Ahad, 9 Oktober 2011

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Kerabu Bersuara ®

Posted: 09 Oct 2011 03:25 PM PDT

Gambar Bulan Yang Dirakan Oleh Usta Azhar Idrus

Posted: 09 Oct 2011 03:00 PM PDT

Bulan Kelihatan Cantik? Ini Gambar Untuk Anda

Posted: 09 Oct 2011 09:40 AM PDT

Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk: Pengalaman Kelantan Pembentangan YB Dato Haji Husam Musa

Posted: 09 Oct 2011 08:50 AM PDT

Video: Mat Sabu Dan Chegu Bard 'Tazkirah' Balaci PERKASA

Posted: 09 Oct 2011 03:50 AM PDT

Bajet P Ramlee

Posted: 09 Oct 2011 03:00 AM PDT

Muhammad Safwan Anwang @ Talib

Bajet 2012 kali ini seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran perdana menteri kita sepertimana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, "budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak ".

Justeru, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang.

Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar.

Cadangan peringkat kita mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Belum lagi kita cadang supaya PTPTN diubah menjadi biasiswa! Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading.

Boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja! Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus!

Mana tidaknya, sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu "orang kuat utang"!

Pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti. Sebagai contoh mudah, yuran internet dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) sehingga mencecah RM100 untuk satu semester.

Dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100. Tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan. Bas kilang pun percuma,ini pula bas universiti!

Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa!

Ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang.

Kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di institut pengajian tinggi ini? Bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia?

Mana mahu guna e-mel tanpa internet! Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. Malang sungguh mahasiswa di Malaysia!

Bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya. Jom ubah kerajaan sekarang!

Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Perak lambakan pemimpin bermasalah

Posted: 09 Oct 2011 01:30 AM PDT

Zawawi Hassan

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat rundingan kerusi BN negeri Perak menunjukkan mereka tidak lagi sebarisan kerana komponennya tidak lagi mempercayai kewibawaan pengerusinya dan mematuhi arahannya.

Rakyat patut membuat perubahan dengan menilai slogan mereka, dimanakah letaknya "1malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan".

Pengerusi BN Perak sudah menyatakan perasaan cemas beliau dengan tuntutan pelbagai dari komponennya. Malah berhadapan dengan ragam bakal calon dalam mengatur strategik pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Kami melihat Perak adalah tempat lambakan pemimpin BN yang bermasalah kerana negeri ini jatuh di tangan kudeta yang disokong oleh tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas yang bermasalah, bukan dari parti kompenan BN.

Komponen BN Perak tidak punya pemimpin yang berkaliber dan berkredibilti sehingga kini. Rotation calon BN untuk PRU akan datang berlaku hanya sekadar mengubah selera bukan membela nasib rakyat kerana amalan ini hanya dilakukan demi menjaga kroni-kroni mereka, penindasan tetap juga berlaku dan perpecahan tercetus yang hanya menanti belah sahaja.

Kawasan yang dimenangi BN pada PRU ke-12 yang lalu sudah tidak selamat lagi. Kita lihat siapakah yang bakal menjadi mangsa dan dikambing hitamkan dalam percaturan politik kronisme BN yg diketuai kudeta kini.

Dengan melihat komen bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengakui bahawa Umno adalah parti yang lemah dan kekuatannya hanya bergantung dengan jentera kerajaan sejak ia ditubuhkan adalah pengakuan yang berlaku di negeri Perak.

Jelas sebenarnya jentera Umno lumpuh akibat kronisme yang menebal serta budaya amalan rasuah yang tidak boleh dipinggirkan. Malah sepertimana yang berlaku di Perak pada awal Februari 2009 yang lalu menunjukkan perundangan atau Perlembagaan sedia ada tidak dipatuhi.

Budaya Umno yang korup dan makin membarah ini tidak lagi boleh diterima oleh masyarakat kini kerana masyarakat kini sudah celik dan berpendidikan tinggi bukan lagi dijajah seperti perumpamaan 'katak di bawah tempurung'.

Kami mengharapkan rakyat Perak terus bersama Pakatan Rakyat untuk tegakkan keadilan dan bersama kebenaran, jauhkan dari sebarang persengketaan, berpadu demi perlembagaan untuk tolak segala penipuan Umno/ BN yang sudah banyak penyelewengan dalam 54 tahun emerintahan lalu.

Penulis merupakan ketua Pemuda PAS Perak.

Statistik Miskin Tegar : Awang Adek Silap Mengira

Posted: 09 Oct 2011 12:24 AM PDT


1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin seperti yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, hari ini 9 Oktober 2011 di halaman 11. Di dalam kenyataan tersebut, Awang Adek menyatakan bahawa Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober 2011 yang lalu akan memberikan manfaat kepada lebih 43,000 rakyat miskin tegar di Kelantan.

2. DPPNK kesal kerana angka yang dikemukakan oleh Awang Adek itu sangat tersasar dari realiti yang sebenar. Meletakkan bilangan angka miskin tegar seramai 43,000 di Kelantan seolah-olah menunjukkan bahawa beliau gagal mengira dengan baik dan hilang kelayakan untuk menjadi Timbalan Menteri Kewangan. DPPNK ingin mengingatkan kepada Awang Adek bahawa Kadar kemiskinan tegar di Kelantan hanya 0.6% di mana lebih rendah daripada kadar jumlah kemiskinan tegar peringkat kebangsaan 0.8%. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Nor Yaakob ketika rombongan Kelantan berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi pelaksanaan RMK 10 pada 25 Jan 2010.

3. Jika bercakap tentang angka, DPPNK ingin mengingatkan kepada Awang Adek terhadap kenyataannya sendiri pada 27 November 2010 sewaktu berucap pada perasmian Program Penempatan Pekerjaan Khas Azam Kerja Kelantan di Kota Bharu. Di dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutusan (JPP) Kelantan, Yahya Mamat, Awang Adek menyatakan bahawa daripada 4,396 yang disenaraikan sebelum ini, kini terdapat 50 ketua isi keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar di negeri ini. Bahkan Awang Adek sanggup memberikan jaminan bahawa miskin tegar di Kelantan akan mencapai tahap sifar akhir tahun tersebut (2010) hasil program berterusan yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Laporan tersebut boleh dirujuk di sini (http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/11/27/mstar_berita/20101127164559).

4. Adakah pada akhir tahun 2010, hanya 50 ketua isi keluarga miskin tegar tiba-tiba berubah menjadi 43,000 orang miskin tegar di seluruh negeri Kelantan pada hari ini? Adakah sudah berlaku satu perkara ajaib yang menjadikan miskin tegar di Kelantan berubah meningkat dengan cara mendadak atau satu kegagalan Awang Adek untuk mengira dengan baik? Atau sememangnya Awang Adek sengaja mengeluarkan angka tersebut untuk memberikan persepsi yang tidak baik terhadap negeri Kelantan sekalipun sedar angka itu satu pembohongan?

5. DPPNK ingin berpesan kepada Awang Adek agar dapat menunjukkan prestasi yang baik di dalam membuat kenyataan memandangkan pilihanraya umum semakin hampir. Jika tidak, dikhuatiri peluang Awang Adek untuk dinobatkan sekali lagi sebagai bakal Menteri Besar Kelantan tidak kesampaian.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 9 Oktober 2011

Ribuan hadiri Perhimpunan 109 – protes Lynas

Posted: 08 Oct 2011 10:20 PM PDT

Kira-kira 2,000 membanjiri pantai Taman Gelora, Kuantan bagi memberikan menyatakan bantahan terhadap pembinaan loji nadir bumi di Gebeng.

Dinamakan "Himpunan Hijau 109″, perhimpunan itu dipendekkan oleh anggota polis yang menghalang penceremah membuat ucapan.

Mengikut Malaysiakini, permit berhimpun dalam program NGO alam sekitar itu ditarik balik malam tadi ekoran terdapat program khidmat negara.

Bagaimanapun pagi ini, mereka tetap berkumpula mulai jam 8.30 pagi di bawah pemerhatian kira-kira 50 anggota polis.

Orang ramai kelihatan enggan berganjak dan membina perisai manusia tetapi selepas ditolak polis polis mereka menjadi marah dan mula mengebu serta meneriakkan slogan "Hidup rakyat".

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohd jasmani Yusof bagaimanapun tetap menegaskan supaya orang ramai bersurai.

Wajib Baca: Pandangan Ilmuan Islam Berkenaan Bajet 2012

Posted: 08 Oct 2011 09:00 PM PDT

Liqa' Ilmuan Islam

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.

Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.

Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.

Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Juga sabda baginda:-

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari." ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.

Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-

A) Sokongan sepenuhnya

Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-

  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna', murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai pesakit luar.
  21. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  22. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  23. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  24. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  25. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

B) Sokongan dan nota perhatian
  1. Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
  2. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem 'teknologi hijau', selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran 'carbon emission' berlebihan kepada persekitaran.
  3. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  4. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
  5. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan 'micro credit', namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  6. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan.
  7. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  8. SME 'revitalization fund' untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
  9. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  10. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.

KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)

C) Komentar umum

Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-

  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerajaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang 'outstanding' pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
  4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali 'import tax' untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukkan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  10. 'Green tax' sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
  13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan 'dosa' ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh 'membunuh' kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepada jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An Nisa:58)

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas : 26)

Sabda Rasulullah SAW:

"Tiada iman pada orang yang tidak beramanah." (Riwayat Ahmad)

Dari kami untuk khidmat masyarakat,

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)

Ustaz Dr. Maszlee Malik

Ustaz Dr Zahazan Muhammad,

Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

Ustaz Hj Aizam Mas'ud,

Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,

Ustaz Ramadhan Fitri Elias,

Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'

Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Ustaz Shauqi Othman

Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta

Dr. Mohd Nizam Barom

Perkara Yang Perlu Suami Ketahui Ketika Isteri Mengandung

Posted: 08 Oct 2011 08:56 PM PDT

Khairul Amnan bin Osman

Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat memahami mereka semasa mengandung. Hal ini kerana pada waktu ini, keadaan mereka tidak stabil dan memerlukan bantuan daripada orang lain terutamanya daripada suami. Tetapi mungkin ramai lagi suami yang di luar sana masih tidak lagi memahami situasi ini.

Apakah perkara yang perlu dilakukan suami semasa isteri mereka mengandung?

(1) Luangkan masa bersama isteri- Mungkin suami terlalu sibuk dengan pekerjaan yang perlu dilakukan. Tetapi mereka perlu berusaha untuk meluangkan masa bersama isteri. Ia kerana pada waktu ini isteri amat-amat memerlukan anda. Dengan hanya berada disamping isteri, ia dapat membantu untuk mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.

(2) Membantu pemakanan isteri- Seperti yang anda semua tahu, pada waktu ini isteri biasanya akan mengidam. Suami sepatutnya membantu untuk memenuhi kehendak mereka. Selain daripada itu, isteri juga memerlukan makanan yang berkhasiat. Sekiranya suami membelikan mereka yogurt, madu, buah-buahan atau makanan kesihatan yang lain adalah lebih baik.

(3) Perlahan-Suami perlu tahu bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala pergerakan mereka akan menjadi perlahan. Apabila suami membawa isteri mereka untuk bersiar-siar, berjalanlah dengan perlahan untuk menunjukkan anda memahami situasi isteri anda. Tidak perlu untuk memarahi mereka disebabkan pergerakan mereka yang lambat.

(4) Tidak perlu bertanya, terus lakukan- Semasa isteri anda mengandung, tidak perlulah suami bertanyakan mengenai apa yang perlu dilakukan. Apabila melihat kain banyak tidak dibasuh, terus pergi untuk membasuhnya. Begitu juga terhadap kerja rumah yang lain. Ia adalah ciri seorang suami yang baik.

(5) Belajar- Semasa isteri anda mengandung, mereka akan mengalami perubahan yang besar di dalam aktiviti harian mereka. Suami seharusnya belajar mengenai tanda-tanda seperti ini. Ia akan membuatkan anda lebih bersedia sekiranya isteri anda marah-marah, terlalu sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.

(6) Membantu menyiapkan hidangan makan- Sekiranya sebelum ini segala tugasan hanya dilakukan oleh isteri semata-mata untuk memastikan suami mereka kenyang, tidak salah sekiranya semasa isteri mengandung, suami pula melakukan tugasan yang sama.

(7) Membantu menjaga anak yang lain- Ini adalah peluang keemasan untuk suami menghabiskan banyak masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan anak.

(8) Membawa isteri ke mana sahaja- Pada waktu ini, sebaiknya jangan biarkan isteri anda memandu seorang diri. Sekiranya anda mempunyai masa, bawalah mereka ke mana sahaja mereka ingin pergi.

(9) Pinjamkan tangan anda pada isteri- Apabila isteri ingin memakan ubat, pinjamkanlah tangan anda untuk pergi mengambil ubat. Kemudian pinjamkan tangan anda untuk pergi ambil air suam di dapur.

Najib tidak faham Negara Berkebajikan

Posted: 08 Oct 2011 06:37 PM PDT

Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Berikutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan belanjawan 2012 di parlimen semalam bahawa BN telah melaksanakan konsep Negara Berkebajikan, PAS ingin menegaskan bahawa Najib tidak memahami konsep Negara Berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Paling penting beliau harus memahami tiga ciri asas Negara Berkebajikan yang hampir tidak dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional sehingga kini.

Pertamanya, Negara Berkebajikan mestilah ditadbir oleh pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti. Dengan membazirkan wang rakyat untuk membayar bil air dan elektrik rumah Perdana Menteri berjumlah jutaan ringgit tidaklah menggambarkan pemimpin yang berintegriti.

Keduanya, Negara Berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil.

Ketiga, negara berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji dan adil untuk semua. Nampaknya Perdana Menteri yang membentangkan belanjawan ini sebagai Menteri Kewangan gagal sama sekali memahami apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai Negara Berkebajikan.

Tindakan kerajaan terus menafikan royalti minyak di Kelantan dan Terengganu sejak bertahun-tahun, jelas menggambarkan ciri pengkhianatan dan tidak menepati perjanjian, malah jauh sekali memenuhi ciri Negara Berkebajikan.

Begitu juga dengan pemberian bantuan kepada rakyat yang bersifat bermusim di kala kerajaan memerlukan undi rakyat dan membiarkan rakyat tersepit dengan kenaikan harga barang dan petrol di luar waktu pilihanraya. Ini semua jelas kepada kita, hampir tiada ciri-ciri Negara Berkebajikan yang dilaksanakan oleh pemerintahan Barisan Nasional.

Begitu juga dengan manipulasi sistem pilihanraya melalui undi pos, daftar pemilih yang kotor, penggunaan jentera kerajaan dan memberi IC kepada warganegara asing untuk mengundi, jelas satu tindakan tidak berintegriti dan tidak amanah serta menutup pintu muhasabah oleh rakyat dalam pilihanraya. Ini hanya beberapa contoh jelas bahawa BN jauh sekali menepati konsep negara berkebajikan yang hendak dibawa oleh PAS.

Oleh itu, rakyat harus sedar bahawa 'Negara Berkebajikan' yang hendak dibawa oleh Pas bersama Pakatan Rakyat jauh lebih besar dan luas kerangkanya meliputi hak rakyat untuk dilayan secara adil, agihan ekonomi yang adil, hak bepolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegiti dan seterusnya membentuk Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek, bukan sekali-kali bersifat pemberian habuan bersifat sementara di masa rakyat diperlukan semata-mata.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Gambar TG Nik Aziz Masa Dulu Dan Kini

Posted: 08 Oct 2011 05:10 PM PDT

Ajijoi

Posted: 09 Oct 2011 03:02 PM PDT

TAIPING, 7 Okt: Parti Islam Semalaysia (PAS) Negeri Perak menerima ahli baru daripada dua tokoh besar. Mereka ialah Bekas Pengarah Pendidikan Negeri Perak Dato' Adnan Ibrahim dan Bekas Pegawai Tinggi TLDM Laksmana Pertama (B) Haji Mohamad Imran Bin Hj Abd Hamid.

Kedua-dua tokoh besar ini telah hadir di Program Pelancaran 'Jom Masuk PAS' di Markas Tarbiyyah PAS, Air Kuning Taiping.

Dato' Adnan berkata, beliau menyertai PAS setelah mendapat hidayah untuk menyertai perjuangan PAS dan meninggalkan UMNO selepas pulang dari tanah suci.

" Ketika saya berkhidmat dahulu, teruk saya maki dan memarahi guru-guru yang menyokong PAS. Saya ketika itu sangat benci dengan PAS dan memandang PAS ini sebagai parti yang mempergunakan agama demi politik," katanya dengan nada kesal.

Beliau mendakwa, Naib Presiden UMNO, Dato' Hishamuddin Tun Husein dan pimpinan UMNO memanggil beliau dan menasihatkan agar terus dengan UMNO. Tetapi beliau berpegang dengan pendiriannya untuk bersama dalam PAS demi mendokong perjuangan Islam.

Bagi Laksmana Pertama (B) Haji Mohamad Imran Bin Hj Abd Hamid pula, beliau masuk PAS kerana tidak yakin dengan perjuangan UMNO.

"Perjuangan UMNO hanya retorik semata-mata. Kata memperjuangakan Islam tetapi sebaliknya," katanya yang ingin bersama dalam PAS hingga ke akhir hayatnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Idris dalam ucapannya berkata, beliau mengalu- alukan kemasukan dua tokoh besar masyarakat ke dalam PAS.

" Bekas Pegawai Tinggi TLDM dan Bekas Pengarah Pendidikan pun boleh masuk PAS, kenapa JKKK dan penoreh getah tidak boleh masuk PAS ?," katanya ketika melancarkan Program 'Jom Masuk PAS' anjuran Badan Perhubungan PAS Perak

" Sekarang ini, orang dah pencen semua nak masuk PAS setelah lama 'digari' . Mereka tidak percaya UMNO. UMNO tidak relevan lagi. UMNO sudah busuk hingga ke usus," tegasnya lagi.

gambar 1 : Dato' Adnan bersama Ustaz Idris melancarkan Jom Masuk PAS

gambar 2 : Ustaz Idris bersama Ustaz Abu Bakar bergambar dengan 2 ahli baru PAS

Muhammad Faeez Bin Azahar

Setiausaha Kerja Penerangan,

Badan Perhubungan PAS Perak

Tiada ulasan:

Pengikut