Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Pakatan mahu tukar kerajaan, bukan bendera
- Majlis Hari Raya Aidilfitri DPPKM Tahun 2012
- AMK nafi mahu ganti Jalur Gemilang
- Kejohanan Futsal Anak Muda Machang 2012
- Jemputan Merdeka: Umno usah bermuka-muka
- Bajet 2013 jadi pertaruhan BN untuk PRU13
- Tempangkan 3 negeri talian hayat BN
- 100 motor, basikal konvoi Xpresi Hijau di Miri
- Tuan Ibrahim beri cara selesaikan projek bahaya
- Anwar, Mahfuz diserang dalam masjid
- Budaya samseng menular menjelang PRU-13
Pakatan mahu tukar kerajaan, bukan bendera Posted: 03 Sep 2012 01:45 AM PDT KUALA LUMPUR: Pakatan berhasrat mahu menukar pemimpin kerajaan yang ada bukannya menukar bendera, kata AJK PAS PUsat, Ustaz Idris Ahmad. "Apakah begitu mudah Pakatan Rakyat hendak menukar bendera negara. Pakatan Rakyat hendak tukar kerajaan, bukan bendera," tegas beliau. Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak termasuk menteri Umno yang mendakwa Pakatan mahu menukar bendera Jalur Gemilang apabila menang nanti. Bagi beliau, aksi ini dibuat selepas gagal menyekat rakyat ke perhimpunan menjelang kemerdekaan di ibu negara baru-baru ini. Apabila gagal menyekat kebangkitan rakyat menghadiri Himpunan Janji Demokrasi 30 Ogos 2012 maka berbagai isu dibangkitkan oleh pemimpin Umno dengan tujuan tuntutan pilihanraya bersih dilupakan, katanya. Mereka cuba menimbulkan isu kononnya Pakatan Rakyat hendak menukar bendera, dan lebih teruk lagi menurut Datuk Mustafa Muhammad hendak tukar Perlembagaan. "Kenapa terlalu daif sangat hujah pemimpin Umno dalam isu bendera hendak ditukar. "Bilakah Pakatan Rakyat pernah mengeluarkan kenyataan untuk menukar bendera dan Perlembagaan?. "Berapa hari bulan, di mana, minit mesyuarat mana yang mengatakan Pakatan Rakyat hendak berbuat demikian? "Janganlah membuat provokasi dan tohmohan yang bukan-bukan kepada Pakatan," kata Idris dalam kenyataannya. Sebelumnya, kata Idris (gambar), dituduh Pakatan Rakyat hendak menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara Kristian. Bagi beliau, kalau pun hendak menang pilihanraya janganlah kenyataan yang terlalu bodoh dikeluarkan oleh mereka yang bertaraf menteri. "Biarlah kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh bloger upahan Umno sahaja," katanya. Bagi Idris, kerana terdapat beberapa bendera yang bukan bendera Malaysia terus ditohmoh kepada Pakatan Rakyat hendak tukar bendera adalah tohmahan tidak tepat. "Apakah begitu mudah Pakatan Rakyat hendak menukar bendera negara. Pakatan Rakyat hendak tukar kerajaan, bukan bendera," tegas beliau. Seterusnya, beliau bertanya, tindakan pemimpin Umno yang memfitnah Pakatan hendak menukar bendera tanpa bukti rasmi, apakah pula status Umno dengan komunis. "Bukankah Umno pernah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis China (PKC) 5 Oktober 2010," katanya. Lebih bahaya lagi menurut Tengku Adnan Tengku Mansur selaku Setiausaha Agung Umno mengatakan, Umno akan hantar Putera Umno dan Puteri Umno untuk belajar dengan PKC. "Adakah rakyat juga boleh tuduh Umno hendak menjadikan negara ini komunis?" soalnya. | ||
Majlis Hari Raya Aidilfitri DPPKM Tahun 2012 Posted: 03 Sep 2012 01:44 AM PDT | ||
AMK nafi mahu ganti Jalur Gemilang Posted: 03 Sep 2012 01:42 AM PDT PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan pihaknya ada kaitan dengan insiden mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' yang didakwa bagi menggantikan Jalur Gemilang ketika Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Khamis lalu. Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, apa yang berlaku adalah manifestasi jiwa anak muda yang celik sejarah negara. "Kami berpendapat apa yang berlaku cumalah manifestasi suara anak muda yang cerah fikiran dan tajam pengamatan sejarah negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bendera Sang Saka Malaya ini mempunyai hubungkait dengan AMK kerana bendera tersebut telah dicipta oleh Timbalan Penerangan AMK Malaysia, Najwan Halimi. "Apa yang dilakukan oleh Najwan adalah pada tahun 2007 lagi dan ia tidak ada kaitan dengan AMK. "Itu hanyalah pandangan peribadi beliau sebelum ini, malah sepanjang penglibatan beliau bersama AMK perkara tersebut tidak dibincangkan," sambungnya lagi. Sehubungan itu juga katanya, AMK tidak pernah bercadang untuk menukarkan Jalur Gemilang dengan Sang Saka Malaya malah bertegas ia akan terus kekal sebagai bendera rasmi negara ini. Menurutnya lagi, isu ini cuba diperbesarkan seolah-olah menjadi satu isu yang berpotensi mengancam keselamatan negara. Dalam pada itu, Shamsul juga mencabar Umno sekiranya eleman merah putih pada bendera 'Sang Saka' itu satu ancaman, maka Umno harus menukar lambang 'Sang Saka Bangsa' berkuatkuasa serta-merta. "Kita desak Umno menukarkan bendera mereka kerana jelas terbukti bahawa hanya Umno sahaja parti yang menggunakan elemen 'Sang Saka' selaku lambang rasminya sejak awal penubuhan sehingga ke hari ini," kata beliau. Beliau juga mengharapka, tindakan pihak berkuasa yang telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kejadian tersebut agar berlaku adil. "Kalau pihak polis ingin menyiasat berhubung 'Sang Saka' ataupun menghina gambar pemimpin ia perlu berlaku adil. "Mereka juga perlu menyiasat individu yang telah menghina gambar Menteri Besar Kelantan dan juga pemimpin DAP, hendak siasat biar siasat semuanya jangan berat sebelah," tegas beliau. | ||
Kejohanan Futsal Anak Muda Machang 2012 Posted: 03 Sep 2012 01:42 AM PDT | ||
Jemputan Merdeka: Umno usah bermuka-muka Posted: 03 Sep 2012 01:41 AM PDT SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) menasihatkan pemimpin Umno agar tidak bermuka-muka kononnya membela Raja-raja Melayu apabila memainkan isu jemputan sambutan Merdeka terhadap Sultan Selangor. Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, Rakyat sudah muak dengan sifat bermuka-muka dan putar belit pemimpin-pemimpin Umno dalam perkara itu dan bukti penghinaan Umno terhadap raja-raja Melayu terlalu banyak. "DPPNS turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja sedangkan pemimpin-pemimpin Umnolah yang mempunyai sejarah hitam sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja di dalam negara ini dan mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan memohon maaf di atas tindakan mereka. "DPPNS meminta supaya pemimpin–pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat," katanya. Mengulas isu jemputan sambutan ambang Merdeka terhadap Sultan Selangor, Mohd Sany berkata isu tersebut sengaja dimainkan pihak tertentu untuk cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Katanya, isu tersebut belum diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja. "DPPNS bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat negeri," katanya. Akhbar Umno, Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuduh kerajaan Selangor tidak menghormati institusi diraja dengan mengenepikan Sultan Selangor, dalam majlis Ambang Merdeka yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu. Semalam Setiausaha kepada Menteri Besar, Faekah Husin memberitahu Mohamad Khusrin telah mengesahkan bahawa Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan kerana Baginda akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri. Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal, jika kerajaan Selangor dituduh menghina raja, maka Umno lebih lagi menghina raja apabila tidak menjemput Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu. | ||
Bajet 2013 jadi pertaruhan BN untuk PRU13 Posted: 03 Sep 2012 01:40 AM PDT KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan bajet 2013 yang akan dibentangkan oleh kerajaan pada September ini sarat dengan 'gula-gula' menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) nanti. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau yakin Umno BN akan menggunakan peluang semaksima mungkin untuk menarik sokongan rakyat. "Sudah pasti bajet ini menjadi kosmetik sepenuhnya untuk mereka menghadapi PRU13 nanti. "Saya pasti peluang ini akan digunakan semaksima mungkin untuk mereka mendapat sokongan dari seluruh rakyat dan juga liputan yang meluas," katanya. Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Gantang juga menjangkakan bajet kali ini lebih tertumpu kepada kakitangan awam dan orang kampung. "Kalau hanya melalui pemberian 'one off' di luar musim bajet, impak yang mereka perolehi tidak memberangsangkan dan itu yang dialami oleh mereka sebelum ini terhadap pemberian tayar percuma serta RM500 kepada rakyat," jelasnya. Mengulas pertaruhan BN kepada bajet itu nanti, Nizar berkata ianya mungkin menjadi kayu ukur kepada Najib untuk membubarkan parlimen selepas melihat reaksi rakyat terhadap pembentangan bajet itu. Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata draf bajet 2013 akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada mesyuarat kabinet Rabu ini. Bajet 2013 yang turut merangkumi cadangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan tumpuan, agensi kerajaan serta sektor-sektor perindustrian itu, akan dibincangkan pada mesyuarat itu nanti. | ||
Tempangkan 3 negeri talian hayat BN Posted: 03 Sep 2012 01:40 AM PDT TASIK GELUGOR: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sekali lagi memberi peringatan kepada jentera Pakatan Rakyat agar berkerja keras jika mahu menggapai impian menguasai Putrajaya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, laluan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya akan menjadi lebih mudah jika kedudukan BN di tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Johor dapat ditempangkan.. Ini kerana ketiga-tiga negeri itu kini adalah talian hayat Umno untuk terus kekal berkuasa. "Tempangkan dulu tiga negeri yang menjadi teras kekuatan BN iaitu Sabah, Sarawak dan Johor sebab negeri terbabit adalah nadi Umno dan BN. "Jika dapat dikurangkan pasti memberi peluang Pakatan Rakyat ke Putrajaya dengan mudah sekali, " katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di program Karnival Penerangan Terkini (KarPenTer) anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri dengan kerjasama PAS Tasek Gelugor di Dewan JKKK Simpang Empat Permatang Buluh semalam. Sehubungan itu katanya, selain memberi tumpuan di negeri-negeri lain, tumpuan lebih pula perlu diberikan kepada tiga negeri ini. Sebab itu katanya, ramai kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kini berada di Sarawak, Sabah dan Johor ekoran terdapat angin perubahan rakyat yang sangat memberangsangkan. Menurut beliau lagi, jika ketiga-tiga negeri ini menunjukkan perubahan besar menjelang PRU13, pasti Perdana Menteri Datuk Seri Najib tidak mampu tidur lena. "BN memang selesa di tiga negeri tersebut. Tak apa itu situasi lama berlainan dengan sambutan masyarakat hari ini di mana Umno dan BN tidak berani lagi bersiul di tengah jalan kerana khuatir mendapat malu, " katanya. | ||
100 motor, basikal konvoi Xpresi Hijau di Miri Posted: 03 Sep 2012 01:39 AM PDT MIRI: Konvoi Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya anjuran DewanPemuda PAS Malaysia semalam, berjaya menjejak kaki di Bumi Kenyalang semalam. Konvoi yang disertai lebih 100 buah motosikal dan basikal itu bermula di bandar Miri menuju ke tapak Himpunan Hijau Tanjung Lubang dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan. Menurut Nasrudin, sambutan konvoi oleh rakyat negeri itu memberikan satu harapan baru bahawa perubahan akan berlaku pada pilihanraya umum ke 13 akan datang. "Xpresi Hijau Anak Muda Sabah dan Sarawak menunjukkan satu signal kebangkitan menggerak perubahn menjelang PRU 13," katanya. Berikut antara gambar-gambar menarik di konvoi tersebut. | ||
Tuan Ibrahim beri cara selesaikan projek bahaya Posted: 02 Sep 2012 04:38 PM PDT (Selamatkan negara...Tuan Ibrahim memegang salah satu banner dalam tulisan Cina) RAUB: Di Himpunan Hijau Raub, Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan cara penyelesaian kepada rakyat untuk menyelesaikan kontroversi projek-projek berbahaya yang kini melanda negara kita. "Untuk hentikan sianida, Lynas – satu saja caranya, kita kena hentikan BN," demikian kata beliau di himpunan petang tadi yang dihadiri hampir 10,000 rakyat. (Tuan Ibrahim berucap di perhimpunan) Petang tadi, Himpunan Hijau Raub terhadap penggunaan sianida di lombong emas telah menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan supaya berhenti menganggap negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan. Dalam suasana seperti berpesta dan bersemangat tinggi di padang kompleks sukan Raub, para hadirin yang berpakaian hijau menyatakan bantahan mereka terhadap syarikat perlombangan Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd yang terletak di kawasan penempatan manusia menggunakan bahan kimia berbahaya sianida yang menjejaskan kesihatan manusia. Bantahan terhadap kilang Lynas di Gebeng, Kuantan turut kelihatan. Mangsa utama dalam kontroversi sianida di Raub ialah penduduk Kampung Baru Bukit Koman yang mengadu pelbagai masalah kesihatan akan tetapi rintihan dan bantahan mereka sejak 2007, melalui pelbagai cara termasuk mahkamah ditolak kerajaan dan juga pengendali lombong emas tersebut. Ketika dihubungi Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata himpunan ini bermatlamatkan agenda untuk menyelamatkan para penduduk Pahang daripada terus dianiayai akibat kecuaian kerajaan dalam meluluskan projek berbahaya tanpa memikirkan kesan kepada penduduk dan alam sekitar. Beliau menegaskan himpunan kali ini diketuai NGO-NGO dan tidak berasaskan kaum mahupun politik. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan ahli parlimen Raub Datuk Seri Ng Yen Yen yang turut dijemput ke himpunan ini tidak menghadirkan diri. (Kerusi untuk kedua-dua pemimpin BN) Adnan sebelum ini menyifatkan isu penggunaan bahan kimia sianida di lombong emas di Bukit Koman, Raub, Pahang yang didakwa sebagai punca penyakit kulit kepada penduduk hanya merupakan propaganda pembangkang. Beliau berkata perkara itu mempunyai kaitan dengan pihak tertentu yang gagal mendapatkan projek tersebut dan parti pembangkang iaitu DAP turut mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan. (Orang ramai yang memenuhi perhimpunan hijau di Raub) Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar sementara itu berkata himpunan kali ini adalah untuk menunjukkan solidariti bersama penduduk Kampung Baru Bukit Koman. Kata beliau, sepatutnya projek lombong emas tidak boleh diadakan di kawasan tempat kediaman. "Ini kena diletakkan di kawasan industri berat. Aduan penduduk sekian lama tidak dilayan, ini adalah antara sebab perhimpunan diadakan," kata beliau kepada Harakahdaily. Pahang, katanya, telah menjadi pusat kerosakan alam sekitar dan kesihatan dengan adanya kilang Lynas yang mengeluarkan sisa-sisa radioaktif dan Australia Gold Mining dengan penggunaan sianida. "Ini ditambah pula dengan kematian Tasik Chini," kata beliau, sambil menambah kesan teruk pada alam sekitar adalah faktor kebangkitan rakyat menentang kerajaan. (Zulkifli bersama Maria Chin) Bahan kimia sianida, kata Zulkifli sudahpun diharamkan penggunaannya di beberapa negera seperti German, Eropah, Montana, Czech Republic, Belanda dan sebagainya. Kes bencana ekologi Baia Mare pada 2000 di Romania telah mendedahkan bagaimana sianida telah mencemari air minuman 3 juta penduduk. Zulkifli berkata kerajaan harus berhati-hati menarik pelaburan, dan memastikan kilang-kilang berbahaya ini terletak jauh daripada kawasan kediaman dan di kawasan yang dikhaskan untuk industri berat. "Sianida ini cepat larut. Kilang mesti menggunakan bahan kimia alternatif untuk memproses emas," katanya. (Antara tetamu utama yang hadir) Selain Tuan Ibrahim dan Zulkifli, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir ialah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Adun Sekinchan Ng Suee Lim, ahli parlimen Bakri Er Tech Hwa dan aktivis Bersih Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais. Kegagalan Raub Australia Gold Mining untuk menghantar wakil seperti yang dijanjikan untuk menerima nota bantahan amat dikesali. Akhirnya, penganjur (Jawatankuasa Bantah Sianida yang diketuai Wong Kin Hoong) menyerahkan salinan dokumen itu kepada Ketua Polis Daerah Raub Wan Mohd Samsudin Wan Osman dan mendesaknya memastikan salinan itu sampai ke meja presiden syarikat itu. | ||
Anwar, Mahfuz diserang dalam masjid Posted: 02 Sep 2012 04:37 PM PDT ALOR STAR: Sekumpulan samseng yang dipercayai ahli Perkasa hari ini bertindak ganas dengan menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah. Menurut laporan Keadilandaily, tindakan biadap itu tercetus apabila beberapa pemuda berhimpun dan memulakan provokasi ketika Anwar hendak menyampaikan tazkirah di dalam masjid Al Husin. Mereka juga bertindak memadamkan lampu masjid dan alat pembesar suara berulangkali, memaksa Anwar menggunakan loud hailer untuk meneruskan kuliahnya. Kumpulan terbabit juga mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling kasut ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan. Malah, mereka turut menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren ketika Anwar menyampaikan tazkirah. Ketua kumpulan itu yang hanya dikenali sebagai Dato Yusof dikatakan mengugut bertindak lebih keras sekiranya Anwar tidak menghentikan kuliahnya serta-merta. Bagaimanapun, Anwar menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan menyebabkan jemaah masjid terus mendengar kuliah beliau. Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang berada di masjid itu turut menjadi sasaran apabila kasut yang dibaling hampir-hampir mengenai beliau. Kejadian serangan terhadap ketua pembangkang ini adalah insiden kedua selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan, semalam. | ||
Budaya samseng menular menjelang PRU-13 Posted: 02 Sep 2012 04:36 PM PDT KUALA KRAI: Rakyat Kelantan malu tindakan pihak tertentu mempamerkan aksi samseng sehingga menyebabkan bas Program Merdeka Rakyat dipecahkan cermin dan disimbah cat merah. Kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di Kelantan, di mana sebelum ini kereta dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim ditendang di Jalan Sultan Ibrahim ketika mahu menghadiri program ceramah di Padang Perdana. Dan awal pagi semalam pula bas rombongan Program Merdeka Rakyat yang di parkir berhampiran Pasar Besar Siti Khatijah pula menjadi mangsa pihak terbabit. Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, di belakang insiden itu pastinya musuh politik kepada Pakatan Rakyat. "Insiden itu dianggap biadap dan memalukan orang Kelantan. Ia jelas menyalahi budaya orang Kelantan yang terkenal dengan kemesraan dan menyambut tetamu dengan penuh hormat. "Tindakan pihak terbabit jauh sekali dengan budaya Islam. Pemuda PAS amat kesal terhadap apa yang berlaku," katanya di sini. Beliau yang juga Adun Mengkebang berkata, sekiranya tidak berpuas hati mereka perlu berdepan dengan hujah. Menurutnya juga mungkin ada kebenaran pengakuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang lebih baik menyokong parti syaitan yang dikenali berbanding malaikat yang tidak dikenali. "Pemuda bimbang budaya samseng inilah yang akan terbawa-bawa sehingga PRU ke-13. Jika BN kalah mereka akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun," katanya. Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir berharap pihak berkuasa menyiasat dengan telus isu tersebut kerana ia sudah dua kali berlaku di Kelantan membabitkan Anwar. Di Gerik, Perak semalam kelihatan dua sepanduk yang dipasang di laluan Gerik-Jeli bagi mencemuhkan Ketua Pembangkang. Laluan tersebut dilalui rombongan Anwar untuk ke Kedah dan Perak dalam misi jelajah Merdeka Rakyat selepas menghadiri program di Kelantan. Himpunan Hijau Sementara itu dalam perkembangan lain PAS Kelantan akan menganjurkan dua program serentak pada 15 September ini iaitu Himpunan Hijau Ke Putrajaya dan Jamuan Aidilfitri. Ketua Penerangan PAS negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program berkenaan akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Machang (MDM) dan padang MDM. Katanya, program Himpunan Hijau akan menampilkan pidato oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Ibrahim Tuan Man. "Pada hari tersebut juga diadakan program Anak Muda Kelantan Ekspresi Hijau melibatkan program ceramah, motivasi anak muda dan persembahan hiburan. "Pada sebelah pagi pula program khas muslimat akan diadakan di dewan MDM," ujarnya. Manakala di RANTAU PANJANG 4 September ini, bekas anggota Parlimen Batu Berendam, Datuk Tamrin Ghafar akan menyampaikan ceramah merdeka di Pusat Tarbiah Rantau Panjang. Selain itu turut ditampilkan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dr Rosli Yaakub dan bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafii. Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, ceramah tersebut diadakan sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-55 Di KOTA BHARU pula diadakan solat hajat dan ceramah perdana yang akan menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud. Program tersebut akan diadakan 3 September (esok) di Padang Perdana bermula jam 8 malam. Di MACHANG ceramah perdana sempena merdeka akan menampilkan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof. Program ceramah tersebut akan diadakan pada 4 September di Pasti Paloh Rawa, Dun Temangan. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan