Pakatan Rakyat |
Posted: 15 Jul 2012 03:03 PM PDT by: Hilal Asyraf http://www.langitilahi.com/ Ramadhan semakin menghampiri. Apakah ada antara kita yang mendengar 'loceng-loceng' yang menyatakannya? Ramadhan semakin menghampiri, semakin mendekat, tetapi apakah persediaan kita? Ramai antara kita tidak peduli. Seakan-akan Ramadhan itu bukan sesuatu yang penting buat kita. Mengapa? Kerana kita telah di'doktrin' oleh suasana yang silap dalam melayani Ramadhan Yang Mulia. Ramadhan Sebagai Bulan Susah Payah. Didoktrin di dalam kehidupan kita, bahawa Ramadhan adalah bulan bersusah payah. Bulan kepenatan dan keletihan. Bulan di mana manusia perlu berlapar dan dahaga seakan tidak wujudnya makanan. Bulan yang dilihat sebagai tidak produktif, bulan yang melemahkan dan tidak punya apa-apa keistimewaan dari segi material. Kita melalui Ramadhan, hanya dengan satu pancaran harapan – Lepas Ramadhan, akan datang Syawal. Ya. Dengan itulah kita melalui Ramadhan. Menunggu untuk 'dibebaskan' dari segala keletihan dan kepenatan. Jika perasan, kita didoktrin sedemikian. Kerana itu, kehadiran Ramadhan bukan satu keistimewaan buat kebanyakan kita. Bukan sesuatu yang dinanti-nantikan buat kita. Tetapi adalah satu bebanan. Satu kesukaran. Satu kepayahan buat kita. Sedangkan Itulah Bulan Yang Dirayakan. Ramai yang tidak tahu, bahawa apa yang kita namakan sebagai 'AidulFitri' itu hakikatnya dirayakan sehari sahaja, yakni pada 1hb Syawal. Dan tidaklah pula ianya dirayakan pada 2hb Syawal, 3hb Syawal dan sehingga 30hb Syawal. Tidak. Hakikatnya, hari raya itu sehari sahaja. 2hb Syawal dan seterusnya, kita telah disunatkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Syawal hakikatnya bukan hari raya utama ummat Islam. Yang utamanya adalah 'AidulAdha', kerana ia dirayakan selama empat hari. 10hb, 11hb, 12hb, dan 13hb Zulhijjah. Haram berpuasa pada keempat-empat hari tersebut. Ya. Sehari sahaja 'AidulFitri' hakikatnya. Namun masyarakat kita sakan merayakannya hingga ke hari 30hb Syawal. Bagai nak runtuh dunia kita rayakannya. Sedangkan, apakah itu 'AidilFitri'? Maksudnya adalah Perayaan Fitrah. Mengapa dinamakan sedemikian? Kerana ia adalah untuk merayakan mereka yang berjaya melalui tarbiyah, memproses diri di dalam Ramadhan Al-Mubarak. Yang membersihkan diri dan mensucikan diri mereka di dalam bulan itu. Yang mempertingkatkan diri serta menaikkan lagi kualiti hati mereka di dalam bulan itu. Bukan kepada mereka yang pada 15hb Ramadhan, sudah sibuk hendak menyambut Syawal! Yang diraikan hakikatnya adalah Ramadhan. AidulFitri meraikan itu. Kita hakikatnya bukan meraikan AidilFitri. Kerana AidilFitri itu hakikatnya tidak punya apa-apa, melainkan sekiranya kita melalui Ramadhan dengan jayanya! Mentaliti Yang Perlu Diubah. Maka Ramadhan itu perlu kita tekankan pada diri dan keluarga, bahawa ianya adalah Bulan Rahmat, Bulan Keampunan, Bulan Peningkatan diri. Bulan di dalamnya wujud pelbagai fadhilat dan kelebihan. Bulan yang Allah SWT sediakan agar ummat Islam kembali mengecas keimanan masing-masing, memperkuatkan diri masing-masing. Bulan yang hakikatnya merupakan 'perayaan jiwa-jiwa' kerana ianya memberikan makanan kepada mereka. Bulan untuk memperbanyakkan kebaikan, agar jiwa yang jauh menjadi kembali rapat kepada Tuhan. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) "Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) "Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(menghitung nak memperbanyakkan amalannya), maka akan diampunkan untuknya dosa-dosanya yang pernah dilakukan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) Ya. Ramadhan inilah hakikatnya yang patut kita nampak sebagai 'habuan', 'hadiah', 'anugerah'. Allah SWT memberikannya kepada kita. Dalam setahun, Allah SWT berikan kita sebulan untuk mempertingkatkan diri kita, memperkuatkan diri kita, dalam suasana yang kondusif, bersama 'tambahan-tambahan' yang mengiurkan. Penutup: Maka Apakah Jiwa-jiwa Masih Tidak Mahu Memperdulikan? Maka apakah jiwa-jiwa yang do'if lagi lemah, banyak kekurangan dan dosa ini, masih tidak mahu memperdulikan panggilan Tuhannya? Apakah hamba yang hina ini, mahu melemparkan hadiah pemberian Tuhannya? Sesungguhnya inilah dia hamba-hamba yang celaka. Marilah kita muhasabah semula. Jangan jadi hamba yang sombong dengan Dia. Ramadhan menghampiri, dan kita masih tidak peduli. Jangan. Mari peduli. Persiapkan diri. Jadikan Ramadhan kali ini yang paling bermakna sekali! |
Posted: 15 Jul 2012 01:17 PM PDT KUALA LUMPUR: PAS terus menjadi wadah pilihan utama artis berhijrah apabila pelakon dan pengarah muda berbakat besar Adam Hamid menyertai PAS sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Wilayah Persekutuan malam tadi. Penerbit filem 'Cinta Terakhir' itu pernah berlakon di dalam lebih 30 buah drama antaranya Kipas Angin, Anak Teruna, Kalau Itu Takdirnya dan Rahsia Demi Rahsia. Juga membintangi filem-filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam 1, Aku No 1 dan Bujang Senang. Malam tadi pemuda kacukan Kelantan-Pakistan itu meneruskan fenomena artis tanah air berhijrah ke dalam PAS. Borang keahliannya diserahkan kepada Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Yang menariknya beliau yang menjadi ahli PAS seumur hidup memberitahu media, berazam untuk mengubah dunia seni tanah air ke arah yang lebih baik dan berpaksikan kepada syariat. Menurutnya, dunia seni kini semakin lalai dan ramai penggiat seni tidak menghiraukan perintah-Nya ketika berkecimpung dalam dunia seni. "Ramai yang leka dengan perintah-Nya dan melakukan yang terlarang. Jadi saya berasa terpanggil untuk mengajak mereka ke arah yang lebih baik dan berkongsi ilmu yang saya ada walaupun sedikit," ujarnya seperti yang dilaporkan media. Berkenaan peluang dan kerjayanya selepas menyertai PAS, beliau berkata tidak gentar jika disenaraihitamkan kerana hanya menyerahkan segalanya kepada takdir namun usaha dalam bidang lakonan tetap akan diteruskan kerana ia sudah sebati dalam jiwa. Sementara itu Adam yang memulakan kariernya sebagai pelakon di dalam drama sitkom Sayang Di Sayang, di bawah Serangkai Filem pada usia 18 tahun, berkata beliau telah menjadi penyokong Pakatan Rakyat sejak lama. "Saya tidak pernah terikut-ikut dengan langkah artis lain menyertai politik. Saya mula bergiat aktif dalam arena politik sudah lama tetapi baru kali ini saya menyerahkan borang keahlian secara rasmi dan saya merupakan pengikut setia Pakatan Rakyat," tegasnya. Ketabahan dan keazaman yang kuat membuat Adam mengharungi apa juga badai yang mendatang di dalam perjalanan seninya. Adam yang juga bekas handyman ini menguasai kebanyakan bidang seni lakon termasuk pernah menjadi pengurus produksi, penulis skrip dan akhirnya menjadi pengarah. Kini beliau sudah mengarahkan lebih daripada 50 buah drama televisyen. Telemovie pertama arahannya ialah Cinta Penyair utk slot RTM pada tahun 2001. -Hrkh |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan