Selasa, 25 September 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PRK: Calon pro-mahasiswa diugut bunuh

Posted: 24 Sep 2012 04:43 PM PDT


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mendakwa enam calon yang menyertai pilihan raya kampus (PRK) telah menerima ugutan bunuh dan culik.
 Calon daripada pro-mahasiswa itu dipercayai diugut oleh pihak yang tidak dikenali dengan menghubungi keluarga calon terbabit di kampung.

Jurucakap Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkifli, mendakwa ugutan tersebut diadukan calon-calon terbabit kepada beliau sejak pagi tadi.

Beliau percaya ugutan tersebut dilakukan bagi menimbulkan rasa takut calon yang kemudiannya akan bertindak menarik diri dari bertanding dalam PRK.

Afif juga berkata, dua laporan polis sudah dibuat berhubung ugutan tersebut, satu di Kedah dan satu lagi di Pulau Pinang.

"Kami melihat ia satu perkara serius yang perlu mendapat perhatian pihak bertanggungjawab. Kita bimbang dengan keselamatan calon-calon ini," tegas beliau pada sidang media di lobi parlimen, petang tadi.

Selain ugutan tersebut, Afif turut berkata beberapa kain rentang yang mewakili calon-calon daripada Chinese Community  Council (CCC) dan GMUKM disabotaj dengan menggunakan cat merah.

Dakwanya lagi, jika dilihat modus operandi tersebut, ia mirip modus operandi yang dilakukan Umno dalam siri simbahan cat ke atas bas merdeka rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dengan sabotaj tersebut.

Daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, tujuh kerusi telah dimenangi calon pro-mahasiswa tanpa bertanding, yang memerlukan hanya lapan kerusi untuk dimenangi pro-mahasiswa bagi memperolehi majoriti bagi menguasai PRK yang akan bermula esok.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria, berkata ugutan bunuh dan culik yang berlaku ini adalah satu kejadian pertama kali dalam sejarah PRK.

"Ugutan ini satu perkara biasa bagi calon pro-mahasiswa ini.  Namun, tidak pernah ada dalam sejarah ugutan bunuh dan culik. Ini kali pertama dan kita harap pihak polis segera melakukan siasatan," tegas beliau pada sidang media yang sama.

Turut serta pada sidang media itu ialah Presiden Ikatan Study Islam UKM, Mohd Azan Safar dan beberapa aktivis pelajar yang lain.

Royalti: MP PAS bawa usul ke parlimen lagi

Posted: 24 Sep 2012 04:41 PM PDT


Aishah akan teliti jika ditawarkan bertanding

Posted: 24 Sep 2012 04:41 PM PDT

BUKIT MERTAJAM: Selebriti tanahair, Wan Aisyah Wan Ariffin atau Aishah berkata beliau akan meneliti, mengkaji serta solat istiqarah terlebih dahulu sekira kepimpinan PAS menawarkan secara rasmi untuk dirinya bertanding atas tiket PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Menurutnya, setakat ini memang ada suara menggajak untuk dirinya bertanding tetapi terpaksa menolak dengan alasan belum bersedia kerana banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada kepimpinan PAS terutamanya dari kepimpinan Dewan Muslimat tentang dunia politik.

"Saya tidak melakukan tindakan terburu-buru untuk memberikan jawapan selagi ilmu belum penuh dalam bidang politik.

"Masih banyak saya kena belajar sebab berpolitik bukan mudah sepertimana yang disangkakan.

"Justeru itu, jika ada tawaran secara rasmi pun saya tetap akan mengkaji, meneliti dan solat istiqarah kerana bimbang tanggungjawabnya amat berat, " terangnya ketika menjawab persoalan peserta dan peminatnya dalam program Hi-Tea bersama Aisyah di Padang Awam, Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam semalam.

Aishah, bekas pelajar Sains Politik dari Universiti Auckland, New Zealand disebut-sebut akan bertanding atas tiket PAS di sebuah kawasan Parlimen di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada sebarang kata putus dari pihaknya atau PAS walaupun beliau mempunyai peluang besar di sana.

Menurut Aishah, tekadnya hanya satu  ketika mengisi borang keahlian PAS, iaitu untuk menjadi jentera PAS untuk memastikan PAS melangkah ke Putrajaya.

Sebagai golongan artis jelasnya, kemasukan ke dalam PAS sekadar menjadi daya tarikan
supaya masyarakat yang selama ini merupakan peminatnya turut serta ke program yang PAS anjurkan.

"Bila mereka (peminat) datang bertemu di majlis anjuran PAS sekaligus memberi 'point' pada PAS itu sendiri.

"Tambahan lagi bila saya ceritakan pengalaman pahit yang pernah dilalui setelah aduan kepada Menteri yang terlibat dengan Hal Ehwal Wanita tidak diendahkan pasti ada yang simpati dan mengangap Barisan Nasional  (BN) bukan tempatnya bergantung harap sebab orang yang ada nama pun tidak diberikan perhatian apatah lagi masyarakat biasa," ceritanya pada ratusan hadirin.


(Antara peminat dan orang ramai yang datang berdialog dengan Aishah)

Aisyah yang terkenal dengan lagu 'Janji Manismu' di era 90 an menambah, kebangkitan masyarakat tanpa kira Melayu, Cina dan India membuktikan Pakatan Rakyat sudah bersedia mengambil alih pemerintahan dari pemerintahan yang zalim dan tidak mengambil peduli kesengsaraan rakyat bawahan.

Peluang itu harus diambil kerana lagi lama BN memerintah, sambungnya, rakyat bertambah miskin, harga barangan melambung berkali ganda dan hak rakyat dianak tirikan.

Turut sama hadir ke program anjuran Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Bukit Mertajam dengan kerjasama PAS Cawangan Taman Alma Jaya itu ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Ustazah Rahmah Mat Isa, Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Datin Siti Fatimah Osman, Ketua Dewan Pemuda PAS Bukit Mertajam, Norazman Ishak, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Bukit Mertajam, Puan Noriah, Timbalan YDP PAS Bukit Mertajam , Mohd Bakar Awang dan Ketua PAS  Cawangan PAS Alma Jaya, Rosli Hasan.

Rashid Ghannushi: Memberi imej baru kepada Tunisia

Posted: 24 Sep 2012 04:40 PM PDT


(Rachid Ghannouchi ketika diwawancara oleh Al Jazeera)

TUNIS: Tunisia adalah tempat di mana segalanya bermula. Tindakan seorang lelaki terdesak mencetuskan revolusi dan menjadi inspirasi kepada gelombang perubahan di seluruh dunia Arab.

Tetapi dua tahun selepas Mohamed Bouazizi membakar dirinya, ke manakah hala tuju Tunisia sekarang?

Sudah pastinya demokrasi adalah lebih baik: buat pertama kalinya dalam lebih daripada empat dekad rakyat membuang undi dalam proses yang bebas dan adil yang melantik presiden dan ahli himpunan yang baru.

Tetapi rundingan untuk menulis perlembagaan baru yang akan mengabadikan nilai baru Tunisia bergerak seolah-olah  sangat perlahan.

Antara isunya adalah soalan tentang peranan agama, pembahagian kuasa dan status wanita - dan di tengah-tengah perbahasan tersebut adalah seorang lelaki.

Kepada ramai orang, Rashid Ghannushi adalah figur yang tidak menentu.

Beliau adalah  lawan diktator lama - dipenjarakan, diseksa dan dibuang kerana pandangan-pandangan beliau - falsafah dan pemikiran Islam yang progresif.

Sesetengah yang lain pula takut kepada partinya, Ennahda atau Parti Pembaharuan, adalah pelopor untuk Islamisasi yang menjalar di Tunisia, dan Ghannushi sendiri bekerja untuk khilafah Islam yang baru.

Sedang rusuhan merebak ke seluruh dunia Arab sebagai tindak balas kepada treler filem hina Nabi, Ghannushi berkongsi pandangan beliau mengenai reaksi ganas umat Islam, "Ia adalah berita yang amat menyedihkan bagi saya kerana perkara ini hanya membantu pihak anti-Islam.

"Sesiapa yang merancang jenayah ini dengan niat atau tanpa niat, mereka telah memusnahkan dialog antara Islam dan Barat, mereka membantu Islamofobia di dunia.

"Keganasan bukan penyelesaian, ia adalah sebahagian daripada masalah," Ghannushi memberitahu Talk to al-Jazeera.

"Kami mempunyai banyak masalah dalam kalangan orang Islam dan sesetengah negara Barat, tetapi keganasan bukan penyelesaiannya.


"Ia boleh meningkatkan masalah dan kesukaran dan ia mendesak ke arah peperangan antara bangsa dan agama. Ia bukan [sebahagian] politik Islam."

Beliau juga bercakap mengenai demokrasi, Islam dan masa depan Tunisia.

Anwar setuju terima bantuan jet peribadi

Posted: 24 Sep 2012 04:40 PM PDT


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu isu penggunaan jet peribadi ketika beliau ke Sabah dan Sarawak tidak pernah disembunyikan.

Malah beliau turut meminta Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk mengambil gambar dan menyebarkannya melalui laman twitter agar semua rakyat tahu apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

"Penggunaan jet peribadi ini adalah bagi perjalanan saya dari Kuala Lumpur, Labuan, Kota Kinabalu dan Kuching seterusnya balik semula ke Kuala Lumpur.

"Saya melihat mereka memperbesarkan isu ini yang lebih kepada kepentingan peribadi mahupun wujud unsur rasuah, malah kita lebih telus memberitahu kepada semua dan perkara ini boleh disemak," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Anwar turut memberitahu, beliau telah menjelaskan perkara tersebut melalui laman twitternya sebelum ini.

"Mereka yang ingin mengetahui siapa pemilik jet tersebut boleh menghubungi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia kerana semua maklumat pemilik ada dalam simpanan DCA," sambungnya lagi.

Anwar yang sebelum itu memberitahu, beliau dihubungi rakannya bahawa ada seorang individu yang sanggup memberi kebenaran beliau menggunakan jet peribadi tersebut.

"Jet peribadi ini diuruskan oleh rakan saya dan siapa pemiliknya mereka yang ingin mengetahui oleh hubungi DCA.

"Ia macam saya bila kereta rosak, maka kawan akan memberi pinjam kereta mereka begitulah urusan penggunaan jet tersebut," sambung beliau lagi.

Anwar yang secara berselorok menyatakan beliau hari ini juga terpaksa meminjam baju kot dari rakannya kerana tidak membawa bajunya sendiri serta menyifatkan itu perkara biasa apabila ada rakan ingin membantu.

"Saya tahu banyak isu akan ditimbulkan dan sebelum saya bersetuju untuk menerima bantuan jet peribadi itu, saya telah pastikan bahawa pemilik tersebut tidak mempunyai apa-apa kepentingan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Umno dan MCA cuba memperbesarkan isu ini adalah bertujuan untuk menakutkan ahli-ahli perniagaan agar tidak lagi membantui Pakatan.

"Tetapi mereka terus merahsiakan isu-isu rasuah, penyelewengan serta penggunaan dana awam untuk kepentingan mereka sendiri," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau juga turut memberitahu jika ada ruang dari ahli-ahli perniagaan yang ingin meminjam jet peribadi mereka beliau mengalu-alukannya terutamanya apabila hampir pilihanraya nanti.

"Kita perlukan helikopter di Sabah dan Sarawak termasuk jet peribadi untuk urusan kita (Pakatan) jika terlalu terdesak untuk ke mana-mana," tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

Tiada ulasan:

Pengikut