Ahad, 12 Ogos 2012

BLOG - BLOG PARTI PKR

BLOG - BLOG PARTI PKR


Anwar Ibrahim

Posted: 11 Aug 2012 07:06 PM PDT

Anwar Ibrahim


Umno Kempen Seolah Pelampau Agama

Posted: 11 Aug 2012 11:39 AM PDT

Harakah

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan, laporan muka depan akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa haram mengundi DAP umpama kempen pelampau agama untuk mengekalkan kedudukannya.

“Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.  

“Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar,” kata Ketua Penerangan PKR, Dr Mohamad Nor Manuty.

Bagi beliau, adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, Umno terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung.  

“Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas,” katanya.

Akibat dari pendekatan ini kata Mohamad Nor (gambar), perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang.

“Apakah agenda tersembunyi Umno dengan sengaja menimbulkan polemik ini?” soal beliau.  

PKR berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah Umno telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.

“Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan,” katanya.

Katanya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, semua pihak dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tuan Guru Haji Abdullah Sa'mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.

PKR, kata Mohamad Nor, berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.

Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami  mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Sebenarnya, kata beliau, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari'ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi'),

Sheikh Rashid Ghanoushi  (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.  

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi.

Justeru, katanya, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi.

Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul "Muwatinun La Zimmiyyun" (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini, kata beliau lagi.

Shaikh Taha Jabir al-'Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.  

“Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan – kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta'min – memang dicipta oleh para 'ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang,” katanya.

Lebih menarik lagi, jelas Mohamad Nor, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun).

Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun), katanya.

Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.  

Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir, jelas beliau.

Adalah jelas, cara Umno menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa'mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa.

Tarif Air Naik 70 Peratus Jika Umno Dapat Rampas Selangor

Posted: 11 Aug 2012 03:03 AM PDT

KeadilanDaily

Jika Umno BN memenangi semula Selangor pada pilihan raya umum ke-13, tarif air di negeri itu akan meningkat sehingga 70 peratus, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya dah tengok perjanjian. Inilah syarat yang dibuat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)," katanya dalam ceramah di Dataran Kak Yam, Kampung Sekolah Lenggong, Perak malam tadi.

Menyentuh polemik air di Selangor yang dimulakan proksi Umno BN dalam Syabas, Anwar berkata peranan kerajaan ialah mengurus dan mentadbir manakala keuntungan wajar dipulangkan kepada rakyat.

"Air, minyak (petroleum) itu adalah sumber (alam). Kita (kerajaan) hanya jaga amanah. Itu prinsip. Nak untung ratus juta buat apa? Air adalah hak kita semua. Janganlah bebankan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rejim Umno-BN terlalu takut kehilangan kuasa, kerana menyangka Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia seperti gelagat mereka

"Mereka takut kalau kita perintah, sama perangai macam dia. Sebab minda mereka hanya ada kebendaan, materialistik.

"Orang Melayu kena tahu, monopoli ekonomi oleh kroni Umno BN punca Melayu miskin. Anehnya, orang Melayu masih kekal sokongan pada rejim lama. Bila sibuk pasal material, kebendaan, bila masa nak fikir soal rakyat?" katanya.

"Tengok Ustaz Azizan (Razak) di Kedah. Dulu balak satu ekar RM1,000. Sekarang satu ekar RM19,000. Ada orang kata – itu dulu Datuk. Habis, mana pergi lagi RM18,000? Perintah 50 tahun, berapa BN ambil?

Justeru, beliau berkata, Ramadan adalah masa untuk rakyat bermuhasabah dan membuat keputusan kerana pimpinan Umno BN jelas membelakangkan kepentingan rakyat.

"Tiap malam mereka fitnah kita. Ada bagi ruang untuk kita cakap? Tidak ada. Ada dia keluarkan bukti? Dia tak berani," kata Anwar.

Sabah Dan Sarawak Mahukan Perubahan

Posted: 11 Aug 2012 12:44 AM PDT

Dari Aspan Alias

Sejak beberapa minggu yang lepas Sabah menjadi negeri masyarakat politik dan dengan pengisytiharan dua orang MP BN keluar daripada BN sudah menyebabkan Sabah menjadi negeri yang akan pasti menghadapi krisis bagi BN dan itu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Dengan apa yang berlaku di Sabah itu semua pihak melihat Najib sebagai pemimpin yang sudah hilang keyakinan dari Sabah.
 
Krisis yang sedang dihadapi oleh Najib dan BN yang dipimpinnya itu sudah mula merebak di Sarawak pula. Sebenarnya Sarawak merupakan negeri yang paling mudah untuk mengambil keputusan meninggalkan BN kerana di Sarawak tidak ada UMNO yang menjadi tulang belakang BN itu. UMNO dan BN sudah begitu rapuh dan keadaan ini tidak memungkinkan BN Sarawak pimpinan PBB juga mempunyai keyakinan terhadap BN pusat pimpinan Najib.
 
Sarawak mampu untuk mengambil sikap bersendirian kerana Najib dan kepimpinan UMNO tidak mempunyai hubungan dengan UMNO. Parti-parti di Sarawak hanya menjadi anggota BN dan jika 14 ahli Parlimen PBB mengambil sikap untuk menyokong BN usaha itu amat mudah dilakukan. Jika PBB, PRS dan SPDP mengambil sikap yang 'independent' dan tidak bersama BN mereka tetap boleh mentadbir negeri itu tanpa ada hubungan dengan UMNO. Parti-parti BN di Semenanjung tidak wujud di Sarawak pada hakikatnya.
 
Yang penting bagi 3 parti yang bergabung di dalam BN Sarawak boleh berdiri sendirian tanpa BN pusat dan mengambil sikap bekerjasama dengan Pakatan Rakyat khususnya DAP yang mempunyai kekuatan di kawasan bandar di negeri itu.
 
Di Sarawak hanya parti-parti di dalam Pakatan Rakyat seperti DAP, PKR dan sedikit kehadiran PAS dan ini memudahkan parti-parti dalam gugusan BN Sarawak untuk mengambil sikap bekerjasama dengan Pakatan Rakyat. Kalau kepimpinan Sarawak hendak mengelakkan mereka daripada ditolak oleh rakyat maka menyertai PR adalah jalan yang selari dengan kehendak rakyat di sana. Jika parti-parti di Sarawak tidak menyertai PR maka parti-parti itu terpaksa berhadapan dengan tekanan dari rakyat sendiri dan ini akan menambah masalah untuk mengekalkan kewajarannya untuk kekal di hati rakyat Sarawak.
 
Perlu diingat bahawa kaum Cina di Sarawak pada hakikatnya sudah menolak SUPP parti yang dahulunya didominasi oleh kaum itu, telah mengambil sikap untuk menyokong DAP dan Pakatan Rakyat dan jika Taib serta pimpinan yang lain masih kekal dengan BN pusat maka mereka sendiri akan dihanyutkan oleh ombak perubahan yang sudah merata di negara ini termasuk di Sarawak.
 
Ramai dapat merasakan keadaan di Sarawak dan Sabah ini akan menyebabkan BN kehilangan kubu-kubu kuat mereka (BN) dan ia juga akan menambah keyakinan ramai bahawa pilihanraya kali ini merupakan pilihanraya yang paling bersejarah kerana buat pertama kalinya BN yang sudah memerintah begitu lama akan menghadapi kekalahan di tangan rakyat. Tetapi kekalahan BN itu tidaklah menjadi satu isu yang besar kerana dalam demokrasi kemenangan dan kekalahan itu sudah menjadi perkara biasa.
 
Rakyat serius dalam mencari kelainan melalui perubahan kuasa kerana perubahan itu merupakan perkara penting dalam pembinaan negara. Perubahan wajib berlaku dan tidak ada bukti yang nyata setakat ini yang menunjukkan bahawa dalam sesuatu demokrasi lambat laun parti yang memerintah akan mengambil giliran untuk menjadi pembangkang.
 
Walaupun UMNO mempunyai formula untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat tetapi pimpinan keseluruhan parti itu tidak mahu untuk melakukannya kerana tamakkan kuasa dari ingin melihat parti itu relevan pada mata rakyat.
 
Semua orang tahu yang formulanya ialah dengan mengambil sikap 'drastic' dengan keseluruhan pimpinan tertinggi parti mengundurkan diri dan memberikan kepimpinan kepada seseorang yang berpengalaman dan diterima oleh rakyat berbilang kaum, bukannya setakat diterima oleh ahli-ahli UMNO sahaja.
 
Perlu kita terima kenyataan bahawa penolakan rakyat terhadap UMNO itu adalah kehendak pimpinan UMNO itu sendiri bukannya saja-saja rakyat menolaknya. Seperti mana parti-parti kerajaan yang besar-besar di dunia ini UMNO juga adalah parti yang telah menjadi sebuah parti dalam mana pemimpin-pemimpinnya telah kufur nikmat yang ketara.
 
Rakyat sudah hilang kesabaran setelah menahan ragam dan laku UMNO selama ini. Rakyat sudah tidak mampu untuk memujuk hati-hati mereka untuk memaafkan apa yang telah dilakukan oleh UMNO sejak tiga dekad yang lalu.
 
Sekarang rakyat terpaksa melakukan perubahan dan perubahan itu adalah wajib untuk menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kehancuran.

Tiada ulasan:

Pengikut