Selasa, 31 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Hari Pahlawan: Perluas skop pada sirah Rasulullah

Posted: 30 Jul 2012 09:27 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh perjuangan-perjuangan tanah air ketika era mereka agar menjadi kenangan dan teladan bagi membina kedaulatan negara yang kita cintai ini.
"Jadikanlah hari ini sebagai suatu hari kepada permulaan untuk kita menginsafi diri kepada para perjuang yang ikhlas berjuang dan telah berkorban apa jua demi memastikan keharmonian sistem bernegara kita dirasai hingga ke saat ini dalam semangat kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss (gambar).

Kepada umat muslim, ujarnya hari pahlawan juga boleh diperluaskan skopnya kepada peringatan umat Islam kepada Baginda Rasulullah SAW iaitu Pahlawan Ulung Tertinggi Ummah Islam dari dahulu sehingga akhir zaman yang banyak dikisahkan dalam sirah Nabi selama ini.

"Kita sewajarnya mengambil sempena hari pahlawan ini sebagai menunjukkan rasa kekaguman kita kepada Baginda dan para sahabatnya Baginda," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sudah tentu agama Islam mendidik umatnya agar menunjukkan adab seorang muslim yang sejati hatta di dalam medan berjuang sekali pun.

"Akhirnya, kami doakan agar semoga roh-roh para pahlawan negara akan ditempatkan di tempat yang tertinggi di akhirat kelak dengan keizinan Allah SWT.

"Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa para pahlawan negara yang telah kembali ke rahmatullah," ujarnya.

Beliau juga menyeru para pahlawan negara yang masih di medan agar mencontohi tentera-tentera yang pernah dipimpin oleh Baginda Rasulullah SAW agar kekuatan dan iltizam mereka adalah pahlawan sejati yang dicorakkan oleh Islam yang sebenarnya.

Tukar royalti kepada ehsan mendahului mahkamah

Posted: 30 Jul 2012 09:27 PM PDT


BACHOK: Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menyifatkan program Konvoi NGO Royalti ke beberapa destinasi di Hulu Kelantan baru-baru ini sebagai mendahului keputusan mahkamah sangat tidak disenangi oleh ramai pihak.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan Minyak di Bachok (Cabar), Ahmad Marzuk Shaary (gambar) ketika dihubungi menyatakan sokongan penuh kepada program konvoi tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar sedar dan mengambil berat terhadap desakan dan tuntutan itu kerana ianya adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan.

Beliau yang turut menyertai konvoi tersebut sebelum ini beberapa kali mengulangi desakan supaya gas dan petroleum didaratkan di Kelantan khususnya Bachok dengan hasrat menjunjung titah Sultan Kelantan yang  telah menyediakan zon perindustrian petroleum di kawasan Bachok seluas 4,000 ekar.

"Kalau sekiranya penganjuran konvoi tersebut mendahului mahkamah kerana tuntutan royalti oleh Kerajaan Kelantan dalam proses mahkamah, maka membelanjakan wang royalti oleh sebuah jawatankuasa  atas nama ehsan itu jauh lebih mendahului mahkamah, tidak patuh kepada perjanjian juga menghina mahkamah," katanya.

Ini, ujarnya kerana mahkamah adalah simbol keadilan, dalam perjanjian yang telah termeterai sejak 1975 secara jelas memperuntukkan lima peratus royalti untuk kerajaan Kelantan.

Bila menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan pusat sendiri yang meminta pihak tertentu mengembalikan royalti untuk Kelantan.

"Saya amat berterima kasih dan bersyukur dengan beberapa kenyataan ini antaranya Ku Li dan ini menandakan bahawa perjuangan tuntutan royalti oleh kerajaan negeri kelantan sudah mula diberi perhatian, tetapi jangan hanya untuk gimik dan menarik sokongan dalam pilihanraya yang semakin hampir,"

"Semua pihak yang bersungguh menafikan royalti untuk rakyat Kelantan ini perlu akur dengan hak rakyat Kelantan dan kena berlaku adillah walaupun Kelantan di perintah oleh PAS kerana ini bukan untuk PAS tetapi untuk kerajaan dan rakyat Kelantan.

"Nak berpolitik politiklah tapi jangan sampai mendiskriminasi anak bangsa sendiri," tambahnya.

Xpresi Anak Muda Ramadhan

Posted: 30 Jul 2012 09:24 PM PDT

Pakat mari ramai!

Posted: 30 Jul 2012 04:36 PM PDT


AWANG ADEK NAK ALIH ISU

Posted: 30 Jul 2012 04:35 PM PDT

KELANTAN : Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyifatkan bahawa kenyataan Timbalan Pengerusi Badang Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mempersoalkan kerjasama politik di antara PAS dengan DAP sebagai cubaan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu dakwaan penyalahgunaan kuasa yang menyelubungi dirinya.

Ketua Penerangan DPPNK, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari di dalam satu kenyataan menyifatkan segala dakwaan yang dinyatakan oleh Awang Adek adalah rapuh dan tidak sesuai dengan taraf dirinya sebagai seorang Timbalan Menteri di peringkat kerajaan pusat.

"Awang Adek telah mempersoalkan tindakan PAS yang masih bersama dengan DAP sekalipun katanya DAP menentang pelaksanaan Islam termasuk hukum hudud", ulas beliau yang merujuk kenyataan Awang Adek
yang disiarkan oleh Sinar Harian Isnin 30 Julai semalam

"Adakah Awang Adek sedar, ketika mana Datuk Ayub Rahmat daripada DUN Kemelah sendiri yang mencadangkan perlaksanaan hudud di Johor beliau telah ditempelak oleh Presiden MCA dan menyifatkannya sebagai hilang akal ? Apa pula pendirian UMNO mengenai hukum hudud dan mengapa beliau tidak mengulas sikap pimpinan utama UMNO yang membisu seribu bahasa sedangkan ADUNnya telah dihina sedemikian rupa oleh MCA ?", soal beliau.

Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan PAS sangat konsisten mengenai hukum hudud. Beliau turut membuktikan kepada Awang Adek bahawa cadangan daripada ADUN Kemelah ini telah disambut baik oleh YAB Menteri Besar Kelantan dengan mengucapkan tahniah kepada beliau begitu juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang memberi jaminan untuk bekerjasama sekiranya Johor ingin melaksanakan hudud"

Beliau juga turut mengulas tindakan Awang Adek yang mempertikaikan kerjasama PAS dengan DAP yang didakwa menolak hudud, "adakah UMNO tidak menolak hudud? Dan sekiranya UMNO tidak menolak hudud, kenapa pula ia masih gagal dilaksanakan sekalipun sudah separuh abad usia kemerdekaan negara?".

"Beliau perlu berikan perhatian kepada isu-isu peribadinya terlebih dahulu sebelum mahu mempertikaikan kerjasama politik PAS dengan DAP. Mana jawapan beliau dalam isu hubungan beliau dengan ahli perniagaan, Chung Hon Cheong dan skandal percetakan RM2 sebanyak 100 juta." "

"Beliau juga perlu menjelaskan dari mana sumber dua cek bernilai RM80,000 yang dimasukkan dalam akaun beliau ketika beliau menjadi Pengerusi Skim Jejakjaya Bumiputra pada tahun 2010."

DPPNK turut mengingatkan bahawa dua keping Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun beliau pada 6 Disember 2010 daripada sebuah syarikat yang berkepentingan seperti yang didedahkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dua minggu lepas.

"Jadi Awang Adek tidak perlulah berlagak dalam isu hudud ini. Jangan menjadi batu api yang menyebabkan salah faham di kalangan non muslim terhadap hukum hudud. Hakikatnya hudud hanya akan dijatuhkan kepada mereka yang melakukan kesalahan. Hanya tangan pencuri sahaja yang akan dipotong dan itupun jika cukup syarat dan kadarnya. Dalam hal ini, ada kemungkinan jumlah RM80,000.00 contohnya sudah mencukupi untuk dipotong tangan sekiranya disabitkan kesalahan," tambah beliau lagi.

Klik Pilihan Dalam Sinar Harian

Posted: 30 Jul 2012 04:34 PM PDT

14 kerusi Sabah untuk Pakatan?

Posted: 30 Jul 2012 04:32 PM PDT


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN menyokongnya baru-baru ini.

Ini bermakna, simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat, kata Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) dalam satu tulisannya.

Beliau berkata, 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini.

"Hari ini ramalannya ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah-mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang," tulis beliau.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

"Kejutan buat Najib bukan kepalang, amat menyiksakannnya. Mimpi ngerinya semakin menjadi realiti, tambahan masa bukan disebelahnya untuk membuat apa jua percaturan strategik kecuali memandang ke hujung tahun atau dilajakkan ke tahun depan," ulas beliau ekoran kenyataan kedua-dua anggota Parlimen BN dari Sabah itu.

Bagi beliau, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak sejak akhir-akhir ini hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja tanpa memikirkan BN secara menyeluruh.

"Apakah maknanya bagi Najib yang mengikut kajian mutakhir Merdeka Centre bahawa 'tahap keyakinan' atau 'Approval Rating' pada paras 64%, (Jun) menurun 1% dari bulan Mei (65%), sementara tahap keyakinan kepada parti dan BN yang dipimpin terus mengalami penghaksian sokongan ke paras 42%," kata AJK PAS Pusat itu.

Bagi beliau, Najib hanya mahu pujian dan pengiktirafan rakyat maka dia terus memberi – BRIM 1 dan kini bonus dan sebagainya.

"Kesemua untuk membuktikan bahawa beliau peka dan prihatin kepada rakyat sementara kesan pemberian itu tidak lagi seperti dulu,begitu hebat dan mendalam, termasuk kepada peneroka Felda mutahkir ini," tulis beliau.

Pada pendapat beliau, rakyat umumnya semakin membenci tindakan pemimpin yang cuba untuk memujuk dan menggula-gulakan rakyat seperti.


Tidak kira dari BN atau Pakatan penolakan rakyat terhadap kepimpinan 'populist' seperti ini semakin ketara, dakwa beliau.

"Kecuali golongan yang boleh terus ditipu dan dibeli dengan pelbagai 'pemberian' ini, rakyat umumnya sedang menyaksikan gelagat kepimpinan Umno-BN yang semacam cacing kepanasan mutakhir ini," katanya lagi.

Bagi beliau, masa untuk berubah telah sampai.

"Mampukah rakyat lakukan perubahan ini? dan Mampukah Pakatan mengisi pengharapan rakyat nanti?" soal Dr Dzul.

Rumah terbengkalai, 477 tentera jadi mangsa

Posted: 30 Jul 2012 04:29 PM PDT


MACHANG: Polis diminta menyiasat bagaimana satu pemaju perumahan mendapat tuntutan 100 peratus bayaran pinjaman perumahan padahal projeknya terbengkalai.


(Dokumen berupa laporan polis dan surat dari Kementerian Kewangan yang diberikan Zainal kepada Harakahdaily)

Ini kerana, akibat apa yang berlaku, 477 tentera yang terlibat dalam membeli rumah di projek berkenaan dipotong gaji mereka untuk bayaran pinjaman tetapi rumah tidak boleh diduduki.

Menurut salah seorang dari mangsa ini, Zainal Ismail, beliau bersama anggota tentera yang lain membeli rumah di Taman Sri Labok, Machang pada pertengahan 2008.

Mengikut perjanjian jual beli antara mereka, rumah itu akan disiapkan pada tahun 2009 namun sehingga sekarang ia tidak disiapkan.

Yang memeranjatkan mereka adalah, Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan telah mengeluarkan 100 peratus bayaran tuntutan kepada syarikat pemaju ini walaupun rumah mereka belum disiapkan lagi.

Ia bermakna, syarikat ini mendapat tuntutan lebih RM40 juta duit dari Kementerian Kewangan itu walaupun tidak menyiapkan rumah yang mereka bina.

Zainal telah membuat laporan polis Balai Polis Machang pada 12 April 2011 ekoran apa yang berlaku.

Beliau juga telah membuat laporan kepada Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan tentang apa yang berlaku.

Hasilnya, Kementerian Kewangan pada 14 Mac 2012 telah mengeluarkan surat kepada Biro Pengaduan Awam, Kuala Terengganu bagi melaporkan kes ini.

Mereka mengesahkan projek ini memang terbengkalai tetapi telah mendapat tuntutan 100 peratus dari kementerian.

Ekoran itu, BPP telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemaju itu kerana mengemukakan tuntutan palsu kepada kerajaan tanpa menyiapkan rumah itu.

Sehubungan itu, BPP telah membuat laporan polis pada 1 Mac 2012 di IPD Putrajaya yang melibat 12 projek perumahan yang melibatkan pemaju perumahan berkenaan.

BPP juga membuat laporan kepada Lembaga Arkitek Malaysia kerana terdapat pengesahan arkitek terhadap semua tuntutan yang dibuat oleh pemaju berkenaan.

Bagi menguatkan laporannya, Zainal telah menghantar satu surat khas kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar membantu beliau dan rakan-rakannya yang teraniaya.

Saleh Man jadi YDP MAIPP, Umno gigit jari

Posted: 30 Jul 2012 04:29 PM PDT


PULAU PINANG: Kini isu Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sudah selesai sekaligus membuatkan Umno terpaksa 'gigit jari' kerana tidak lagi berpeluang memainkan isu tersebut menjelang pilihanraya umum nanti kata, Setiausaha PAS Negeri, Mohd Nor Harun.

Baginya, perkenan Yang Dipertuan Agung terhadap nama Datuk Saleh Man (gambar) telah diduga walaupun sebelum ini timbul berbagai persoalan terhadap jawatan berkenaan setelah tamat tempuh YDP lama, Ustaz Elias Zakaria.

"PAS Pulau Pinang ucap tahniah terhadap perkenan Yang Dipertuan Agung dan berharap isu yang dimainkan oleh Umno kononya PAS diperkotak katikkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat nyata gagal, " tegasnya ketika dihubungi.

Menurut beliau lagi, perlantikan tersebut merupakan 'janji ditepati' Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mahukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang mewakili PAS dilantik mengisi kekosongan YDP MAIPP.

Menurut Mohd Nor, beliau dan barisan kepimpinan PAS Negeri Pulau Pinang akan berdiri teguh di belakang Datuk Saleh disamping membantu beliau merencanakan atau meringgankan tanggungjawab yang semakin besar di sandangnya sejak diberikan kepercayaan menang pilihanraya kecil Permatang Pasir menggantikan Allayarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Walaupun penuh dengan dugaan sebelum mendapat mandat sebagai YDP MAIPP namun beliau tidak pernah resah sebaliknya melaksanakana tugasan sebagai Timbalan YDP MAIPP dengan penuh tanggungjawab.

"Sepanjang tugasanya sebagai Timbalan YDP MAIPP kami nampak ada peningkatan. Di mana banyak program yang dirasmikan nampak tersusun serta mempunyai gaya pengucapan yang bernas, " tambahnya.

Pengumuman perlantikan baru itu dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman di aras 52 Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) baru-baru ini mengantikan Abdul Malik Kassim yang melepaskan jawatan ekoran kesilapan teknik.

Peristiwa lebih besar menunggu politik Sabah

Posted: 30 Jul 2012 04:29 PM PDT


KOTA BHARU: PAS meramalkan akan berlaku lagi peristiwa lebih besar dalam politik Sabah selepas tindakan dua pemimpinnya baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (gambar) meramalkan perkara itu ekoran tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN.

Nik Amar mengulas tindakan terbaru tokoh politik Sabah Timbalan Menteri, Datuk Seri Lajim Ukin meletak semua jawatan dalam Umno, dan seterusnya menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR).

Turut meninggalkan BN Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) parti komponen BN, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.

Jadi apa yang dilakukan Lajim dan Bumburing itu, dakwa Nik Amar, adalah sebahagian daripada manifestasi dan mungkin selepas daripada ini akan berlaku lagi berkara-perkara lebih besar pada masa-masa akan datang.

"Ini kerana kita dengar banyak cerita tentang ketidakpuasan  terhadap kepimpinan kerajaan di Sabah," dakwa Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan itu.

Bagi beliau, perkembangan terbaru politik Sabah membabitkan tokoh dari komponen Barisan Nasional keluar parti itu dan seterusnya menyokong Pakatan  Rakyuat (PR) merupakan manifestasi ketidakpuasan hati rakyat dan  kalangan pemimpin politik Sabah terhadap Umno-BN.

Beliau mendakwa peristiwa itu adalah rentetan beberapa perkara yang berlaku di Sabah sebelum ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Royal Thai Consulate-General dekat sini petang semalam.

(Nik Amar berucap di majlis berbuka anjuran Konsulat Thai)

Turut  hadir Consul-General Jackrid Kanjasoon, para pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

"Dan apa yang dilakukan oleh Datuk Lajim Ukin itu merupakan manifestasi daipada ketidapuasan hati rakyat dan juga kalangan pemimpin politik di Sabah terhadap Umno-BN," katanya.

Nik Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri turut mengulas kenyataan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa perjuangan BN berada di landasan yang betul walau pun parti itu tidak melabelkan "Islam".

Bahkan, dakwa Najib yang dipetik media ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Perak baru-baru ini bahawa segala program transformasi Kerajaan BN berlandaskan 'maqasid syariah'.

Najib mendakwa segala program transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.


Menurut Nik Amar, 'maqasid syariah' terlaksana adalah apabila (sesebuah) kerajaan itu tegak di atas dasar Islam dan mana-mana kerajaan yang tidak berlandaskan syariat, tidak boleh bercakap tentang 'maqasid syariah'.

"Itu adalah asas, dan kita mestilah faham dahulu.

"Jadi apabila kita nak bercakap tentang maqasid syariah maka (sesebuah) kerajaan itu sendiri mestilah kerajaan yang berasaskan syariah, yang tegak di atas dasar Islam.

"Kalau (sesebuah)  kerajaan itu tidak menerima Islam sebagai dasar, macam mana boleh bercakap tentang maqasid syariah.

"Itu asasnya dahulu. Kenalah faham.  Bukanlah boleh senang-senang (sewenang-wenang) kita kata ini (adalah) maqasid syariah atau seumpamanya," jelas beliau yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa sebelum menyertai politik.

Nik Amar mendakwa walau pun ada beberapa perkara dilaksanakan mungkin bertepatan dengan kehendak agama, namun ia tidak menjadi asas.

Beliau mengajak masyarakat supaya memahami dahulu soal dasar kedudukan perkara itu.

"Jadi di sini saya fikir kita kenalah faham dahulu bahawa Kerajaan Malaysia ini bukanlah Kerajaan Islam, itu asasnya.

"Bahkan bukan kerajaan yang berlandaskan kepada ajaran agama Islam," dakwanya.

Bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian masuk PAS

Posted: 30 Jul 2012 04:27 PM PDT


SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan menerima suntikan semangat baru apabila bekas pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapah Mohd Omar menyertai PAS secara rasmi kelmarin.

(Mustapah menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Mohamad Sabu)

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Kawal Selia Air Selangor; Penolong Pegawai Daerah Port Dickson dan Penolong Pegawai Daerah Seremban.

Mustapah bersara pada tahun lepas.

Mustapah menyerahkan borang ahli PAS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di majlis berbuka puasa anjuran PAS Seremban di PASTI Wildan, Ampangan, Seremban.

Turut menerima penyertaan Mustapah ke dalam PAS ialah Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Mohamad Hassan Tamby.

Tiada ulasan:

Pengikut