Rabu, 2 Mei 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PAS tidak tolak mungkin Bersih 4.0

Posted: 01 May 2012 05:44 PM PDT


HULU TERENGGANU, 1 Mei: PAS tidak menolak kemungkinan dan bersedia menghadapi himpunan Bersih 4.0 jika kerajaan gagal membuat perubahan daripada kejayaan penganjuran Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan jika kerajaan tidak membuat perubahan sebagaimana tuntutan Bersih 3.0, tidak mustahil Bersih 4.0 akan diadakan lagi.

Menurutnya, tuntutan Bersih 3.0 agar kerajaan membuat perubahan dengan kebebasan media dilaksanakan, tidak ada penipuan dalam pilihan raya, bersihkan daftar pemilih dan sebagainya.

"Kita tengok dulu Bersih 3.0 sama ada kerajaan buat perubahan atau tidak. Jika kerajaan tidak buat perubahan, media tidak bebas, pilihan raya tipu lagi, daftar pemilih tidak bersih, kita akan buat lagi.

"Celup dakwat pun belum tentu lagi, dakwat jenis mana kita tidak tahu lagi. Ketua-ketua pengarang yang cuba hendak bebas akan dipecat dan dilantik yang ikut arahan sahaja," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) kali ke-43, di Dewan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi), Kubang Lembek, Manir, hari ini.

Ketika menjawab dakwaan kerajaan bahawa peserta Bersih 3.0 bertindak 'ganas' beliau mahu siasatan secara rapi dan adil dilakukan bagi mencari pihak bertanggungjawab.

Katanya, demonstrasi di negara ini cuba dibendung, disekat dan dikawal dengan kawalan-kawalan yang boleh mengongkong bukan kawalan yang boleh meluahkan rasa dengan bebas.

"Kerajaan kena siasat siapa bertanggungjawab. Minta siasatan itu secara adil dan hakim juga kena adil. Kebebasan kuasa itu kena ada antara badan kehakiman dengan eksekutif. Ini penting dalam sistem demokrasi," tegasnya.

Bersih 3.0: Pemimpin Umno tuding jari sesama sendiri

Posted: 01 May 2012 05:43 PM PDT


KUALA LUMPUR, 1 Mei: Himpunan Bersih 3.0 mengakibatkan Umno semakin pening dan kini sibuk dengan pesta menuding jari antara satu sama lain, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Yang paling pening ialah (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein)," katanya.

Menurut Mohamad, sebelum himpunan Bersih 3.0 itu, menteri tersebut menuduh beliau dan Ahli Jawatankuasa Bersih, Hishamudin Rais mengajak mereka yang berhimpun supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka," katanya.

Selepas himpunan Bersih pula, kata Mohamad, Hishammuddin mendakwa pula bahawa tindakan polis merampas kamera wartawan adalah sebahagian dari garis panduan operasi polis (SOP).

"Selepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) beritahu bahawa bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0 itu bukan sebahagian daripada garis panduan operasi polis SOP.

"Satu negara nampak menteri itu pening teruk. Saya nasihatkan dia pergi berehat ke Bahamas," katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diterimanya menunjukkan Hishammuddin menjadi sasaran kemarahan kedua-dua pihak.

"Penyokong PR (Pakatan Rakyat) marah kepadanya sebab berdendam sangat terhadap kekejaman polis terhadap mereka.

"Puak Umno pula marah menteri itu kerana mereka kata dia gagal hadapi Bersih 3.0 yang meranapkan lagi  imej (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Menurut Mohamad, beliau diberitahu oleh mereka yang rapat dengan sumber dalaman Umno bahawa para pemimpin parti itu kini saling menuding jari kepada satu sama lain.

Bersih 3.0 menyebabkan imej Umno makin jatuh merudum, katanya, sebab itulah mereka salah menyalah sesama sendiri.

"Sejauh mana saya tak dapat pastikan tetapi saya juga diberitahu oleh orang-orang yang rapat dengan seorang bekas menteri kanan bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sekarang marah sungguh kepada Najib.

"Sumber itu yang rapat dengan bekas menteri yang masih lagi di dalam Umno itu mendakwa Dr Mahathir menyifatkan Najib lembik.

"Orang kalau dah marah kepada satu sama lain, kita tak perlu hasut dah," katanya 

Menurut Mohamad, semua itu berlaku kerana mereka menyedari bahawa jumlah pengundi Melayu yang menolak Umno secara umumnya tidak berganjak.

"Di kalangan pengundi Cina pula, memang diketahui umum mereka menolak BN (Barisan Nasional) terutama Umno.

"Selepas Bersih 3.0, walaupun bergurau, saya dengar mereka kata dari 10 pengundi Cina, 9.5 tak akan undi," katanya.

Beliau yakin, Bersih 3.0 seperti lorong tanah perkuburan kepada Umno dan BN.

Fitnah jahat bersiri menjelang PRU13 - Azmin

Posted: 01 May 2012 05:42 PM PDT


Saya mengecam sekeras-kerasnya fitnah yang ditohmah ke atas diri saya bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai Umno yang memetik sumber blog pro Umno.

Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita di dalam tandas. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya amat kesal memandangkan tindakan ini adalah fitnah bersiri terhadap saya dan keluarga selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak saya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham kemudiannya saya dituduh menghina Raja-Raja Melayu dan baru-baru ini saya ditohmah mencetuskan provokasi dalam Himpunan Aman Bersih 3.0.

Sebelum ini saya dan isteri serta anak kecil saya telahpun melakukan ujian DNA sebanyak dua kali dalam bulan Julai 1998. Kedua-dua keputusan ujian tersebut menempelak fitnah ke atas saya, isteri dan keluarga. Hasil ujian jelas menyebut serta mengesahkan saya dan isteri merupakan 'biological parent' kepada anak kami. Ujian DNA tersebut sekaligus memelihara maruah saya dan keluarga.

'The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked 'X' (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked 'Y' (child). '

Namun Umno masih mengulangi fitnah kejam tersebut sepanjang 14 tahun ini walaupun bukti sudah jelas lagi nyata bahawa tuduhan mereka terhadap saya dan keluarga merupakan pembohongan semata-mata.

Setelah kesemua fitnah tidak berjaya, mereka mengulangi skrip usang fitnah seks yang memualkan untuk mengaib dan mematahkan semangat saya. Fitnah jahat seperti ini diulang- ulang untuk membentuk persepsi rakyat terhadap maruah dan kredibiliti saya menjelang pilihan raya. Munculnya fitnah ini tatkala Umno dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan BERSIH adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihan raya dan penyelewengan dana awam.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat.

Saya menyeru kepada pimpinan Umno supaya menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat. Saya akan terus bersama-sama pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk menjana perubahan dan membawa kemenangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Pengerusi SPR letak jawatan atau Bersih 4.0

Posted: 01 May 2012 05:41 PM PDT


PUTRAJAYA, 30 April: PAS mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak berdepan Bersih 4.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan.

"Kita mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0 akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi.

Tambahnya, segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya.

Menurutnya lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada pemilihan dan penubuhan kerajaan.

"SPR perlu menjalankan tugas dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.

"Malangnya walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh keyakinan," katanya.

Malah lebih parah lagi, katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional.

"SPR juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

"Begitu juga dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara ini," sambung beliau lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri.

"Langkah ini adalah jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi.

Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.

Turut hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bersih 3.0: Apa arahan Hisham kepada media

Posted: 01 May 2012 05:41 PM PDT


KUALA LUMPUR, 1 Mei: Naib Presiden PKR, N Surendran (gambar) meminta Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada editor media pada 27 April berhubung Bersih 3.0.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 dan keganasan pihak polis terhadap wartawan.

"Kami telah mendedahkan bukti bahawa arahan untuk mengganggu, menghalang dan menahan wartawan yang melaporkan tentang perhimpunan Bersih 3.0 datang dari peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pada 27 April, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein Onn telah mengarahkan kesemua ketua editor akhbar-akhbar utama untuk datang bertemu beliau.

"Kami juga diberitahu bahawa semasa pertemuan tersebut, ketua-ketua editor diberi arahan tentang bagaimana melapor keadaan semasa perhimpunan Bersih 3.0 dan mereka juga diminta supaya tidak melaporkan kekejaman pihak polis," kata Surendran lagi.

Beliau berkata, pihak polis dengan jelas telah mengikut telunjuk Kementerian Dalam Negeri apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari.

Tambahnya, tiada sebarang kenyataan dibuat sehingga kini oleh PM, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tentang keganasan tersebut.

Katanya lagi, jawapan Hishammuddin bahawa rampasan barang-barang wartawan adalah prosedur biasa pihak polis agak mengejutkan.

"Ini juga serangan yang serius oleh BN terhadap kebebasan akhbar.

"Di bawah sistem demokrasi kita, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang hak terhadap media tentang apa yang mereka boleh atau tidak boleh melaporkan," ujarnya.

Surendran berkata, dalih Najib dengan meminda PPPA 1984 untuk membenarkan kebebasan akhbar ternyata satu kepalsuan.

"Kami menyeru Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein untuk mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada media semasa mesyuarat itu," tegasnya yang juga seorang peguam.

Beliau seterusnya meminta Najib dan Hishammuddin menerangkan dan menjawab dakwaan layanan kejam dan salah guna kuasa polis terhadap media dan orang ramai pada 28 April.

Rakyat boleh dibelasah kerana mahu jaga Dataran?

Posted: 01 May 2012 05:40 PM PDT


Perhimpunan Duduk Bantah – Bersih 3.0 ternyata telah berjaya mencapai matlamatnya. Mesej dan tuntutan yang mahukan pilihanraya yang bersih dan adil telah disampaikan dengan jelas dengan berkumpulnya lebih 250,000 orang penyokong pada 28 April 2012 yang lalu. Rakyat telah berkumpul di tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak penganjur. Mereka kemudiannya bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Pergerakan menuju ke Dataran Merdeka berjalan lancar dan dilakukan bagai sebuah pesta. Ada yang memukul gendang, ada yang bernyanyi dan ada yang membawa pelbagai kain rentang dan poster yang mempamerkan tuntutan agar pilihanraya dilaksanakan dengan besih dan adil.

Perhimpunan Bersih 3.0 tersebut telah dihadiri oleh rakyat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang; Melayu, Cina, India serta pelbagai bangsa lain. Tua dan muda, lelaki dan wanita tidak ketinggalan. Mereka juga terdiri dari pelbagai fahaman politik dan ada di kalangan mereka adalah merupakan rakyat biasa yang cintakan keadilan dan kebenaran. Ternyata seruan ke arah pilihanraya yang adil dan bersih telah merentas batas kaum, agama dan fahaman politik.

Perhimpunan telah berjalan secara aman dan penuh disiplin sehinggalah ada pihak yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka. Apabila ini berlaku pihak polis mula  bertindak dengan menyimbah air berasid dan menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai. Ini diikuti dengan tindakan-tindakan polis yang ganas yang mengejar para peserta perhimpunan tersebut dan membelasah mereka. Terdapat banyak klip video di youtube yang boleh disaksikan yang menunjukkan betapa ganasnya pasukan polis membelasah peserta perhimpunan.

Persoalannya kenapa pihak polis bertindak begitu ganas kepada para peserta perhimpunan? Adakah kerana terdapat sebahagian daripada peserta yang telah membolosi dan memasuki Dataran Merdeka yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh mahkamah?

Namun jika kita teliti, hampir semua tindakan-tindakan polis yang membelasah para peserta himpunan telah dilakukan di luar Dataran Merdeka. Malah kita hampir pasti mereka yang dibelasah ini pun kebanyakannya tidak menjejakkan kaki mereka di Dataran Merdeka pada hari tersebut. Ini adalah kerana jumlah peserta perhimpunan yang memasuki Dataran Merdeka amatlah sedikit dan itupun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa sebahagiannya merupakan anggota keselamatan yang menyamar sebagai peserta perhimpunan yang telah mencetuskan provokasi.

Selain daripada itu, daripada laporan-laporan yang diterima, ada peserta perhimpunan yang dipukul ketika mereka sedang makan malam di restoran-restoran sekitar Masjid Jamek dan Masjid India sekitar pukul 7.00 hingga 7.30 malam; lama selepas semua peserta bersurai.

Kenapa tanah sekangkang kera yang dinamakan Dataran Merdeka itu dijadikan isu yang besar oleh pihak kerajaan dan polis? Bukankah Dataran Merdeka itu merupakan tempat berkumpul semua rakyat jelata? Tidakkah semua rakyat jelata berhak untuk berhimpun di situ? Kenapakah ia perlu dijadikan isu sehingga satu perintah mahkamah khusus perlu diambil bagi menghalang peserta Bersih 3.0 berhimpun di situ?


Malah, kalau benar Dataran Merdeka sahaja merupakan kawasan larangan, kenapa pula polis membelasah perserta himpunan yang berada di luar Dataran Merdeka?
 
Selain daripada itu, wajarkah kerana mempertahankan Dataran Merdeka, rakyat dibelasah sehingga setengah mati?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pihak polis dan pihak kerajaan. Kita menuntut penjelasan daripada mereka.

Polis ganas apabila pemimpin BN zalim

Posted: 01 May 2012 05:39 PM PDT


Bersama ratusan ribu rakyat, saya berada di celah-celah lautan manusia menuju ke tempat perhimpunan Bersih 3 berdekatan Dataran Merdeka. Kami datang dari jauh dan dari seluruh pelosok tanahair bukan untuk merusuh, mengganas, memukul dan menendang dan membuat huru-hara. Kami datang dengan satu niat mahu memberitahu kerajaan zalim BN bahawa kami mahukan pilihanraya yang adil dan bersih, yang terkandung dalam 8 tuntutan.

Regim BN hanya memekakkan telinga sedangkan mereka mempunyai peluang untuk membuktikan kesungguhan dan ketelusan berpilihanraya melalui suara majoriti dalam parlimen. Namun, persidangan Parlimen dan apa-apa yang diluluskan dalam Parlimen itu kelihatan hanya memburukkan sangkaan terhadap regim BN. Lantas, di antara cara mengingatkan BN tentang kesombongan ini ialah melalui perhimpunan aman Bersih 3.0.

Betapa Bersih 3.0 ini sememangnya mahukan keamanan boleh dilihat dalam artikel-artikel dalam harakah sebelum Bersih 3.0 yang mahukan rakyat turun ke Bersih 3.0 dengan aman, facebook Presiden PAS yang dicatat pada 24 April 2012: 'Sekali lagi saya ingin mengesahkan insya Allah saya akan bersama sama di dalam Himpuan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April ini, saya juga menyeru kepada semua ahli untuk sama berhimpun pada tarikh dan lokasi tersebut, berhimpun dengan penuh kedamaian.', juga ucapan Dr Syed Azman (dengan kehadiran bersama Salahudin Ayub, Dr Hatta dan lain-lain) yang saya dengar di hadapan Pejabat Agung PAS sebelum kami berjalan menuju ke Dataran Merdeka supaya berjalan dengan baik, mendengar arahan dan jangan membuat perkara di luar arahan pemimpin.

Perkara ini diperkukuh dengan penegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bahawa ahli PAS diajar dengan disiplin yang tinggi. Ini juga yang saya lihat berlaku sepanjang perarakan tersebut. Penuh harmoni, ceria walaupun dalam keadaan agak panas mentari. Cina, Melayu, India dan bangsa lain bersama-sama menyatakan hasrat mahukan pilihanraya adil dan bersih.

Utusan dan TV1,2,3 silap besar apabila menggambarkan Bersih 3.0 itu ganas. Kepala para editor dan ketua pengarangnya dan rakan media yang selubuk dengannya yang dimasuki air itu rupanya masih berda pada tahun 60an. Mereka menyangka rakyat semuanya bodoh seperti mereka mahu menelan apa yang dibohong dan disembunyikan. Ratusan rakaman dalam youtube menjadi saksi kepada kezaliman sebuah regim di bawah pemimpin BN.

Tendang, terajang, dera, pukul. Inikah SOP PDRM? Saya tahu bahawa ada anggota polis yang baik. Namun, sebahagian anggota muda (mung lulus dok SPM?) inilah barangkali yang agresif membaham rakyat yang tidak bersenjata dan lemah ini. Saya hanya mahu ingatkan anda bahawa Allah Maha Adil. Kezaliman yang dibuat tetap ada balasannya, kalau tidak di dunia tentunya di akhirat.

Dalam keadaan polis yang bertugas dengan penuh 'dedikasi', pemimpin BN sedang leka mengaut untung harta negara yang 'dikasi oleh daddy'.


Kalau ada Umar bin Abdul Aziz, serigala dan kambing boleh berkawan. Tetapi apabila pemimpinnya adalah BN, rakyat dan polis diajak berlawan.

Elok juga Najib rasa nikmatnya gas pemedih mata

Posted: 01 May 2012 05:39 PM PDT


KUALA LUMPUR, 30 April: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang sinis kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pihak polis mengendalikan perhimpunan Bersih 3.0 dengan baik dan profesional.

Beliau juga menyatakan bahawa gas pemedih mata dan water cannon merupakan suatu option yang tidak memudaratkan kesihatan.

Justeru, Timbalan Ketua DPPWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya merasakan PM bercakap tanpa berpijak di bumi nyata dalam keadaan rakyat menjadi mangsa belasahan anggota polis, ramai warga emas, wanita, dan kanak-kanak ditembak dengan gas pemedih mata dan air kimia, para wartawan dicederakan dan dirampas peralatan mereka.

Beliau berkata, suasana pula bagai berada di zon perang atau di sempadan Israel di mana rakyat Palestin diperlakukan sesuka hati.

"Ramai juga menyaksikan polis bertindak ganas terhadap orang awam selepas dua jam tamatnya perhimpunan aman ini sehingga ramai terpaksa dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

"Dalam keadaan begini, PM masih lagi memberikan markah tinggi kepada PDRM," ujarnya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, ujarnya merasa terkilan kerana kenyataan PM menggambarkan gas pemedih mata dan water cannon adalah sesuatu yang tidak berbahaya, seolah-olah bahan itu sesuatu yang menyeronokkan rakyat.

"Kenyataan ini menggambarkan beliau seorang yang sombong, angkuh serta tidak tahu kesusahan yang ditanggung oleh rakyat," ujarnya lagi.

Menurutnya, rakyat terpaksa mengharungi episod malang dengan disimbahi air kimia yang amat menyakitkan serta gas pemedih mata yang amat memeritkan dan menyesakkan nafas bagi mencari erti keadilan sebenar dalam sebuah negara demokrasi.

"PM memandang apa yang berlaku pada pandangan mata kasarnya sahaja. Sepatutnya PM bertanya mengapa perhimpunan Bersih 3.0 ini berlaku dan apa yang rakyat inginkan.

"Beliau perlu melihat mengapa ratusan ribu rakyat tanpa mengira jantina, bangsa dan keturunan sanggup bersesak dan berdepan dengan risiko gas pemedih mata, air kimia serta ditangkap atau dipukul," ujarnya.

Sebalik kesemua itu, kata beliau Najib perlu menilai sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya.

"Adilkah atau zalimkah beliau kepada ratusan ribu bahkan jutaan rakyat di negara ini?" soalnya.

Justeru, kata Mohamad Suhaimi, DPPWP mensarankan agar PM menonton video yang dirakam sendiri oleh rakyat dan saksikan bagaimana kejamnya pihak polis terhadap rakyat.

"Nilaikan sendiri bagaimana pembantaian dibuat oleh polis terhadap orang awam tanpa perikemanusiaan.

"Elok juga PM merasa sekali gas pemedih mata dan water cannon dan rasai betapa 'nikmatnya' penangan bahan itu," ujarnya lagi.

Jelasnya, gas pemedih mata dan water cannon mungkin tidak memudaratkan kesihatan tetapi pedihnya amat terasa jika terkena.

Jijiknya pemimpin peralat polis untuk kekal kuasa

Posted: 01 May 2012 05:39 PM PDT


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapati jelas kini polis terbawa- bawa dengan cara seluruh polis di dunia membelasah demonstran. Dari Barat hingga Timur, tidak ada beza polis dalam bertindak. Yang mereka tahu ialah membelasah, memukul dan menembak ke arah demonstran yang tidak bersenjata.

Di Malaysia tindakan polis sejak dari penjajah hingga 55 tahun selepas merdeka masih sama. Pokoknya polis yang melakukan tindakan masing-masing akan dipertahankan oleh ketua mereka. Paling tidak kerajaan akan tetap mempersalahkan demonstrasi rakyat kerana takut kuasa yang dipegang selama ini akan terlepas akibat kemarahan rakyat terhadap pelbagai kepincangan.

Tindakan ganas polis selalunya dijustifikasi oleh pihak atasan dan pemimpin parti politik pemerintah. Akhirnya rakyat jugalah yang dipersalahkan. Kadang-kadang menambahburukkan lagi polis yang berpakaian awam turut bertindak ganas membelasah dan menangkap orang ramai secara rambang.

Di Malaysia hal inilah yang disaksikan setiapkali demonstrasi diadakan atas pelbagai isu.

Bersih 3 .0 memperlihatkan senario yang sama. Polis cuba mempertahankan sebuah bidang dataran yang kosong hanya kerana arahan kerajaan tidak mahu melihat rakyat berhimpun di lokasi paling ikonik di negara itu.

Dari apa yang dilihat ketika Bersih 3.0 diadakan pada 28 April yang lalu  polis kelihatan bertindak bukan sahaja untuk menghalang pendemonstran ke Dataran Merdeka , malah menembak gas pemedih mata dan air kimia di luar kawasan Dataran Merdeka.

Tindakan polis nampaknya hilang pertimbangan malah tidak lagi mempedulikan prinsip undang-undang negara yang membenarkan rakyat berhimpun dengan aman.

Perhimpunan itu pasti aman jika polis tidak bertindak menembak dan mula mengejar dan memukul peserta demonstrasi. Malah secara membabi buta menangkap dan memukul siapa sahaja ikut suka, tidak kira ia wartawan atau orang biasa.

Tidak mungkin semua pemerhati dan saksi yang melihat dengan mata kepala sendiri cara polis bertindak ganas dapat menutupi kejadian sebenar. Apatah lagi jika dikumpul semua yang menjadi mangsa kepada tindakan polis memberi keterangan mengenai apa yang berlaku.


Ini bukan kali pertama kita menyaksikan senario polis bertindak keterlaluan. Dari demonstrasi menentang Israel dan US, penghinaan terhadap Islam, menentang ISA, membantah PPSMI, tuntutan Bersih, rakyat dapat melihat keganasan yang berlaku oleh polis.

Demonstrasi biasanya bermula dengan aman menuju ke lokasi. Namun polis dan FRU siap dengan water cannon, belantan  dan senapang penembak gas pemedih mata sering mengintimidasi demonstran, yang sering berakhir dengan tembakan dan memburu peserta demonstrasi.

Dengan tidak menafikan bahawa dalam puluhan  ribu  yang hadir sudah tentu ada yang bertindak secara sendirian kerana tidak dapat menahan kemarahan, namun bila polis mula bertindak menembak dan memukul serta membelasah peserta, keadaan pasti tidak boleh dikawal lagi.

Mapim menyelar ada polis yang dibiar oleh pegawai tinggi yang turut serta, tidak membuat apa-apa bila ada polis yang memukul, menendang dan melakukan keganasan ke atas peserta secara keterlaluan.

Kenyataan PM mengatakan bahawa polis yang menjadi mangsa, bukan peserta demonstrasi adalah kenyataan yang menghina puluhan rakyat yang dipukul tanpa belas kasihan. Bila beliau mengatakan semua pihak jangan membuat rumusan sebelum siasatan dilakukan bermakna beliau juga sepatutnya tidak dengan mudah menuduh mereka yang berdemonstrasi dengan kata-kata keras.

Mapim juga menyelar pemimpin kerajaan yang memperalat anggota polis bila berhadapan dengan kemarahan rakyat. Memperguna polis untuk berhadapan dengan rakyat hanya kerana mahu mengekal kuasa adalah tindakan yang jijik.

Tiada ulasan:

Pengikut