Khamis, 27 September 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Rapid Pengerang: Banyak misteri akan terbongkar

Posted: 26 Sep 2012 09:40 PM PDT


KUALA LUMPUR: Banyak misteri yang akan terbongkar berikutan bantahan dan cabaran debat mengenai Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Apabila ada bekas menteri yang mencari nafas baru dalam politik Umno mencabar untuk berdebat berikutan bantahan penduduk Pengerang terhadap Rapid, banyak lagi kecurigaan yang didedahkan kepada kita sejak Petronas dikuasai (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Salahuddin, Seksyen 3(2) Akta Pembangunan Petroleum 1974 meletakkan Petronas di bawah penguasaan dan arahan Perdana Menteri.

Katanya, antara perkara awal yang didedahkan kepadanya ialah mengenai begitu banyak projek Petronas, termasuk Rapid, yang dimanfaatkan oleh Dialog Group Berhad.

Mengenai Rapid, Salahuddin berkata, beliau difahamkan bahawa projek itu adalah projek Petronas yang pertama yang mengambil alih kawasan penempatan rakyat.

"Saya difahamkan oleh para pegawai Petronas bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 1974, syarikat minyak nasional itu tidak pernah mengambil alih kawasan penempatan rakyat dan apa yang berlaku di Pengerang hanya berlaku di zaman Najib menguasai Petronas.

"Contohnya, tapak kawasan Loji Penapis Minyak Terengganu di Kerteh asalnya ialah kawasan kebun kelapa dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau penempatan rakyat," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, pegawai-pegawai Petronas yang memberi maklumat juga memberitahu, telah menjadi piawaian dunia bahawa projek minyak dan gas tidak dibuat di kawasan penempatan rakyat seperti yang dilakukan di Pengerang.

"Para pegawai Petronas yang berkenaan juga banyak mengadu mengenai Presiden dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Petronas (Tan Sri) Shamsul Azhar (Abbas) dan mereka memberitahu bahawa banyak perkara yang tidak berlaku sebelum ini berlaku di zaman Shamsul Azhar termasuk pengambilalihan kawasan penempatan rakyat untuk projek Petronas.

"Ia satu perubahan dasar Petronas yang luar biasa," katanya.

Bagi Salahuddin, apabila ia melibatkan perubahan dasar Petronas, kesalahan besar bukan lagi sekadar melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang beliau sifatkan bersekongkol meluluskan pengambil alihan kawasan penempatan penduduk berkenaan untuk projek itu, tetapi dalang utamanya ialah Najib.

"Najiblah orang yang paling bertanggungjawab ke atas segala masalah dan keperitan yang dihadapi oleh penduduk Pengerang yang dimangsakan pengambil alihan itu," katanya.

Salahuddin juga kesal dengan sikap Ghani yang hanya mengikut sahaja telunjuk Najib dan menjadi antara sekongkol utama dalam projek yang dibantah oleh penduduk Pengerang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang, Kasran Abdullah sebelum ini menyatakan, kajian yang dijalankan November tahun lalu di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Rapid.

Salahuddin juga menuntut penjelasan Najib mengapa Dialog kini mendapat begitu banyak projek Petronas.

"Para pegawai Petronas berkenaan memberitahu, trend monopoli sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini dan hanya berlaku ketika Najib berkuasa ke atas Petronas.

"Menurut mereka, banyak penganugerahan projek Petronas yang menimbulkan kesangsian dan pertikaian dan yang paling mereka persoalkan ialah projek-projek Petronas kepada Dialog," kata beliau.

Para pegawai petronas itu juga, kata Salahuddin, mempersoalkan bagaimana Dialog mendapat manfaat di medan minyak Balai Bentara dan dijangka akan mendapat manfaat pula di medan minyak D35 di Balai Cluster.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana kenyataan khusus mengenai perkara itu akan dibuat.

Belanjawan Pakatan utamakan semua rakyat

Posted: 26 Sep 2012 09:39 PM PDT


Belanjawan PR: Penetapan gaji minimum tepat

Posted: 26 Sep 2012 09:38 PM PDT


KUALA LUMPUR: Senator Syed Shahir Syed Mohamud (gambar) berpendapat Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang telah dibentangkan semalam dapat menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dalam negara ini.

Beliau yang ditemui Harakahdaily memberitahu peningkatan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan kemiskinan tegar iaitu RM550 adalah satu cadangan yang sangat baik dalam menyeleseikan masalah tersebut.

"Kita melihat melalui cadangan peningkatan bantuan isu rumah yang diberikan itu dapat mengatasi miskin tegar negara.

"Kebanyakan mereka terdiri dari golongan pekerja, golongan berpendapatan rendah dan kemiskinan sekarang tidak boleh dianggap kemiskinan luar bandar sahaja sebenarnya di dalam bandar pun berlaku kemiskinan," kata bekas Presiden MTUC itu.

Beliau juga turut memberitahu penetapan gaji minimum pada tahap RM1,100 adalah bertepatan memandangkan kerajaan sebelum ini hanya mencadangkan RM900 sahaja.

Dalam pada masa yang sama, beliau mengharapkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini dapat menyelesaikan masalah terutama kumpulan sasar yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah.

Belanjawan Pakatan Rakyat akan membelanjakan RM2 bilion bagi pelaksanaan gaji minimum pada paras RM1,100 sebulan yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan penyelarasan gaji dijangkakan dalam 2 hingga 8 peratus.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut meningkatkan pembayaran kebajikan daripada RM300 pada masa sekarang kepada RM550 sebulan dan ini dapat membebaskan 84,000 keluarga dari paras kemiskinan sekarang iaitu bawah RM500 sebulan.

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol T’ganu

Posted: 26 Sep 2012 09:37 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

"Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.
"Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah," ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

"Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

"Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan," ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.)

Anti-monopoli: Negeri dapat manfaat besar

Posted: 26 Sep 2012 09:36 PM PDT

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan teras bina daya saing dalam belanjawan 2013 Pakatan Rakyat, dapat memulihkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk di peringkat negeri.
Teras itu yang mewujudkan pengubalan undang-undang anti-monopoli dan Suruhanjaya Anti Monopoli demi menggalakkan pertumbuhan syarikat bersaiz sederhana mampu membuka lembaran baru pertumbuhan ekonomi di negara ini.

Menurutnya juga, penubuhan syarikat-syarikat minyak PetroSabah, PetroSarawak, PetroTerengganu dalam menyertai pembangunan lapangan kecil (marginal field) yang kini diboloti oleh syarikat kroni dapat meningkatkan lagi hasil sesebuah negeri.

Jelas Salahuddin, melalui unjuran, sekiranya Pakatan Rakyat dapat mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, sebanyak RM20 bilion pendapatan diperolehi dari hasil royalti bagi empat buah negeri.

Secara puratanya setiap negeri memperolehi RM5 bilion untuk setiap tahun.

"Mungkin tidak rasmi bagi pihak Negeri Kelantan saya rasakan dengan unjuran tersebut kita dapat banyak manfaat dan di antaranya adalah pembinaan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dipercepatkan.

"Namun dengan dasar yang ditengahkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang mana kita akan melantik beberapa anak syarikat kerajaan negeri untuk menceburi industri minyak dan gas dalam pembangunan lapangan kecil adalah satu yang terbaik," kata beliau ketika perbentangan belanjawan di Parlimen semalam.

Tambah beliau lagi, kalau monopoli ini dapat dipecahkan di antara syarikat-syarikat gergasi dengan syarikat anak-anak kerajaan negeri dalam industri tersebut, beliau pasti pembangunan peringkat negeri dapat dipercepatkan perlaksanaannya.

"Kita akan galakkan peringkat negeri menubuhkan syarikat berkaitan bagi menceburikan diri dalam bidang industri gas dan minyak.
"Skim khusus agar Petronas menaungi syarikat-syarikat ini supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa salam tempoh 10 tahun," sambung beliau lagi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga turut menyatakan terdapat banyak kawasan yang mempunyai lapangan kecil (marginal field) di antaranya di Negeri Johor dan beliau akan mengemukakan bukti menerusi peta pada perbahasan beliau minggu hadapan di Parlimen.

Royalti: TG Nik Aziz hargai usaha anak muda

Posted: 26 Sep 2012 05:01 PM PDT


KOTA BHARU: Biar pun masih berehat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, namun  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersemangat menyokong anak-anak muda menuntut hak ke atas royalti minyak.

Petang tadi beliau memakai t-shirt R sebagai menyokong dan menghargai kegigihan anak-anak muda berjuang menuntut royalti.

Baju tersebut dibawa aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) diketuai Naib Presiden, Dr Syed Khalid Abdullah ketika menziarahi Menteri Besar.

Kelihatan sama di wad, anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.

Dr Syed Khalid berkata, sokongan padu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menaikkan semangat anak-anak muda berjuang menuntut royalti minyak.

"Biar pun beliau sedang keuzuran dan sedang berehat di wad, namun masih bersemangat memberi nasihat kepada kami untuk terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan yang dinafikan sejak sekian lama.

"Malah kesediaan Menteri Besar untuk hadir pada Ceramah Mega R Tuntut Royalti Putrajaya yang akan di Shah Alam malam 2 Oktober ini amat kami hargai," katanya di sini.

Program tersebut akan menampilkan pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Selain itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sabah dijemput menghadiri program berkenaan. Rombongan R dari Kelantan akan bertolak pagi 2 Oktober.

Dr Syed Khalid berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga meminta rakyat Kelantan hadir beramai-ramai pada program berkenaan sebagai memberi sokongan kepada perjuangan menuntut royalti.

"Kata Tok Guru kalau mereka tidak ada peluang hadir hendaklah doakan semoga perjuangan menuntut royalti menjadi kenyataan.

"Selain itu beliau juga menyarankan orang ramai mengibar bendera R atau tampal sticker pada kenderaan masing-masing," katanya.

Kajian rakyat yakini PR selari dengan realiti

Posted: 26 Sep 2012 05:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya  Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan keyakinan kepada Pakatan Rakyat meningkat selari dengan realiti yang berlaku di luar sana.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, melihat suasana di peringkat rakyat ternyata wujud gelombang perubahan yang sangat besar khususnya kepada Pakatan Rakyat.

Cuma, katanya, rakyat sedang tertunggu-tunggu bila parlimen akan dibubarkan memandangkan 'mood' perubahan rakyat telahpun berlaku.

"Perubahan rakyat dari semasa ke semasa telah berlaku, malangnya mereka tidak boleh menterjemahkan perubahan itu sebab parlimen belum dibubarkan," katanya kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim percaya, antara faktor besar yang mendorong kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rayat termasuklah perasaan membuak-buak untuk membuat perubahan selepas memberi peluang 55 tahun kepada BN mentadbir negara.

Di tambah  pula, katanya kejayaan yang ditunjukkan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut mempengaruhi negeri- negeri lain untuk turut sama membuat perubahan.

Penyelewengan yang sangat ketara berlaku misalnya dalam kes NFC, katanya cukup memberi kredit kepada Pakatan Rakyat apabila rakyat cukup terkesan kerana ia membabitkan dana rakyat.

"Berbanding isu Anwar naik jet mewah, rakyat tidak terkesan sebab jet itu adalah hak peribadi bukannya duit rakyat. Ini bukan isu teras. NFC duit rakyat. Ini mempengaruhi persepsi pengundi," katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati kerajaan PAS Kelantan agar memberi perhatian terhadap kajian tersebut yang melaporkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan itu agak menurun.

"Bagi kita kajian ilmiah ini perlu diambil penting untuk buat agenda bertindak seterusnya, dan Pakatan Rakyat pula jangan ambil selesa dengan kajian ini dan perkemaskan strategi untuk capai matlamat kita," katanya.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.

Kajian terbaru yang bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13 dibuat pada 1 -16 September 2012  di seluruh Semenanjung Malaysia.

Parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac - April menunjukkan keyakian kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan ianya menurun kepada 44% sahaja.

Tiada ulasan:

Pengikut