Selasa, 8 Mei 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan

Posted: 07 May 2012 09:28 PM PDT


KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya "bapa kafir".

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

"Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai "bapa kafir" kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan.

Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir

Posted: 07 May 2012 09:27 PM PDT


BACHOK: "Sepanjang 56 tahun bersama Umno saya tidak pernah tengok lagi politik yang paling kotor dan tidak adil berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang.

"Sekarang sudah tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya," kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad.

Perkarangan pejabat PAS di Pantai Irama dekat sini penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah sulung bekas veteran Umno terbabit di Kelantan.

Di sebelah jalan utama di hadapan Masjid Bandar Bachok sehingga ke tepi pantai penuh dengan orang ramai tanpa menghiraukan hujan yang turun rintik-rintik.

Hadir sama pada ceramah isu semasa tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad.

Pada sebelah pagi Abdul Kadir menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim dan sebelah petang bersembang bersama rakyat di Kedai Kok Lanas.

Abdul Kadir bekas anggota jawatankuasa Pemuda Umno Kampung Air Tawar, Baling pada 1956 juga berkata, suasana begitu berbeza zaman kepemimpinan Umno di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak berbanding sekarang.

Katanya, masa itu pemimpin Umno benar-benar berjuang secara ikhlas dan jujur untuk rakyat.

"Mereka tiada perangai buruk seperti pemimpin Umno la ni. Sekarang pemimpin Umno tidak perlu susah-susah kempen bagi menarik sokongan rakyat, hanya perlu hulur duit sahaja.

"Politik sekarang we need money. Hendak jadi ketua Umno tidak payah kempen hanya guna duit. Begitu juga hendak menang pilihan raya hanya guna duit.

"Umno letak orang depa dalam semua agensi penting kerajaan seperti SPR, SPRM, polis, mahkamah dan tentera. Sebab itulah depa tidak takut untuk melakukan penyelewengan dan pembaziran kerana semuanya orang kita," katanya.

Menurutnya tindak tanduk pemimpin Umno sekarang secara jelas mahu merosakkan negara kerana semua benda menggunakan umpan wang.

PIALA AFC 2012 : KELANTAN LWN AYEYAWADY UNITED

Posted: 07 May 2012 09:27 PM PDT

Siaran Langsung di RTM 1

Majlis Syura PAS sedang teliti senarai calon

Posted: 07 May 2012 09:26 PM PDT


IPOH: Proses pemilihan calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 hampir selesai dan kini berada diperingkat akhir.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sehingga kini hampir kesemua calon di semua kerusi yang ditandingi PAS sudah disenaraikan.

Menurutnya juga, Majlis Syura sudah pun meneliti senarai nama yang dikemukakan di setiap negeri sebelum diputuskan oleh peringkat tertinggi parti itu.

"Boleh dikatakan hampir selesai, kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat sebelum diputuskan jawatankuasa," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Perak Kali Ke-16 di Hotel Hillcity Ipoh, semalam.

Katanya, setiap kawasan telah menghantar sekurang-kurangnya dua nama dan ianya dipersetujui oleh Majlis Syura.

"Kami akan mengisytiharkan calon selepas parlimen dibubarkan kelak," ujarnya.

Mengenai pembahagian kerusi, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar dan cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir.

"Tiada masalah besar dalam pembahagian kerusi ini, ianya dalam proses perbincangan dan akan selesai tidak lama lagi," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai manifesto Pakatan Rakyat, beliau berkata gabungan tiga parti sudah pun menyiapkannya dan hanya akan diumumkan menjelang pilihan raya.

Ini kerana katanya, kebiasaannya Umno akan meniru manifesto Pakatan Rakyat seperti yang terjadi kepada Buku Jingga.

Sementara itu, beliau menggesa kepada jentera seluruh jentera parti di seluruh negara untuk mengibarkan bendera parti bagi membina semangat dan momentum dalam suasana bahang pilihanraya yang semakin hampir.

Majlis Fatwa bercanggah dengan Dr Yusuf Qardawi

Posted: 07 May 2012 09:26 PM PDT


KUALA LUMPUR, 7 Mei: PKR berpendirian tegas bahawa pandangan Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Abdul Shukur Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seperti yang disiarkan dalam media semalam adalah sangat bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang ilmuan Islam yang sangat berautoriti, Dr Yusuf al-Qaradawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia seperti yang tercatat dalam buku yang berjudul Thawrah al-Sha'b (Revolusi Rakyat).


Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, Dr Yusuf berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

"Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan Umno yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merujuk dahulu kepada beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat bagi mendapat fakta yang sebenar apa yang telah berlaku pada 28 April yang lalu.

"Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak wajar berat sebelah. Yang jelas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah gagal melihat insiden 28 April secara menyeluruh," ujarnya lagi.

Katanya, PKR yakin bahawa pihak penganjur Bersih 3.0 sejak dari awal lagi mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia.

Justeru, ujarnya kewibawaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai sebuah badan tertinggi dalam pembuatan fatwa amat diragukan kredibilitinya.

"Kita ingin bertanya di manakah pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap amalan budaya fitnah jahat,  perbuatan mengaibkan individu Muslim serta penyebaran video seks yang begitu berleluasa penyebarannya serta mendapat perlindungan dari pemerintah?

"Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa terhadapan keganasan fizikal yang telah dilakukan oleh pasukan PDRM ke atas demonstran dalam demonstrasi Bersih 3.0?" tanya beliau.

Katanya, rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat.

"Sesungguhnya peranan jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk mempastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan memenuhi ciri-ciri kesahihan sesuatu fatwa seperti yang dikehendaki dalam Islam iaitu mempastikan fakta yang diperolehi adalah benar bukan artificial atau penuh dengan sangkaan buruk (su' al-zann), mempunyai sandaran hukum yang berpaksi kepada al-Qur'an, Sunnah dan lain-lain sumber yang muktabar, serta adil.

"Adalah jelas bahawa fatwa Jawatankuasa Kebangsaan lebih berbaur 'politik murahan' dari kewibaan fatwa yang dibahaskan oleh alim ulama yang berautoriti," katanya lagi.

Media rayakan kemungkaran media jahiliah

Posted: 07 May 2012 09:25 PM PDT


KUALA LUMPUR, 7 Mei: Media yang menganjurkan sikap merayakan kemungkaran dengan niat hiburan atau politik apatah dengan mengaibkan sesama Islam maka tentulah media tersebut menjadi media jahiliah, demikian tegas Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar).

Tambahnya, media jahilian tidak memiliki fikiran dan perasaan terhadap peradaban dan tidak mentaati sikap Islam sebagai agama syumul yang mencahayakan kebenaran dan kebaikan buat umat manusia.

"Islam adalah agama rasmi negara ini, maka segala perilaku, perbuatan, pemikiran dan tindakan baik secara individu, apatah lagi sebagai institusi hendaklah menempatkan sikap menghormati cara Islam menguruskan penghidupan manusia. Tentulah media juga tidak lepas dari posisi ini," katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas sikap media arus perdana yang keterlaluan dalam laporan mereka akhir-akhir ini, katanya, fungsi media sebagai pemacu pembentukan jasmani yang bersih, dan rohani yang mulia adalah gerakan yang mengatasi segala kepentingan, politik atau budaya.

Malah katanya, takut pada tekanan autokrasi dengan menghalalkan rasuah, pecah amanah, penindasan, penipuan, dan pengkhianatan terhadap hak-hak manusia serta penderhakaan terhadap agama, atas alasan politik tentulah menempatkan media itu tidak lebih gerombolan munafik dan fasik.

"Yang menyamar dalam topeng yang baik walhal sebenarnya memiliki sifat dan sikap yang melampaui batas, yang menentang sistem yang telah ditetapkan oleh Islam," ujarnya.

Tegas Abu Hassan, media adalah sebuah medium intelektualisme yang sangat berpengaruh dan memainkan peranan sebagai pembentuk nilai dan identiti masyarakat, dan mempertahankan keadilan dan kesaksamaan, menganjurkan kemajuan dalam fikiran dan perasaan.

Justeru katanya, tidak ada demokrasi tanpa kebebasan media akan melemahkan kualiti media yang ada.

"Jika demokrasi sebuah kewajiban, maka penciptaan media yang bebas juga sebuah keharusan. Demikianlah setidaknya kita diberitahu tentang fungsi media, dan bagaimana mediawan, serta massa sebagai penerima mesej," katanya.

Media yang berada di bawah naugan kerajaan Islam, katanya harus mampu mempengaruhi khalayak agar menjauhi kemaksiatan, perilaku kepunahan moral dan akhlak yang lazim disebut menganjurkan perayaan hedonis sama ada secara sosial mahupun secara ekonomi dan politik.

"Media Islami tentu saja menghindari gambar-gambar ataupun ungkapan-ungkapan pornografis, menjauhkan promosi kemaksiatan, atau hal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam, seperti fitnah, memutarbelitkan fakta, berita bohong, mendukung kemungkaran, dan bersikap melampaui batas dengan menafikan keadilan, kesaksamaan dan hak-hak kemanusiaan atas apapun alasan, kapitalisme maupun kekuasaan politik," katanya.

Rantau Panjang cadang TG Nik Aziz tanding 2 kerusi

Posted: 07 May 2012 09:24 PM PDT


RANTAU PANJANG: Agen tempat mengundi (polling agent) PAS dan Pakatan Rakyat perlu memainkan peranan lebih berkesan memandangkan semakin ramai penjawat awam disenaraikan sebagai pengundi pos.

Malah isteri anggota tentera yang tidak ada kaitan dengan aspek keselamatan juga dimasuk dalam senarai pengundi pos.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah jumlah pengundi pos memberi cabaran besar kepada polling agent.

"Malah perlu juga diawasi kerana peti undi pos disimpan selama tiga hari di bawah jagaan SPR sebelum tarikh mengundi sebenar diadakan di semua kawasan terlibat," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Rantau Panjang di Pusat Tarbiyah di sini semalam.

Beliau yang juga anggota Parlimen Pengkalan Chepa berkata, polling agent mempunyai tugas paling mencabar sekarang kerana mereka boleh mengesan sebarang penyelewengan dan penipuan di tempat mengundi.

Turut  hadir Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun, Timbalan Yang Dipertua, Datuk Nasruddin Daud dan dan naib, Mohamad Awang.

Abdul Halim juga berkata, PAS perlu memperkemaskan jentera pilihan raya dan mengelakkan membuat janji-janji  untuk menyedapkan hati rakyat semata-mata.

Sementara itu PAS Rantau Panjang melulus usul cawangan Banggul Setol yang mahu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding dua kerusi dalam PRU 13 iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Semua perwakilan bersetuju menerima usul tersebut tanpa bahas memandangkan ia selari dengan kehendak parti mengatur strategi menawan Putrajaya," kata Abdul Fatah.

Manakala Cawangan Tiang Candi mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuh Yayasan Tanah Wakaf Pendidikan bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar miskin di pusat pengajian tinggi.

Tiada ulasan:

Pengikut