Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Debat: Anwar terima, mahasiswa tunggu respons Najib
- Kemeriahan Ijtimak Tarbawi Pilihanraya Petanda Awal Putrajaya Kembali ke Pangkuan Jalan
- Sekitar Wacana Perdana - Pilihan Raya Umum Ke-13 BN ATAU PR ?
- Machang Bertemu Ketereh Di Suku Akhir
- Ketereh tewaskan Kubang Kerian 2-1
- Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di Taman Melewar
- Penuhi syarat untuk menang PRU 13
- Pilihan raya orang Islam setiap hari
- 1,160 pemimpin PAS lafaz ikrar bai'ah hari ini
- Kapal selam: Jangan percaya putar belit media BN
Debat: Anwar terima, mahasiswa tunggu respons Najib Posted: 11 Dec 2011 12:25 AM PST KUALA LUMPUR, 11 Dis: Perdebatan dan perbincangan berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kini semakin rancak dibahaskan. Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, banyak siri perdebatan berkaitan Auku, Pilihan Raya Umum, demokrasi dan sebagainya mula diketengahkan oleh para pimpinan negara mahupun pimpinan kampus. Ini, katanya suatu fenomena dan petanda baik kepada arena akademik dan sistem demokrasi di Malaysia. Menruutnya, dalam keadaan rakyat dan pemimpin negara ingin terus membuka ruang demokrasi, namun mahasiswa kini kecewa dan terkilan kerana masih ada Hal Ehwal Pelajar (HEP) di kampus yang masih belum boleh memberikan peluang dan ruang untuk mahasiswa bebas berakademik mahupun melaksanakan program-program sendiri tanpa gangguan mereka. "Pihak pentadbiran sekarang perlu lebih terbuka dan memberikan kepercayaan kepada mahasiswa dalam mengendalikan sesuatu perkara kerana mahasiswa ialah insan yang intelek dan mampu untuk berfikir sendiri dengan rasional," ujarnya dalam satu kenyataan. Beliau menambah, rentetan dari insiden debat di Universiti Malaya (UM) yang diganggu oleh pengawal keselamatan atas arahan TNC HEP itu, gerakan kebebasan akademik tetap akan terus untuk melaksanakan debat perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Tambahnya, tajuk yang disepakati di peringkat mahasiswa untuk mereka bahaskan ialah 'Mahasiswa, Universiti dan Negara' pada 15 Disember ini di Dewan Himpunan Cina, Kuala Lumpur. Makluman terkini, katanya Anwar telah menerima pelawaan tersebut sebagai pembahas di peringkat Pakatan Rakyat. Namun, ujarnya sehingga kini masih tiada sebarang respons balas dari surat jemputan mahasiswa kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia sekarang mewakili Barisan Nasional. "Selaku Perdana Menteri yang disegani, mahasiswa sentiasa berharap agar pelawaan untuk berdebat berkaitan isu mahasiswa itu diterima. "Sekaligus penerimaan itu akan membuktikan bahawa Datuk Seri seorang yang sentiasa peka dan perihatin terhadap isu-isu mahasiswa," katanya. Beliau menambah, dalam kondisi pilihanraya umum yang semakin hampir, para pemimpin negara kedua-dua parti perlu lebih mendekati anak muda terutama mahasiswa. Ini, ujarnya kerana jatuh bangun pemimpin yang akan bertanding dalam PRU 13 nanti akan ditentukan oleh para pengundi. Justeru, kata beliau mereka perlu ingat bahawa kuasa pengundian mahasiswa juga besar kesannya kepada kejayaan seseorang pemimpin itu dalam PRU 13 nanti. "Semoga impian rakyat dalam mengimpikan Malaysia yang sejahtera dan universiti yang subur dengan budaya ilmu dan intelektual akan terus direalisasikan oleh para pemimpin negara dengan baik. "Berikan ruang berakademik dengan sebaiknya kepada para pensyarah dan mahasiswa, pasti hasilnya negara kita akan lebih hebat dan makmur di masa depan," ujarnya lagi. |
Kemeriahan Ijtimak Tarbawi Pilihanraya Petanda Awal Putrajaya Kembali ke Pangkuan Jalan Posted: 11 Dec 2011 12:20 AM PST KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ijtimak Tarbawi Pilihanraya yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini membuktikan PAS sudah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi PRU 13. Acara yang berlannsung selama sehari ini dihadiri oleh seluruh pimpinan dan wakil dari segenap kawasan. Semangat perjuangan untuk mempertahankan Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS sentiasa dalam fikrah dan tindakan Ahli-ahli PAS di semua perigkat. Amanat YAB Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz, teguhkan jemaah dan teruskan jihad. Kertas panduan tarbiyaah oleh pengarah tarbiyyah dan perkaderan PAS pusat, peranan tarbiyyah kepada petugas pilihanraya. Sementara itu kertas 2 pula dibentang oleh YB Ust Abd Halim Abd. Rahman Bendahari PAS Pusat tentang Jihad dan penghayatannya dalam bertekad memenagi PRU 13. Program diakhiri dengan amanat Presiden Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang menekankan kesepaduan fikrah dan amal jama'ie dalam menghadapi PRU 13 memberi momentum baru ke arah memrealisasikan konsep hijrah sebagaimana di dalam pengajaran sirah Rasulullah SAW. |
Sekitar Wacana Perdana - Pilihan Raya Umum Ke-13 BN ATAU PR ? Posted: 10 Dec 2011 07:38 PM PST |
Machang Bertemu Ketereh Di Suku Akhir Posted: 10 Dec 2011 06:31 PM PST |
Ketereh tewaskan Kubang Kerian 2-1 Posted: 10 Dec 2011 06:20 PM PST PENGKALAN CHEPA, 11.Dis – Kewibawaan permainan yang dipamerkan oleh pasukan dari Ketereh tidak sia-sia setelah berjaya menewaskan Kubang Kerian dengan jaringan 2-1 yang berlangsung di Padang Penjara petang Kelmarin. Ketereh mendapat tendangan penalti pertama diminit ke 4 setelah pemainnya dijatuhkan dan tendangan kencang yang dilakukan oleh Mohd Azizul Hakim Kamaruddin berjaya menembusi gawang gol Kubang Kerian. Biarpun Kubang Kerian ketinggalan satu gol, perlawanan masa pertama menyaksikan beberapa serangan yang hampir menembusi gol Ketereh namun kekentalan penjaga gol Ketereh membawa sehingga ke akhir masa pertama. Kubang Kerian yang begitu kuat membuat serangan di separuh masa pertama berjaya menyamakan kedudukan setelah Mohd Rosli Bongsu berjaya menjaringkan gol penyamaan diminit ke 62. Kedudukan satu sama tersebut membuatkan permainan semakin rancak dan menyaksikan serangan seimbang berlaku di antara kedua-dua pasukan. Namun diminit ke 76, Mohd Firdaus Amzar Ismail menjadi wira Ketereh setelah berjaya menjaringkan gol kedua untuk Ketereh dan seterusnya membawa Ketereh ke peringkat Suku Akhir untuk bertemu Machang pada 24.Dis ini. Perlawanan kali ini juga menyaksikan lima layangan kad kuning oleh pengadil Derani Yusof iaitu tiga diberikan kepada Kubang Kerian ( Mohd Rosli Bongsu, Mohd Syamri Mohammad dan Mohamad NurFarez ) Sementara Ketereh pula ialah Mohammaad Zulhilmi dan Mohd Hanafee Abdullah. |
Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di Taman Melewar Posted: 10 Dec 2011 04:24 PM PST |
Penuhi syarat untuk menang PRU 13 Posted: 10 Dec 2011 04:20 PM PST KUALA LUMPUR, 10 Dis: PAS ternyata sudah berkemampuan mencapai kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang jika setiap ahlinya dapat memenuhi syarat-syarat untuk menang seperti yang dijanjikan oleh Allah. Keupayaan PAS untuk menang dalam PRU Ke-13 bukan sahaja boleh diukur dari keahliannya yang semakin meningkat setiap hari, tetapi juga sokongan baik yang diterimanya dari pelbagai lapisan masyarakat sekarang. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan sebuah hadis, Nabi saw menjelaskan bahawa ketika kita berjalan seelok-eloknya bersama 4 orang sahabat, untuk berperang memerlukan 400 anggota tentera. Menurutnya, di dalam hadis itu juga, Nabi saw menjelaskan untuk kemantapan ketenteraan, umat Islam memerlukan 4,000 anggota dan jika mempunyai 12,000 anggota tentera, umat Islam sudah boleh mencapai kemenangan. Katanya, keanggotaan yang juga jentera PAS kini sudah jauh melangkaui jumlah 12,000 orang seperti yang digambarkan oleh Nabi saw, sehingga jelas memberikan isyarat kemenangan kepada parti jika disusuli dengan langkah-langkah yang betul seperti yang digariskan dalam Islam. "Syarat-syarat untuk mencapai kemenangan, setiap jentera PAS mestilah mempunyai kekuatan dari segi kerohanian dengan keimanan," katanya ketika berucap pada majlis penutup Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di Taman Melewar, di sini, hari ini. Dalam masa yang sama, menurut beliau, langkah-langkah pentarbiayahan ke atas ahli-ahli mestilah disusun supaya setiap ahli dan jentera parti faham dengan manhaj perjuangan PAS. Katanya, untuk mendapatkan kekuatan dari segi kerohanian, setiap ahli PAS mestilah menjauhi maksiat serta ikhlas beribadat kepada Allah secara berterusan. "Jangan sekali-kali kita hanya kuat berkempen sehingga jauh malam sehingga lupa solat Subuh disebabkan mengantuk kerana tindakan seperti itu pasti gagal membantu kita dalam memperkuatkan kerohanian dan membantu PAS untuk menang," katanya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebaliknya untuk memperkuatkan kerohanian, ahli-ahli PAS bukan sekadar wajib menitikberatkan solat lima waktu, tetapi juga memperbanyakkan solat-solat sunat dengan mendirikan solat tahajud. Selain itu, katanya, ahli-ahli PAS mestilah walad atau taat kepada pemimpin, sejajar dengan potensi pemimpin-pemimpin PAS itu sendiri yang sememangnya sudah terlebih dahulu memperlengkapkan diri masing-masing dengan syarat-syarat tersebut. "Dengan itu, barulah jihad boleh diteruskan oleh ahli-ahli PAS bersama pemimpin bagi membolehkan PAS menempa kejayaan seperti yang diharapkan," tegasnya. Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS agar jangan sekali-kali angkuh dengan kedudukannya sebagai pemimpin kerana dalam Islam, pemimpin juga boleh ditegur dan mesti menerima teguran-teguran baik dan membina daripada orang bawahannya. "Ukhwah antara ahli-ahli dan pemimpin mestilah sentiasa dijaga supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, manakala ukhwah itu pula mestilah terjalin atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah. "Dengan itu barulah lahir kekuatan kerohanian dan ukhwah pada setiap ahli, pemimpin-pemimpin dan PAS bagi membolehkan kita bergerak bersama di medan jihad menerusi pilihanraya yang menjadi pilihan PAS di negara ini," tegas beliau. |
Pilihan raya orang Islam setiap hari Posted: 10 Dec 2011 04:19 PM PST KUALA LUMPUR, 10 Dis: Perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan. "Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu. "Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa. "Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucaptama di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini. Tok Guru Nik Aziz juga menegaskan, golongan sekular secara tidak sedar sudah menolak separuh daripada ajaran Islam apabila tidak mengutamakan perjuangan melawan syaitan. "Mengelak diri daripada pujuk rayu syaitan tidak ada dalam ajaran sekular. "Syaitan, neraka, tak ada dalam pengajian sekular. Oleh yang demikian pada orang yang sudah menjadi sekular, 50 peratus daripada pengajian Islam sudah hilang. "Pengajian Islam termasuk perkara ghaib iaitu syurga, neraka, dosa, pahala, padang mahsyar. Semua ini tak ada dalam sekular, jadi tak pernah sebut, bila tak pernah sebut mereka lupa," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 ahli yang hadir. Menurut Menteri Besar Kelantan itu juga, untuk memastikan manusia selamat di akhirat kelak, mereka wajib mengikut ajaran Islam yang sebenar, tanpa bercampur dengan ajaran barat yang lain. "Sekular tak bawa manusia ke syurga. Yang hanya membawa manusia ke syurga ialah Islam. "Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur. "Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia," katanya. Perjuangan PAS adalah jihad Sementara itu, Tok Guru Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam. Ini kerana tegasnya, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri. "Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan," katanya lagi. Dalam pada itu, beliau turut menyelar istilah jihad yang digunakan Umno dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini. Beliau berkata, iistilah jihad itu berasal daripada Al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam. Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah. "Jihad ini istilah Al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri? "Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia," katanya. Turut bersama, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain. Ustaz Hadi akan menyampaikan amanat di majlis penutup petang ini. |
1,160 pemimpin PAS lafaz ikrar bai'ah hari ini Posted: 10 Dec 2011 04:19 PM PST KUALA LUMPUR, 10 Dis: Seramai 1,160 orang pemimpin PAS dari seluruh negara melafazkan ikrar bai'ah memikul tanggungjawab kepada perjuangan parti untuk menegakkan perintah Allah di negara ini, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini. Mereka terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat; Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat; Ahli-ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihanraya PAS Pusat; Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat. Selain itu termasuk Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan: Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS negeri-negeri; Pengarah, Setiausaha dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihanraya PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS negeri-negeri. Turut serta Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiusaha Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama negeri, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS negeri; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah Urusan Ulama kawasan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat kawasan dan 10 orang wakil Nisa' negeri-negeri. Bacaan ikrar bai'ah diketuai oleh Pengarah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dengan diikuti Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden dan pemimpin-pemimpin utama PAS lain bersama-sama pemimpin-pemimpin terbabit. Lafaz baiah tersebut dibacakan sekitar jam 3.30 petang yang berbunyi: "Alhamdulillahi hirabbil alamin, wassalatu wassalam ala asrafil ambiai warmusalin, waala alihi wa sohbihi ajmain, am ma bad ...... "Dengan nama Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad sallallahu alaihi wasallam, saya dengan ini berikrar dan berbai'ah bahawa saya akan memikul amanah dan tanggungjawab dalam mengikhlaskan diri kepada perjuangan PAS untuk menegakkan agama/perintah Allah subhanahu wataala dan rasul-Nya. "Saya juga akan sentiasa menjaga dan memelihara semua perkara yang menjadi kerahsiaan urusan dan perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)". Ikrar bai'ah itu dilafaz dengan Idris, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit berdiri sambil tangan memegang kertas yang bercetak kata-kata tersebut, tetapi tidak dengan mengangkat tangan seperti ikrar-ikrar yang dibuat oleh sesetengah pihak. Lafaz ikrar bai'ah itu dibuat sempena program Ijtimak Tarbawi Pilihanraya anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Politik PAS Pusat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di KUIZM bermula jam 8.00 pagi tadi. Ijtimak tersebut dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.15 pagi yang turut menyampaikan ucapannya atas tajuk "Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad". Selepas itu, program diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Idris Ahmad yang bertajuk "Peranan Tarbiyah Kepada Petugas Pilihan Raya". Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh Bendahari PAS Pusat yang juga dari Majlis Syura, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Jihad dan Penghayatannya - Bertekad Memenangi PRU 13". Manakala majlis penutupnya disempurnakan oleh Abdul Hadi dengan ucapannya yang berkisar atas tajuk "Kesepaduan Fikrah dan Amal Jamaie Dalam Menghadapi PRU 13". Sebaik sahaja Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang selesai menyampaikan ucapannya yang juga amanatnya selaku Presiden parti, pengerusi majlis terus menjemput Idris untuk memulakan majlis bai'ah yang dibacakan dengan penuh keikhlasan oleh beliau, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit. Perpaduan suara mereka membuatkan Dewan Datuk Fadzil Noor bukan sekadar bergema dengan janji para pemimpin PAS untuk terus berbakti di jalan Allah, tetapi turut menjadi saksi tentang kesepaduan semangat mereka untuk menempuhi pelbagai halangan dalam usaha mendaulatkan agama Allah di tanah air ini. |
Kapal selam: Jangan percaya putar belit media BN Posted: 10 Dec 2011 04:18 PM PST KUALA LUMPUR, 10 Dis: Menyelam dalam Kapal Selam KD Tun Razak 21 buan selepas cabaran dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa kapal selam itu tidak dapat menyelam semasa penyerahan dan juga sama ada ia berbaloi berdasarkan harga pembeliannya RM3.68 bilion untuk dua kapal selam. "Bagaimanapun, dua fakta penantian 21 bulan dan keperluan pembelian dengan harga yang tinggi tidak diketengahkan oleh media utama dari Utusan Malaysia hingga ke Bernama, sebaliknya, pihak tersebut tidak malu memfokuskan kenyataan saya yang ingin mengesahkan pembelian dua kapal selam yang mahal," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan. Katanya, rakyat Malaysia tidak seharusnya percaya laporan media BN yang mana diputarbelit dan dirosakkan untuk membetulkan fakta penipuan bagi membantu BN berhadapan dengan pilihan raya akan datang. Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang juga ingin mengulangi soalan sebelum ini berhubung pemberian kontrak perkhidmatan atau "komisyen" kepada Perimekar Sdn Bhd. "Zahid telah mencabar saya di Parlimen pada 17 Mac 2010 untuk menyelam di dalam kapal selam tersebut bagi membuktikan bahawa ia (kapal selam) dapat menyelam apabila beliau tidak dapat memberikan jawapan terhadap desakan saya bahawa Kerajaan telah memulangkan kapal selam tersebut kepada pengeluar untuk digantikan dengan yang baru," katanya. Hakikatnya, kata beliau apabila seseorang membeli kereta baru dan mendapati ia terdapat kecacatan, anda akan bawa kereta tersebut ke pusat pembelian dan pohon yang baru. Bagaimanapun, jelasnya Zahid enggan menerima cadangannya dan mencabar untuk menyelam bersama kapal selam berkenaan. Katanya, beliau dengan segera menerima jemputan tersebut tetapi tanpa disedari ia perlu mengambil masa 21 bulan untuk Zahid memenuhi cabarannya. Menurutnya, sama ada kelewatan 21 bulan tersebut adalah disebabkan oleh kecacatan teknikal yang tidak dimaklumkan. Tambahnya, tiada pertikaian profesionalisme, kepakaran dan pengorbanan pasukan tentera laut kita di sini, termasuk pasukan kapal selam Malaysia. "Semua ketidakgembiraan kami adalah mengenai harga, PR dan rakyat Malaysia inginkan yang terbaik untuk pasukan tentera laut kita dan tidak pernah mempersoalkan perkhidmatan cemerlang pasukan terbabit kepada negara," katanya. Beliau berkata, Zahid tidak menyelam bersamanya sebagaimana dijanjikan ekoran beliau menyatakan bahawa terdapat tugas rasmi lain bersama Sultan Johor. Guan Eng dimaklumkan bahawa tiada blogger lain yang dibawa bersama. Pada awalnya, kata beliau blogger Papagomo sepatutnya dibawa bersama, tetapi beliau membantah. Ini, katanya kerana beliau tidak ingin berada di dalam kapal selam sama bersama seorang penipu yang membuli anak-anak muda, yang mana membuat kenyataan palsu seksual terhadap anak lelakinya berusia 15 tahun mencabuli rakan sekelasnya. "Saya tidak pernah berjumpa papagomo dan Zahid telah berjanji bahawa Papagomo akan dikeluarkan. Semasa menyelam, saya ternampak dua krew TV3 dan seorang wartawan Bernama," ujarnya. Tambahnya lagi, Zahid sepatutnya menjelaskan bahawa tidak menipunya dan juga pihak media. Bagaimanapun, katanya ekoran penglibatan wang awam sebanyak RM4.23 bilion di dalam pembelian dan penyelenggaraan 2 kapal selam tersebut, persoalan terus kekal berhubung kos pembelian tinggi dan pemberian kontrak perkhidmatan kepada syarikat yang tidak mempunyai rekod ataupun pengalaman di dalam membaiki dan menyelenggara kapal selam. Katanya, kerajaan BN perlu sedar bahawa ia bukan hanya membabitkan wang awam yang banyak berjumlah RM4.23 bilion, sebaliknya, keselamatan kelasi adalah amat penting bagi memastikan standard tertinggi atau keselamatan dan kawalan adalah diselenggara oleh pakar syarikat perpengalaman dengan trek rekod terbukti. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan