Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Undi calon bukan Islam untuk politik Islam
- Felda jual sawit ke Israel, PAS akan serah memo
- Konsert Hijrah @ TMK 2012
- Pemuda tubuh dana khas untuk guru Pasti
- Muktamar lulus 14 usul, sedia tuju Putrajaya
- Pemuda tetapkan mekanisme isytihar harta
- Muktamar Tahunan PAS Ke 58 , PUTIK Kelantan
- Saya lebih senang jadi nelayan semula
- Saya mahu jadi khadam untuk rakyat
- PAS tidak lari dari perjuangan asal - Syura
- PAS bukan parti bermuka-muka - Salahudin
- PAS sasar 60 kawasan parlimen PRU-13
- Perwakilan berjaya tepis tohmahan dan provokasi
- MB Kelantan terima memo sokong tangguh AES
- Kami tentera perjuangan Islam - DHPP
- Ribuan anak muda “bermuktamar” di Dataran Stadium
- Doa “Hancur Umno, Tumbang BN” bergema di stadium
- 760 bekas tentera sertai PAS
- Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS
Undi calon bukan Islam untuk politik Islam Posted: 17 Nov 2012 10:55 PM PST KOTA BHARU: Majlis Syura Ulama PAS mengarahkan ahli parti mengundi calon PAS dari bukan Islam bagi melawan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13. Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Majlis Syura Ulama sudah berijtihad bahawa PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan islam dalam mencapai matlamat politik Islam. "Untuk mencapai matlamat politik Islam, ulama telah berijtihad untuk menentukan wasilahnya. "Antaranya ulama dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada ijmak dan qias telah membenarkan tahaluf siyasi dengan parti lain baik parti Islam atau bukan Islam sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam PRU ke-13. "Rentetan daripada tahaluf siyasi maka ahli PAS diarah mengundi calon-calon bukan Islam daripada DHPP dalam pilihan raya akan datang," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini. Justeru beliau mengingatkan ahli PAS agar tidak mempertikai ijtihad yang ditetapkan Majlis Syura Ulama. "Jangan sesiapa mempertikai ijtihad yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama. "Kalau ada ahli yang berceramah mempertikai tahaluf siyasi maka dia tidak walak pada Majlis Syura," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor.. Sementara itu, Dr. Mahfodz turut melahirkan rasa gembira apabila seluruh perwakilan menunjukkan keprihatinan terhadap Dewan Ulama. "Ulama rasa syukur dan gembira kerana perwakilan ambil perhatian serius tentang kepimpinan ulama. "Naib-naib presiden pun kata tak ada seorang pun tolak kepimpinan ulama dan saya yakin semua beri sokongan kepada kepimpinan ulama," katanya. |
Felda jual sawit ke Israel, PAS akan serah memo Posted: 17 Nov 2012 10:55 PM PST KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman menunaikan janjinya untuk mendedahkan bukti penjualan kelapa sawit oleh Felda kepada syarikat yang dimiliki oleh negara haram Israel ketika negara itu sedang membunuh umat Islam Palestin di Gaza. (Mazlan menunjukkan invois jualan kelapa sawit Felda kepada Israel) Beliau mendedahkan dokumen berupa invois jualan itu semasa berucap di Muktamar Tahunan PAS yang ke 58 di Putik hari ini. Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan ahli parti bersama-sama menyertai penyerahan memorandum ke pejabat Felda di Kuala Lumpur, 23 November ini. Beliau berkata, memorandum itu bagi membantah tindakan Felda menjual minyak sawit kepada syarikat Yahudi dan menuntut penjelasan Felda berhubung RM400 juta saham syarikat judi, Genting Berhad dalam Felda. Mensasarkan 5,000 rakyat ke penyerahan memorandum tersebut, Mazlan yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Anak akan bergabung dnegan NGO-NGO lain berarak ke ibu pejabat Felda di Jalan Semarak di ibu negara. "Saya menyeru pimpinan dan ahli bersama-sama Anak berarak dari masjid berdekatan pejabat Felda ke pejabat Felda di Jalan Semarak untuk menyerahkan memorandum kepada Felda. "Anak akan gerakkan jentera dan bergabung dengan NGO untuk penuhkan masjid sekurang-kurangnya 5,000 orang untuk serah memorandum mendesak penjualan minyak sawit kepada syarkat Yahudi sejak 2010," katanya sewaktu perbahasan usul di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik, hari ini. Sementara itu, Mazlan juga mencabar pimpinan Umno menafikan perkara ini dalam Perhimpunan Agung parti itu akhir bulan ini. "Tak perlulah Umno berkokok lagi dan kita cabar di perhimpunan agung untuk Umno jawab seperti yang dia nafikan sebelum ini. "Saya ada bukti invois penjualan minyak sawit ini dan pasal saham Genting pun saya ada bukti," katanya. |
Posted: 17 Nov 2012 10:55 PM PST |
Pemuda tubuh dana khas untuk guru Pasti Posted: 17 Nov 2012 10:51 PM PST KOTA BHARU: Setelah dikritik di dalam Muktamar Dewan Muslimat Khamis lalu berhubung masalah gaji atau elaun guru-guru Pasti yang rendah, hari ini Dewan Pemuda PAS Pusat mengambil inisiatif menubuhkan dana khas bagi membantu nasib mereka. Ketuanya Nasruddin Hassan ketika ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS berkata, dengan adanya dana ini beliau percaya ia boleh mengatasi masalah gaji guru-guru Pasti. Malah beliau juga mencadangkan agar mana-mana kerajaan dalam Pakatan Rakyat menyumbang satu dana khas melalui dana pendidik terus kepada Pasti. Jelasnya, guru-guru Pasti pada asasnya diberi gaji antara RM400 hingga RM800 sebulan bagaimanapun ia tertakluk kepada pengurusan cawangan Pasti masing-masing. "Gaji mereka ini bergantung kepada jumlah murid dan jumlah yuran yang dibayar oleh murid. "Sebab itulah ada yang dapat gaji lebih dan ada yang dapat gaji kurang," katanya. Tambahnya, Pemuda juga memberi kenaikan elaun sebanyak lima peratus malah juga memberi bonus hari raya dan permulaan masuk sekolah kepada guru-guru Pasti. Khamis lalu, Dewan Muslimat di dalam penggulannya mendesak Dewan Pemuda agar mengambil serius berhubung masalah gaji guru-guru Pasti memandangkan 99.9 peratus yang terlibat di dalam Pasti adalah di kalangan muslimat. |
Muktamar lulus 14 usul, sedia tuju Putrajaya Posted: 17 Nov 2012 10:50 PM PST (Perwakilan muktamar PAS ke 58) KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS ke-58 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) kali ini, meluluskan 14 usul dengan enam usul dilulus dengan bahas manakala lapan lagi usul dilulus tanpa bahas. Enam usul yang dibahas itu adalah, satu usul dari Dewan Ulamak, dua dari pemuda, satu muslimat dan dua PAS Pusat. Dewan Ulamak PAS Pusat membawa usul organisasi agar Majlis Syura Ulamak PAS menubuhkan satu unit audit syariat bagi tujuan mengaudit perjalanan badan eksekutif yang terdiri daripada wakil ahli jawatankuasa PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri dan kerajaan negeri yang ditadbir PAS. Pengauditan ini menurut mereka perlu merangkumi semua aspek pentadbiran supaya semuanya memenuhi pematuhan syariat dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat bagi memastikan kualiti kepimpinan kerajaan negeri ditadbir PAS. Usul itu telah dibentang dan dibahas semalam dan telah dipersetujui sebulat suara oleh para perwakilan muktamar. Dewan Pemuda PAS pula membawa usul mendesak kerajaan supaya Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan pengainayaan kepada rakyat. Usul itu juga mendesak agar kerajaan mewujudkan satu tatacara kelola trafik yang baru berdasarkan kajian dan juga piawaian negara maju yang lebih bersifat mendidik pengguna jalan raya. Satu lagi usul yang dibawa dewan itu adalah usul mendesak kerajaan Malaysia menerima usul tergempar berkaitan Palestin dan Rohingya. Usul tersebut juga menggesa kerajaan melalui OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan segera terhadap isu ini. Kerajaan juga digesa menyatakan sikap yang tegas serta menggunakan seluruh mekanisma operasi untuk membantu krisis kemanusiaan yang berlaku di kedua-dua negara ini. Kedua-dua usul pemuda tersebut juga telah dibentang dan dibahas semalam dan juga telah diterima sebulat suara para perwakilan. Usul dari Dewan Muslimat PAS Pusat pula bagi mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia menangguhkan perlaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ini kerana perlaksanaan itu masih kabur sehingga menimbulkan tekanan kepada guru yang hampir 80 peratus dari mereka sebenarnya tidak faham. Mereka juga menuntut agar hak yang adil dan sama rata kepada seramai 800,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam PBS ini serta memastikan akses internet 1 Bestari Net yang menggantikan School Net di sekolah diatasi dengan sebaiknya sebelum perlaksanaan dilakukan. Usul tersebut yang dibentang pagi ini juga diterima sebulat suara oleh perwakilan. PAS Pusat pula membawa usul agar memperhebatkan siri penerangan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu melalui semua medium yang ada. Pada masa yang sama, PAS juga perlu meyakinkan pengundi Melayu bahawa PAS mampu menjaga Melayu lebih baik daripada Umno serta menerangkan segala pembohongan Umno. PAS juga perlu menonjolkan kemampuan memerintah dengan memberi contoh Kelantan yang telah diperintah 22 tahun dan Kedah yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik walaupun terpaksa menanggung beban hutang RM1.8 bilion peninggalan BN. Satu lagi usul PAS Pusat adalah agar PAS mengukuhkan sokongan ke atas Jawatankuasa Bersih yang telah mengemukakan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya. Usul terssebut juga mahu PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno BN untuk memenuhi kesemua tuntutan Jawatankuasa Bersih. Pada masa sama, jentera PAS juga perlu terus membongkar penyelewengan Umno melalui daftar pemilih dan terus memberi tekanan kepada SPR untuk membersihkan kesemua daftar undi sebelum PRU-13. Usul yang juga dibentang pagi ini itu juga diterima sebulat suara oleh para perwakilan. Sementara itu, lapan usul yang diterima tanpa bahas adalah usul memperkasa Harakah, usul mengutuk Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang berterusan menghina Islam, serta usul agar Pakatan Rakyat mengutamakan seluas-luasnya aspek pendidikan di dalam pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai. Selain itu, usul-usul agar usaha dakwah terhadap bukan Islam dimaksimakan, usul pembantu rumah tempatan dimartabatkan, usul calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diberi peluang bertanding dalam PRU-13 juga dilulus tanpa bahas. Dua lagi usul juga dilulus tanpa bahas adalah usul menghapuskan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta usul agar diadakan satu himpunan besar-besaran pembabitkan parti-parti dalam Pakatan serta NGO bagi mendesak kerajaan memastikan pilihan raya adil dan saksama. |
Pemuda tetapkan mekanisme isytihar harta Posted: 17 Nov 2012 10:50 PM PST KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menetapkan mekanisme berhubung pengisytiharan harta yang diumumkan minggu lalu. Perwakilan DPPP Syahir Sulaiman berkata, ketetapan itu dibuat bagi memudahkan proses pengisytiharan harta yang disifatkan sangat wajar bagi menjaga integriti dan amanah di kalangan pemimpin pemuda. "Seluruh pemuda bersetuju dengan pengisytiharan harta untuk menjaga nilai integriti dan amanah dengan mengambil tiga ketetapan. "Pemuda akan menggunakan format yang digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu pengisytiharan harta di setiap agensi diserahkan kepada ketua pemuda dan ketua pemuda akan menyimpan maklumat tersebut dan dipantau oleh sebuah badan hizbah. "Dari semasa ke semasa akan diserahkan kepada presiden dan mursyidul am. Selesai proses pemilihan calon pilihan raya, pemuda secara sukarela akan mempamer borang deklarasi pengisytiharan harta untuk dinilai secara keseluruhan," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik, semalam. Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan mengisytiharkan hartanya kepada khalayak ramai semasa ucapan penggulungan di Muktamar Pemuda PAS Khamis lalu. Nasrudin, 42 mengisytiharkan, beliau bersama isteri mempunyai pendapatan sebanyak RM2,800 and RM4,000 sebulan. Beliau juga memberitahu bahawa beliau mempunyai RM9,000 di dalam simpanan semasa. Sementara itu, Syhir berkata, DPPP akan menyediakan kepakaran dalam pelbagai bidang bagi membantu ahli parlimen dan Adun merangka dasar dan polisi negara. "Pemuda berbesar hati mengukuhkan kumpulan pakar di kalangan pemuda dalam agenda mengisi kemenangan dan kami menawarkan sukarelawan cerdik pandai pemuda untuk ahli parlimen dalam merangka polisi," katanya. |
Muktamar Tahunan PAS Ke 58 , PUTIK Kelantan Posted: 17 Nov 2012 10:48 PM PST |
Saya lebih senang jadi nelayan semula Posted: 17 Nov 2012 03:56 PM PST KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Islam mengajar beliau agar tidak meminta-minta jawatan. Justeru, beliau mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya. Beliau berkata, fokus utama PAS dan Pakatan Rakyat adalah untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bukan menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri. "Saya sebagai pemimpin yang diajar dalam Islam tak boleh minta jadi pemimpin dan memimpin ini satu amanah yang berat, yang besar tanggungjawabnya. "Apa yang penting kita nak ke Putrajaya. Siapa Perdana Menteri ialah mereka yang dipilih rakyat, yang layak, yang dapat menyatukan dan menegakkan keadilan untuk rakyat. "Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya sanggup jadi nelayan balik. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi khadam rakyat," kata beliau pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-58 di Putik hari ini. Beliau juga berkata, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi apabila memberi ruang kepada perwakilan menyuarakan pandangan dan kritikan. "Demokrasi dalam PAS, kita membenarkan orang bercakap dalam muktamar dan kita akan gulung dan jawab. Ada yang wajar, ada yang tak wajarlah. Ada batasnya. "Apa lagi sekarang ini zaman terbuka, bukan sahaja yang lidah panjang tapi tangan panjang tulis macam-macam pandangan dia dalam blog dansebagainya dan orang ambil pandagannya," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali memberitahu, pembahagian kerusi antara PAS dan Pakatan Rakyat sudah selesai 90 peratus. "Pembahagian kerusi dengan Pakatan Rakyat lebih 90 peratus selesai tapi kita tak boleh sebut lagi kerusi-kerusi tersebut," katanya sambil menambah, terdapat wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan bertanding. |
Saya mahu jadi khadam untuk rakyat Posted: 17 Nov 2012 03:56 PM PST |
PAS tidak lari dari perjuangan asal - Syura Posted: 17 Nov 2012 03:55 PM PST KOTA BHARU: Majlis Syura Ulamak PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah-fitnah yang ditaburkan oleh musuh-musuh PAS yang kononya PAS telah terpesong dari perjuangannya. Menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din, musuh tahu bahawa PAS masih di atas keasliannya, akan tetapi sengaja manabur fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenar. Di waktu yang sama katanya, mereka berkenaan seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalarkan PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat. "Majlis Syura Ulama sebulat suara membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa PAS adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal. "Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama. PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asalnya tanpa sedikit pun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaan Fasal 5(1)," katanya kepada Harakah dan Harakahdaily hari ini. Perakuan itu juga ujarnya aalah hasil Mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang di JKR10 di sini malam tadi dengan mengambil kira dua ucapan dasar Presiden PAS di dua muktamar iaitu di Taman Melewar pada 2011 dan di Putik semalam. Terdahulu, dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS, perwakilan Ulama Hairun Nizam (kanan) berkata, dasar tahaluf siasi yang diputuskan Ulama ia wajib dipatuhi oleh semua ahli demi keutuhan dan kemantapan organisasi. "Liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siasi," katanya. Malah katanya, kepimpinan Ulama mahukan bukan kemenangan untuk menjatuhkan BN semata-mata tetapi mahukan kemenangan untuk agama Islam. "Kita perlu meletakkan kemenangan menjadi hak Allah. Jangan menyorokan Islam seketika untuk mendapat kemenangan dengan meletakkan hukum syarak di nombor dua tiga dan seterusnya, sebaliknya meletakkan hukum syarak itu yang paling utama," katanya. Beliau turut memberi peringatan kepada pucuk pimpinan PAS agar menolak calon yang melobi diri sendiri untuk menjadi calon dalam PRU akan datang. "Mohon kepimpinan untuk lihat sebarang tindakan yang melobi diri sendiri menjadi calon, minta calon ini tidak dijadikan calon PRU nanti," jelasnya. |
PAS bukan parti bermuka-muka - Salahudin Posted: 17 Nov 2012 03:55 PM PST KOTA BHARU: PAS bukan parti bermuka-muka sebaliknya berterus-terang dalam menyatakan dasar dan prinsipnya kepada rakan dalam Pakatan Rakyat, DAP. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, berkat sikap berterus-terang PAS itu, orang bukan Islam tidak segan untuk bertanya tentang Islam kepada pemimpin PAS. "Kita menyatakan dasar kita depan DAP dan di belakang mereka. Kita berterus-terang dan kita bukan parti yang bermuka-muka. Kita tak pernah undur dan dalam tahaluf siyasi PAS tak pernah rugi. "Siapa sangka pemimpin muda DAP datang berjumpa Tok Guru (Nik Aziz) tanya maksud ayat al-Quran. Kita kena beri peluang kepada orang bukan Islam untuk memahami Islam. Jangan sempitkan ruang kepada bukan Islam untuk belajar tentang Islam," katanya sewaktu menggulung perbahasan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58, di Putik hari ini. Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, PAS menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat sebaik mungkin dalam menyatakan pendirian dan hala tuju Pakatan Rakyat selepas mengambil alih Putrajaya. "Presiden menyatakan dengan tegas bahawa pelaksanaan syariat Islam adalah mengikut lunas demokrasi. Maka membunuh hujah bahawa kita takut berhadapan rakan-rakan Pakatan Rakyat. "Di Parlimen, apabila wakil kita bangun, kita tidak pernah lengah dan tak pernah lupa tanggunjawab. Parlimen memberi ruang lingkup yang luas untuk kita memberitahu kerajaan apa yang kita sasarkan apabila menguasai Putrajaya. "Dokumen Negara Berkebajikan dan Buku Jingga kita pegang menunjukkan apa yang kita bawa memberi erti yang besar kepada negara. Jadi tak timbul kita tak mampu jelaskan soal Islam," katanya. |
PAS sasar 60 kawasan parlimen PRU-13 Posted: 17 Nov 2012 03:54 PM PST KOTA BHARU: "Jangan pula kita hilang rasa tawaduk kepada Al Malik dan menerimalah apa yang ditentukan Allah Taala. "Jangan dilihat kita terlalu gelojoh, jangan pula kita menunduk sehingga terhantuk. Kita hendak kaji apakah punca kita kalah sebelum ini dan bagaimana pula cara hendak menang. "Selepas muktamar ini kita balik dan semak di kawasan masing-masing," kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ketika menggulung ucapan dasar presiden pada muktamar hari ini. Beliau juga berkata, memang diakui demokrasi itu kejam, di mana orang yang baik pun boleh tewas dalam pilihan raya. "Ini sangat kejam. Kalau gagal merakyatkan parti kita akan gagal. Oleh itu kita kena merakyatkan perjuangan," ujarnya. Oleh itu beliau yang juga Pengerusi Bersama Manifesto Pakatan Rakyat melontarkan pesanan supaya jangan terlalu ghairah ketika kita mahu melangkah untuk mencapai kemenangan. Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, setiap daripada kita perlu bertindak bagi mengolah parti bagaimana cara hendak menang dan mudah diterima semua pihak. Kuncinya kata beliau merakyatkan perjuangan dengan bekalannya Negara Berkebajikan. "Jangan terlalu hendak menang tanpa menyemak kedudukan kita sebenarnya. Pengkritik telah mengkritik kononnya kita telah meninggalkan perundangan Islam sehingga diperkenalkan pula konsep Negara Berkebajikan. "Sehebat mana perjuangan kita dalam kerangka demokrasi, kemenanganlah yang paling mustahak. Berapa kerusi yang kita boleh menang. Paling tidak kita kena menang 60 kerusi dan sekarang kita fokus kerusi mana yang boleh menang," ujarnya. Menurut beliau juga pada pilihan raya umum ke-12 PAS memberi fokus 40 kerusi, namun ketika itu 10 kerusi tersasar daripada mencapai target kerana faktor undi pos. Ini kerana menurutnya terdapat 11 kawasan parlimen yang ada majoriti undi tentera. |
Perwakilan berjaya tepis tohmahan dan provokasi Posted: 17 Nov 2012 03:54 PM PST KOTA BHARU: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 yang berlangsung sejak semalam menunjukkan betapa kematangan perwakilan PAS yang tidak termakan sebarang provokasi dan fitnah pihak lawan. Sebagai contoh katanya, walaupun media pihak lawan melakukan provokasi kononnya isu Nurul Izzah akan menjadi topik hangat dalam muktamar kali ini, namun perwakilan yang tampil berbahas langsung tidak membangkitkan isu ini. Malah katanya, perwakilan dilihat matang membangkitkan isu khsusnya melontarkan kritikan membina kepada pimpinan parti ke arah menjadikan PAS lebih mantap berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). "Ini juga menunjukkan bahawa PAS bukan macam kepimpinan (Ayatullah) Khomeini yang tidak boleh ditegur," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan penggulungan ucapan dasar Presiden PAS petang ini. Beliau turut mengingatkan ahli agar tidak termakan dengan mainan media musuh yang cuba memecah belahkan PAS. Sebaliknya ujar beliau, penerangan PAS termasuk Harakah dan Harakahdaily perlu dijadikan sumber rujukan walaupun berdepan dengan pelbagai kekangan. "Biarpun berdepan pelbagai kekurangan, namun Harakah dan Harakahdaily ditakuti musuh stakat ini," katanya. Beliau juga mahu ahli dan pimpinan tahu membezakan pendirian rasmi parti dan pandangan peribadi apabila seseorang ahli atau pimpinan mengulas sesuatu isu kepada media khususnya media perdana. "Saya ingatkan bahawa pendirian rasmi parti hanya oleh presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha dan ketua penerangan. "Sementara isu-isu tertentu hanya dikeluarkan oleh presiden dan ketua penerangan sahaja," katanya. Justeru katanya, ahli selain pimpinan yang disebutkan itu boleh melontarkan pandangan tetapi harus menjurus kepada apa yang diputuskan kepimpinan parti. Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua perwakilan yang telah memberi teguran dan kritikan khususnya berkait penerangan PAS. Kesemua teguran itu katanya akan diambil perhatian oleh lajnah penerangan untuk tindakan seterusnya. |
MB Kelantan terima memo sokong tangguh AES Posted: 17 Nov 2012 03:53 PM PST (MB Kelantan menerima memo sokong tangguh AES) KOTA BHARU: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima memorandum yang menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan menangguhkan pelaksanaan AES di negeri Serambi Mekah itu. Memorandum disampaikan oleh Koordinator Gabungan Aktivis Bantah AES Kelantan (BANTAH AES), Ismady Radzuan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini. Dalam memorandum tersebut, mereka menyokong penuh tindakan kerajaan Kelantan yang menangguhkan pelaksanaan AES 29 Oktober lepas. Tuan Guru ketika menerima memorandum tersebut berkata, Kelantan mengambil tindakan tersebut selaras dengan keputusan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat untuk menolak AES. "Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan sudah memutuskan langkah yang sama dengan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat," ujar beliau. Antara isu yang dibangkitkan dalam memorandum BANTAH AES kerana ia amat membebankan rakyat, mempersoalkan pengswastaan AES kepada Beta Tegap, selain latarbelakang syarikat yang menguruskan AES amat mencurigakan. "Kemalangan tidak disebabkan hanya kerana kelajuan semata-mata," tegas memorandum tersebut. |
Kami tentera perjuangan Islam - DHPP Posted: 17 Nov 2012 03:53 PM PST KOTA BHARU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyifatkan diri mereka sebagai "tentera perjuangan Islam" dan secara sukarela bersama-sama dalam perjuangan PAS. Perwakilan DHPP, K.Deepakaran berkata, ahli DHPP sudah faham perjuangan PAS dan tiada sesiapa yang memaksa mereka menyertai parti itu. "Kita ikhlas dan sukarela nak memberi sokongan kepada sebuah parti Islam di Malaysia iaitu PAS. "Saya selalu katakan DHPP adalah tentera perjuangan Islam. Kenapa saya katakan kami tentera Islam? kerana Islam untuk semua, Islam hadir untuk semua dan terima kasih untuk logo PAS For All," kata beliau sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-58 di Putik hari ini. Setiausaha DHPP itu juga berkata, usaha sesetengah pihak menakut-nakutkan DHPP terhadap PAS dan Islam menemui kegagalan apabila semakin ramai orang bukan Islam menganggotai DHPP dan bersama-sama dalam PAS. "Objektf DHPP adalah merapatkan hubungan antara kaum. Pandangan orang bukan Islam, kalau kai sertai DHPP, kene peluk Islam, kena potong itu, macam-macam lagi. "Apa yang ditakutkan lagi, kalau sokong PAS lama kelamaan tiada tempat ibadat untuk Hindu dan Buddha tapi pimpinan PAS boleh mengadakan perbincangan dengan pimpinan agama lain. "Kami sudah faham kerana DHPP sudah ditarbiyah. Dulu kami tak faham, tapi sekarang kami faham setelah ditarbiyah. Tak ada paksaaan dari parti PAS," katanya disambut laungan takbir sidang muktamar. Beliau juga berharap tiada ahli PAS yang menganggap DDPP sebagai ancaman kepada parti itu sebaliknya bersama-sama berganding bahu menguatkan parti itu. "Kita adalah aset untuk PAS. kita datang nak membantu, jangan sesekali anggap DHPP sebagai ancaman kepada PAS. "Kalau dahulu memang PAS untuk orang ISlam sahaja tapi sekarang PAS sudah terbuka kepada semua jadi kami juga ingin sama-sama berjuang dalam PAS," katanya. Sementara itu, beliau meminta PAS dan Pakatan Rakyat menyelesaikan isu ketiadaan mykad di kalangan India dan Cina yang gagal diselesaikan kerajaan BN. "Kira-kira 3,000 orang India termasuk Cina yang belum ada kad pengenalan. Jadi kami minta perkara pertama yang perlu diselesaikan selepas Pakatan Rakyat ke Putrajaya adalah soal kad pengenalan," katanya. |
Ribuan anak muda “bermuktamar” di Dataran Stadium Posted: 17 Nov 2012 03:52 PM PST KOTA BHARU: Bukan sahaja di sekitar Putik di Pengkalan Chepa hangat dengan suasana muktamar, sebaliknya Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV petang semalam juga dilimpahi kehadiran ramai anak muda. Lebih 10,000 anak muda yang datang dari seluruh pelusuk negara menghadiri program berkenaan, bermula solat asar diimamkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman. Sebelum itu diadakan perarakan motosikal anak muda yang memakai baju berlogo "R". Selain itu diseri pula pertunjukkan tarian naga dikendalikan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan. Himpunan tambah meriah dengan kehadiran selebriti hijrah Abby Abadi dan Syam Kamikazie. Turut dimeriahkan lagi kehadiran anak-anak muda Orang Asal dari Gua Musang. NGO R juga menyediakan banner yang bertulis "Pijak Tanda Protes Wang Ihsan & Pengkhianat Royalti" dipijak beramai-ramai anak-anak muda. X-Presi Anak Muda juga menampilkan persembahan menarik oleh Setiausaha Pemuda PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil yang mendendangkan lagu ciptaan sendiri. Persembahan deklamasi sajak bertajuk "Mengukir Langkah Ke Putrajaya" ciptaan wartawan Harakah, Salmah Mat Hussin yang dideklamasikan Ketua Amirah Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki. Anak muda juga berpeluang bersembang bersama Abby Abadi yang dipengerusikan Ustaz Azariza Alawi. Abby ketika menjawab soalan berkata, Kelantan sebelum ini antara negeri yang tidak diminatinya, namun setelah mendapat hidayah, Kelantan pula menjadi pilihan utama sekarang. "Saya pernah juga mengikuti program dianjurkan Umno ketika menjadi artis, namun tidak berminat membicarakan hal Islam dan politk, namun kini saya amat berminat untuk mendampingi program dianjurkan PAS," ujar beliau. Himpunan itu juga disertai Angkatan Muda Keadilan Kelantan diketuai Azihan Che Seman. Ketika berucap katanya, kesepakatan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat ternyata disokong anak muda bagi menjayakan aspirasi Pakatan Rakyat menawan Putrajaya. Sementara itu kibaran bendera berwarna merah, kuning, hijau dan oren turut memeriahkan suasana di Dataran Stadium. Himpunan itu diakhiri ucapan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan Abdul Latiff. |
Doa “Hancur Umno, Tumbang BN” bergema di stadium Posted: 17 Nov 2012 03:52 PM PST KOTA BHARU: "Hancur Umno, Tumbang BN" bergema dalam suasana Stadium Sultan Mohammad Ke IV sendat dengan lautan manusia. Tiada siapa sangka wakil Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat mampu mengetuai teriakan sambil berdoa selepas solat hajat. Kenyaringan suara itu menerjah ke awan dalam suasana langit di pagar bintang-bintang, dengan membawa satu mesej menumbangkan kerajaan Umno dan BN. Baginya, rakyat negara ini tidak sanggup lagi membiarkan jenayah rogol, bunuh, buang anak dan pelbagai lagi terus menghantui masyarakat. "Apa lagi yang mampu diharapkan kepada Umno. Jadi kita perlu bekerja keras bagi menukar kerajaan yang ada sekarang," katanya dengan nada yang sekali sekala ada sedunya. Puluhan ribu menunaikan solat hajat menghantar mesej yang sangat jelas kepada empunya langit dan bumi, mendengar keluhan dan rintihan puluhan ribu rakyat. Mereka mengharap sesuatu kejutan berlaku pada pilihan raya umum ke-13. Kata beliau tiada sesuatu yang mustahil berlaku seperti pernah terjadi di Kelantan pada 1990, tiada siapa sangka boleh bertukar kerajaan ketika itu. Himpunan Kebangkitan Rakyat siri II menyaksikan limpahan manusia di Stadium Sultan Mohammad Ke IV, jauh mengatasi kehadiran peminat taksub Red Warriors memenuhi gelanggang sukan itu ketika Kelantan merangkak mendaki juara Piala Malaysia kali kedua. Gimik berlainan disaksikan pada perhimpunan itu dengan menyaksikan empat wakil NGO muncul dengan agenda masing-masing. Lynas diwakili Clement Chin yang tampil membawa pengharapan supaya kilang nadir bumi di Kuantan gagal menjadi kenyataan. Kata beliau pihak anti Lynas telah berusaha bermacam-macam cara sehingga membawa ke Mahkamah Rayuan, namun gagal. "Oleh itu langkah akhir kita akan pastikan kapal yang bakal membawa nadir bumi dari Australia ke Kuantan nanti tidak dapat mendaratkan bahan radio aktif tersebut. Ini semata-mata menyelamatkan generasi anak cucu kita," katanya, yang kadang-kadang tersekat dengan kelancaran berbahasa Melayu. Beliau juga mengharap sokongan padu rakyat Malaysia bagi memperjuangkan kehijauan lestari di Malaysia. Manakala 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Solidariti Hijau tampil dengan diwakili Pengerusnya, Zulkifli Omar mengajak rakyat bebas daripada pencemaran bagi mengelakkan ia memudaratkan rakyat pada masa akan datang. "Kita hendaklah menyingkirkan kerajaan yang ada hari ini kerana terus membiarkan pencemaran persekitaran berlaku dalam negara," katana. Lim Kit Siang pula tampil mengajak rakyat menukar kerajaan yang ada sekarang kerana sudah dipenuhi dengan pelbagai penyakit terutamanya rasuah yang semakin tidak terkawal. Katanya, indeks rasuah meletakkan Malaysia semakin merudum di mana pada tahun ini berada pada kedudukan ke-60. Himpunan Kebangkitan Rakyat juga dikejutkan dengan kehadiran Presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar menyerah lebih 700 borang bekas-bekas tentera menyertai PAS. |
Posted: 17 Nov 2012 03:51 PM PST KOTA BHARU: Seramai 760 ahli Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) menyerahkan borang keahlian PAS kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam program Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung malam tadi, Kerabat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, Sekretariat Kerabat mengisytihar kesediaan mereka untuk bersama-sama PAS. Katanya, kesediaan itu kerana tertawan dengan konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS. "290,000 pesara tentera di seluruh Malaysia, dan ramai di kalangan kita tidak dipeduli oleh kerajaan, kebajikan mereka terabai. "Kami percaya PAS akan mengubah nasib mereka selepas ini, selepas PRU ke-13 nanti," katanya diikuti sorakan lebih 30,000 rakyat yang berhimpun di Stadium Sultan Muhamad ke IV malam tadi. Dengan penubuhan cawangan baru di negeri ini, beliau percaya kebangkitan bekas tentera ini boleh mengejutkan Perkasa dan Perkida. Malah Kerabat turut berjanji akan bangkit bersama-sama membela nasib vateran angkatan tentera yang dipinggirkan. "Dulu wira, sekarang dianiaya oleh kerajaan Umno BN. Seru seluruh tentera sedarlah duit kita antara terbanyak dilaburkan untuk memenangkan pimpinan BN," tegasnya. |
Bekas pengarah JAIS dan JAIM sertai PAS Posted: 17 Nov 2012 03:51 PM PST (Datuk Nahrawi sertai PAS) KOTA BHARU: Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam ini menyaksikan seorang lagi pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS. Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Nahwari Hashim, menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Penyerahan itu disaksikan lebih 30,000 hadirin yang hadir dalam himpunan itu malam ini. Mohd Nahrawi juga sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Selain itu beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perkhidmatan awam. Beliau yang ditemui Harakahdaily berkata, kemasukannya ke dalam PAS didorong kesedaran kuat bahawa parti itu benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam yang sebenar. "Saya dah lama nak menyertai PAS, dan hari ini secara rasmi saya menyertainya. "Saya minat agama, dan tak boleh lari dah. Orang minat kepada agama mesti memilih PAS," katanya. Baginya, PAS satu-satunya parti yang mampu memartabatkan Islam di negara ini selepas banyak kerosakan dilakukan pemerintah sekarang. Oleh kerana itu katanya, PAS menjadi pilihannya. Menurutnya kemasukannya ke dalam PAS diharap mampu menyumbang sesuatu ke arah membina negara yang lebih baik. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan