Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Najib tidak lena tidur dengan Bersih 3.0
- PBB selar, kata tak lulus ‘gas pemedih mata’
- Kelantan mula bina lebuh raya KB-KK akhir bulan ini
- Ceramah Perdana Pasca Bersih 3.0
- Fokus 8 tuntutan Bersih, abai putar belit media
- Rahim Noor berdepan tindakan mahkamah
- 'Haram jadah'... Inikah bahasa perdana menteri?
- Kajian: Majoriti setuju keluarga Shahrizat bayar semula wang NFC
- Fitnah menggila, Pemuda PAS arah puasa 3 hari
Najib tidak lena tidur dengan Bersih 3.0 Posted: 10 May 2012 12:14 AM PDT KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak kini tidak lena tidur lantaran berdepan isu Bersih 3.0 28 April lalu. Ini kerana beliau tidak menduga jumlah orang keluar (menyertai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 itu) begitu ramai hingga mencecah bilangan 300 ribu orang. (Nik Amar menyampaikan sumbangan CSR kepada salah seorang penerima dengan diperhatikan CEO PMBK) "Jadi ketakutan dia menghadapi kesedaran dan kebangkitan rakyat inilah menyebabkan dia menganggap ini (himpunan Bersih 3.0 itu) adalah usaha untuk menggulingkan kerajaan," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri bercakap kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Imam Al-Ghazali Siri Ke-4 kepada pelajar baru sesi 2012/2013 (Corporate Social Responsibility) di Nilam Puri dekat sini petang semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir Mustapha Salleh, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tengku Azmi Tengku Jaafar, Pengetua dan guru-guru YIK. "Memang kita nak tukar kerajaan (yang ada sekarang) tetapi melalui kaedah pilihan raya, sebab itu kita nakkan pilihan raya itu adil dan bersih," katanya. Beliau mendakwa, pilihan raya di Malaysia ini memang tidak adil. "Dan selagi penambahbaikan (sistem pilihan raya) ini tidak dibuat, maka selama itulah pilihan raya itu berlangsung dalam keadaan yang tidak adil. Itu bendanya," jelas beliau. Jadi, kata Nik Amar, perkara itulah PAS dan Pakatan Rakyat (PR) meminta supaya diperbetulkan keadaannya. Kini Bersih 3.0 diadakan dengan harapan pihak kerajaan (Suruhanjaya Pilihan Raya) melalukan perubahan bagi menghadapi pilihan raya termasuk PRU-13. "Sebab itulah kita meminta pilihan raya ini tidak diadakan sehinggalah pembetulan dan penambahbaikan sistem pilihan raya itu dilaksanakan," tegas beliau. Beliau mendakwa PAS melihat sejak awal lagi bahawa pilihan raya mestilah adil dan bersih. Dan mana-mana pihak yang nak menang, mestilah menang dengan mendapat sokongan melalui cara yang betul. "Kalau orang ini (rakyat) sokong kerajaan dengan cara yang salah, cara tidak betul, memang tidak menjadi kerajaan yang baik. "Sebab itulah kita mempertikaikan termasuk bagi duit (memberi wang kepada rakyat) terutama dekat dengan pilihan raya. "Kalau nak tolong rakyat, kenapa tidak dibuat lebih awal. Kenapa masa (hampir dengan) pilihan raya baru dibuat (diberi wang kepada rakyat)," tegasnya. |
PBB selar, kata tak lulus ‘gas pemedih mata’ Posted: 10 May 2012 12:14 AM PDT KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan bahawa badan antarabangsa tersebut terlibat dalam 'meluluskan' senjata seperti gas pemedih mata sebagai reaksi kepada dakwaan kerajaan Malaysia bahawa gas pemedih mata yang digunakan dalam Bersih 3.0 adalah diluluskan PBB. "PBB tidak menetapkan piawai antarabangsa terhadap sebarang jenis bahan iritasi, atau meluluskan 'CS Gas' sebagai bahan pengawal rusuhan," kata Dr Lin Mui Kiang, penyelarasan pakar PBB bagi Malaysia. Beliau merujuk kepada satu laporan oleh akhbar milik MCA, The Star yang memetik Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Persenjataan), ACP Syed Mustafa Raja Syed Nordin sebagai mempertahankan penggunaan gas pemedih mata, bom gas pemedih mata, kanister gas pemedih mata dan semburan lada di perhimpunan Bersih 3.0. "Kesemuanya diimport dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Switzerland serta mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Alat ini mengandungi 'gas CS' yang diluluskan oleh PBB sebagai ejen kawalan rusuhan. Kebanyakan negara mengesahkan penggunaan gas ini tidak membawa maut," beliau dipetik sebagai berkata. Mengutuk kekurangan profesionalisme oleh media perdana Malaysia dan pegawai awam, Lin turut melahirkan rasa kesal bahawa PBB tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum The Star membuat laporan tersebut, yang disifatkan beliau jauh tersasar daripada ketepatan maklumat. Beliau mengingatkan walaupun dalam situasi di mana kekerasan dan senjata perlu digunakan, pihak berkuasa mestilah bertindak secara terkawal, minimakan kerosakan dan kecederaan, hormat dan lindungi nyawa. "Kita di PBB menyeru agar para wartawan untuk menyelidik dan melaporkan secara betul dan tepat atas segala maklumat dan prosedur yang melibatkan PBB. Kita percaya bahawa professionalisme sebegini perlu juga ada pada pegawai awam," kata Lin. Sebanyak lebih 250,000 peserta telah menbanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lepas untuk menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 untuk menuntut penambah-baikan segera pada sistem pilihanraya negara. Lebih 500 peserta telah ditahan, ramai yang tercedera termasuk polis dan wartawan. Kerajaan Barisan Nasional terdahulunya telah menolak tawaran seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Frank William La Rue, untuk menyiasat Bersih secara objektif. Sebaliknya, kerajaan melantik bekas ketua polis negara Hanif Omar untuk mengetahui "panel penasihat bebas" untuk menyiasat insiden keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0. |
Kelantan mula bina lebuh raya KB-KK akhir bulan ini Posted: 10 May 2012 12:13 AM PDT KOTA BHARU, 10 Mei: Pembinaan Lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 73 kilometer yang tergendala sebelum ini bakal dibina akhir bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar), berkata sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk pembinaan yang merangkumi tiga fasa itu. Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang medianya semalam. Husam bagaimanapun berkata, tarikh pecah tanah untuk pembinaan lebuh raya ini akan diputuskan dalam tempoh dua hari ini. Beliau juga turut memberitahu, kerajaan Kelantan telah menerima cadangan dari pemaju untuk membina lebuh raya berkenaan dan cadangan itu telah disemak dan dinilai oleh sebuah jawatankuasa. "Selepas ianya disemak oleh jawatankuasa berkenaan kerajaan negeri bersetuju memilih dua syarikat untuk menguruskan projek sebagai peneraju utama. "Tempoh pembinaan lebuh raya ini dua tahun setengah yang dibina atas tanah kerajaan. "Bagi baki pembinaan di atas tanah milik orang ramai, kerajaan negeri menyerahkan pada JKR untuk menguruskan pengambilan balik tanah," ujarnya. Menurutnya, konsep yang dipakai untuk lebuh raya itu berkonsepkan lebuhraya negeri yang tidak akan melibatkan pembayaran tol oleh rakyat. Katanya, ianya berkonsepkan bebas tol dan akan dibiayai oleh kerajaan negeri sepenuhnya. Tambahnya, kerajaan negeri berharap cita-cita rakyat Kelantan untuk melihat sistem perhubungan yang cepat, selamat dan selesa akan terlaksana. Katanya, kedua-dua kontraktor berkenaan akan bertanggungjawab kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang dilantik khusus oleh exco untuk memantau serta mengendalikan pembiayaan lebuh raya itu. "Syarikat Baldah Toyyibah (Prasarana Kelantan Sdn Bhd) telah ditubuhkan untuk memantau projek ini dan seluruh prasarana di negeri itu pada masa akan datang," ujarnya. Menurutnya, syarikat itu diilhamkan sendiri oleh Menteri Besar. Katanya, pembinaan lebuh raya itu akan membuka minda dan usaha sedemikian boleh dilakukan oleh kerajaan negeri dan sekatan yang dilakukan oleh pihak lain terhadap negeri ini akan terhenti. Dengan cara itu, katanya rakyat di negeri ini akan dapat menikmati kemudahan asas sebagaimana di negeri-negeri lain. Jelasnya, lebuh raya itu melibatkan tiga fasa, di mana fasa pertama melibatkan tanah-tanah kerajaan. |
Ceramah Perdana Pasca Bersih 3.0 Posted: 09 May 2012 05:06 PM PDT |
Fokus 8 tuntutan Bersih, abai putar belit media Posted: 09 May 2012 05:04 PM PDT KUALA LUMPUR, 8 Mei: 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong Bersih 2.0 meminta semua pihak kembali fokus kepada lapan tuntutan Bersih dan tidak melayan putar belit media arus perdana. Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Nahar Md Nor berkata, media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu. "Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang fokus. "Kita nak agar isu dan tuntutan Bersih ni balik kepada asal dan kita tak mahu isu-isu lain yang cuba dialih pihak media kerajaan daripada tuntutan sebenar Bersih," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, hari ini. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), Tan Jo Hann berkata, isu pokok yang dibawa Bersih diputar belit, dan menutup keganasan polis terhadap orang awam dan media. "Bersih wujud bukan disebabkan personaliti, menggulingkan kerajaan, komunis yang dimainkan oleh media arus perdana. "Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," katanya. Jo Hann yang berpengalaman sebagai jurufoto di Filipina juga menyifatkan keganasan polis pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai melampau. "Tujuh tahun jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian. "Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami," katanya. Turut serta ialah Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). |
Rahim Noor berdepan tindakan mahkamah Posted: 09 May 2012 05:03 PM PDT KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka memfail saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor ekoran kegagalan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai "bapa kafir". Semalam Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan. Pengerusi lajnah terbabit, Hisham Fauzi berkata, selepas peluang yang diberi untuk menarik balik kenyataan dan memohon maaf tidak dimanfaatkan, maka tindakan mahkamah perlu diambil. "Tindakan saman juga akan dikenakan terhadap NST yang menyiarkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara terbabit kerana belum melakukan pembetulan. "Saman itu dibuat atas nama Menteri Besar sendiri. Kita juga sudah berbincang dengan pasukan peguam Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat," katanya di sini. Bekas Ketua Polis Negara terbabit dalam kenyataan seperti dilapor sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai "bapa kafir" kerana dianggap mengelirukan umat Islam berhubung kenyataan wajib menyokong Bersih 3.0. Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan. Hisham berkata, pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang ekoran peluang diberi semalam tidak dimanfaat sepenuhnya Rahim. Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pemuda PAS Tanah Merah membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Polis Negara terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini. Laporan berkenaan dibuat Mohd Darulhisham Kamaludin mewakili Pemuda PAS Tanah Merah. Hampir 100 pemuda PAS Tanah dan AMK hadir bagi memberi sokongan, turut hadir anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani. Petang semalam laporan serupa dibuat Pemuda PAS Pasir Puteh. Manakala Pemuda PAS Negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Rahim dan menyifatkan bekas ketua polis itu seperti hilang kewarasan dan pertimbangan akal. Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sindrom hilang akal dan kewarasan seperti itu bukan perkara baru kerana Rahim pernah disabitkan kesalahan kerana menumbuk Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada 1998. "Jika pada masa itu beliau masih Ketua Polis Negara boleh hilang pertimbangan, maka tidak menjadi perkara pelik sekiranya kehilangan pertimbangannya berulang kembali. "Dalam hal ini mungkin Rahim tidak dapat membezakan istilah wajib yang disebut Tuan Guru Nik Aziz dan perbezaannya dengan wajib syarie di sisi agama. "Wajib yang disebut Menteri Besar bukanlah bererti bahawa jika tidak dilakukan jatuh kepada hukum haram tetapi hanyalah sebagai gesaan kepada rakyat menuntut pilihanraya yang adil," katanya. |
'Haram jadah'... Inikah bahasa perdana menteri? Posted: 09 May 2012 05:02 PM PDT KUALA LUMPUR: Di kala ada yang kononnya 'tersandar' selepas mendengar pengumuman durian runtuh oleh Perdana Menteri, namun ada juga yang terkejut dengan 'bahasa kesat' yang digunakan Datuk Seri Najib dalam ucapannya semalam. (PM ketika menghamburkan kata 'haram jadah' kepada sesetengah peneroka semalam) Najib dalam ucapannya di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, Pahang semalam dengan nada tegas dua kali mengulangi perkataan 'haram jadah'. Beliau dipercayai menujukan kata-kata itu kepada pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia. Menurut Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang bergelar perdana menteri. "Tak sangka perdana menteri yang dilihat bapa kepada rakyat, tetapi mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakyat sendiri," katanya. Yang menjadi persoalan kata Mazlan, apa yang menyebabkan Najib begitu marah sehingga sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu. "Perkataan ini jarang orang guna kecuali dalam keadaan terlalu marah. "Dengan pengumuman durian runtuh itu, perdana menteri sepatutnya gembira kerana bakal mendapat sokongan dari peneroka. Tapi kenapa sampai perlu menyumpah haram jadah," soalnya lagi. Mazlan berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam media arus perdana dari malam tadi dan hari ini, tiada pun media yang melaporkan kenyataan yang dikeluarkan Najib itu. Bagaimanapun ujarnya, rakyat semalam dapat melihat dan mendengar dengan jelas ucapan Najib itu yang disirkan secara langsung melalui televisyen. |
Kajian: Majoriti setuju keluarga Shahrizat bayar semula wang NFC Posted: 09 May 2012 05:02 PM PDT KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati majoriti dari responden bersetuju agar keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan semula wang Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada kerajaan. Daripada 2,282 responden, 66 peratus adalah bersetuju agar wang pinjaman RM250 juta dikembalikan, 29 peratus tidak pasti dan hanya 5 peratus tidak bersetuju. Hasil kajian juga menunjukkan kesemua bangsa bersetuju bahawa isu skandal NFC telah menjejaskan imej Umno dan memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Kajian itu merekodkan Melayu 68 peratus bersetuju ianya memberi gambaran Umno mengamalkan rasuah, Cina 80 peratus dan India 45 peratus. Selain itu, 48 peratus pula bersetuju isu skandal NFC ini sukar diselesaikan kerana Shahrizat merupakan ketua wanita Umno, manakala 13 peratus tidak setuju dan 35 peratus tidak pasti. Kajian bagi melihat kecenderungan politik menjelang pilihan raya umum ke-13 itu dibuat pada 13 Mac hingga 15 April di seluruh Malaysia. |
Fitnah menggila, Pemuda PAS arah puasa 3 hari Posted: 09 May 2012 05:01 PM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh anggotanya dan umat Islam prihatin untuk berpuasa sunat tiga hari berturut-turut bagi menangkis fitnah yang semakin menggila sejak kebelakangan ini. Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, puasa sunat itu dicadang dibuat serentak di seluruh negara bermula Khamis, Jumaat dan Sabtu ini. "Menolak dan menangkis segala fitnah jahat secara sistematik yang dilakukan kepada PAS maka kami Dewan Pemuda PAS Malaysia mengarahkan seluruh ummat Islam prihatin khasnya pemuda PAS agar berpuasa selama 3 hari berturut - turut iaitu bermula hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. "Kemudian diakhiri dengan Munajat Perdana pada Hari Sabtu jam 8.45 malam serentak seluruh negara di kawasan masing - masing," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini. Fitnah menggila itu katanya sedang disasarkan terutama kepada PAS serta anggota dan pemimpinnya. Ianya termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap 'Father of Kafir' oleh Bekas Ketua Polis Negara dan disiar pula oleh NST (gambar atas). Selain itu, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Johari Osman diugut dengan sepucuk surat berisi sebutir peluru hidup. Sebelumnya anggota Unit Amal Mat Kamal Ismail telah ditangkap ekoran terlibat dengan himpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Satu lagi fitnah katanya sedang ditiupkan media arus perdana seperti TV 3 dan Utusan Malaysia yang tidak henti-henti menggambarkan kononnya Bersih 3.0 yang disokong dan disertai oleh PAS telah melakukan keganasan, memusnahkan harta benda, bermaksud menggulingkan kerajaan secara rusuhan malah turut dikait sebagai mencemarkan kesucian Tanah Suci Makkah dan Madinah Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, setiap markaz tarbiah PAS kawasan akan menganjurkan majlis solat hajat dan munajat perdana pada malam hari ketiga itu sebagai kemuncak program. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan