Khamis, 2 Ogos 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ tema Merdeka Pakatan

Posted: 01 Aug 2012 04:44 PM PDT

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk memilih tema 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-55 menggantikan tema 'Janji Ditepati' oleh kerajaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana di sini hari ini.

"Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus.

"Kami rumus dan ranumkan sehingga kami memilih "Sebangsa, Senegara, Sejiwa," kata Pak Samad yang juga Sasterawan Negara.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ahli Jawatamnkuasa Bersih, Dr Toh Kin Woon dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Eksekutif  Women's Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah dan bekas Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun

Menurut Pak Samad, tema itu menurutnya diambil daripada cadangan yang diilhamkan Alhaimi Adam yang diterima daripada jawatankuasa itu melalui emel bersama 250 cadangan lain.

Ditanya sama ada tema baru itu akan dicadangkan kepada kerajaan, Pak Samad berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengambil tema baru itu atau sebaliknya.

"Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat," ujarnya.

Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Ianya juga jauh berbeza dengan tema Janji Ditepati yang lebih mirip kempen politik Umno BN.

"Kita turut cadangkan logo dan lagu mesti serasi dan selari dengan tema yang dicadangkan. Kami akan hantar secara rasmi kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Pemuda PAS cabar agihan wang ehsan diaudit

Posted: 01 Aug 2012 04:43 PM PDT


KOTA BHARU: Jika benar wang ehsan yang diagihkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) adil, Pemuda PAS Kelantan mencabar agar ia diaudit dan dibentangkan kepada rakyat.

Demikian kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Bendahari Pemuda UMNO Kelantan, Datuk Bazlan Baharuddin yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari semalam.

Bazlan dalam kenyataan tersebut menyifatkan bahawa PAS hanya berlakon membela rakyat dalam isu tuntutan royalti minyak.

Menurutnya, tujuan kerajaan Pusat menukar wang royalti tersebut kepada wang ehsan dan tidak disalurkan melalui kerajaan negeri ialah kerana tidak mahu ia diagih secara tidak adil oleh kerajaan negeri.

"Saya menyifattkan kenyataan Bazlan ini sebagai satu kenyataan yang sangat mengarut dan tidak benar apabila mempertahankan langkah kerajaan pusat mengubah royalti menjadi wang ehsan hanya semata-mata kerana bimbang ia tidak dapat diagihkan dengan adil.


"Sedarkah Bazlan bahawa pembahagian yang dilakukan oleh kerajaan Pusat itulah yang tidak adil?" soal beliau.

Hakikatnya, kata Latif, pembahagian wang ehsan ini tidak pernah diaudit dengan telus.
Juteru, jika Bazlan mendakwa bahawa wang ehsan yang diagihkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) adil, beliau mencabar agar ia diaudit dan dibentangkan kepada rakyat.

Abdul Latif mengingatkan bahawa perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas itu adalah perjanjian untuk mengeluarkan lima peratus wang royalti minyak kepada negeri dan wang itu pula sepatutnya diserahkan kepada kerajaan negeri tersebut untuk diurus tadbir dan dimasukkan dalam Wang Disatukan.

Ia menjadi hak kerajaan dan rakyat negeri secara undang-undang, katanya.

Inilah juga yang ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang sendiri, Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah, tambah Abdul Latif.

Bazlan, kata beliau, sepatutnya menyedari bahawa di negeri-negeri yang diperintah oleh UMNO dan Barisan Nasional, tahap kemiskinan masih teruk sekalipun menerima wang royalti minyak.

Inilah yang berlaku di Sabah dan Sarawak yang jauh lebih terkebelakang berbanding Kelantan.

"Adakah ini bukti kebijaksanaan kerajaan Barisan Nasional menguruskan duit?" soalnya.

Justeru, beliau mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Bazlan.

"Pada saya, beliau tidak layak bercakap tentang membela nasib rakyat Kelantan," katanya.

Adalah lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada mempertahankan kerusi Ketua Pemuda UMNO Gua Musang yang diperolehinya secara kontroversi empat tahun yang lepas di samping belajar menghormati tokoh pemimpin yang lebih senior di Gua Musang sendiri iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah, tambahnya.

Umno peralat anak sebar buku politik di sekolah

Posted: 01 Aug 2012 04:42 PM PDT


KOTA BHARU: Umno dianggap sudah kehabisan ikhtiar apabila dikatakan menggunakan anak bagi menyebarkan buku-buku berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno di sekolah.

Buku kartun bertajuk "Dari PM Untuk Rakyat" terbitan Gerakan Anak Muda Malaysia dan "Transformasi Najib" tulisan Akmar Hisham Mokhles diedar di sekolah di parlimen Kota Bharu menjelang Ramadan lalu.

Seorang bapa yang enggan dikenali mendakwa anaknya diberi tiga buku berkaitan Perdana Menteri dan Umno oleh seorang rakannya.

"Anak saya beritahu rakannya itu membawa banyak buku mengenai Najib yang diberi kepada rakan-rakan di dalam kelas.

"Pada awalnya anak saya tidak mahu ambil kerana takut dimarahi saya dan ibunya. Namun dia ambil juga dan terus memberi kepada saya setelah sampai di rumah," katanya di sini.

Menurutnya buku Dari PM Untuk Rakyat 20 halaman menceritakan dalam bentuk lakaran kartun mengenai program-program yang dilaksanakan kerajaan BN di bawah Najib.

Antaranya BRIM, bantuan persekolahan, rumah pertama, Saham Amanah 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat dan pelbagai lagi.

Manakala buku Transformasi Najib mengisahkan kehidupan Perdana Menteri sejak dari kecil sehingga kedudukan sekarang.

Persoalannya kata beliau mengapa budak sekolah rendah diperalatkan bagi mengedarkan buku-buku kartun mengenai Najib.

"Kalau hendak dikatakan buku itu diedar tanpa pengetahuan bapanya, mengapa pula kuantitinya banyak, seolah-olah seperti disengajakan.

"Mungkin pihak sekolah dan guru tidak sedar perkara itu. Namun sekolah terbabit sedia dimaklumi sering dikunjungi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Che Salleh.

"Kalau buku mengenai pemimpin kerajaan negeri diedar di sekolah mungkin telah lama geger. Namun pengedaran buku berkaitan Umno hanya dipandang sebelah mata sahaja oleh pihak sekolah," ujarnya

Sambutan 25 tahun, Harakah anjur Karnival Futsal

Posted: 01 Aug 2012 04:42 PM PDT

KUALA LUMPUR: Akhbar rasmi PAS, Harakah akan menganjurkan Karnival Kejohanan Futsal sempena 'Sambutan Ulang Tahun ke-25 Tahun Harakah' tahun ini.

Menurut Pengarah Karnival Futsal Harakah, Mohd Rashidi Hassan, kejohanan futsal itu akan diadakan pada 22 September ini bertempat di Ampang Sports Planet.

"Kita mensasarkan penyertaan sebayak 64 pasukan. Kejohanan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berminat menyertainya," katanya.

Pihak Harakah menyediakan hadiah berupa wang tunai RM3,000 kepada johan beserta piala pusingan, piala iringan dan medal, sementara naib johan akan menerima RM2,000 beserta medal selain tempat ketiga akan menerima RM1,500 beserta medal.

Selain itu penganjur juga menyediakan hadiah piala iringan kepada pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak kejohanan.

Mohd Rashidi berkata, Harakah berbesar hati menjemput seluruh pasukan futsal yang ada di negara ini untuk menyertai kejohanan yang julung kali diadakan sempena sambutan ulang tahun Harakah ke-25.

Program ini juga bakal diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh pemimpin muda dan artis.

Untuk pasukan-pasukan yang berminat menyertai kejohanan ini boleh menghubungi Timbalan Pengarah, Wan Nordin (017-2591429) dan Setiausaha, Mohd Faisal Tawang (016-6894322) atau Bendahari, Fauzi (012-6869236).Yuran penyertaan RM150 satu pasukan.

Tiada ulasan:

Pengikut