Khamis, 7 Jun 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


‘Teruskan, jika ini cara Umno akhiri hayat mereka’

Posted: 06 Jun 2012 11:44 PM PDT


KUALA LUMPUR: "Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka," kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyatakan demikian menerusi twitter berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai demonstrasi sekumpulan NGO di Kota Darulnaim semalam.

"Saya ditunjukkan dengan muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memuatkan demonstrasi NGO pro Umno di hadapan Kota Darulnaim semalam yang membawa kereta tolak dan alat-alat pembinaan, kononnya sebagai 'sumbangan' untuk pembinaan lebuhraya.

"Saya katakan, jika Umno merasakan dengan budaya seperti ini, mereka akan mendapat sokongan, teruskanlah," tulis beliau.

Tetapi beliau yang juga Mursyidul Am PAS ingin mengingatkan, selepas tarian punggung, hadiah 'najis' di Pulau Pinang, demonstrasi kepala lembu dan sebagainya, hari ini dengan perbuatan seperti itu, semuanya hanya menjatuhkan maruah bangsa Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno.

Percayalah, tegasnya Umno sendiri akan malu dengan perbuatan itu satu hari nanti.

Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka.

WWW 1: Pemuda PAS persoal apa agenda Kosmo

Posted: 06 Jun 2012 11:44 PM PDT


IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini.

"Saya hairan kenapa dalam banyak-banyak media perdana, Kosmo sahaja yang terlalu teruja memainkan isu ini.

"Umum mengetahui Kosmo adalah merupakan anak syarikat Utusan dan kami melihat seolah-olah ada seseorang di belakangnya yang cuba bermain api," katanya ketika sidang media selepas Mohammad Nizar selesai memberikan keterangan kepada polis di Pejabat PAS Perak, semalam.

Dalam Kosmo bertarikh 8 April, akhbar itu telah mula menimbulkan isu ini dengan menggambarkan akan berlaku catatan rekod bidaan tertinggi.

Seterusnya pada 25 Mei Kosmo telah mendedahkan bahawa Sultan Johor telah memenangi bidaan plat kenderaan WWW 1 dan dalam keluaran itu juga Kosmo secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan tersebut.

Pada 28 Mei pula, Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat tersebut dan turut memainkan isu ini pada 30 Mei di mana Dewan Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung keluaran itu.

Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.

"Kenapa pada 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya.

Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar turut mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak membuat sebarang tindakan dan kenyataan kepada Kosmo yang terang menjurus kepada Sultan Johor.

"Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini.

"Pemuda PAS kesal dengan situasi yang berlaku dan kami sangat kesal dengan sikap pihak Polis yang terbukti tidak adil dan memilih 'bulu' dalam mengenakan sesuatu tindakan.

Turut bersama-sama dalam sidang media itu ialah Mohammad Nizar bersama-sama peguam dan pimpinan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Perak.

Peranan kuasa ketiga dalam forum di Balai Islam

Posted: 06 Jun 2012 11:42 PM PDT


KOTA BHARU: Peranan kuasa ketiga dalam pilihan raya umum ke 13 nanti bakal dibedah sempena program bual bicara bersama Facebookers 15 Jun ini.

Program yang akan diadakan di Balai Islam Lundang, tapak pelbagai program wacana sebelum ini itu, akan menampil empat penal hebat.

Mereka adalah Exco kerajaan negeri, Datuk Nik Mohamad Amar, Dr Yusri Mohamad (bekas Presiden Abim), Dr Maszlee Malik (Pensyarah UIA) dan Ustaz Fauzi (Isma).

Di samping mereka, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dijangka akan memberikan ucapan dan amanatnya di majlis ini.

Dua moderator akan mengendalikan forum ini iaitu Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Baihaqi Atiqullah dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong.

Isu kuasa ketiga selain BN dan Pakatan Rakyat menjadi sebutan pelbagai pihak sebelum ini.

Namun siasapakh mereka masih menjadi tandatanya.

Yang disebut-sebut adalah para NGO yang bergerak di negara ini.

NGO pula ada yang ditubuhkan oleh parti pemerintah untuk menjadi jurucakap dan kumpulan pendesak bagi pihak mereka di samping NGO yang bebas dari parti politik.

RTM: Tidak memadai sekadar bentang manifesto

Posted: 06 Jun 2012 11:41 PM PDT


KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendirian keputusan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi televisyen adalah tidak memadai untuk akses pilihan raya yang adil.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, meskipun DMPP menyambut baik keputusan itu, namun kerajaan juga harus memberi ruang kepada parti-parti politik menerangkan manifesto mereka dan menjawab segala tohmahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Sekadar memberi ruang kepada pembentangan manifesto tidak mencukupi. Apatah lagi ketika Umno BN sepanjang masa melontarkan fitnah terhadap PR melalui 24 jam siaran TV dan radio yang dikuasi mereka.

"Ruang dan peluang yang lebih adil dan berimbang kepada semua parti politik dalam menjayakan demokrasi pilihan raya mesti berjalan dan terpakai kepada semua tanpa memilih bulu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan pembentangan manifesto parti-parti politik dalam waktu yang dihadkan.

Aiman berkata, tiada guna PR diberi masa satu atau dua jam untuk membentangkan manifesto tetapi selepas itu PR diserang dan diperlekeh sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Justeru katanya, pengumuman Rais itu seperti melepaskan batuk di tangga dan usaha mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan melaksanakan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"DMPP percaya pengumuman ini hanyalah suatu tindakan silap mata bertujuan mengaburi kesedaran rakyat, membohongi rakyat yang kononnya kerajaan telah memenuhi tuntutan Bersih 2.0.

"Kita yakin dan percaya pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) kini sangat tertekan dengan kesedaran dan kebangkitan rakyat," katanya lagi.

Walau bagaimanapun ujarnya, rakyat konsisten mendesak kerajaaan memenuhi lapan tuntutan Bersih, salah satunya akses media yang adil kepada semua parti.

"Sbg pihak DMPP cabar pentadbiran Najib agar berani dan matang dalam menghadapi rakyat. Jangan asyik menjerit meminta pimpinan PR jadi anak jantan tapi Umno BN sendiri jadi pondan," tegasnya.

WWW 1: Nizar serah kepada polis untuk siasat

Posted: 06 Jun 2012 05:22 PM PDT


IPOH: Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memberi keterangan kepada dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Utara berhubung isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu  bersama 7 peguamnya yang diketuai oleh Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Asmuni Awi telah memberi keterangan kepada Ketua Siasatan Jenayah IPD Johor Bharu DSP Sanawi Muhamad bersama-sama DSP Sukiman Arshad.

Dua Pegawai Polis tersebut tiba di Pejabat PAS Perak, Ipoh kira-kira jam 2.05 petang dan mengambil masa hampir sejam untuk merakamkan keterangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Nizar ketika membuat sidang media selepas itu berkata sebanyak 28 soalan telah dikemukakan dan menjawab kesemuanya.
 
"Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan," katanya kepada Harakahdaily.

Mohammad Nizar sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 dengan kos RM520,000.

Sehubungan dengan itu, sebanyak 41 laporan polis daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhubung kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Nizar.

Beliau disiasat mengikut Akta Hasutan.

Majlis Perasmian Pusat Penerangan PAS Kelantan

Posted: 06 Jun 2012 05:21 PM PDT

Sultan tandatangani plak sokong tuntutan royalti

Posted: 06 Jun 2012 05:17 PM PDT


KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum.

Baginda berkenan melawat booth Royalti sebuah Gabungan Profesional Kelantan Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan, bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di pekarangan Stadium Sultan Mohamad IV, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menurunkan tandatangan sokongan, lapor laman web Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan http://royaltikelantan.com

Setiausaha Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) Muhammad Hishamuddin Ghazali berkata sokongan Sultan Kelantan merupakan satu anjakan terbesar terhadap kempen tuntutan rakyat yang berterusan.

Ini juga menunjukkan bahawa perjuangan tersebut perlu disokong semua rakyat Kelantan.

Beliau mengulas tindakan Sultan Muhammad V yang menurunkan tandatangan pada plak semasa kempen tersebut diadakan di Ekspo Pertanian Kelantan 2012 yang berlangsung selama lima hari dari 5 Jun hingga 10 Jun 2012.

"Tindakan sokongan baginda yang merupakan ekspresi rakyat Kelantan atas dasar baginda Sultan sebagai pemimpin rakyat Kelantan.

Perjuangan Gegar tidak mengira sentimen politik kerana kami menuntut hak rakyat Kelantan yang dinafikan," Hisahmuddin mengulas.

Gegar meneruskan kempen tandatangani kain rentang selepas beberapa siri diadakan berjaya mengumpul lebih 50,000 tandatangan.

Gegar akan terus bergerak untuk menyemarakkan lagi kempen sehingga tuntutan rakyat ini berjaya.

Kerajaan Negeri Kelantan membuat tuntutan royalti berdasarkan perjanjian di bawah Akta 144 Petroleum Development Act 1974 yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa cari gali petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti lebih RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 hingga kini.

Lebuhraya: Umno tabur janji sejak 1986

Posted: 06 Jun 2012 05:17 PM PDT


KOTA BHARU: Kegagalan Umno mengota janji sejak 1986 kini cuba diselesaikan kerajaan PAS apabila melakukan upacara pecah tanah membina lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) menyenaraikan projek pembinaan lebuh raya berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-5, malangnya sehingga sekarang gagal dilaksanakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, janji Umno sejak 26 tahun lalu gagal dilaksanakan sehingga kerajaan negeri sekarang terpaksa mengambil tanggungjawab tersebut.

"Kita buat lebuh raya bagi menunaikan janji yang ditinggalkan Umno sejak 1986.

"Namun malangnya sehingga RMK-10 projek berkenaan tidak menjadi kenyataan. Inilah isu sebenar, bukannya soal PAS mahu berjanji kepada rakyat," katanya selepas perasmian Pusat Penerangan PAS Kelantan di sini hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya, Dato' Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat.

Pusat penerangan tersebut beroperasi di tingkat bawah Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, mempunyai dua petugas tetap bagi menyalur pelbagai maklumat kepada orang ramai.

Pagi tadi sebuah NGO Umno yang dikenali sebagai Gerakan Tukar Kerajaan PAS Kelantan Demi Rakyat (Tukar) mengadakan demontrasi di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa cangkul dan peralatan pembinaan usang.

Demontrasi itu disifatkan sebagai mempersendakan projek lebuh raya rakyat disertai beberapa pemimpin Umno. Mereka turut menyerah memorandum kepada kerajaan negeri.

Dr Fadzli yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berkata, lebuh raya rakyat diletak batu asas baru-baru ini sebagai langkah kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, lebuh raya tersebut apabila siap kelak dilalui semua rakyat dan ia dianggap satu keperluan mendesak bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas.

"Bukan bermakna kita sampai meminta sedekah apabila membina lebuh raya tersebut. Apa yang kita tekankan ialah konsep berkebajikan bagi membolehkan semua pihak mengambil bahagian.

Selepas 2 tarik diri, Hisham patut bubar Panel Hanif

Posted: 06 Jun 2012 05:16 PM PDT


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein tidak wajar melancarkan perang video tetapi sewajarnya membubarkan Panel Hanif selepas dua anggotanya meletakkan jawatan.

Langkah ini perlu dibuat Hishamudin selepas perletakan jawatan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah yang telah menarik diri daripada keahlian panel itu.

Demikian kata Ketua anggota Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beliau, tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi sokongan padu kepada penyiasatan Suhakan terhadap Bersih 3.0 dan membubarkan panel penyiasatan Hanif,

Tugas itu, katanya, lebih wajar berbanding dengan tindakannya melancarkan 'perang video' untuk memberi justifikasi dalam versi rasmi apa yang benar-benar telah berlaku pada "428"

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah membuat pengumuman bahawa satu kompilasi video perhimpunan Bersih 3.0 akan dinaik muat kedalam laman sesawang KDN.

Bagi beliau, ini merupakan satu perkembangan yang sememangnya buruk selepas Bersih 3.0 dengan kempen fitnah dan tohmahan yang telah dilancarkan oleh Barisan Nasional terhadap Pakatan Rakyat selepas perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu.

Tugas utama Hishammuddin sebagai Menteri Dalam Negeri bukanlah entiti yang patut dituduh mahupun yang patut menghakimi, tetapi yang seharusnya memberi sokongan padu kepada penyiasatan yang saksama dan kredibel, katanya.

"Saya bersetuju penuh dengan Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah yang telah berkata tindakan Hishammuddin dalam menaik muat kompilasi video Bersih 3.0 adalah bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menubuhkan panel Hanif kerana ia akan dilihat sebagai tekanan untuk mempengaruhi proses penyiasatan dan penemuan penyiasatan tersebut," kata Kit Siang.

Dua hari yang lepas, Hanif telah berkata panelnya telah ditunjukkan lebih daripada 43 minit rakaman video perhimpunan 28 April daripada 73 jam klip video yang sedia ada.

Jika Hishammuddin bersedia untuk membenarkan orang awam membuat keputusan sendiri mengenai apa yang telah benar-benar berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0, adakah beliau bersedia untuk menaik muat kesemua 73 jam klip video Bersih 3.0? soalnya.

Jual rahsia negara: PKR cabar Najib jelaskan

Posted: 06 Jun 2012 05:15 PM PDT


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara.

(Azmin dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini)

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan Najib harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.

Sebelum itu, Azmin memberitahu pendedahan NGO Suaram bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.

Menurutnya, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh Suaram berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang mengamalkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan beberapa perkara.

"Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS.

"Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," jelas Azmin.

Tambahnya lagi, dokumen sulit itu dijual pada harga RM142 juta dalam keadaan syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited tersebut dimiliki oleh penasihat utama Najib.

Azmin turut menyatakan skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata.

"Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk mengadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.

"Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan," sambungnya lagi.

Beliau turut mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.

"Sekiranya ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera," tambah Azmin lagi.

Tindakan penjualan dokumen sulit ini secara tidak langsung membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

Menteri Pendidikan Tinggi: Khairy ganti Khalid Nordin

Posted: 06 Jun 2012 05:15 PM PDT


KUALA LUMPUR: Walaupun menjadi seterusnya dalam debat, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan agar Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang baru.

Ini kerana, cadangan Khairy sepanjang debat PTPTN baru-baru ini jauh lebih berwibawa berbanding dengan tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin.

Pandangan Rafizi ini diberikan beliau ekoran kenyataan Khalid yang menyokong tindakan PTPTN menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar baru Unisel.

Khalid dalam kenyataannya berkata, "Unisel boleh hapuskan yuran, dgn sendirinya memenuhi matlamat
pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yg dilaungkan Anuar dan Pakatan"

"Gelagat beliau yang seolah-olah meraikan kepayahan ribuan pelajar dan mengamalkan politik dendam menimbulkan tanda tanya yang lebih besar:

"apakah beliau sendiri yang mengarahkan agar PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai sebahagian dari mainan politik dendam Umno/Barisan Nasional?" soal Rafizi dalam kenyataannya.

Bagi beliau, perkembangan terbaru bahawa PTPTN bertindak menyekat pinjaman pelajar Unisel adalah membimbangkan.

Polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar diraikan.

PKR, katanya, mengambil pendirian bahawa model pendidikan tinggi sedia ada yang mendahulukan pendidikan swasta dengan menghadkan pelaburan di dalam institusi pendidikan awam akan menjerumuskan negara ke kancah hutang seperti yang telah berlaku di negara-negara lain.

Pada masa yang sama, PKR juga,  yakin bahawa Malaysia mampu menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya berdasarkan kira-kira yang telah dibentangkan kepada rakyat, kata Rafizi.

Oleh kerana pendidikan tinggi adalah bidang kuasa pusat dan mengikut Perlembagaan dibiayai oleh dana kewangan Kerajaan Pusat, maka sebarang perubahan dalam model pendidikan tinggi negara hanya boleh dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Pusat, tegasnya.

Seharusnya, kata beliau, Datuk Seri Khaled Nordin, sebagai Menteri Pendidikan Tinggi menjadi pemuka yang paling intelek untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta seperti yang diamalkan sekarang, bukannya mengambil sikap kebudak-budakan dengan berdendam dan menghukum pelajar.

"Saya juga harus memuji rakan saya Saudara Khairy Jamaluddin yang jelas lebih professional dan berilmu dalam hal ini, sewajarnya beliaulah yang dilantik menjadi Menteri Pendidikan Tinggi oleh Umno/Barisan Nasional bagi menggantikan Datuk Seri Khaled Nordin," kata Rafizi dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," tegasnya.

Jika beliau tidak terlibat, beliau harus bertanggungjawab campur tangan dan memastikan tindakan kebudak-budakan yang zalim ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang.

Tiada ulasan:

Pengikut