Isnin, 12 November 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PAS, PR tidak diserang jika tidak ancam Umno BN

Posted: 11 Nov 2012 05:02 PM PST

TEMERLOH: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada landasan asal perjuangan.

"Bahkan, apa yang sering ditimbul bukanlah dasar tetapi soal strategi parti. Strategi parti boleh berubah mengikut kesesuaian keadaan dan suasana, manakala dasar parti tetap tidak berganjak," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat itu.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa dasar PAS untuk memperjuangkan Islam tidak pernah berubah kerana perubahan yang melibatkan dasar parti mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak atau usul yang diterima dalam muktamar parti.

Sehingga kini, kata Tuan Ibrahim, tiada sebarang perubahan yang melibatkan dasar parti yang berjuang berpaksi kepada al-Quran dan Hadis.

"Apakah dasar Islam yang parti telah diubah sehingga mereka membuat pelbagai tuduhan?

"Sebenarnya tiada. Jika gabungan PAS bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat tidak kuat dan tidak menjadi satu ancaman kepada kesinambungan pemerintahan Umno BN, serangan sedemikian tidak akan wujud," kata beliau yang juga ahli Majlis Syura.

Beliau dipercayai sedang memberi respons kepada tindakan segelintir ahli PAS yang kecewa di dalam satu forum di Selangor, yang secara terbuka menuduh parti telah menyimpang daripada perjuangan Islam dan menyeru parti mengkaji semula hubungan politik bersama DAP.

Beliau berkata serangan datang bila mana PAS mula mendapat sokongan daripada kalangan bukan Islam dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS serta wujud kerjasama kukuh bersama Pakatan Rakyat.

"Pelbagai alasan ciptaan musuh mula dimainkan dan digempurkan semula oleh golongan yang kecewa di dalam PAS. Golongan ini telah menjadi alat kepada Umno sama ada secara sudi, sedar atau sebaliknya. Jika mereka boleh memikir secara mendalam, sepatutnya serangan dan saranan agar kembali kepada Islam ditujukan kepada Umno, parti yang sedang memerintah," kata Tuan Ibrahim.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyeru agar seluruh jentera parti tidak terganggu dengan kemuncup dalam perjuangan ini.

Beliau turut menyatakan kenyakinannya terhadap kefahaman dan pengetahuan ahli PAS dapat membezakan usaha licik musuh bagi melemahkan kemaraan PAS dan Pakatan Rakyat 'yang sudah hampir pasti menggantikan Umno BN yang kini berulat dengan korupsi melampau jika PRU13 diadakan sekarang'.

"Ahli parti mesti sedar ucapan mereka ini hanya bertujuan untuk melemahkan kebangkitan rakyat bagi menolak kerajaan BN dan Umno. Seperti kata Saidina Ali 'kalimah yang benar, tetapi tujuannya ialah bathil'," tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa penganjuran program sedemikian adalah satu 'fenomena biasa' menjelang pilihan raya umum.

"Saya tidak terkejut dengan penganjuran program seumpama itu memandangkan kita sekarang berada hampir dengan pilihan raya," kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.

Sultan mahu Pengkalan Chepa jadi hab penerbangan serantau

Posted: 11 Nov 2012 05:02 PM PST



KOTA BHARU: Sultan Muhammad V melahir rasa sukacita di atas kejayaan kerajaan negeri mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani secara berterusan dalam membangunkan negeri ini.

Baginda bertitah, kerajaan negeri mewujudkan urus tadbir berteraskan konsep 'Ubudiyyah, Masu'uliyyah dan Itqan.

"Pelbagai program dilaksanakan kerajaan termasuk program 'Qiam With Me' pada Ramadan lalu.

"Pada hemat beta program itu mendapat sambutan seluruh rakyat jelata dan merupakan program julung kali diadakan di negeri ini," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Program tersebut diadakan sempena perayaan ulangtahun Hari Keputeraan baginda ke-43.

Sultan Kelantan juga bertitah, usaha dalam bidang pertanian bukan semata-mata mengaut keuntungan, tetapi sebahagian ibadat bagi mendapat keredhaan Allah swt.

Oleh itu baginda berharap sumber asli seperti tanah, sungai dan laut serta kawasan tadahan hujan terus terpelihara bagi mempastikan bumi Kelantan terus subur.

Mengenai pembangunan Tok Bali titah baginda, kawasan seluas 2,600 ekar dilulus untuk pembangunan kawasan industri dan bandar baru yang membabitkan pelaburan hampir RM600 juta.

"Beta berharap pihak terbabit menaik taraf infrastruktur asas terutama jalan raya sedia ada Kota Bharu-Pasir Puteh-Tok Bali untuk menjadikan Tok Bali pelabuhan komersial.

"Beta merasa sukacita dengan perkembangan projek "Central Spine Road" sedang giat dilaksanakan di sempadan Pahang–Kelantan dan akan dibina persimpangan bertingkat di Bandar Baru Gua Musang," titah baginda.

Baginda berharap agar projek itu dipanjangkan sehingga ke Kota Bharu bagi melengkapkan rangkaian jalan raya bertaraf lebuh raya sebagaimana terdapat di negeri-negeri lain.

"Ini bagi merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri ini. Kelantan tidak harus dibiarkan ketinggalan kerana ia sebahagian daripada Malaysia," titah baginda.

Mengenai Tahun Melawat Kelantan 2012 baginda bertitah, sehingga Ogos lalu difahamkan seramai 3.4 juta pelancong berkunjung ke Kelantan.

Menurut baginda, perkhidmatan penerbangan empat kali seminggu Kota Bharu– Singapura bermula Ogos lalu dapat memacu perkembangan sektor pelancongan di Kelantan.

Sultan Kelantan mengulangi lagi supaya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dinaik taraf dan dijadikan hab penerbangan serantau ke Malaysia Timur dan negara Asean serta negara Arab.

2 Exco terima anugerah Dato’ Paduka

Posted: 11 Nov 2012 05:00 PM PST


KOTA BHARU: Dua anggota Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi dan Dr Muhammad Fadzli Hassan hari ini menerima anugerah yang membawa geralan Dato' Paduka sempena ulangtahun hari keputeraan Sultan Muhammad V.

Mereka menerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato' Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia.

(Gambar: Che Abdullah dan isteri.)

Turut menerima darjah sama Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad yang juga bekas anggota Exco.

Ketua Setiausaha Negara, Dato' Seri Dr Ali Hamsa mengetuai senarai 239 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, Darjah-Darjah Kebesaran dan Pelantikan Jaksa Pendamai pada istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan di Istana Balai Besar hari ini.

Sebelum itu berlangsung Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di  Padang Merdeka bermula jam 8.15 pagi.

Perayaan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V kali ke-43 tahun ini dengan cogan kata "Semoga Allah Melindungi Tuanku Dunia dan Akhirat" manakala temanya "Islam Dimartabat, Raja Didaulat, Negeri Berkat".

Semalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Zainuddin Ibrahim berkata istiadat pengurniaan darjah kebesaran tahun ini membabitkan penerima seramai 636 orang.

Seramai 397 penerima lagi iaitu bagi Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat-Surat Kepujian pula akan berlangsung pada satu tarikh ditetapkan kemudian.

Sementara itu Dr Muhammad Fadzli merakamkan ucapan syukur dan terharu di atas penganugerahan daripada Sultan Kelantan dan berharap semoga ia memberi kebaikan di dunia dan akhirat.

PAS Selangor turut umum deklarasi harta calon PRU

Posted: 11 Nov 2012 05:00 PM PST


SHAH ALAM: Nampaknya cadangan Pemuda PAS untuk membuat deklarasi harta semakin mendapat sambutan di semua peringkat PAS.

Terkini, PAS Selangor turut mengumumkan bahawa akan memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Pemuda PAS yang bercadang untuk membuat deklarasi harta di kalangan exconya, walaupun tidak semuanya menjadi calon pilihanraya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman (gambar)ketika dihubungi Harakahdaily berkata cadangan Pemuda PAS itu amat baik dan perlu disokong.

"Calon PRU-13 PAS Selangor juga akan turut serta membuat deklarasi harta untuk dinilai rakyat dan melawan Umno," kata beliau.

Jumaat lepas, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini  walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

"Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS," katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mustafa berkata cadangan Pemuda PAS ini menunjukkan keprihatinan mereka untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

Manakala, Tuan Ibrahim yang juga selaku Pesuruhjaya PAS Pahang mengumumkan bahawa calon PRU13 PAS Pahang akan turut serta membuat deklarasi harta.

"Pemimpin dan calon-calon PAS harus diketengahkan secara telus dan berwibawa untuk melawan pihak lawan yang suka berlindung. Deklarasi harta ini membuka peluang kepada rakyat untuk memilih dengan penuh jelas dan tanpa was-was calon-calon yang bakal mewakili mereka di Dun dan di parlimen," kata Tuan Ibrahim.

Bagi Mustafa, beliau percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Tiada ulasan:

Pengikut