Selasa, 24 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Posted: 23 Jul 2012 05:01 PM PDT


(Lajim dan Tuan Guru Nik Aziz penuh ceria dalam pertemuan mereka di Kota Bharu hari ini)

KOTA BHARU: Ketika panas cerita tentang kedudukan Datuk Seri Panglima Lajim Ukim dalam Umno, tiba-tiba hari ini Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kedua-duanya kelihatan berbual mesra di pejabat Menteri Besar Kelantan itu hari ini.

Bulan lalu, Lajim mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu.

Difahamkan pengumuman berkenaan dibuat pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-57 kelahirannya pada Sabtu bulan lalu.

"Surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Umno Cawangan telahpun di hantar kepada Setiausaha Umno Bahagian Beaufort beberapa hari lalu.


(Lajim bersalam dengan TG Nik Aziz dalam pertemuan mereka pagi tadi)

"Langkah pertama tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan langkah kedua peletakan ketua cawangan Umno dan langkah ketiga katanya tunggu dan lihat," katanya yang dipetik daripada portal berita New Sabah Times pada Isnin.

Sebelum ini Lajim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Beaufort.

Menurut laporan itu lagi, Lajim berkata beliau masih 'pemimpin kerajaan' dan masih meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dalam parti kerajaan.


Pada perjumpaan tengah hari tadi, Anggota Parlimen Beaufort itu mengambil masa kira-kira 40 minit bertemu dengan Tuan Guru.

Turut serta bersamanya 25 orang lagi anggota rombongan yang ingin bertemu dengan Tuan Guru.

Pelbagai isu dibincangkan diperingkat kerajaan termasuk alam sekitar dan cadangan kerjasama  berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Tuan Guru ketika ditemui memberitahu, setakat ini cadangan untuk kerjasama dengan kerajaan Pusat berhubung pengurusan sisa pepejal akan dibincang diperingkat kerajaan terlebih dahulu.

Pada masa yang sama, katanya taklimat khas berhubung perkara itu perlu diberi taklimat terlebih dahulu oleh pihak berkenaan kepada kerajaan negeri sebelum keputusan diambil.

"Saya tidak boleh membuat keputusan sekarang walaupun pertemuan telah dibuat dengan anggota exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Lajim untuk mengadakan kerjasama di bawah kementeriannya dengan kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar terutama sampah sarap.

Katanya, setakat ini semua kerajaan negeri yang dibawah pentadbiran kerajaan BN menerima cadangan kementeriannya.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri seperti Kedah dan Selangor belum bersedia.

"Kita berharap semoga kerajaan negeri menimbang cadangan kerajaan ini untuk kebaikan masa depan," ujarnya.

Sementara itu, pengarah perbadanannya bahagian negeri Kelantan, Datuk Afandi Hamzah, ketika memberitahu Tuan Guru, kerajaan Pusat membelanjakan sejumlah RM1.7 juta bagi menyediakan tong sampah di negeri itu.

Sambungnya, tong sambah berkenaan diberi secara percuma kepada seluruh majlis daerah di negeri ini.

KGT: Utusan berdepan tindakan undang-undang

Posted: 23 Jul 2012 04:54 PM PDT


KOTA BHARU: Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi bakal berhadapan tindakan undang-undang berikutan laporan 'fitnah' terhadap pengurusan Kelantan Golden Trade (KGT).
Turut bakal dikenakan tindakan yang sama, bekas Pengarah Eksekutif KGT, Nik Mahani Mohamad, yang didakwa turut memfitnah berhubung KGT.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, pada sidang medianya memberitahu tindakan berkenaan diambil bagi membersihkan nama baik KGT yang sering dijadikan sasaran fitnah oleh dua pihak tersebut di samping pihak lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat khas di pejabat PMBK Sawit, di sini petang tadi.

KGT telah menghantar surat kepada dua pihak berkenaan bagi memaklumkan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak terbabit pada 10 Julai lalu.

"Kita mendapat maklum balas dari akhbar Utusan yang minta tangguh selama dua minggu dan ianya dijangka berakhir dua hari lagi, bagaimanapun Nik Mahadi tiada maklum balas," ujarnya.

Menurutnya, beliau telah menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan berikutan beberapa siri siaran dalam akhbar terabit yang berunsur fitnah terhadap KGT yang dianggap tidak berasas.

Tegasnya, jika diteliti dalam laporan akhbar berkenaan beliau memberitahu seolah-olah ianya (KGT) penuh dengan debu, langsung tidak selamat.

Tambahnya, pihak polis langsung tidak melakukan sebarang siasatan ke atas KGT.

"Seharusnya pihak media mengambil keterangan dari pihak yang dituduh terlebih dahulu sebelum membuat sebarang berita di akhbar.

"Sebaliknya apa yang berlaku itu diselidiki dahulu dan bukannya terus menyiarkan berita berunsur fitnah, apa lagi di muka hadapan," ujarnya.

Husam seterusnya menyeru golongan media mengambil roh Ramadan yang mulia itu untuk melakukan kerja yang lebih bertanggungjawab tanpa ada unsur fitnah.

Tegasnya,  dalam Islam fitnah lebih buruk daripada membunuh.

Umno bukan tempat orang agama, tempat cari makan

Posted: 23 Jul 2012 04:54 PM PDT


KUALA LUMPUR: Umno bukan tempat orang agama untuk menegakkan idealisma perjuangan seorang ulamak, sebaliknya ia hanya parti untuk mencari makan dan ikut telunjuk pemimpin Umno.

Demikian kata Ustaz Idris Ahmad (gambar), AJK PAS Pusat dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Beliau yang tertarik dengan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang mahu majlis ulama Umno diwujudkan.

Namun, persoalannya mahukah pemimpin Umno hendak mengikut garis panduan yang ditentukan oleh majlis ini, soalnya.

Bagi Idris, rekod Umno memang terbukti, golongan agama di dalam Umno hanya melukut ditepi gantang sahaja.

"Ia hanya bertugas untuk melawan hujah PAS sahaja, akhirnya mereka juga kecundang kerana tidak mampu berhujah dengan ilmu. Mana pergi Biro Agama Umno?" soal Idris.

Satu ketika dahulu biro ini diketuai oleh mereka yang mendapat pendidikan tinggi dalam agama seperti Datuk Wan Mokhtar Wan Ahmad, Dr Yusuf Nor (Phd Universiti Cairo dalam bidang Tasauf).

"Sekarang Biro ini seperti hidup segan mati tak mau. Mana pergi tokoh-tokoh agama di dalam Umno sekarang. Berjayakah mereka untuk Islamisasi dalam Umno?" tambah beliau.

Menurutnya, kemasukan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad bekas Ahli Majlis Syura PAS juga tidak mampu untuk membuat apa-apa di dalam Umno.

"Tentu kita masih ingat sewaktu Tun Abdullah Badwi menjadi Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah diarahkan membuat garis panduan hiburan, malangnya apabila dikemukakan, kabinet tolak ketepi sahaja.

"Inilah wajah sebenar Umno, mereka bukan mahu ikut ulamak, tetapi ulamak mesti ikut Umno.

"Kalau tidak percaya tanyalah Dr Mashitah Ibrahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom," katanya.

Bagi Idris, Ustaz Fathul Bari mungkin ikhlas untuk mengangkat martabat Umno, tetapi beliau perlulah merujuk kembali sejarah golongan agama di dalam Umno yang pernah menasihati pemimpin Umno dalam isu loteri.

Malangnya tegahan ini tidak diterima, akhirnya ulamak di dalam Umno berpendapat mereka mesti lari daripada Umno dan  tertubuhnya Pas pada tahun 1951.

Sebenarnya, kata Idris, Umno bukan tempat orang agama untuk menegakkan idealisma perjuangan seorang ulamak, sebaliknya ia hanya parti untuk mencari makan dan ikut telunjuk pemimpin Umno.

Silap, kalau golongan agama hendak memperjuangkan Islam di dalam Umno.

Ia akan hanyut dengan suasana sehingga terpaksa menggadai prinsip ilmu yang dimiliki oleh mereka, tambahnya.

Mahasiswa Islam bantah ISA, bela nasib mangsanya

Posted: 23 Jul 2012 04:53 PM PDT


SHAH ALAM: Persidangan meja bulat Inspirasi Anak Muda (Inspirasi) semalam mengambil ketetapan membantah akta zalim ISA dan akan memperjuangkan nasib tahanannya.

Persidangan yang bertema 'Rethinking Student Movement Reform' yangt berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu juga mengambil ketetapan akan bertindak terhadap isu umat Islam seperti di Syria dan Myammar secara drastik.

Untuk itu, satu kongres gerakan mahasiswa Islam Malaysia akan dianjurkan bagi menyatukan semua barisan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dan membincangkan isu-isu umat Islam di seluruh dunia.

Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil barisan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Haluan-Siswa dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Tujuan persidangan ini diadakan adalah untuk menyediakan platform perkongsian dan membina persefahaman dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa terhadap isu-isu penting dalam negara.

Di samping itu, ia diharap mampu meningkatkan kesedaran partisipasi mahasiswa terhadap agenda pembangunan masa depan Malaysia dan untuk menentukan halatuju penyelesaian alternatif terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Menurut Mohd Eikhwan M. Ali, Pengerusi Inspirasi, persidangan ini tercetus hasil daripada kebangkitan rakyat di seluruh dunia.
Pihak Inspirasi yakin bahawa kebangkitan ini perlu diperhalusi dan juga diaduni dengan 'iklim' Malaysia supaya ia mampu diadaptasikan ke dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia khususnya.

"Persidangan ini merupakan titik permulaan bagi mewujudkan sinergi antara gerakan mahasiswa Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Gamis cukup optimis dengan kemandirian gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dalam mendepani isu-isu yang berlaku.

Gamis bertegas bahawa peradaban mesti dibangunkan dengan kerohanian," kata Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gamis.

Penduduk diperdaya Umno di program agih bantuan

Posted: 23 Jul 2012 04:52 PM PDT

PENGKALAN CHEPA: Pada awalnya nama-nama penduduk miskin dipungut bersama salinan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mendapat bantuan beras 1Malaysia.

Seorang pemimpin badan bukan kerajaan yang baru berpindah ke kampung tersebut, yang menjanjikan mahu membantu orang ramai dengan mempelawa penduduk datang ke rumahnya.

Penghulu Mukim Pulau Belanga, Che Mohamad Che Amat berkata, penduduk yang datang diberi beras, minyak, gula dan susu yang bercop 1Malaysia.

"Pembahagian bantuan itu pada peringkat awal tidak nampak unsur politik. Namun pada kali kedua penduduk dijemput ke rumahnya bagi mengisi borang tertentu.

"Penduduk yang hadir sebahagian besarnya wanita memberitahu borang tersebut tujuannya untuk memudahkan bantuan disalur. Ramai orang tua-tua yang datang tidak tahu borang itu sebenarnya permohonan menyertai Umno.

"Hanya selepas  kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kampung Babong baru-baru ini, barulah penduduk tahu mereka diperangkap menyertai Umno," katanya di sini.

Menurutnya menteri terbabit hadir bagi merasmikan Gelanggang Silat Silat 1Malaysia di Kampung Babong.

Jumaat lalu sebuah akhbar milik Umno mendakwa 160 bekas ahli PAS menyertai Umno di Kampung Babong sempena perasmian Gelanggang Silat 1Malaysia dan Jamuan Rakyat.

Akhbar terbabit mendakwa kesemua mereka berasal dari Kampung Babong, Pulau Melaka dan Hujung Tanjung.

Che Muhamad berkata, penduduk hanya tahu mereka ditipu dengan menyertai Umno selepas hadir pada program terbabit.

"Warga emas yang hadir tidak diberitahu langsung majlis penyerahan borang menyertai Umno, sebaliknya diminta hadir pada jamuan rakyat dan perasmian gelanggang silat.

"Ramai penduduk marah selepas mereka tahu ditipu hidup-hidup pemimpin Umno," ujarnya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada dua bekas penyokong PAS terbabit dengan program berkenaan selepas diumpan dengan tawaran kebendaan.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Azmi Noor berkata, Umno bahagian terbabit menggunakan taktik serupa seperti berlaku di Tanah Merah meminta salinan kad pengenalan bagi mendapat bantuan.

"Bagaimanapun rupa-rupa salinan kad pengenalan diberi penduduk digunakan bagi mengisi borang keahlian Umno.

"Umno sudah benar-benar terdesak sekarang sehingga sanggup menipu penduduk miskin dan warga emas secara terang-terangan," katanya.

Solat Hajat batu asas blok baru Kota Darulnaim

Posted: 23 Jul 2012 04:52 PM PDT



(Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat hajat selepas meletakkan batu asas blok baru)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengetuai solat hajat sempena pelancaran pembinaan sebuah blok bangunan  baru dalam kompleks pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dibina bagi menampung kakitangan kerajaan negeri yang semakin bertambah, di samping beberapa jabatan baru yang diwujudkan.

Bangunan yang dinamakan Blok 8 itu bernilai RM 42.5 juta akan didirikan dalam Kota Darulnaim.

Perletakan batu asasnya telah disempurnakan  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi semalam.


(Tuan Guru Nik Aziz meletakkan batu asas pembinaan blok baru dalam Kota Darulnaim)

Blok baru itu bakal dibina di bahagian belakang bangunan yang ada, juga dalam Kompleks Kota Darulnaim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketika berucap pada majlis itu memberitahu projek berkenaan akan dimulakan sekarang dan dijangka siap 2015.

"Mana-mana jabatan yang berada di luar akan dipanggil masuk semula ke kompleks ini,"ujarnya.

Beliau seterusnya memberitahu blok berkenaan dapat menempatkan 200 orang kakitangan, mempunyai dewan, dewan seminar dan lain-lain kemudahan.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Sepaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud, Pegawai Kewangan, Datuk Fauzi Mamat, anggota-anggota exco kerajaan negeri dan lain-lain lagi.

Beliau turut memberitahu, Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, yang kini terpaksa menyewa di luar berikutan ketiadaan tempat kosong dalam kompleks tersebut.

Sementara itu, Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu menyeru kakitangan kerajaan negeri menghayati konsep Ramadhan yang dikehendaki syariat sebaik mungkin.

Katanya, amat rugi sekiranya umat Islam hanya berpuasa, sebaliknya tidak mengikut kehendak syariat sebenar khususnya tidak meninggalkan apa yang ditegah.

Muslimat PAS santuni penduduk Pulau Perhentian

Posted: 23 Jul 2012 04:51 PM PDT


BESUT: Dewan Muslimat PAS (DMP) 'memecah tradisi' apabila berjaya mengadakan program ziarah ke Pulau Perhentianyang merupakan kubu kuat Umno.


Terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut dengan keluasan keseluruhan 1,392.15 hektar, Pulau Perhentian merupakan salah satu salah satu unit peti undi (UPU) di Dun Kuala Besut.

(Gambar: Siti Zailah menghulurkan sumbangan Ramadhan kepada seorang penduduk Pulau Perhentian.)


UPU yang mempunyai seramai 708 pengundi berdaftar ini merupakan undi penentu bagi Dun Kuala Besut dan menjadi 'UPU jagaan Umno BN'.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut, Napisah Ismail, Umno BN giat 'menghulurkan' bantuan kepada penduduk di situ bagi mengumpan mereka agar terus memberi undi kepada mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Hal ini katanya menyebabkan penduduk takut menzahirkan sokongan terhadap PAS kerana khuatir segala bantuan akan ditarik balik.

"Senjata Umno iaitu ugutan dan wang ringgit cukup berkesan di sini. Sebenarnya agak ramai penduduk yang menyokong PAS tapi tidak berani tunjuk kerana jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung mengawal gerak-geri mereka," kata beliau kepada Harakahdaily.

Menyedari perkara itu, DMPK Besut dengan kerjasama DMPN Terengganu dan DMPP turun mendekati mereka dalam program kemasyarakatan dan kebajikan pada 19 hingga 20 Julai lalu.

Program ziarah itu turut disertai Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua DMPN Terengganu, Sapinah Jusoh yang juga bekas senator.

Selain menziarahi penduduk yang sudah dikenal pasti sebagai ahli PAS, mereka juga turut mendekati penduduk-penduduk lain.

Tertutup daripada maklumat luar

Siti Zailah berkata, penduduk di pulau itu masih tertutup daripada menerima maklumat yang tepat sebaliknya hanya bergantung kepada sumber maklumat daripada Umno BN.

Tambahan pula, mereka 'terikat' dengan bantuan dan janji-janji Umno sejak sekian lama.

"Masyarakat di sini tertutup daripada maklumat luar. Mereka hanya takut kerana diugut. Ada yang berbisik kepada saya sewaktu ziarah, dia penyokong PAS tapi terpaksa sembunyikan kerana JKKK kawal sini sungguh-sungguh.

Namun ujar Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, beliau yakin minda penduduk akan terbuka jika PAS kerap turun dan mengadakan program kemasyarakatan di kawasan tersebut.

"Kalau kita kerap turun saya yakin boleh buat perubahan tapi kita kena guna pendekatan kemasyarakatan dan kebajikan. Tak sesuai adakan program ceramah sebab orang tak akan datang," katanya.

Dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008, calon PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh dikalahkan calon BN, Dr A. Rahman Mokhtar dengan majoriti 2,631 undi.

Sekurang-kurangnya satu calon muslimat

Menyentuh soal calon muslimat di Terengganu pula, Siti Zailah berkata, pihaknya berharap sekurang-kurangnya satu calon diletakkan di negeri ini.

Beliau berkata, DMPP sudah mengemukakan beberapa calonnya ke peringkat pusat namun bergantung kepada mesyuarat dan penilaian akhir.

"Dengar khabar memang ada calon muslimat di Terengganu tapi disebabkan proses penamaan calon itu belum lagi, kadang-kadang perkara itu boleh berubah bila-bila masa.

"Tapi cadangan pihak negeri dan pusat menang nak sekurang-kuranngnya satu calon muslimat di Terengganu," kata beliau.

Tambah beliau lagi, sudah tiba masanya muslimat dipilih sebagai calon, bukan hanya menyumbang tenaga untuk kerja-kerja pilihan raya.

"Kita nak suara muslimat di Terengganu sampai ke peringkat penggubal dasar negeri dan negara sama ada peringkat Dun atau Parlimen.

"Kita tidak mahu muslimat hanya jadi pekerja. Kalau sebelum ini muslimat bekerja untuk orang mengundi, sekarang muslimat juga berhak diundi. Inilah perubahan yang kita cuba buat," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut