Selasa, 11 September 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Pemuda PAS Kedah lapor polis pemimpin PR dihina

Posted: 10 Sep 2012 04:48 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kedah bertindak membuat laporan polis berhubung gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat dihina pihak tidak bertanggungjawab.

Laporan polis tersebut dibuat berikutan kenyataan polis sebelum ini yang hanya akan menyiasat sesuatu kes sekiranya terdapat laporan polis dibuat.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasir Zakaria, berkata dengan laporan polis tersebut, pihaknya berharap satu siasatan segera diadakan bagi memastikan pihk polis tidak membuat pendakwan terpilih.

Beliau yang turut diiringi Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Yahya menegaskan polis tidak lagi boleh memberikan alasan untuk tidak menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini, pihak polis mengambil langkah proaktif terhadap mahasiswa yang dikatakan menghina gambar perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dn isteri, ketika sambutan ambang merdeka, 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, ramai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan polis tersebut yang disifatkan membuat siasatan terpilih, sedangkan gambar pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat turut dihina pihak tidak bertanggungjawab.

"Polis dalam kenyataannya sebelum ini, berkata mereka bukan buat siasatan terpilih, tetapi tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu (hina pemimpin PAS).  Justeru, hari ini kita membuat laporan dan berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menghina pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Alor Setar, petang tadi.

Sebelum ini, beberapa gambar pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dikencing pihak tertentu.

Manakala, gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng turut menjdi sasaran pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memijak dan membakar gambar mereka

Himpunan Hijau Ke Putrajaya

Posted: 10 Sep 2012 04:48 PM PDT


Masalah air di Mentakab, mana rakyat didahulukan

Posted: 10 Sep 2012 04:47 PM PDT


TEMERLOH: Laungan "mana rakyat didahulukan", "mana janji ditepati" bergema dalam perhimpunan aman melibatkan beberapa orang penduduk di bandar Mentakab di sini hari ini berikutan telah lima hari terputus bekalan air paip.
Penduduk mendakwa, gangguan beklaan air tanpa notis itu disebabkan kerja mengorek tanah di pinggir jalan utama oleh kontraktor yang menyebabkan saluran paip pecah tetapi dibiarkan sejak Khamis lalu.

(Gambar: Penduduk berkumpul sambil membawa bekas air di hadapan projek menggali kabel yang didakwa menyebabkan bekalan air paip terputus selama lima hari.)

Akibatnya lebih 10,000 penduduk bandar ini terutama melibatkan taman-taman perumahan terpaksa menghadapi kesukaran menjalani hidup tanpa air.

Antara kawasan yang terbabit ialah Taman Zabidin, Taman Mentakab, Taman Orked, Taman Taha, Taman Damai, Taman KSM, Taman Pasir Rawa, Taman Setia, Taman Sagumpas, sekitar bandar Mentakab dan Jalan Temerloh.

Penduduk dari Taman Zabidin N. Sakuntala, 57, kesal pihak berkuasa terlalu lambat menyelesaikan masalah bekalan air paip sedangkan ia keperluan nombor satu untuk makan minum, membersihkan pakaian dan diri.

"Saya terpaksa pergi ke rumah kakak di Taman Saga (5 kilometer dari rumah) untuk memunggah air siang malam dan ini sangat memenatkan dan membuang masa.

"Air ini keperluan utama untuk hidup sekeluarga jadi bila terputus jadi satu gangguan, ada keluarga yang anak-anak tak boleh sekolah kerana baju tak basuh kerana kami terpaksa menghentikan semua kerja lain kerana kena mencari air untuk dipunggah ke rumah," katanya.

Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang telah diswastakan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada Februari tahun ini. Namun ramai yang merungut meskipun telah bertukar pengurusan taraf perkhidmatannya tetap tidak berubah kerana air sering terputus, saluran paip bawah tanah selalu pecah atau bocor dan pembaikan terlalu lembab.

Siew Yui Seng (kanan) dari Taman Taha yang turut berhimpun berkata, beliau diberitahu masalah disebabkan kerja-kerja menanam kabel baru tetapi kesilapan mengorek tanah berlaku sehingga terkena batang paip lalu pecah.

Beliau telah menemui kontraktor meminta penjelasan, tetapi kontraktor memberi alasan barang gantian kerosakan masih tidak ada.

"Yang hairannya kenapa Paip tak bantu selesaikan sebab air bagi kami betul-betul penting. Kami juga kesal sikap Paip kerana setiap kali dihubungi mereka tak layan atau berdolak-dalik. Sedangkan ini bukan kali pertama berlaku, dah kerap sangat," ujarnya.

Pengusaha Restoran Kari Kepala Ikan Raub yang turut terjejas, Mahendran, 53, (kiri) berkata gangguan air ini tidak ada notis jadi beliau menghadapi kesulitan sehingga terpaksa menyewa lori dan tong besar bagi membeli air paip di tempat cuci kereta.

"Bagi saya yang berniaga kedai makan ini memang susah sangatlah sebab nyawa kedai dan perniagaan saya betul-betul pada air paip. Sejak beberapa hari ini memang pendapatan perniagaan saya terjejas kerana ada masanya terpaksa tutup.

"Yang peliknya dulu-dulu masa belum swasta tidaklah teruk sangat macam sekarang, sekarang ini selalu sangat kerosakan dan terputus bekalan air berlaku," jelasnya.

Seorang lagi penduduk Ramasamy Letchmanan pula kesal dengan wakil rakyat kawasan berkenaan yang tidak mahu turun melihat masalah penduduk walaupun beberapa kali diberitahu.

"Masa mengundi pilihan raya bukan main lagi wakil rakyat cari kami seorang seorang untuk dapat undi. Sekarang apabila tiba masalah seperti ini menimpa penduduk, wakil rakyat langsung tak turun tengok jangankan nak selesai masalah.

"Kalau macam ini bagaimana slogan kerajaan boleh janji ditepati dan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?," soalnya.

Tambahnya, turut terlibat ialah sekolah rendah Tamil Mentakab juga tiada air, sedangkan besok (Selasa) pelajar akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Bagaimana kalau ada yang sakit perut sedangkan air tandas kering?," soalnya.

Antara yang paling teruk menerima kesan ialah rumah pangsa empat tingkat Taman Taha di Mentakab.

Ketua Blok B perumahan berkenaan Masri Samah, 40, (kanan) yang juga turut hadir berkata, ketiadaan air membawa masalah besar kepada yang mempunyai anak-anak kecil dan orang tua.

"Bayangkan anak-anak sekolah baju tak berbasuh dan pakaian bayi yang berlambak-lambak. Pulak tu kerap sangat berlaku masalah air di sini sehingga kadang-kadang makan masa seminggu.

"Bila bil air tak bayar surat merah sampai, cepat-cepat bekalan air dipotong dan bila nak sambung kena bayar RM120. Tapi sekarang apabila bekalan air paip terputus berlarutan lima hari tidak ada pegawai atau orang besar yang nak tengok kami.

"Bila kami telefon pejabat minta hantar lori tangki air mereka kata lori tak cukup," keluhnya.

Menurutnya dalam tempoh terputus bekalan air kali ini ada beliau mendengar lori tangki menghantar air sekali tetapi pada waktu tengah malam dan kebanyakan penduduk sedang tidur.

Majlis Syura: ‘Syaitan dikenali' menangis

Posted: 10 Sep 2012 04:46 PM PDT


KUALA LUMPUR: Tindakan dan kebijaksanaan Majlis Syura Ulamak PAS mengurus perangkap yang dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan semalam dalam isu yang sengaja digembar-gemburkan mengenai Ustaz Nasharudin Mat Isa  benar-benar mengecewakan musuh.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya hari ini berkata tindakan tersebut menyebabkan 'syaitan yang dikenali' menangis manakala 'para malaikat yang tidak dikenali' insya Allah akan gembira.

Ekoran itu, Tuan Ibrahim menasihatkan agar semua ahli dan pimpinan tidak terkena perangkap-perangkap yang dipasang oleh musuh dengan gempuran media mereka.

"Mereka gila mengimpikan Pakatan Rakyat berpecah atau dalaman parti bergolak. Bagi sesebuah parti di ambang ajal, tiada yang lebih menyeronokkan baginya melainkan musuh mereka berpecah.

Dengan objektif sedemikian, mereka memasang pelbagai perangkap bagi memerangkap ahli dan pimpinan agar memasuki jerat yang mereka sengaja pasangkan.

"Alhamdulillah, PAS dengan pengalaman lama dalam politik negara berjaya mengenali mana perangkap yang dipasang itu," kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan agar semua ahli dan pimpinan jangan menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi isu yang sengaja dilontar oleh musuh, kerana musuh kini sangat tidak senang dengan perkembangan dan sokongan rakyat kepada kita kini.

"Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini, dan janganlah keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana musuh," nasihat beliau.

Selain jangan bersangka buruk pada orang lain, Tuan Ibrahim turut menasihatkan agar semua jangan melakukan perkara yang menimbulkan buruk sangka orang lain terhadap diri sendiri.

"Janganlah kemarahan kamu kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu pada musuhmu, kerana kemarahan kepada sahabat kerana kecintaan kamu kepadanya, sedangkan kemarahan kamu kepada musuhmu adalah kerana kemurkaan Allah kepadanya.

"Lantaran itu, menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak  sama kardahnya menghadapi musuh. Perasaan kita turut berubah dan seluruh cita rasa akan berbeza.

"Lantaran itu juga, janganlah kita bergembira di atas dukacita sahabat, dan jangan pula bersedih di atas kegembiraan musuh," tambah beliau.

Blogger Umno berdepan penghakiman engkar

Posted: 10 Sep 2012 04:46 PM PDT


KOTA BHARU: Seorang blogger mesra Umno, Wan Mohamad Shukri Wan Yusof kini berdepan penghakiman engkar apabila tidak hadir pada prosiding kes saman Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad (gambar) terhadapnya.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata ketika prosiding kes berlangsung semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin tiada notis kehadiran dan pernyataan pembelaan difail defendan.

Katanya, disebabkan keengkaran tersebut Mahkamah Tinggi menangguhkan kes terbabit kepada 1 Oktober bagi membolehkan peguam Mohd Apandi memfailkan permohonan penghakiman engkar.

"Pada prosiding semalam defendan tidak hadir dan tiada peguam yang hadir mewakilinya, manakala plaintif diwakili peguam Farah Helmy," katanya di sini.

Defendan dipercayai pemilik blog http://www.kelatekito.net/ memaparkan tulisan bertajuk "YDP PAS Jeli samun tanah rakyat" yang diterbitkan pada 8 November 2011.

Blogger terbabit juga menulis "terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman, kelatekito.net mendapati Yang Dipertua Pas Jeli telah mendapat tanah seluas 362.75 ekar di mukim Kuala Pahi, Kuala Krai untuk dibahagikan dengan empat lagi sahabatnya."

Mohd Apandi dalam writ samannya menyebut tulisan tersebut tidak benar sama sekali yang bertujuan memburuk-burukkannya sebagai pimpinan PAS.

Katanya, tulisan itu juga dengan maksud menuduh plaintif sebagai seorang yang tamak, tidak jujur dan menipu rakyat.

Ekoran itu plaintif melalui peguamcara mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut dipadamkan artikel terbabit serta memohon maaf secara terbuka.

Selain itu membayar gantirugi yang amat minimal kepada plaintif, namun defendan enggan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Mohd Apandi menuntut defendan mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Blogger terbabit juga dituntut membayar gantirugi sebanyak RM1 juta kepada plaintif bagi perbuatan fitnah yang disiarkan dalam ruangan blog defendan.

Turut dituntut gantirugi teladan, gantirugi melampau, gantirugi punitif dan injunksi menghalang defendan atau ejen menerbit kenyataan-kenyataan atau perkataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Defendan beralamat di 876, Kampung Jelutong, Kota Bharu, Kelantan.

Sabotaj parti: Pemimpin tertinggi Umno cemas

Posted: 10 Sep 2012 04:45 PM PDT


KUALA LUMPUR: "Jika begitu tegasnya nada kenyataan Tan Sri Muhyiddin, ini bererti Umno dan BN berada dalam keadaan gawat dan tenat," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar).
Katanya, disiplin dan akhlak ahli Umno dan parti komponen BN dianggap begitu teruk sehingga terpaksa diberi amaran dalam ruang media yang terbuka.

Baru-baru ini Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tegas menggesa anggota Umno dan BN yang cuba mensabotaj calon serta parti dalam pilihan raya disingkirkan.

Kenyataan beliau disambut pula oleh pemimpin lainnya yang menyokong kenyataan tersebut.

Riduan berkata, gelombang yang begitu menggelora sedang membadai dalaman mereka sehingga terpaksa pemimpin tertingginya memberi amaran keras untuk menenangkan keadaan.

Katanya, kenyataan Muhyiddin menunjukkan bahawa Umno sudah lari jauh dari matlamat asal perjuangan mereka.

Baginya, agenda membela bangsa adalah kata-kata manis yang lahir dari lidah mereka sahaja, sedangkan hati mereka tiada niat untuk membela nasib rakyat.

Menurutnya lagi, mereka lebih bernafsu untuk memikirkan diri mereka sendiri.

Tambahnya, tindakan mereka dizahirkan dengan sanggup 'mengalahkan' calon dan parti mereka sendiri dalam PRU13 jika mereka atau orang pilihan mereka tidak terpilih bertanding.

"Sebegitu rapuh dan murahnya 'aqidah' perjuangan mereka terhadap parti sendiri, tidak terbayangkan bagaimana kelak pemimpin seperti ini sanggup mengharungi kesusahan bersama rakyat semata-mata mahu membela nasib rakyat lebih dari diri mereka sendiri," katanya.

Dalam keadaan sekarang, ujar Riduan apakah masih ada sekelumit hati pemimpin Umno merasakan menjadi wakil rakyat sebagai suatu amanah yang perlu ditunaikan dengan baik dan memberikan khidmat kepada masyarakat terutama pengundi sebagai suatu keutamaan.

Beliau mempersoalkan, mungkinkah ada kalangan mereka merasakan amanah yang dipikul itu akan menjadi suatu bebanan dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak.

Sebaliknya, kata beliau mungkin mereka merasa menjadi Yang Berhormat atau menteri adalah suatu kemuliaan dan juga peluang untuk membolot kemewahan dunia sebanyaknya tanpa memikirkan nasib rakyat yang mereka wakili.

"Saya ingin mengajak rakyat menilai kembali sokongan mereka kepada Umno. Parti seperti ini tidak boleh disokong kerana mereka sendiri sanggup menjual beli parti mereka sendiri hanya kerana kepentingan diri mereka.

"Zahirnya nampak kuat, namun dalamannya amat rapuh dan lemah. Parti seperti ini boleh rebah bila-bila masa sahaja," ujarnya lagi.

Katanya, kenyataan Muhyiddin pula akan menguji diri beliau jika ia benar-benar terjadi ke atasnya.

"Sesetia itukah Muhyiddin terhadap partinya sendiri atau beliau turut akan sama mensabotaj dan akan disingkir jika tidak terpilih sebagai calon PRU13?" tanya beliau.

Tiada ulasan:

Pengikut