Ahad, 10 Jun 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


BR1M: Rakyat bukan ikan tilapia

Posted: 09 Jun 2012 06:01 PM PDT


KUALA LUMPUR, 9 Jun: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 tidak akan dapat 'menyucikan dosa' kerajaan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan (gambar).

Sambil menyifatkan BR1M sebagai hak rakyat, Nasrudin berkata, bantuan itu memang wajar diberikan kepada rakyat yang memerlukan tetapi bimbang ianya dijadikan umpan pilihan raya.

"Kita tak pernah mempertikai hak rakyat untuk dapatkan bantuan daripada kerajaan tapi bukan bermaksud bantuan itu boleh mencuci penyelewengan, rasuah, dosa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Lambat laun rakyat sedar juga kes-kes rasuah seperti NFC dan sebagainya dan rakyat akan sedar bagaimana kerajaan menguruskan wang negara," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada Kabinet kelmarin, supaya kerajaan memberi BR1M kedua kepada rakyat.

Nasrudin berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas membantu rakyat, bantuan seperti ini bukan sahaja diberi menjelang pilihan raya tetapi sepanjang masa.

"Yang timbul kenapa jadi gula-gula pilihan raya kerana seringkali diberi kepada rakyat menjelang musim pilihan raya. Kenapa tidak daripada awal dulu dan tidak dijadikan dasar kerajaan. Menjelang pilihan raya macam-macam diberikan," katanya.

Namun ujarnya, rakyat khususnya golongan muda yang celik maklumat tidak akan terpengaruh dengan umpan sedemikian sebaliknya tahu berfikir untuk memilih kerajaan yang terbaik pada pilihan raya umum akan datang.

"Anak-anak muda yang mendapat maklumat jelas, mereka tidak mudah untuk dipengaruhi kerana prinsip perjuangan bukan berharga RM500 untuk menentukan corak pemerintahan negara melalui pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat dapat membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya, bukan berdasarkan siapa yang boleh beri umpan kepada mereka kerana rakyat bukan ikan tilapia untuk dibuat demikian tapi rakyat manusia yang ada akal, ada agama dan boleh berfikir," katanya.

Pemuda PAS perkenal Kaffah, kurikulum baru PASTI

Posted: 09 Jun 2012 06:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meningkatkan lagi kualiti pengajian PASTI dengan memperkenalkan kelas fardhu ain dan fardhu kifayah (Kaffah).

Menurut Ketuanya, Nasrudin Hassan, Kaffah merupakan kurikulum lanjutan PASTI yang menyediakan kelas tambahan selepas waktu persekolahan.

"PASTI merupakan projek DPPM yang dikenali di seluruh negara, jadi kami memperkasakan lagi PASTI dengan melancarkan Kaffah sebagai usaha berterusan ke arah perkembangan potensi anak-anak berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Nasrudin berkata, matlamat penubuhan Kaffah adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kecintaan yang tinggi kepada Allah dan Rasul serta mencintai al-Quran.

Selain itu, ia juga untuk melahirkan pelajar yang melaksanakan tuntutan ibadah selain melahirkan pelajar yang mempunyai akhlak yang baik.

"Kaffah juga akan melahirkan pelajar yang memiliki sifat ghairah yang tinggi kepada Islam dan mampu memasyarakatkan Islam dalam lingkungan persekitarannya," katanya.

Waktu pembelajaran Kaffah pula, bagi sekolah satu sessi dan separuh sessi, ia mengikut kesesuaian dan keperluan pihak pengurusan sekolah, dimasukkan dalam jadual asal yang sedia ada.

Manakala kelas hujung minggu boleh dibuat dalam bentuk tuisyen selama tiga jam 30 minit untuk sehari iaitu pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, tenaga pengajar pula terdiri daripada guru-guru PASTI sendiri atau tenaga pengajar luar secara separuh masa.

Orang ramai yang berminat untuk menghantar anak-anak ke Kaffah boleh berurusan di Sektor Kaffah Jabatan Pendidikan PASTI Malaysia di setiap negeri.

54 ahli Umno di kawasan Idris Jusoh sertai PAS

Posted: 09 Jun 2012 06:00 PM PDT

BESUT: PAS kawasan Besut berjaya menembusi kubu Umno di Jertih yang kini diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga mantan Menteri Besar Terengganu.

Seramai 54 orang bekas ahli Umno turut menyertai PAS dengan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Datouk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, PAS Besut berjaya menambah sebuah lagi cawangan barunya dengan menjadikan PAS cawangan Kampung Bukit Yong dalam jajahan Besut sebagai cawangan parti yang ke-101.

Ahli baru, Mohd Rahimi Mat Nazir, 34, dari Kampung Lak-Lok, Jertih berkata penyertaannya dalam PAS setelah melihat kebenaran perjuangan parti itu.

Menurutnya, jika mana-mana pihak yang mengkaji Islam serta mempelajari ilmu agama akan dapat melihat kebenaran perjuangan parti PAS.

Justeru, beliau bertekad bersama rakan-rakan yang baru menyertai PAS akan berjuang demi kedaulatan Islam.

"Sebelum ini, saya berkhidmat bersama dengan Umno dan pimpinan Umno yang berjawatan tinggi dalam parti hari ini.

"Setelah usia saya semakin meningkat dan mempelajari ilum-ilmu agama. Saya dapat lihat kebenaran antara parti Umno dengan PAS.

"Sebab itu, saya dan rakan-rakan lain ambil keputusan untuk bersama dengan PAS, berjuang dalam PAS dan meninggalkan Umno-Barisan Nasional, Insya'Allah," jelasnya kepada Harakah selepas Majlis Ceramah Umum "Selamat Tinggal Umno" di Kampung Bukit Yong, Jertih, semalam.

Pada majlis tersebut wakil penajanya, Mohd Sharif Abdul Majid menyerahkan borang keahlian PAS serta menerima baju 'PAS Ganti Umno' sebagai simboliknya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr Alias Razak, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd. Ghani dan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Taklimat Khas & Pelancaran Isu-Isu Semasa

Posted: 09 Jun 2012 05:59 PM PDT

Pengerusi PTPTN bohong, ikut telunjuk Umno

Posted: 09 Jun 2012 05:54 PM PDT

SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Hussin menyifatkan Pengerusi  PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berbohong berhubung alasan penarikan balik pembekuan pinjaman kepada Unisel dan Kuis.

Menurutnya, alasan bahawa pembekuan pinjaman terhadap pelajar kedua-dua IPTS itu ditarik balik kerana tahu kononnya kerajaan negeri tidak mampu memberi bantuan kewangan adalah penuh emosi dan 'kurang cerdik'.

Ini kerana, kerajaan negeri telah mengumumkan  skim bantuan khas untuk pelajar yang  teraniaya oleh pembekuan tersebut.

"Malang bagi Pengerusi PTPTN, selepas menurut perintah Menteri kini terpaksa menjilat semula keputusan itu dan membuat kenyataan berbohong kononnya Kerajaan Selangor tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada pelajar.

"Apa yang jelas kenyataan tersebut menunjukkan beliau membenarkan dirinya diperangkap oleh pemimpin tertinggi Umno BN yang sekarang terpaksa membuat "U turn"; tidak sampai 24 jam pembekuan pinjaman diumumkan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Unisel akan mencairkan aset yang dimilikki IPTS itu bagi membantu mahasiswa yang tertindas ekoran pembekuan pinjaman oleh PTPTN.

Aset tersebut merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM dengan anggaran nilai RM30 juta.

Mengulas lanjut Faekah berkata, seluruh episod ini sebenarnya suatu amaran kepada penjawat awam agar tidak dengan membabi buta menurut arahan ahli politik dan menjaga integriti mereka.

Pada masa sama, beliau menggesa Menteri Umno agar tidak memperkudakan pegawai kerajaan dan berhenti mengamalkan "bersembunyi di celah kain seorang kakitangan awam".

PTPTN: Salah congak, BN terpaksa buat 'U turn'

Posted: 09 Jun 2012 05:54 PM PDT

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah pribahasa yang sesuai menggambarkan nasib menimpa Umno BN berhubung tindakan mereka membekukan PTPTN kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis).

Pada mulanya Umno menjangkakan tindakan itu bakal memberi manfaat politik yang besar terhadap mereka sekaligus memberi tekanan baru kepada Pakatan Rakyat Khususnya di Selangor.

Mungkin pada perkiraan awalnya, Umno mencongak bahawa tindakan itu akan membangkitkan kemarahan rakyat kepada Pakatan Rakyat, yang sebelum ini berjanji akan memberi pendidikan percuma jika diberi peluang mengambil alih pemerintahaan negara.

Janji itu yang dicanang berulang-ulang oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dibentang dalam debat antara Rafizi dan Khairy, terus mendapat sokongan besar khususnya daripada golongan mahasiswa dan anak muda.

Mungkin kerana gusar dengan perkembangan itu, Umno BN kemudiannya cuba 'menguji' kerajaan Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim dengan menyekat pinjaman PTPTN terhadap pelajar baru di kedua-dua universiti itu.

Pada anggapan mereka, Kerajaan Selangor tidak akan mampu menyediakan dana menggantikan pinjaman kepada pelajar Unisel dan isu itu pada mereka, akan meletup dengan persepsi bahawa 'jangan percaya janji Pakatan Rakyat lagi'.

Orang yang dilihat gembira dan 'mastermind' disebalik pembekuan itu adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin yang turut disokong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam reaksi mereka, seolah-olah mahu berkata 'padan muka kamu' kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun reaksi mereka itu mendapat kritikan dari pelbagai pihak termasuk dari beberapa pemimpin Umno sendiri yang melihat tindakan itu terlalu politik sehingga sanggup menggadai kebajikan pelajar.

Tetapi kedua-dua pemimpin ini akhirnya terpaksa 'menjilat ludah sendiri' apabila tiba-tiba Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Unisel akan mencairkan aset yang dimilikki IPTS itu bagi membantu mahasiswa yang tertindas.

Aset tersebut merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM dengan anggaran RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha tersebut.

Belum sampai 24 jam pengumuman itu dibuat, PTPTN semalam mengumumkan pula pembatalan pembekuan pinjaman tersebut kepada pelajar Unisel.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam reaksinya ketika berceramah di Kelantan malam tadi berkata, tindakan u-turn itu dibuat Umno kerana panik dengan kemampuan kerajaan negeri.

"Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.

"Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel," katanya.

Banyak pihak melihat, pertarungan dalam isu PTPTN ini, menghasilkan keptusan 3-0 iaitu Pakatan Rakyat, 3 dan BN, 0.

Mata pertama diperolehi Pakatan Rakyat apabila tawaran pendidikan percuma yang dilontarkan oleh Datuk Seri Anwar serta janji mansuh PTPTN berjaya menarik sokongan anak muda.

Mata kedua pula diperolehi melalui debat Rafizi dan Khairy apabila ramai melihat mekanisma pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma yang dijelaskan Rafizi benar-banar realistik dan mampu dilaksanakan.

Manakala mata ketiga, baru sahaja diperolehi apabila kerajaan dan PTPTN mengumumkan penarikan balik pembekuan pinjaman terhadap pelajar Unisel dan Kuis semalam.

Isu beku PTPTN: Kerajaan BN mulai panik - MB

Posted: 09 Jun 2012 05:53 PM PDT


KETEREH: Kesediaan kerajaan Selangor mencari dana bagi membantu pelajar Unisel dan KUIS membuatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti kelam kabut apabila membuka semula pinjaman PTPTN yang dibeku baru-baru ini.

Sedangkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin dalam kenyataannya sebelum ini mengakui kerajaan membeku pinjaman kepada pelajar Unisel, dianggap ramai sebagai tindak balas ekoran kesungguhan Pakatan Rakyat mahu menghapuskan PTPTN.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ekoran masalah yang dihadapi pelajar Unisel menyebabkan kerajaan negeri mencari sumber kewangan lain bagi membantu mereka.

"Hasil daripada pelbagai usaha kita sudah ada duit sebanyak RM30 juta bagi membantu pelajar selepas dinafikan hak mendapat pinjaman di bawah PTPTN.

"Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.

"Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel," katanya pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi.

Pada tempat berlangsung ceramah penuh sesak biar pun pada sebelah petang hujan lebat.  Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategik, Rafizi Ramli, Ketua Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir dan Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Isu PTPTN menjadi hangat apabila Pakatan dalam Buku Jingga menawarkan memberi pendidikan percuma kepada rakyat, dengan mengembalikan semula biasiswa yang ditukar menjadi pinjaman di bawah kerajaan BN sekarang.

Anwar pula memberitahu sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, langkah pertama akan diambil mengisytihar memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, kerajaan hanya memerlukan sekitar RM5 bilion bagi memberi pendidikan percuma dan  bantuan kepada pelajar setiap tahun.

"Setiap tahun kerajaan mendapat hasil daripada royalty petroleum sebanyak RM80 bilion, dan hanya RM5 bilion digunakan bagi tujuan pendidikan percuma.

"Kita masih lagi ada RM75  bilion, bagaimanapun pula ada pihak menganggap negara boleh bankrap dengan menyediakan pendidikan percuma. Saya pun tidak faham kaedah matematik yang mereka gunakan," ujarnya.

'Haram jadah': 5 peneroka lapor polis

Posted: 09 Jun 2012 05:52 PM PDT


TEMERLOH: Seramai lima orang peneroka sekitar Jengka semalam bertindak membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 15 Adnan Darus serta dua akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Menurut salah daripada mereka Abdul Rahim Abdul Rahman, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Temerloh itu terpaksa diambil berikutan peneroka-peneroka terbabit merasa maruah mereka diaibkan secara terbuka seolah-olah mereka orang yang bersalah.

Katanya, pada 8 Mei lalu Najib ketika mengisytiharkan 'durian runtuh' di Felda Jengka 8 telah menghina peneroka dengan perkataan haram jadah yang ditujukan kepada 8 peneroka yang memfailkan saman injunksi bagi menghalang pelupusan ekuiti saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebelum ini.

"Kenyataan yang diungkapkan Najib di hadapan 40 ribu warga Felda dan disiarkan secara langsung oleh televisyen itu telah mengakibat kami dipandang hina oleh masyarakat.

"Selepas kenyataan tersebut diungkap PM pihak media turut menjadikan kami sebagai sasaran cemuhan sepanjang agihan durian runtuh kepada peneroka sehingga menyuburkan perasaan buruk sangka dan permusuhan sesama warga Felda.

"Dengan kenyataan biadab itu juga terbit bentuk ugutan dan tekanan kepada kepada peneroka supaya tidak membawa sebarang kes bersangkutan Felda ke mahkamah, ia tentu tidak adil kerana menyekat hak peneroka untuk memilih mahkamah sebagai salah satu jalan penyelesaian," katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Abdul Rahim berkata, bagi akhbar Utusan Malaysia, pada 18 Mei lalu telah menyiarkan satu berita di muka depan bertajuk 'Peneroka Fail Injunksi Ambil Cek Durian Runtuh' dengan memaparkan gambar dua orang peneroka yang sedang menerima cek.

Tambahnya, akhbar berkenaan sengaja membuat dakwaan kedua-dua peneroka tersebut kononnya memfailkan injunksi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) walhal mereka memfailkan injunksi menghalang pelupusan aset KPF kepada FGVH.

"Akhbar berkenaan juga mendakwa peneroka-peneroka yang menjadi tumpuan ramai sengaja menebalkan muka dan menelan segala tohmahan yang dilontarkan apabila tampil mengambil cek dutrian runtuh.

"Akhbar tersebut juga mengada-adakan cerita kononnya kami berlima mengambil cek dalam keadaan tergesa-gesa dengan memberi alasan mempunyai urusan lain bagi menggambarkan kami malu," ujarnya.

Jelasnya, berita yang sengaja direka-reka itu mengakibatkan  timbulkan keadaan tidak baik, syak wasangka dan boleh menimbulkan permusuhan sesama warga Felda.

Tambahnya, akhbar Harian Metro pula menyiarkan berita menggambarkan 'peneroka lima sekawan' berkenaan tidak mempunyai prinsip kerana termakan hasutan pembangkang sehingga malu untuk berhadapan dengan peneroka lain walaupun membantah dan membawa kes ke mahkamah.

Menurutnya lagi, akhbar berkenaan hanya memetik kenyataan bohong dan fitnah daripada Pengerusi JKKR Jengka 15.

"Hasil daripada kenyataan yang disiarkan itu membuatkan mesyarakat memandang serong dan timbul prasangka buruk kepada kami," jelasnya.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah yang turut hadir, selepas ini pihaknya akan bertindak lanjut dengan memfailkan saman terhadap empat pihak di atas kerana terdapat locus standi.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan kira-kira 30 orang peneroka.

Beku PTPTN: Umno tunjuk lagak tak kena tempat

Posted: 09 Jun 2012 05:52 PM PDT


KUALA LUMPUR: BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap pelajar Unisel.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.

"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.

"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak pelajar terbabit.

Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza fahaman politik.

Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan. Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.

Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.

Lelaki tawar 10 dinar beli plak royalti Kelantan

Posted: 09 Jun 2012 05:52 PM PDT


KUALA LUMPUR: Belum sampai dua hari plak asal Sokongan Tuntutan Pendaratan Minyak dan Gas ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sudah ada individu yang menawarkan harga yang tinggi untuk memilikinya.

Menurut aktivis Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan (Gegar), Mohd Fauzi Mohd Azmi, seorang lelaki menawarkan 10 dinar (RM7,990) untuk membeli plak tersebut sewaktu berkunjung ke gerai pameran Gegar hari ini.

Bagaimanapun kata Fauzi, plak itu tidak akan dijual kepada sesiapa pun kerana mempunyai nilai sejarah bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan sendiri.

"Plak itu tak akan dijual kepada sesiapa pun kecuali kalau boleh ditukar dengan royalti petroleum rakyat kelantan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, plak tersebut terpaksa disimpan 'di tempat yang selamat' kerana ia mula menarik perhatian pihak-pihak tertentu.

"Pagi tadi saya terima penggilan yang kata dia dari pihak istana, nak ambil plak itu untuk cop mohor sultan.

"Tapi saya hubungi kawan yang bekerja di istana, dia kata tak ada. Kalau ada, istana mesti keluarkan surat terlebih dahulu. Jadi kami risau ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dapatkan plak itu kemudiaan menghancurkannya," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Gegar meneruskan usaha mendapatkan tandatangan orang -orang kenamaan dari pelbagai parti politik untuk menyokong usaha NGO itu mendapatkan hak rakyat Kelantan.

"Kita sedang kumpul tandatangan  VIP tak kira aripada Umno, PAS, PKR, DAP atau dari mana-mana pun untuk menadapatkan sokongan mereka.

"Sekarang kita bukan fokus kepada royalti rakyat Kelantan sahaja tapi kita nak hasil minyak didaratkan di Kelantan, bukan di Thailand, bukan di tempat lain." tegasnya.

Kelmarin, Tuanku Sultan Muhammad ke-V  berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum itu bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV.

Pemuda PAS gesa Malaysia tutup kedutaan Syiria

Posted: 09 Jun 2012 05:51 PM PDT


KUALA LUMPUR: Hampir 100 orang menyertai demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Syiria hari ini bagi membantah tindakan kejam regim Bashar Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyatnya.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan kedutaan itu di Jalan U-Tant.

Mereka melaungkan slogan 'Hancur Bashar', 'Selamatkan Syiria', 'tutup Kedutaan Syiria'.

Mereka turut membawa poster dan kain rentang bertulis 'Stop children killer now' dan 'Assad=hitler' serta mengibarkan bendera Syiria.

Minggu lalu, di Houla menyaksikan pembunuhan beramai-ramai membabitkan kematian lebih 100 penduduk, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Biarpun pembunuhan itu dinafiakan Bashar Assad, namun Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pembangkang negara itu mempunyai sangkaan kuat bahawa pembunuhan itu dilakukan tentera pro kerajaan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan pada himpunan itu hari ini mendesak agar Kerajaan Malaysia menutup dengan segera Kedutaan Syiria dan menghalau mereka dari bumi Malaysia.

"Kita berkumpul ini adalah tanda sokongan kita sebagai umat Islam yang menentang kekejaman Bashar, yang mana telah memalukan umat Islam di seluruh dunia.

"Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dalam hal ini, sepatutnya kerajaan jangan lepas tangan dan mesti menutup kedutaan dengan segera," jelasnya.

Tambahnya lagi, tindakan penutupan kedutaan ini adalah sebagai tanda bahawa kita menentang kekejaman yang dilakukan oleh Bashar.

Menurutnya lagi, demo bantahan ini akan terus dilakukan jika suara rakyat Malaysia dan umat Islam tidak didengari oleh kerajaan.

"Ini merupakan perhimpunan kali kelima dilakukan terhadap bantahan kekejaman tersebut dan jika kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan kita akan meneruskan perhimpunan ini pada masa akan datang.

Pada perhimpunan kali ini tiada memorandum diserahkan kepada pihak kedutaan, kerana sehingga sekarang tidak ada jawapan langsung diperoleh terhadap memorandum yang diserahkan sebelum ini.

Himpunan aman yang turut disertai rakyat Syiria itu berakhir kira-kira jam 3 petang.

Turut menyertai perhimpunan tersebut adalah Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dan juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad.

Tiada ulasan:

Pengikut