Khamis, 29 November 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Kenyataan Shahrizat boleh cetus huru-hara

Posted: 28 Nov 2012 03:22 PM PST

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membayangkan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang jika Umno hilang kuasa pada PRU13 sebagai 'bahaya' dan 'boleh mencetus huru-hara'.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan ketua wanita Umno itu bukan sahaja mempamerkan ketakutan Umno, malah cuba 'mengugut' rakyat.

"Kenyataan itu sebenarnya berbaur ancaman seolah-olah mereka akan berusaha mencetus huru-hara jika Umno kalah pilihan raya.

"Mereka cuba takutkan rakyat bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika Pakatan ambil alih kuasa," katanya.

Kenyataan ancaman Tragedi 13 Mei akan berulang itu dimuatkan dalam teks ucapan Shahrizat di Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Merdeka hari ini.

Dalam teks itu, bekas menteri yang turut terpalit skandal RM250 juta NFC itu berkata, jika Umno tidak lagi berada ditampuk kuasa, kestabilan politik negara "akan goyang" dan pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara ini tidak akan senang.

Keadaan itu ujarnya dibimbangi akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berpendapat, kenyataan Shahrizat itu adalah hasil didikan 'mentor politik' Umno iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sering mengeluarkan kenyataan menakut-nakutkan rakyat.

Beliau dalam pada itu meminta PAS di semua peringkat membuat laporan polis berhubung kenyataan shahrizat yang disifatkan 'bahaya' itu.

"Oleh yang demikian saya mewakili pimpinan PAS mengarahkan semua peringkat parti untuk membuat laporan polis di seluruh negara atas kenyataan Shahrizat itu.

"Kita minta pihak polis mengambil tindakan segera sebagai tindakan mencegah, sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Kenyataan Deepak: SAMM tuntut kes Altantuya dibuka semula

Posted: 28 Nov 2012 03:22 PM PST


KUALA LUMPUR: Berikutan pengakuan bekas rakan karib Datin Seri Rosmah Mansor, Deepak Jaikishan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu dibuka semula.

Ini kerana, pengakuan bersumpah (SD) P balasubramaniam yang kedua telah tidak sah apabila dipengaruhi oleh keluarga Datuk Seri Najib Razak.

"Merujuk kepada laporan Harakah(daily) mengenai pengakuan Deepak Jaikishan yang membantu keluarga DS Najib Razak untuk memujuk penyiasat bebas P. Balasubramaniam (PI Bala) menukar akuan bersumpahnya, menjadi bukti bahawa akuan bersumpah kedua PI Bala jatuh tidak sah.

"Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak kes pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Sharibuu dibuka semula dengan mengambil kira akuan bersumpah pertama PI Bala, setelah akuan bersumpah kedua PI Bala didapati telah dipengaruhi oleh keluarga Najib Razak," kata Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau Cikgu Bard.

Beliau dipercayai mengulas laporan Harakahdaily semalam yang melaporkan kenyataan Deepak Jaikishan yang menyebut beliau terlibat dalam SD PI Bala yang kedua.

Bagi che'GuBard, berikutan tindakan PI Bala mengubah pengakuan bersumpah, Deepak sendiri mengaku ia dilakukan demi menolong keluarga Najib Razak, ini bukti yang cukup untuk memanggil Najib ke kandang saksi.

Bagi beliau, pengakuan bersumpah PI Bala yang pertama yang menyebut keterlibatan Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya wajib dirujuk.

SAMM juga, katanya, melihat kes pembunuhan Altantuya menerbitkan sudut persoalan yang pelbagai, apatah lagi ia berkait rapat dengan skandal Scorpene yang disifatkan sebagai 'bapak' kepada semua kes jenayah di Malaysia.


"Skandal pembunuhan Altantuya dan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang terkait ini harus dirungkai dan rakyat harus tahu," katanya.

Menurut beliau, demi memastikan rakyat celik dalam isu ini, pelbagai usaha dilakukan oleh SAMM termasuklah jelajah sesi taklimat penerangan di setiap negeri, ceramah pencerahan dan SAMM juga akan melancarkan buku bertajuk 'Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia' pada bulan hadapan.

Sehubungan itu, SAMM menyeru supaya rakyat menolak kepimpinan Najib Razak yang tercalit skandal Altantuya dan Scorpene.

"Hanya selepas BN ditumbangkan barulah kebenaran akan terungkai kerana ketika itu tiada lagi imuniti undang-undang terhadap VIP dan VVIP negara," katanya.

Cendikiawan dunia Islam berhimpun di Kota Bharu

Posted: 28 Nov 2012 03:21 PM PST

KOTA BHARU: Kongres Dunia Mengenai Sistem Islam akan menghimpun cendikiawan Islam dari beberapa negara di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Utara bagi mencetus pendekatan baru menghadapi alaf ke-21.

Lebih 500 peserta dan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negeri akan berhimpun di Kota Bharu selama lima hari, membincangkan pelbagai aspek mengenai Islam.

Kongres berkenaan dianjurkan kerajaan Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan 2012 akan berlangsung 1 hingga 5 Disember 2012 turut mendapat kerjasama Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan).

Pemimpin gerakan Islam, profesor dan wakil beberapa kerajaan akan membentang kertas kerja pada kongres berkenaan.

Antaranya anggota jawatankuasa parlimen Mesir, Dr Abdel Rahman al-Bar; Naib Canselor Riphan International University Pakistan, Prof Dr Anis Ahmed; Sheikh Rashid Al Ghannushi dari Tunisia, Prof Glenn Hardaker dari England, wakil gerakan Islam Maghribi, Dr Abu Zaid Al Muqri Al Idirisi.

Selain itu Prof Dr Abdel Rahim Ali (Sudan), Dr Sofwat Jijazi (Mesir), Prof Dr Masudul Alam Choudhury (Kanada), Dr Hidayat Nur Wahit (Indonesia) dan wakil Kementerian Luar Turki.

Manakala Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga dijemput menyampaikan syarahan. Kongres yang julung kali diadakan itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 Disember.

Pengerusi kongres berkenaan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah  berkata, penganjuran kongres berkenaan dibuat bagi mewujudkan platform peringkat global berkaitan pembangunan dan pelaksanaan sistem Islam.

Kongres berkenaan akan diadakan di Balai Islam dan sebuah hotel. Ia terbuka kepada umum dan agensi kerajaan. Peserta dikenakan bayaran pendaftaran, manakala percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Kelantan sumbang RM50,000 bantu Palestin

Posted: 28 Nov 2012 03:20 PM PST

(Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan cek sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada Presiden Cakna Palastine Nazri Deraman)


KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan cek sebanyak RM50,000 untuk membantu rakyat Palestin di negara sendiri.

Sumbangan dari Tabung Serambi Mekah itu disampaikan Tuan Guru kepada Pengerusi Persatuan Cakna Palestin, Nazri Deraman, selepas mesyuarat exco, di sini tengahari tadi.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Pengerusi Tabung Serambi Mekah, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Sebelum itu, Tuan Guru sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, terlebih dahulu memijak gambar-gambar pemimpin zionis Israel termasuk benderanya berulang kali sebagai tanda protes.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, ketika memberitahu Harakahdaily berkata, kerajaan negeri begitu simpati terhadap nasib umat Islam di Palestin yang sentiasa menjadi buruan zionis.

"Kerana itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan sumbangan ini kepada umat Islam di Palestin yang tertindas,"ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut