungkin ditandingi itu akan hadapi risiko yang tinggi," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sebelum ini sudah diputuskan untuk bertanding di Johor, namun belum dipastikan kerusi Parlimen atau Dun.

Kata Salahuddin lagi, beliau juga sudah membuat kenyataan di hadapan PAS Johor bahawa beliau bersedia jika diarahkan bertanding melawan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

"Semalam pun saya buat kenyataan di jJhor, saya juga bersedia menerima arahan parti sekiranya saya diarahkan untuk bertanding melawan Menteri Besar Johor. Sebagai orang Johor, saya akur," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat parti yang terdekat.

"Mungkin dalam mesyuarat akan datang saya tidak menolak kemungkinan perkara ini akan dibincangkan dengan lebih serius mengenai kerusi-kerusi ini," katanya.

Minggu lalu, Ustaz Hadi berkata, beliau akan mengikut keputusan parti sama ada dikekalkan bertanding di Parlimen Marang atau Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan:

Pengikut