Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Kelantan isytihar 21 Okt cuti peristiwa
- Mahathir buka mulut, undi Melayu untuk BN menurun
- PAS tidak rugi kerjasama dengan DAP, NGO
- Pusat terhutang dengan Kelantan RM10.4 bilion
- Muslimat sumbang gelang emas RM3,000
- Warga estet dakwa kehidupan terpinggir
- Umno halang perjuangan untuk tegak Islam
- Pemuda PAS giat kempen Cintai Rasulullah
Kelantan isytihar 21 Okt cuti peristiwa Posted: 14 Oct 2012 12:43 AM PDT KOTA BHARU: Kelantan mengisytiharkan 21 Oktober ini cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan negeri itu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Oktober di Shah Alam. Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, sebentar tadi. "Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) berharap orang ramai yang ingin ke Shah Alam menyaksikan perlawanan akhir ini dapat berada dalam keadaan selesa pergi dan balik dan sentiasa mematuhi aturan jalanraya agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujar beliau. Beliau juga berharap rakyat Kelantan menjaga disiplin ketika menyaksikan perlawanan akhir tersebut agar imej negeri Kelantan dilihat sebagai sebuah negeri yang berdisiplin. Abdul Fattah juga berkata cuti peristiwa ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu. Bagi kali ini pula, Abdul Fattah berkata langkah mengumumkan cuti peristiwa lebih awal kerana ia mengambil kira juga musim peperiksaan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pelajaran Negeri. Menyentuh ganjaran yang kerajaan sediakan untuk The Red Warriors kali ini, Fattah berkata ia sudah ada dalam perancangan kerajaan negeri namun dari segi jumlah tidak dapat diberitahu lagi. |
Mahathir buka mulut, undi Melayu untuk BN menurun Posted: 14 Oct 2012 12:43 AM PDT KUALA LUMPUR: PAS melihat pengaruh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak langsung menjejaskan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir membuka mulut mengkritik apa sahaja yang beliau kehendaki. "Saya melihat Dr Mahathir memang mempunyai pengaruh tetapi ia tidak langsung memberi kesan undi kepada mereka yang menyokong Pakatan Rakyat. "Tetapi ia akan memberi kesan secara langsung kepada sokongan Umno Barisan Nasional," jelasnya kepada Harakahdaily. Jelas Mahfuz, tindakan Dr Mahathir membuka mulut atau mengkritik sebenarnya menimbulkan kerisauan kepada pemimpin Umno. Malah, mereka beranggapan setiap kali Dr Mahathir membuat kritikan sokongan yang mereka perolehi dari undi orang Melayu akan menurun. "Kita lihat bagaimana Dr Mahathir mengkritik mengatakan pemberian BR1M adalah seperti membeli undi, dan ini secara langsung akan terus mengurangkan sokongan kepada Umno Barisan Nasional. "Inilah yang dirisaukan oleh Umno apabila Dr Mahathir menyuarakan pendapat, mereka bukannya mendapat peningkatan sokongan malah semakin berkurang," kata beliau lagi. Mahfuz yang menyatakan, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan pemimpin Umno di dalam parti mereka sendiri bukannya penentu kepada kedudukan Pakatan Rakyat. "Pemimpin Umno perlu tahu, pengaruh Dr Mahathir adalah penentu kedudukan mereka pada pemilihan dalam Umno itu sendiri bukannya penentu kedudukan Pakatan Rakyat. "Pakatan Rakyat tidak pernah risau apabila Dr Mahathir bersuara tetapi pemimpin-pemimpin Umno perlu risau kerana kedudukan mereka belum terjamin lagi," sambung beliau lagi. Tambahnya lagi, setiap kali Dr Mahathir mengkritik sokongan kepada Pakatan Rakyat terus bertambah sama ada dari undi Melayu mahupun kaum-kaum lain. Manakala, Umno terus tertekan untuk menepis setiap kritikan tersebut apatah lagi bila melibatkan keputusan yang dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional. |
PAS tidak rugi kerjasama dengan DAP, NGO Posted: 14 Oct 2012 12:42 AM PDT KUALA TERENGGANU: Kerjasama PAS dengan mana-mana parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak pernah merugikan parti sebaliknya pengaruh PAS berkembang. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kerjasama PAS dengan mana-mana pihak termasuk Umno pada tahun 1970 hingga 1978 tidak pernah merugikan parti. (Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi Awang menandatangani plak perasmian pejabat Masjid MTT Darul Iman). Menurutnya, meski pun ketika itu PAS kehilangan kerajaan di Kelantan serta dipecat oleh Barisan Nasional (BN) tahun 1978. Namun, katanya pengaruh PAS berkembang di seluruh kementerian, pusat pengajian tinggi serta jabatan kerajaan. "Sepanjang kerjasama dengan mana-mana pihak PAS tidak pernah rugi, termasuk kerjasama dengan Umno tahun 1970-1978. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Fisabilillah dan Kuliah Dhuha di Ma'ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, semalam. Jelas beliau lagi, PAS turut menjalinkan kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1990 dan Barisan Alternatif (BA) dengan DAP tahun 1999. Menurutnya, kerjasama PAS-Semangat 46 membawa kejayaan kepada PAS di Kelantan dan kerjasama BA-DAP berjaya menawan Terengganu tahun 1999. "Tahun 2004, berlaku satu gelombang penipuan dan 2008 kita (PAS) mara semula. Di mana Pakatan Rakyat menang lima negeri iaitu Kelantan dipertahankan, Kedah kita (Pakatan Rakyat) tawan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. "PAS memimpin tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Masalah jatuh (Perak) itu bab lain. Selangor untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pulau Pinang untuk DAP. Apa rugi kita, tidak ada yang rugi pun kepada PAS," tegasnya. Justeru, Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan kerjasama PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat mengikut garis panduan ditetapkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS. Menurutnya, sebarang kerjasama tersebut tidak bercanggah dengan Islam kerana PAS mempunyai prinsip agama yang teguh. |
Pusat terhutang dengan Kelantan RM10.4 bilion Posted: 14 Oct 2012 12:42 AM PDT BACHOK: Kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) kini terhutang dengan kerajaan Kelantan lebih RM10.43 bilion apabila gagal menjelaskan bayaran royalti 5 peratus terhadap hasil petroleum dicari gali di perairan negeri ini. Ini adalah sejarah baru yang dicatat ketika negeri-negeri lain di Malaysia menambah jumlah hutang dengan kerajaan pusat sehingga ada yang melebihi RM1 bilion. Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti – R), Nazri Deraman berkata, rakyat Kelantan dizalimi sejak 2004 sehingga sekarang apabila hak ke atas royalti dinafikan. "Sedangkan dalam perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 begitu jelas di mana bayaran tunai perlu dibayar kepada negeri yang mengeluarkan minyak. "Apabila perjanjian tidak dipatuhi tidakkah itu menggambarkan seperti sifat orang Yahudi yang memungkiri janji," katanya pada ceramah mega R bersama Angkatan Amanah Merdeka di Padang Kemahkotaan di sini malam tadi. Hadir sama Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus dan wakil-wakil rakyat. Orang ramai memenuhi padang tersebut bagi mengikuti pendedahan pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai tuntutan Kelantan ke atas royalti minyak, namun beliau tidak dapat hadir kerana bertembung dengan program lain. Begitu juga anggota Exco kerajaan negeri,Datuk Husam Musa memberi ucapan secara langsung dari Kuala Lumpur melalui internet kerana menghadiri program lain di ibu negara. Ramai yang hadir kalangan anak-anak muda yang memakai t-shirt bertulis R. Nazri juga berkata, kerajaan BN menafikan hak ke atas royalty dan menggantikan dengan wang ihsan disalur melalui pemimpin Umno yang menguasai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). "Saya difahamkan lebih RM100 juta disalurkan melalui JPP melalui jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin. "Kita tidak tahu ke mana wang tersebut dibelanjakan kerana tidak pernah diauditkan. R telah menghantar surat memohon mendapat penjelasan mengenai wang ihsan, namun tidak dijawab sehingga sekarang," katanya. Husam berkata, Kelantan sepatutnya lebih pesat membangun berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mempunyai hasil petroleum. Namun apa yang berlaku sekarang Kelantan hanya menghirup kuah selepas isi diambil pihak lain. "Sedangkan Allah anugerahkan bumi Kelantan dengan kekayaan sumber minyak dan gas," ujarnya. Dr Zayadi berkata, sepatutnya Bachok sudah lama berubah kerana kedudukannya paling hampir dengan telaga minyak iaitu kira-kira 140 batu nautika. R jelajah utara Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, R dan Sekretariat Mahasiswa Kelantan Utara R (SAKU-R) menjelajah ke negeri-negeri sebelah utara semalam dengan disertai lebih 500 aktivis dengan menaiki 300 motosikal dan kereta. Perlepasan jelajah utara itu dilakukan anggota Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar di Dataran Darulaman, Jitra kira-kira jam 10.30 pagi. Konvoi singgah di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Sri Mentalon di Alor Setar dan diraikan Pegawai Khas Media Menteri Besar, Musaddak Ahmad. Pada majlis tersebut R menyerahkan Plak Royalti yang ditandatangani Sultan Muhammad V pada 5 Jun 2012 yang mengesa gas didaratkan ke Bachok kepada wakil kerajaan Kedah. Peserta konvoi juga menunaikan solat hajat di Sri Mentalon. Pada masa sama Buletin Royalti R sebanyak 5,000 keping dan sticker R - 5,000 keping diagih kepada orang ramai. Konvoi tersebut melalui bandar Alor Setar, Arau, Kangar dan berakhir di Kuala Perlis. |
Muslimat sumbang gelang emas RM3,000 Posted: 14 Oct 2012 12:42 AM PDT PENGKALAN CHEPA: Seutas gelang tangan yang dianggarkan bernilai RM3,000 telah didermakan oleh seorang muslimat untuk dana Pilihanraya Umum 13 bagi Dun Chempaka. (Tuan Guru Nik Aziz menunjukkan gelang emas yang disumbangkan oleh seorang muslimat) Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika membuat pengumuman itu memberitahu gelang tangan berkenaan didermakan untuk Muslimat Dun Chempaka. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Hari Keluarga Mawaddah dan Pertandingan Kerajinan Tangan Dun Chempaka pagi tadi. Menurutnya, tidak ramai yang sanggup menderma barang kemas yang sering di pakainya, apa lagi dengan kadar harga bukan sedikit. "Saya serahkanlah pada Muslimat Chempaka, nak buat apa tentang barang kemas ni, nak jual ke atau macamana kemudian masukkan sumbangan itu dalam tabung sebagaimana yang dihajati,"ujarnya. Beliau juga berkata hanya mereka yang mempunyai keimanan yang tinggi sanggup berbuat demikian tanpa diminta. Menyentuh tentang keluarga mawaddah hanya Islam sahaja yang tonjolkan perkara berkenaan. "Yang lain hanya mampu menyogok rakyatnya atau pengikutnya dengan wang ringgit dan kebendaan semata-mata,"ujarnya. Sempena majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penerima Skim Az-Ziwaj, selain itu penerima anugerah keluarga mawaddah melalui tiga kategori antaranya zamrud dan delima. |
Warga estet dakwa kehidupan terpinggir Posted: 14 Oct 2012 12:41 AM PDT KUALA LIPIS: "55 tahun merdeka nasib warga estet tidak terbela, janji BN gagal ditepati", demikian bunyi ayat yang terpampang pada banner semasa menyambut kedatangan konvoi 'PAS Cakna ke kawasan Parlimen Lipis' di Ladang Benta dekat sini baru-baru ini. Rombongan PAS Pahang itu hadir bagi mendengar sendiri keluhan masyarakat berketurunan India pekerja estet yang mendakwa tiada pihak yang menitikberatkan kebajikan mereka selama ini. Seorang penduduk, R Krishnan, 62 menceritakan, majoriti warga estet khususnya buruh ladang masih tercicir daripada menikmati peluang kehidupan lebih baik dan selesa berbanding pekerja sektor lain. "Kami menyumbangkan tenaga untuk kemajuan ladang dan ekonomi negara. Namun peluang kami untuk memiliki rumah sendiri masih samar-samar begitu juga dengan pendidikan lebih terjamin," katanya. Jelasnya, banyak kali pihak kerajaan turun berjanji untuk membela nasib mereka yang mencurahkan bakti kepada pendapatan pertanian negara sepanjang hayat, namun semuanya sekadar tinggal janji. Estet Benta dikatakan antara ladang getah terawal di negeri Pahang yang dibuka oleh saudagar Inggeris manakala pekerja-pekerjanya dibawa dari India oleh penjajah Inggeris ketika itu. Menurut penduduk, setelah ratusan tahun berlalu dan 55 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang diperolehi penduduk manakala anak-anak yang berjaya menghuni di luar. Seorang lagi penduduk, M Rajma, 55, berkata kebanyakan penduduk masih mendiami rumah bersaiz kecil dan tidak selesa yang disediakan oleh pengurusan estet. Lebih menyedihkan katanya, mereka terpaksa mencari rumah lain jika ketua keluarga berhenti daripada menjadi pekerja ladang. "Kami menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan untuk membeli rumah sendiri kerana ketiadaan jaminan daripada majikan. Kami juga tiada apa-apa boleh dicagarkan. "Kami sukar untuk menyertai mana-mana skim perumahan mampu milik tajaan kerajaan walaupun keluhan kami sudah disuarakan sejak sekian lama," katanya. Tambahnya, kerajaan mencanangkan kemajuan rakyat di serata negara namun nasib kami yang berada di negeri Perdana Menteri sendiri jauh terpinggir daripada arus kemajuan. Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuia konvoi berkenaan, turut menerima memorandum (gambar di atas) berhubung nasib warga estet yang memerlukan pembelaan dan perumahan lebih baik itu. Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, Pakatan Rakyat (PR) mengambil serius mengenai aduan berhubung nasib pekerja ladang swasta itu yang seolah-olah tidak pernah dibela. "Sekiranya PR berjaya mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum ke- 13 akan datang, kita akan menyediakan perancangan khusus bagi membela nasib mereka," ujarnya. |
Umno halang perjuangan untuk tegak Islam Posted: 14 Oct 2012 12:41 AM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpandangan bukan DAP yang menghalang perjuangan PAS menegakkan Islam, sebaliknya Umno yang bersikap sedemikian. Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Iskandar al- Hiss, berkata perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam selama ini terhalang dengan sikap Umno yang berkuasa. "Ketika ini, DAP tidak memerintah di peringkat pusat. Yang banyak menghalang kerja PAS untuk menegakkan Islam ini adalah Umno. "Sejak kita merdeka 55 tahun, apa yang Umno tidak buat untuk menghalang PAS untuk tegakkan Islam?" soal beliau. Tegas beliau lagi, halangan yang dilakukan Umno itu boleh dibuktikan ketika kerajaan Kelantan meluluskan enakmen undang-undang Islam negeri itu pada 1994. "DAP tidak menghalang dengan kuasa. Mereka hanya mengeluarkan kenyataan yang bagi kami hanya sebagai satu pandangan yang berbeza. Yang mana perbezaan itu, Insya-Allah boleh diperbincangkan dari masa ke masa di dalam Pakatan Rakyat," tegas beliau lagi. Beliau juga memberitahu Pemuda PAS memulakan pecutan terakhir menjelang pilihan raya umum dengan melancarkan roadshow Selamatkan Malaysia ke seluruh negara, selain melancarkan janji-janji anak muda yang ditawarkan Pakatan Rakyat melalui manifestonya. Tanpa memperincikan butiran janji-janji tersebut, beliau berkata dewan itu akan menumpukan kepada tiga kerangka besar, meliputi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan. "Butiran lanjutnya, akan kita fokuskan ketika pelancarannya nanti. Buat masa sekarang tiga kerangka itulah yang akan kita tekankan kepada anak-anak muda," tegas beliau pada sidang media Pemuda PAS, di Pejabat Agung PAS Pusat, hari ini. Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Penerangan, Ustaz Ridhuan Mohd Nor, dan Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan. |
Pemuda PAS giat kempen Cintai Rasulullah Posted: 14 Oct 2012 12:40 AM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggiatkan Kempen Cintai Rasulullah dengan mencetak 100 ribu keping pelekat kereta, yang mula diedarkan hari ini. Pelekat tersebut yang diedarkan kepada seluruh negara bertujuan menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah dengan menjadikan baginda Rasulullah sebagai contoh dan idola setiap manusia. Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berkata kempen ini juga bertujuan memberikan kesedaran terhadap masyarakat umum menyedari kepentingan hidup beragama, khususnya agama Islam yang merupakan agama rasmi negara. Lebih-lebih lagi, tambah beliau baru-baru ini umat Islam seluruh dunia bangkit membantah penerbitan filem Innocent of Muslims yang menghina Rasulullah SAW. Berpandangan dengan menghormati hak semua agama merupakan teras kepada perpaduan, Pemuda PAS juga telah melancarkan program jelajah cinta Nabi Muhammad ini di seluruh negara. Beliau berkata demikian ketika sidang media dewan itu, di Pejabat Agung PAS, selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tersebut, hari ini. Dalam pada masa sama, Pemuda PAS turut mengadakan kempen pemeriksaan percuma kepada ahli-ahli pemuda sendiri, bagi memastikan anak muda melihat aspek kesihatan sebagai satu perkara yang penting. Kempen yang diadakan bermula jam 9 pagi itu dianjurkan Pemuda PAS dengan kerjasama Gombak Medical Centre, (GMC) Selangor. Selain exco pemuda mengambil peluang untuk memeriksa kesihatan masing-masing, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan dan Nik Abduh turut tidak ketinggalan untuk berbuat demikian. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan