Khamis, 22 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Program khas sempena tahun baru 2012

Posted: 21 Dec 2011 08:42 PM PST

Kejohanan Badminton Piala Naib Ketua DPPKM

Posted: 21 Dec 2011 08:38 PM PST

Ceramah Isu - Isu Semasa

Posted: 21 Dec 2011 08:25 PM PST

MB dibenar pulang dari HUSM

Posted: 21 Dec 2011 08:12 PM PST

KOTA BHARU, 22.Dis - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dimasukkan ke hospital USM baru-baru ini telah dibenarkan keluar pagi kelmarin.

Menurut Setiausaha Akhbarnya Mohd Fadzli Shaari ketika dihubungi sebentar tadi oleh gegarkelantan.net mengesahkan keadaanya agak stabil.

" Tok Guru kini pulih seperti biasa dan dijangka akan dapat bertugas kembali pada minggu depan" ujar beliau.

Menurut fadli lagi, doktor telah memberi nasihat agar Tuan Guru mendapat rehat secukupnya di rumah sebelum meneruskan tugasnya pada minggu depan.

Isnin lepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimasukkan ke HUSM selepas mengalami sakit perut dan keletihan, beliau yang turut muntah ketika berada di pejabat pagi tersebut terus dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Jangan pertikai dasar PAS

Posted: 21 Dec 2011 08:11 PM PST

Negara Berkebajikan adalah dasar PAS. Ianya suatu dasar yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57, di Markaz Tarbiyyah PAS Pusta Taman Melewar, 3 hingga 5 Jun lepas.

Ianya dimuatkan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu merasmikan Muktamar, dihurai dan diperbahaskan oleh sebahagian perwakilan dan diluluskan dalam Muktamar yang dihadiri lebih 2 ribu perwakilan.

PAS adalah sebuah parti Islam, yang senantiasa melaksanakan dasar-dasarnya selaras dengan ajaran Islam. Perwakilan dalam Muktamar PAS mengandungi Ahli-ahli Majlis Syura Ulama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, AJK Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, serta kepimpinan PAS dari seluruh negara.

Bermakna, ianya mencakupi pelbagai latar belakang keilmuan agama dan profesional bergabung membentuk hala tuju ideologi PAS. Ketokohan ulama-ulama PAS dalam pelbagai disiplin ilmu agama, sehingga kini tidak dapat disaingi atau dicabar keampuhannya oleh mana-mana pihak.

Di dalam Perlembagaan PAS, dimaktubkan bahawa hukum tertinggi PAS selain al-Quran dan as-Sunnah, adalah ijmak ulama atau ditakrifkan sebagai kesepakatan ulama dalam isu-isu yang dibangkitkan. Dalam sistem demokrasi berparti, keputusan dalam Muktamar atau Mesyuarat Agung, adalah dianggap hukum tertinggi, yang harus diterima, diamal dan dilaksanakan oleh seluruh ahli PAS di semua peringkat.

Justeru apabila PAS melulus dan mengemukakan konsep Negara Berkebajikan, ianya adalah dasar yang selaras dengan Islam. Ianya adalah suatu dasar yang dikemukakan golongan ulama, dibahas dan diluluskan oleh sebahagian besar ulama dalam PAS.

Malangnya, mutakhir ini wujud golongan yang mendabik dada dan menunjuk pandai, lebih dari golongan agamawan dalam PAS. Siapakah kita yang mendakwa diri kita betul sehingga mempertikaikan PAS dengan mendakwa konsep Negara Islam PAS tersasar dari perjuangan asal PAS? Siapakah kita yang hendak mendakwa PAS sudah tergelincir dari landasan Islam.

Jika mereka yang mempertikai PAS itu merupakan orang luar PAS, kita tidak mengambil endah kerana mereka memang senantiasa berusaha menjatuhkan PAS. Namun, agak malang apabila segolongan yang bertitle ustaz dan berstatus AJK PAS Pusat, menggunakan media pro Umno-Barisan Nasional untuk menyerang dasar PAS.

Jika golongan ini mengikut wala dan adab-adab berjemaah, mengapa tidak membuat bantahan itu sewaktu ianya dikemukakan dalam Muktamar atau dalam mana-mana mesyuarat tertutup PAS. PAS senantiasa terbuka. Sila tunjukkan pada fasa mana yang dasar PAS dalam soal Negara Berkebajikan ini tidak menepati Islam.

Sila buktikan pada fasa mana, hala tuju perjuangan PAS tersasar dari landasan? Mengapa anda mempergunakan platform musuh untuk menyerang PAS? Adakah anda lupa bahawa, kedudukan, kuasa serta pengiktirafan yang anda terima hari ini adalah berasal dari perjuangan PAS dan sokongan ahli-ahli PAS?

Inilah bukti bahawa anda terperangkap dengan agenda Umno. Umno tidak mahu PAS menjalankan dasar kebajikan kerana, menerusi dasar itu mereka berjaya merasuah rakyat. Dalam keadaan Umno hampir pupus, ia tidak mampu mempunyai saingan lain.

Oleh itu Umno memang senantiasa mahu PAS melaung-laungkan soal Negara Islam kerana Umno mahu PAS terperangkap dengan persepsi rakyat. Persepsi buruk terhadap dasar Islam PAS sengaja dimomok-momokkan Umno menerusi media massa pro mereka, menentang dan mengecam dasar Islam PAS.

Apakah bodohnya anda, tidak memahami perangkap musuh, bahawa dengan media itu juga anda mempersoalkan PAS sudah lari dari landasan Islam, sedangkan media itu juga memaki hamun dasar Islam yang dibawa PAS sejak berzaman.

PAS tiada jalan lain selain membersihkan dirinya dari anai-anai yang merosakkan perjuangan Islam.

Ulamak PAS ucap syabas pada Nasharudin

Posted: 21 Dec 2011 08:11 PM PST

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) mengucapkan syabas kepada Ustaz Nasharuddin Mat Isa kerana terus menyatakan tekad memperjuangkan risalah Islam melalui wadah PAS walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan senang dan susah.

Beliau menyampaikan ucapan syabas itu setelah kenyataan rasmi oleh Nasharuddin disiarkan semalam oleh media yang menegaskan bahawa beliau akan tetap bersama-sama PAS menjunjung risalah Islam walaupun apa jua keadaan.

"Syabas kepada beliau kerana bertekad untuk bersama-sama menjunjung risalah Islam melalui wadah PAS dulu, kini dan selama-lamanya.

"Inilah satu sikap yang ditunggu oleh seluruh ahli PAS, penyokong-penyokong PAS dan orang-orang yang belum memasuki PAS, syabas kepada Ustaz Nasharuddin.
"Kita percaya dengan penegasan beliau yang terbaru ini, akan menyebabkan parti PAS akan terus diyakini oleh seluruh anggota masyarakat di seluruh Malaysia sama ada mereka yang beragama Islam atau yang  masih belum beragama Islam atau mereka yang masih belum menyokong perjuangan PAS," tegas beliau yang juga Adun Manir, Terengganu ketika ditemui semalam.

Sebelum ini, Nasharudin dipetik dalam Harakahdaily semalam berkata beliau akur sepenuhnya dengan tariqud dakwah (jalan dakwah) yang dilalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbia', sahabat dan ulamak terdahulu daripada mereka yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia.

Jelas bekas Timbalan Presiden PAS itu lagi, dakwaan kononnya beliau 'terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno' adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Hasan, Nasha dan Saari dipanggil beri penjelasan

Posted: 21 Dec 2011 08:10 PM PST

KUALALUMPUR, 22 Dis: PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti.

"Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.
"Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura," tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis Syura.

Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.

Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.
Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah.

"Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam," tegas beliau.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan 'apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.

"Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu  dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti," nasihat beliau.

Kemuncup perjuangan, dasar PAS dijamin Majlis Syura

Posted: 21 Dec 2011 08:09 PM PST

Mehnah atau tribulasi dalam perjuangan Islam adalah sunnatullah, bagi menguji dan memperkukuhkan jamaah dan membina kekuatan mujahadah bagi ahli.

Dalam sejarah perjuangan Islam yang panjang ini, kita meyaksikan betapa beratnya ujian atau mehnah yang dihadapi oleh jamaah dan ahli yang mendokongi jamaah tersebut. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang lama di  negara ini telah lali dengan pelbagai mehnah yang dihalakan kepada jamaah ini. Kita pernah diharamkan, dibatalkan logo, disekat aktiviti, didenda dan sebagainya, namun parti  terus berkembang hingga kini.

Manakala tribulasi kepada ahli berlaku setiap hari, sama ada kecil atau besar, ujian tersebut ianya akan pasti berlaku. Panduan kita ialah kenyataan:

"Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam."

Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri."

Kenyataan itu mencerminkan betapa mehnah dalam perjuangan Islam adalah lumaraha dan sunnatulLah. Itulah yang menyebabkan kita merasai kemanisan berada dalam jamaah dan kenikmatan bersama jamaah memperjuangkan Islam sebagai cara hidup ummah, selaras dengan tuntutan Islam.

Dalam sejarah yang panjang ini, PAS menyaksikan ada ahli dan pimpinan yang muncul dan hilang. Kehilangan dari medan terkadang bukanlah lari dari perjuangan, ianya hanya rehat sementara dari kepenatan yang panjang atau menceburi jalan dan uslub lain yang sesuai dengan jiwa dan tenaga semasa.

Apapun, ianya adalah manik-manik embun waktu pagi bersinar mengerlip dengan cahaya matahari, tapi ianya akan kering dek kepanasan matahari yang menyerinya diawal pagi.

Namun ada jua yang terus hilang dari medan perjuangan. Kenapa ianya hilang? Semua ada jawapan sendiri,  kita tidak perlu berbahas di atas hujah masing-masing. Apa yang penting jamaah mesti dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda besar yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

Kita tidak perlu meratapi kehilangan, walaupun kita sanga sedih di atas kehilangan itu. Kita mesti terus memandang kehadapan dangan penuh yakin bahawa satu hari Islam akan berada di puncaknya.

Kita hanyalah mata rantai bagi memusingkan roda Islam itu. Kalaulah Allah kehendaki, ia boleh sahaja menukarkan dengan mata rantai lain dan roda itu terus berpusing sampai kemuncaknya.

Suatu hari, bila mana saorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w "siapakah di kalangan manusia yang sangat berat ujiannya, lalu jawab Rasulullah s.a.w yang paling berat ialah nabi-nabi, kemudian mereka yang mengikuti nabi-nabi  (para sahabat) dan mereka yang mengikuti di belakangnya (tabieen).

Hadis ini membuktikan bahawa ujian yang ditempuhi oleh pimpinan tidak sama dengan ahli biasa, demikian juga ujian waktu kalah tidak akan sama dengan ujian di saat kemenangan. Besarnya mehnah ini memerlukan kita istiqamah dalam jamaah, mengikuti tertib jamaah dan sentiasa wala' pada pimpinan. Itulah erti berada dalam jamaah Islam.

Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputus dalam jamaah kerana kita punya Majlis Syura yang memandu jamaah agar semua keputusan jamaah tidak bercanggah dengan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan.

Majlis Syura Ulamak yang terdiri dari Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Aziz, dan timbalannya Datuk Dr Haron Din dan jawatankuasa adalah badan pemantau perjalanan parti agar selaras dengan dasar Islam yang menjadi dasar parti.

Majlis Syura juga adalah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana Pilihanraya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain, sehingga semua hala tuju dan dasar parti mesti menepati kehendak syarak.

Manakala Muktamar Agung adalah ruang terbuka untuk membahas dan membincang hala tuju atau masa depan parti, begitu juga kewujudan dewan-dewan yang menjadi sayap penting parti bagi memastikan dasar yang telah diputus dapat berjalan dengan sempurna dan berimbang.

Andainya ada pihak yang mempertikai sesuatu yang telah menjadi dasar parti, maka itu bermakna mempertikaikan keputusan syura, muktamar agung dan pendirian parti. Ianya tidak sepatutnya berlaku.
PAS tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang perlaku ialah PAS telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai rahmatul lil alamin.

Perubahan dan anjakan ini selaras dengan perkembangan semasa dengan arus perubahan pemikiran, media dan realiti rakyat. Perubahan kaedah atau uslub, bukan bermakna perubahan dasar dan prinsip. Namun sebahagian yang biasa dengan pendekatan lama yang statik akan menganggap ianya perubahan dasar dan prinsip perjuangan. Ianya seumpama menukar cover sofa dan mengalihkannya dengan susunan baru, serta menukar warna  langsir agar lebih ceria. Namun perubahan ini ada yang merasakan perubahan seluruh ruang tamu itu.

Perkembangan ini menggerunkan musuh, dan mereka mula menyerang bahawa PAS yang berkembang ke arah rahmatul lil alamin telah terpesong daripada dasarnya. Motif mereka hanya satu, mereka tidak ingin melihat PAS berkembang, mereka hanya ingin melihat PAS kekal jumud dan terbelakang. Sepatutnya sebagai ahli PAS, kita harus membantu jamaah menerangkan perkara ini dan bukannya menyanyikan lagu musuh di media musuh mempertikaikan dasar parti sendiri.

Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk  mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga.

Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.

Diharap sedikit kiasan ini dapat membantu jamaah dan ahli-ahli PAS untuk bergerak ke hadapan dengan hala tuju yang sama.
Salam perjuangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Disember 2011

Tiada ulasan:

Pengikut