Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz
- Marilah kita hukum MCA dan Umno pada PRU13
- Gema Aidil Adha@Berkorban Apa Sahaja.
- PAS antara badan awal bantu rakyat Syria
- Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria
Saya tak layan desakan ‘Umno buangan’ - TG Nik Aziz Posted: 30 Oct 2012 06:54 PM PDT KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan. Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai 'Umno buangan' yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan. Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu. Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda. Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah. Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga. "Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,"ujarnya. Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri. Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya. "Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti," katanya kepada pemberita di sini, semalam. "Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut," katanya. Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali. |
Marilah kita hukum MCA dan Umno pada PRU13 Posted: 30 Oct 2012 06:54 PM PDT PAS Selangor melihat MCA sebagai sebuah parti politik yang sedang diancam kepupusan. Oleh itu mereka sedang bekerja keras untuk membuktikan relevensi mereka kepada masyarakat, khususnya masyarakat keturunan Tiong Hua, melalui isu sensasi dan kontroversi. Di antara isu sensasi adalah persoalan hutang Talam yang telah berjaya dipungut balik oleh kerajaan PR Selangor tetapi diputar belit sebaliknya sebagai usaha 'bail-out' untuk syarikat kroni PR. Sedangkan semua tahu, dari sudut kronisma, Talam telah dibenarkan berhutang sebanyak RM372 juta pada zaman pemerintahan BN kerana mereka merupakan syarikat kroni BN. Rakyat Selangor telah mendapat manfaat dari pengambil balik hutang dari Talam melalui pinjaman mikro-kredit SkimSel dan MIMBAR yang dibiayai oleh sebahagian dari duit yang diperolehi dari Talam. PAS Selangor juga hairan mengapa isu ini tidak dibawa oleh ADUN BN, 18 dari mereka dari UMNO, di dalam DUN. Sebaliknya ia dibawa oleh wakil MCA yang bukan ADUN tetapi Ahli Parlimen sambil yang di DUN diam seribu bahasa. Pada masa yang sama ianya juga tidak merupakan isu yang dibahas semasa AGM MCA dan ini membuktikan ianya hanya sandiwara untuk tatapan awam. Isu terbaru adalah kenyataan provokasi terhadap PAS dan ajaran agama Islam. Walaupun cuba diselindungi dengan mengatakan kritikan ditujukan kepada PAS dan bukan terhadap Islam itu sendiri, hakikatnya aspek yang dipertikaikan adalah berhubung ajaran Islam khususnya perlaksanaan undang-undang hudud. Ianya ditokok-tambah pula dengan fitnah melampau berhubung kebenaran merogol wanita bukan Islam dan kebenaran berkongsi isteri. PAS Selangor menyedari ini adalah usaha terdesak pihak MCA untuk melonjakkan imejnya di kalangan masyarakat Tiong Hua dengan kononnya 'bertindak berani' menegur PAS. PAS sedar pandangan MCA tidak mewakili pandangan masyarakat Tiong Hua dan yakin taktik murahan MCA tidak akan mencapai hasrat seperti yang diinginkan mereka. Sebaliknya ianya merupakan jenis politik murahan yang akan ditolak oleh masyarakat Tiong Hua yang secara umumnya menghormati agama Islam dan tidak ingin campur tangan dalam soal ajaran-ajarannya. Pada masa yang sama, ianya merupakan 'red herring' atau sesuatu yang menarik perhatian masyarakat sehingga lupa akan isu sebenar yang berada di hadapan mereka. Persoalan yang berada di hadapan masyarakat ialah persoalan pemilihan kepimpinan yang baru yang bebas dari rasuah, penyelewengan dan kronisma. Pendedahan demi pendedahan berhubung persoalan rasuah dan kronisma tidak mampu ditangani mereka maka taktik 'red herring' ingin mereka gunakan dan diharap dapat membantu mereka. Melalui isu dan tuduhan provokasi, MCA juga mengharapkan PAS akan bertindak dan menjadikan isu hudud dan Negara Islam isu utama pilihan raya sehingga meminggirkan kehendak dan aspirasi masyarakat bukan Islam yang buat masa ini hanya ingin melihat kepimpinan yang bersih dan amanah. Ia dianggap berpotensi untuk menjadikan hubungan di antara parti-parti PR tegang dan menyulitkan kerjasama. PAS Selangor juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO jugalah yang merupakan dalang di sebalik kenyataan MCA kebelakangan ini. Melalui kenyataan tersebut maka diharapkan ketegangan akan terhasil melalui mana UMNO dan BN boleh mendakwa ianya adalah kerana sikap dan pandangan PAS yang kononnya ekstrem. Dengan itu mereka boleh memujuk masyarakat Tiong Hua untuk kembali memberi undi kepada BN. Oleh itu, PAS Selangor menyeru semua pihak, khususnya ummat Islam, untuk bertenang dan tidak bertindak melalui reaksi yang keterlaluan. Sebaliknya, marilah kita sama sama menghukum MCA dan UMNO dalam PRU ke-13 yang akan datang. Apabila masyarakat Malaysia dibebaskan dari dikongkong pemimpin BN yang sering mengadu-domba rakyat, maka akan terhasil sebuah Negara yang benar-benar bersatu atas dasar saling hormat-menghormati dan pengiktirafan hak asasi setiap kaum dan bangsa. Ketika itu barulah keunggulan Islam mampu diserlahkan oleh ummat Islam. WaLlahu 'Alam |
Gema Aidil Adha@Berkorban Apa Sahaja. Posted: 30 Oct 2012 06:53 PM PDT |
PAS antara badan awal bantu rakyat Syria Posted: 30 Oct 2012 06:49 PM PDT (Dr Syed Azman bergambar dengan wajah-wajah muram anak mangsa keganasan di Syria) IDLIB (Turki): PAS adalah antara badan awal yang telah menghulurkan bantuan kepada mangsa kekejaman Bashar Al Assad terhadap rakyatnya di Syria. Wakil rasmi PAS iaitu Penolong Setiausaha Agong, Dr. Syed Azman Azman telah menjejakkan kaki ke bandar Idlib yang terletak di sempadan Turki-Syria bagi menghulurkan bantuan terus bagi pihak Pas kepada ribuan pelarian Syria disana. Itu adalah misi kedua beliau bersama-sama pasukan perubatan dari Eropah yang berjaya masuk ke bandar Idlib dengan bantuan penduduk tempatan selepas berlakunya konflik politik berdarah yang sedang melanda di negara mereka. Tidak dapat digambarkan bertapa sedihnya melihat bagaimana bandar yang sebelum ini aman dan damai ini kini menjadi medan pertempuran berdarah yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa. Sebahagian dari rumah-rumah kediaman, pejabat-pejabat serta bangunan kedai kini telah musnah akibat dari bedilan berterusan tentera rejim Assad dengan menggunakan kereta kebal, jet-jet pejuang dan helikopter. Adalah dianggarkan lebih dari 200,000 ribu penduduk Idlib kini terpaksa menjadi pelarian apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bedilan dan serangan setiap hari dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian. Mereka juga menghadapi masalah bekalan elektrik dan air bersih yang terputus serta kekurangan bekalan makanan harian serta bahan perubatan yang amat terhad. Sebahagian besar dari mereka telah menyeberangi sempadan Turki dan kini tinggal di Perkhemahan Yei Dardar dan Perkhemahan Bonyor Yolan yang dikendalikan oleh pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin Syria. Sementara itu sebahagian dari penduduk Idlib yang sempat di temui, melahirkan rasa terimakasih mereka di atas usaha yang telah di ambil oleh PAS dan seluruh rakyat Malaysia bagi membantu meringankan bebanan yang di hadapi oleh mereka. Bantuan yang dihulurkan adalah amat kecil berbanding dengan konflik berdarah yang sedang berlaku ini, namun ia tetap memberi makna dan erti yang amat besar kepada penduduk Syria yang sedang menderita itu. Walaupun seluruh kepimpinan PAS kini amat sibuk dengan persediaan pilihanraya, namun penderitaan dan bebanan yang sedang dihadapi oleh ribuan pelarian Syria ini tetap tidak dilupakan oleh keseluruhan pimpinan PAS. Usaha membantu rakyat Syria tetap diteruskan dengan apa cara sekalipun, kata Dr Syed Azman. "Semoga sedikit bantuan yang disalurkan ini akan dapat mengubat penderitaan rakyat Syria yang terus bermandi darah ini serta memastikan kita rakyat Malaysia tidak akan lupa kepada anak-anak kecil serta ibu-ibu yang kehilangan ayah dan suami mereka," katanya. Kepada yang ingin memberikan sumbangan kepada rakyat Syria, bolehlah terus disalurkan kepada; Maybank, atas nama Parti Islam SeMalaysia, akaun no. 564070703248. |
Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria Posted: 30 Oct 2012 06:47 PM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan. Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad. "OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha. "Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan. DPPM juga, katanya, mengutuk keras tindakan Basyar Al Asad yang membunuh rakyatnya sendiri melalui operasi serangan udara yang disasarkan ke atas orang awam. Tindakan seperti ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan Basyar wajar dihadapkan ke tribunal perang melalui mahkamah antarabangsa. "Sesungguhnya tidak ada tindakan yang lebih kejam dilakukan oleh seseorang diktator melainkan membunuh rakyat sendiri hanya semata-mata mahu mengekalkan kuasanya," kata beliau. Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam. Raja Ahmad (gambar) yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini. "DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing. "Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya. Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan