Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Ceramah Perang Badar di Padang Majlis Daerah Ketereh 06.08.2012
- Tadarus Al-Quran dan Penyampaian Elaun Guru Pasti Kelantan @ PUTIK
- Selepas zalimi pelajar, Umno tabur pula fitnah
- 4 cendekiawan Yaman kunjungi Presiden PAS
- Saya sokong Islam - Farah Asyikin
- Malaysia perlu lahir 100 pemain macam Chong Wei
- P Pinang naik bantuan miskin tegar ke RM600
- Noryn Aziz pula berhijrah
- Bekas Pengarah Peladang Perak sertai PAS
Ceramah Perang Badar di Padang Majlis Daerah Ketereh 06.08.2012 Posted: 06 Aug 2012 04:56 PM PDT |
Tadarus Al-Quran dan Penyampaian Elaun Guru Pasti Kelantan @ PUTIK Posted: 06 Aug 2012 04:54 PM PDT |
Selepas zalimi pelajar, Umno tabur pula fitnah Posted: 06 Aug 2012 04:37 PM PDT (Nasrudin dengan ditemani Mohd Nor memberikan sumbangan) KUALA TERENGGANU: Setelah menamatkan pinjaman sembilan orang mahasiswa Mesir dengan zalim, Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu didakwa menabur fitnah dan mengelirukan rakyat. Pada 18 Mac, sebuah akhbar tempatan melaporkan kerajaan Negeri membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada enam mahasiswa lelaki yang 'kononnya' didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi. Keenam-enam mahasiswa yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu dijatuhkan hukuman bersalah hanya kerana beberapa keping gambar memakai baju Bersih, 'tanpa dipanggil untuk dibicarakan dan diberi peluang untuk membela diri'. Tindakan menghukum pelajar tersebut ekoran perisytiharan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengharam kan Bersih. Sebaliknya mahkamah pada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai sebuah pertubuhan haram. Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu tidak masuk akal kerana setelah menggelarkan gabungan itu sebagai pertubuhan haram pada 1 Julai tahun lalu, kemudiannya membiarkan pertubuhan itu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai tahun sama. Justeru sepatutnya penamatan pinjaman yang diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu 'terbatal' kerana demonstrasi BERSIH adalah tidak salah di sisi undang-undang. Sehubungan itu, pada 30 Julai lalu, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah telah menggesa Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said, Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu supaya menyambung semula pinjaman pelajaran yang telah ditamatkan ke atas sembilan orang mahasiswa yang sedang menuntut di negara Mesir Beliau berkata, keputusan kerajaan menamatkan pinjaman tersebut adalah berdasarkan gambar yang menunjukkan mahasiswa itu terbabit dengan Himpunan Aman Bersih yang dituduh sebagai 'haram dan kotor'. Namun begitu, Umno-BN Terengganu telah 'menangguk di air yang keruh' dengan mempolitikkan tindakan salah seorang mahasiswa, Muhamad Hasyim yang membuat rayuan bagi mendapatkan semula hak beliau yang telah dinafikan Yayasan Terengganu. Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) dalam kenyaataannya semalam telah melahirkan sekali lagi rasa simpati kepada sembilan mahasiswa yang menjadi mangsa penamatan pinjaman oleh Yayasan Terengganu itu. Sejak dari awal kes penamatan pinjaman tersebut, PAS berusaha pelbagai cara bagi mengembali kan hak mahasiswa terbabit untuk melanjutkan pelajaran. Menurut Setiausaha DPPNT, Zaidan Abdullah, PAS tidak pernah menghalang mana-mana dari sembilan mahasiswa tersebut untuk membuat rayuan kepada pihak yang menamatkan pinjaman itu. [Gambar - beberapa majlis yang diadakan oleh DPPNT menyampaikan sumbangan kepada bapa pelajar mangsa kezaliman Umno-BN Terengganu yang diadakan sejak program Pintas Pemuda di Manir pada Mac 2012] Bahkan kata Zaidan, dalam beberapa perjumpaan dan pemberian sumbangan kepada bapa mahasiswa yang menjadi mangsa kezaliman Umno-BN Terengganu, bapa Muhamad Hasyim, Che Ngah telah memaklumkan bahawa beliau akan meminta anaknya membuat rayuan. Bayangkanlah, dimanakah seorang bapa seperti Che Ngah berupaya mendapatkan baki lebih RM100,000 bagi mengongkosi perbelanjaan Muhamad Hasyim yang menuntut dalam jurusan perubatan. Menurut laporan, sebanyak RM170,000 daripada RM RM301,144 telah dibelanjakan bagi Muhamad Hasyim menamatkan pengajian perubatannya. Namun begitu, tanpa rasa kemanusiaan dan belas kasihan, Umno-BN memanipulasikan perjumpaan Muhamad Hasyim Che Ngah dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada 3 Ogos lalu. Akhbar-akhbar dan media Umno-BN tidak segan silu menjadikan 'kesukaran dan kepayahan' Muhamad Hasyim sebagai modal politik menyokong tindakan zalim Umno-BN. Tidak cukup sekadar itu, secepat kilat pula 'blog-blog' upahan Umno-BN membuat fitnah, kononnya PAS tidak menyampaikan derma sumbangan orang ramai kepada mahasiswa terbabit. Sedangkan menurut Zaidan, sumbangan sebanyak RM3,500 kepada setiap mahasiswa telah pun diserahkan melalui keluarga masing-masing secara berperingkat. "Muhamad Hasyim tidak tahu, ayahnya Che Ngah tidak memberitahu beliau kerana Muhamad Hasyim berada di Mesir,"kata Zaidan. Menurutnya, DPPNT masih terus berusaha bagi mendapatkan sumbangan pelbagai pihak bagi disalurkan kepada pelajar-pelajar terbabit. InsyaAllah, di hujung Ramadhan ini sebanyak RM1000 lagi akan diserahkan bagi meringankan beban mereka. Justeru, katanya, sumbangan terhadap pelajar terbabit boleh dilakukan melalui akaun MAYBANK ISLAMIC bernombor 5630 6411 3873 atas nama DANA TA'AWUN DPPNT. |
4 cendekiawan Yaman kunjungi Presiden PAS Posted: 06 Aug 2012 04:37 PM PDT [Gambar dari kiri; Dr. Ahmad Hassan, Dr. Amin al-Muqbil, Dr. Mutahhar Ahmad dan Yasser Abduh Saleh. Paling kanan Presiden PAS, melayani para tetamu dari negara Yaman itu] MARANG: Empat cendekiawan dari negara Yaman mengunjungi Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya, di Rusila dekat sini petang Sabtu 4 Ogos bersamaan 15 Ramadhan. Mereka adalah As-Syeikh Dr. Amin Ali Muqbil al-Masyri, As-Syeikh Dr. Ahmad Hassan Soleh al-Faqeh, As-Syeikh Dr. Mutahhar Ahmad Muhammad Mahmud dan Yasser Abduh Saleh Abdul Rabb dari dua buah universiti terkemuka negara Yaman. Dr. Amin Ali adalah Dekan Kuliah Syari'ah Universiti Al-Iman yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang Fiqh Perbandingan. Dr. Ahmad Hassan adalah Pembantu Timbalan Rektor (Presiden) Universiti Al-Iman Shu'un 'Ilmi yang mempunyai Ijazah kedotoran dalam bidangTafsir Manakala Dr. Mutahhar Ahmad merupakan Ketua Lembaga Akademik Universiti Al-Iman yang mempunyai kepakaran dalam bidang Hadith dan Syeikh Yasser Abduh Saleh Abdul Rabb memiliki Master dalam bidang Fiqh Islami. Buletinonline di maklumkan para ulama Yaman tersebut menziarahi Ustaz Hadi dalam rangka lawatan kerja mereka ke negara ini di bawah anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Yaman. Mereka yang telah berada di tanah air sejak pertengahan Julai sebelum ini menyampaikan beberapa kuliah di Masjid Wilayah Persekutuan dan Universiti Islam Antarabangsa. Antara tajuk-tajuk yang dibentangkan oleh ke empat-empat ulamak Yaman tersebut dalam program Dawrah dan Ziyarah 2012 bermula 17 hingga 27 Julai lalu ialah kuliah hadith dan syarah kitab Matan al-Arba'in, Siyasah Syar'iyah; Syura, Demokrasi & Oligarki serta Adab pemerintah Ahlus Sunnah terhadap rakyat. |
Saya sokong Islam - Farah Asyikin Posted: 06 Aug 2012 04:36 PM PDT GOMBAK: Sejak akhir-akhir ini kisah penghijrahan artis menjadi topik hangat di kalangan masyarakat. Hal ini kerana, hampir setiap bulan timbulnya kisah-kisah artis yang melakukan penghijrahan ini. Bagaimanapun, penghjirahan artis pada hari ini disalahertikan oleh sesetengah pihak apabila mula memberi persepsi, mereka cenderung ke arah parti politik. Sehinggakan, soalan yang pertama diajukan kepada artis yang pernah merangkul anugerah Artis Wanita Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008, Farah Asyikin (gambar), "sokong apa?" apabila melihat beliau sudah berhijab. Farah Asyikin yang mendapat hidayah di usia yang masih muda, 33, pantas menjawab "saya sokong Islam" apabila diajukan soalan sedemikian. "Cukuplah saya katakan saya sokong Islam, saya tolak 100 peratus yang tidak sokong Islam," katanya dalam wacana Hiburan Anak Muda di Seminar Prof Zulkifli Mohammad Membangun Negara Berkebajikan, KUIZM Taman Melewar semalam. Farah yang pertama kali menyertai progam anjuran PAS pada hari itu begitu teruja dan tidak menolak akan memenuhi pogram-program seperti itu lagi selepas ini. Ketika ditanya, tidakkah Farah bimbang dengan penghijrahanya itu akan mengundang persepsi beliau pula menyokong PAS? "Mereka yang nak 'join' parti, terpulang pada mereka, paling kurang parti yang baik. Itu kehendak mereka. Hak individu. Nak cakap lebih-lebih pun tak boleh, saya masih baru. Bagi saya, saya suka Islam,"ujarnya pula ketika ditemui di akhir program itu. Bagaimanapun, beliau dengan rasa rendah diri mengakui masih bertatih dan sedang memperkukuhkan penghijrahannya dengan menimba ilmu-ilmu keagamaan daripada beberapa ustaz terkenal termasuklah Azhar Idrus. Detik-detik penghijrahan Menceritakan detik-detik bagaimana beliau memilih destinasi sebagaimana hari ini ianya memberi pengalaman dan pengajaran yang mungkin tidak akan dilupakan sampai bila-bila. 11 tahun keluar masuk dalam dunia hiburan bermula di awal usia 19 tahun Farah tidak pernah terfikir kesan baik buruk penglibatannya dalam dunia hiburan. Rupa-rupanya, Farah baru menyedari apabila mula terlibat dalam dunia hiburan bukan banyak ke arah kebaikan sebaliknya ia banyak melalaikan dan menghanyutkan dirinya. "Walaupun, Farah mempunyai latar belakang keluarga yang kukuh ajaran Islam tetapi terabai juga," katanya. Malah beliau pernah diboikot di kalangan rakan artis apabila beliau bersolat dan melambat-lambatkan 'make-up' ketika pertandingan Malaysian Idol musim ke-2. Tanggal 12.2.2012 satu tarikh yang masih tersemat di dalam jiwa Farah apabila beliau seperti diberi 'magic' dari Allah SWT. "Waktu itu saya tengah memandu, di cemin depan saya nampak imbasan dan balasan-balasan dosa lampau yang cukup menginsafkan. Gambaran itu datang sepintas lalu. "Saya mula mengigil dan menangis. Saya ingat saya nak mati, pada masa itu juga saya minta ampun daripada Allah supaya memberi peluang untuk saya betulkan iman dalam jiwa saya. Akhirnya saya nekad melakukan taubat nasuha," ujarnya dengan linangan air mata. Peristiwa itu tidak berhenti disitu, beliau diuji lagi dengan kebesaran dan kekuasaan Allah apabila ketika mula menadah tangan memohon keampunan hujan selebat-lebatnya turun, tetapi berhenti sebaik sahaja beliau mengaminkan doa. "Saya menangis ketakutan ketika menunaikan solat sunat taubat. Takut dengan azab Allah dan diri sendiri yang hina, kerdil di sisi Allah. Betapa selama 33 tahun saya tidak menjalani kehidupan yang sebenar dituntut Islam," katanya. Sebelum kejadian itu, beliau sudah mendapat petanda dan membuatkan beliau tertanya-tanya apa akan terjadi padanya, adakah sudah sampai ajalnya. Farah turut melihat gambaran beliau berada di dalam api yang marak dan rambutnya dibakar di cermin, ketika beliau hendak menyarungkan 'skirt' pendek untuk menghadiri satu majlis. Bagaimanapun, Farah bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana diberi hidayah sewaktu usia muda. Kurniaan itu boleh umpama perkara ajaib yang membuatkan hidupnya begitu tenang. "Saya juga tak menyesal korbankan apa saja milik saya di dunia kepada Maha Pencipta. Saya yakin bahawa pengorbanan yang tak seberapa itu pasti dibalas dengan rezeki berlipat kali ganda," katanya. Kini, beliau bergelar guru perbahasan dan drama di Sekolah Sri Cempaka, Bukit Damansara Kuala Lumpur sejak 17 Mac lalu adalah satu tanggungjawab baru buat dirinya. Penyanyi lagu 'Berpisah Untuk Setia' ini juga cukup teruja bercerita tentang keletah anak murid yang semakin manja dengannya setelah mengetahui dia adalah penyanyi tempatan. |
Malaysia perlu lahir 100 pemain macam Chong Wei Posted: 06 Aug 2012 04:35 PM PDT KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah kepada pemain badminton perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei atas perjuangan yang ditunjukkan beliau untuk mengharumkan nama negara di temasya Sukan Olimpik 2012. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi menyatakan perjuangan yang ditunjukkan oleh Lee Chong Wei malam tadi merupakan satu pengorbanan besar. "Tahniah kepada Lee Chong Wei atas perlawanan yang ditunjukkan malam tadi. "Terima kasih pengorbanan beliau demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia terutamanya peringkat Olimpik dalam mengejar pingat emas pertama negara," jelasnya. Malah menurut beliau lagi, Malaysia perlu melahirkan seratus orang seperti Lee Chong Wei dalam masa 10 tahun dari sekarang demi mengembalikan kecermelangan Malaysia di dalam arena badminton. "Dalam masa sepuluh tahun yang akan datang mulai sekarang, Malaysia perlu melahirkan seratus orang pemain badminton yang berbakat seperti Lee Chong Wei. "Ini adalah satu usaha untuk kita terus mengekal kecemerlangan dalam arena badminton serta menghapuskan kemarau pingat emas di persada sukan bertaraf antarabangsa," sambung beliau lagi. Beliau menyatakan harapan tersebut apabila melihat kenyataan persaraan yang telah dinyatakan oleh pemain utama perseorangan negara itu. Sementara itu, Lee Chong Wei telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menghadiahkan pingat emas buat kali kedua setelah kalah kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dalam masa 79 minit malam tadi. Pada Olimpik 2008 di Beijing, China, Chong Wei juga tewas kepada Lin Dan bagi merebut pingat emas. Beliau dalam satu kenyataan menyatakan tiada siapa tahu penderitaan dan pengorbanannya beraksi di Arena Wembley terutama selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya semasa Piala Thomas pada Mei lepas. Beliau berkata Sukan Komanwel di Glassgow, Scotland pada 2014 mungkin menjadi temasya terakhirnya. Malah menyifatkan umurnya sudah 30 tahun sudah tua baginya untuk menghadapi Olimpik Brazil empat tahun akan datang. |
P Pinang naik bantuan miskin tegar ke RM600 Posted: 06 Aug 2012 04:34 PM PDT (Lim Guan Eng menyerahkan bantuan kepada seorang waris warga emas) TASEK GELUGOR: Kerajaan negeri Pulau Pinang menaikkan paras miskin tegar di negeri itu ke RM600 berbanding RM500 sebelum ini. Dengan paras baru ini, kerajaan negeri akan menampung kewangan keluarga berkenaan sehinggalah menjadi RM600 bagi mengeluarkan mereka dari miskin tegar berbanding RM500 sebelum ini. "Contohnya keluarga yang mempunyai isi rumah berpendapatan RM400 sebulan, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memberikan RM200 lagi sebagai tambahan untuk mengeluarkan mereka daripada paras kemiskinan tegar. "Mana ada Kerajaan Barisan Nasional (BN) buat bantu melainkan mengaut memenuhi kantong mereka sendiri, " kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal Daerah Seberang Perai Utara di Dewan Besar Sungai Dua baru-baru ini. Turut hadir dalam program itu tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh, Adun Bagan Dalam, Tanasekharan, Pegawai Daerah SPU,Haji Jasni Haji Ismail dan semua penyelaras Dun peringkat Seberang Perai Utara. Dalam ucapannya juga, Lim Guan Eng mempersoalkan apa makna kemerdekaan Malaysia sedangkan rakyat hidup sengsara dicengkam kemiskinan dalam sebuah negara yang kaya hasil buminya. Menurut beliau, Malaysia sebuah negara yang kaya tidak sepatutnya mempunyai ramai rakyat miskin terutamanya negeri Trengganu yang penuh dengan minyak dan Sarawak yang banyak kayu kayan yang bermutu tinggi. "Apa maknanya sambutan kemerdekaan bagi rakyat walhal mereka tetap hidup melarat, senggsara dan berada di paras kemiskinan setiap masa sedangkan Malaysia mempunyai kekayaan yang melimpah ruah. Sebagai rakyat mereka patut sedar di mana perginya keuntungan hasil keluaran harta negara, " tegasnya. Justeru itu, untuk mengatasi masalah terbut Pulau Pinang berjaya sebagai negeri pertama melaksanakan Program Miskin Tegar demi menyelamatkan golongan yang selama ini berada di paras terlalu miskin. Kerajaan Pakatan Rakyat ada beberapa cadangan lagi untuk membebaskan rakyat yang selama ini miskin tidak dapat merasai kenikmatan hidup berada dalam sebuah negara maju dan kaya namun cadangan tersebut akan diumumkan tidak lama lagi. Sewajarnya sambutan kemerdekaan yang ke 55 turut dikongsi bersama rakyat bukan terus menindas dengan pelbagai akta, harga barangan, petrolium dan sebagainya. Bahkan sampai saat ini sambungnya, Kerajaan Persekutuan masih belum memberikan bantuan kepada Kerajaan Negeri hasil kememangan rakyat pada 2008 sebaliknya menyalurkan kepada wakil Kerajaan Pusat yang ada di negeri ini. Akibatnya, wujud penyalahgunaan kuasa, projek kroni dan seumpamanya. Yang mana akhirnya menjahamkan negara sendiri. "Saya akui amat susah jika tiada bantuan dari Kerajaan Persekutuan untuk memajukan pembangunan. Tetapi nak buat macamana Kerajaan Persekutuan tidak berikan. "Maka, sebab itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kena cari alterenatif lain untuk memajukan negeri dan meningkatkan sosio ekonomi rakyat agar jauh dari jurang antara kaya dan miskin, " katanya. |
Posted: 06 Aug 2012 04:34 PM PDT KOTA BHARU: Artis jelita berlesung pipit, Noryn Aziz memeriahkan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2012. (Noryn dengan Datin Tuan Sabariah) Majlis berkenaan diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, pagi semalam. Noryn yang hadir bersama suami, Raja Datuk Kamarul Bahrin Ahmad Shah, menjadi tumpuan tetamu jemputan serta penerima sumbangan aidilfitri anjuran Badan Kebajikan Isteri Wakilrakyat dan kakitantan kerajaan Kelantan (Purnama). Sebanyak RM20,000 peruntukkan dikeluarkan untuk membiayai sumbangan kepada 445 golongan dhaif, armalah, anak yatim di 45 Dun seluruh Kelantan. Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Purnama yang juga isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan isteri-isteri wakil rakyat di peringkat Dun. Hadir sama isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid, serta isteri-isteri anggota exco kerajaan negeri. Tuan Sabariah ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan wanita khususnya memperbanyakkan amalan baik sepanjang Ramadhan ini. Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak leka dengan urusan dunia seperti menyiapkan keperluan berbuka puasa atau hari raya sedangkan lupa tanggungjawab sebenar. "Apa yang penting kita tidak berbelanja boros,"ujarnya. Kagum dengan Tok Guru (Bergambar kenangan dengan AJK Purnama) Sementara itu, Noryn ketika ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa terkejut kerana beliau diundang oleh isteri wakilrakyat dari Kelantan. "Memang Noryn terkejut dan tak sangka, lepas tu tanya pendapat suami, Alhamdulillah dia setuju menerima jemputan ini. "Lagipun Noryn memang kagum dengan Tok Guru Nik Aziz, antara salah satu sebab Noryn berhijrah kerana membaca buku agama tulisan Tok Guru, iaitu berkaitan hidayah,"ujarnya. Terdahulu ketika berucap pada malis itu, beliau menyeru masyarakat di negara ini seluruhnya supaya mendoakan 'penghijrahannya'. "Noryn lakukan ini untuk kebaikan diri Noryn sendiri, suami dan keluarga,"ujarnya. |
Bekas Pengarah Peladang Perak sertai PAS Posted: 06 Aug 2012 04:33 PM PDT TELUK INTAN: PAS menerima seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan apabila bekas Pengarah Peladang Perak, Azhar Yunus mengisytiharkan menyertai parti itu semalam. Pengisytiharan tersebut diadakan di majlis Ceramah Badar Kubra Peringkat Negeri Perak yang dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Kg Bahagia, Teluk Intan. [Gambar: Azhar (dua dari kiri) bersama Mohamad dan pemimpin PAS Perak.] Beliau telah menjawat jawatan dalam kerajaan lebih 30 tahun dan kerap ditukarkan tempat berkhidmat. Anak jati Teluk Intan itu juga pernah menjadi Pengarah Peladang di Negeri Sembilan dan Pahang. Menurutnya, kemasukannya ke dalam PAS adalah kesedaran diri dan merasakan sudah tidak lagi dalam 'kongkongan' kerajaan. "Kami pegawai kerajaan seolah-olah bayi yang dibedong kerana tidak bebas untuk memilih dan bergiat aktif dalam mana-mana parti serta pergerakan kami sentiasa diawasi," katanya dalam ucapan sulungnya di atas pentas PAS. Katanya, ketika menjawat jawatan kerajaan, perkara serta masalah ketara yang dihadapi oleh pemimpin BN ialah membezakan kerajaan dan parti. Ujarnya, mereka beranggapan kerajaan itu ialah BN dan ini menyebabkan pentadbiran kerajaan dikuasai oleh pemimpin mereka. Mengulas lanjut, Azhar berkata, beliau pernah berkhidmat bersama kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sempat memerintah 11 bulan dahulu dan merasakan kelainan serta kelebihan gabungan parti itu berbanding kerajaan BN. "Sepanjang saya menjawat jawatan sebagai pengarah, belum pernah lagi solat berjemaah selepas perasmian Ekspo Peladang dan ini telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin. "Saya merasakan kelainannya dan sangat gembira serta bersemangat apabila bekerja di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat," jelasnya. Katanya, hasrat kerajaan BN untuk 'membirukan' semua kakitangan kerajaan ternyata gagal apabila nama-nama besar telah memilih untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat. "Mereka yang masuk PAS semuanya berpelajaran tinggi, mereka dapat menilai mana yang baik dan berintegriti dan sudah pasti BN bukan pilihannya," ujarnya. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menerima undangan berceramah di seluruh negara bagi memenangkan Pakatan Rakyat. "Saya akan bersama-sama membantu dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan